2025-07-03

Raya 2025, di Birmingham UK

Dengan bismillah, aku start menulis pasal raya 2025 dengan niat supaya En Wan tak amnesia bila tiba turn raya tahun depan. Tahun depan turn Bangi. Tahun ni dia yang gatal nak beraya kat UK walaupun sebenarnya tahun ni turn raya Tganu. Aku cakap kau yang gatal nak raya UK, jangan tahun depan nak turn Tganu pulak, ya. Aku terbalikkan kereta kau karang.

Aku perlu tulis pasal raya setiap tahun untuk di-documented-kan kat blog supaya senang nak refer turn balik beraya dan refer baju kaler apa dah buat. Hari tu kemaskan lemari En Wan, aku cakap rentikanlah buat baju melayu. Baju melayu malam nikah pun dia muat lagi, kau rasa?? Dah macam-macam kaler bersusun dalam lemari. Macam nak roboh penyangkut baju tu aku tengok. Dia plan nak pass kat Redza and Rayyan. Dia ingat anak-anak dia nak agaknya pakai baju melayu dia?

Plan nak beraya kat UK ni tak wujud dalam minda aku pun. Kitorang dah book tiket flight balik Redza cuti ni sebelum En Wan decide nak beraya kat sana lagi. Maknanya memang takde dalam plan nak beraya kat sana. En Wan pun tak pernah bagi hint. Kitorang dah cari-cari info macamana cara nak pos rempeyek and baju raya Redza segala. Tapi tu la, entah saka apa merasuk, tak lama lepas dia book tiket balik Redza, dia ajak beraya kat UK.

Aku bagi side eyes.

"Boleh tak kita beraya tenang-tenang dalam negara je?"

Itu ayat aku kat dia.

Rupanya dia gi kawtim dengan Mak Aji. Dia ajak Mak Aji pergi sekali sebab dia tahu kalau mak bapak aku ikut, no point aku stay. Yang mak aku pulak pantang diajak, zassss! Hilang gout-gout dia semua. Ibal kata sejak setuju nak ikut ke UK, hari-hari Mak Aji ajak Pak Aji brisk walk. Prektis ketahanan fizikal katanya. Gigih, kan?

Macam biasa, takde sebarang persiapan dari aku sempena nak ke UK. Apa yang aku pakai di Paris last year, itu jugak aku angkut. En Wan macam biasalah, membebel aku tak nak beli new jacket, new shoes, new pants. Lagi sekali aku bagi beliau side eyes. Kau jangan banyak bunyi, ya. Aku setuju pergi ni pun dah besar rahmat. Kalau aku kensel karang?




Seminggu sebelum berangkat, kitorang dah balik Tganu hantar mok beraya. Minggu depannya, hari Rabu malam gerak ke airport. Flight Khamis 1 pagi. Kitorang 3 beranak gerak dari Putra Heights. Mak Aji and Pak Aji gerak dari Bangi Ibal hantar.

Ini first time Rayyan naik Emirates. Bukan main seronok dan penuh bergaya dia duduk atas tu.

"Generous legroom, Ma!"

Maklumlah, member kaki panjang. Seronok dia boleh bersilang kaki kat atas tu. Maknya pulak naik atas terus pejam mata, makan pun tak. Maka kemain berkeduri dia makan makanan aku. Mentang-mentang aku membuta, sedap je dia kejap-kejap mintak stewardess air Coke. Dia tahu kalau aku celik mata memang takde chan dia nak minum air gas.

Food Emirates another level - dengan pizzanya, dengan shepperd pie, dengan coklat, dengan Hiagen Daz eskrim. Lepas tu movie best-best pulak Rayyan kata. Dia boleh tak tido dari KLIA ke Dubai melayan movie. Aku cakap sepanjang malam kau tak tido, nanti sampai UK tu masih siang tau tak?

Flight sepanjang KLIA-Dubai agak bumpy. Walaupun A380, masih rasa gegaran. Kalau naik smaller plane tak tahulah aku menyawan macamana kat atas tu. Tapi aku kekal pejamkan mata sambil berzikir. Tido-tido ayam saja. Letih juga paksa pejam mata 7 jam. Dahlah tak makan lansung. En Wan takut aku pening esok hari sebab masa tu bulan puasa. Sampai Dubai dah nak start Subuh. Kalau aku tak makan, nanti nak sambung flight ke UK another 7 hours mau muntah belahak pulak. But I is ok. Aku memang dah raya waktu ni. Boleh je nak makan cuma tak best pulak makan bulan puasa. Jadi, aku teruskan berlapar.




Sampai Dubai just nice lagi 30 minit nak Subuh. Kitorang lepak surau, solat. Transit 5 jam. Tapi Dubai punya airport best, siap ada kerusi untuk tido. So tak risau sangat. Pak Aji dengan relaxnya sambung tido kat kerusi tu. En Wan sempat buat quotation bagai. Mak Aji, Rayyan and aku mengadap henfon. Wifi airport dia berdesup-desup, rilek je aku layan cerita cina tanpa lagging. Tau-tau je dah settle 5 jam. Then, sambung flight ke Heathrow.

Dari Dubai ke Heathrow aku tak berapa boleh tido sebab dah bantai membuta dalam flight sebelumnya. Maka, I cuba untuk menikmati hiburan. Pasang movie. Dapatlah layan 1 movie yang aku pun dah lupa apa ceritanya. Rayyan and En Wan aku kerah tido. Nanti dah sampai UK korang kena bertenaga sebab nak angkut beg. Because from Heathrow kita nak travel another 2 hours by train to Birmingham pulak. Mak Aji and aku adalah wanita yang lemah, mana larat tolak beg. Korang kena tolakkan. Gitu.

Alhamdulillah sampai UK around 1 tengahari.

Dengan ini aku declare dalam banyak-banyak airport, airport Heathrow paling LEMBAB sekali. Selembab-lembab Jeddah, menang lagi kelembapan Heathrow. Kau bayangkan, kitorang beratur 2 jam lebih, ya! Masih belum keluar dari imegresen.

Dear Heathrow, airport kau tempat tumpuan. Besar. Tourist ramai masuk. Bukaklah kaunter banyak sikit. Aku tak tahulah hari-hari biasa macam ni ke tak, tapi hari yang kitorang sampai tu, ramai dari India. Dan set-set dari India ni pun satu kepelikkan juga. Kau dah tahu tak boleh berbahasa inggeris, preparelah dokumen siap-siap. Ni tak. Disebabkan kau tak boleh cakap english, kau sorang je 30 minit kat kaunter. Imegresen terpaksa tanya macam-macam sebelum release.

Ada sorang kat kaunter sebelah, imegresen bagi dia satu artikel pendek untuk dibaca. Nak pastikan dia boleh berbahasa inggeris atau tak. Kalau tak boleh, agaknya kena halau balik India kot. Ye lah, suspicious sangat. Datang UK tanpa tourist guide sedangkan kau tak faham english, dan tak boleh berbahasa english, kalau aku jadi imegresen pun aku syak macam-macam. Menyusahkan orang.




Bila sampai kitorang punya turn, walaupun serentak 5 orang satu kaunter, 15 minit settle. Semua dokumen dia minta dah ready. Kitorang print siap-siap student kad Redza, alamat rumah dia, alamat tempat kitorang stay and nombor tuan rumah sekali. Officer tu "No wonder your kid's in a top uni. You come prepared".

Aku tak tahu apa kaitannya, tapi legalah sebab En Wan memang bersedia dengan semua possible document. Bila tunjuk semua, memudahkan imegresen and officer pun lega bila kitorang bukan pelarian.

Rupanya Redza kawtim dengan bapak dia untuk memonteng kelas sepanjang hari tu. Dia ada 2 kelas saja. Demi nak fetch kitorang, dia minta izin kat bapak dia untuk memonteng. Tak tentu arah aku nampak kelibat Redza. Lupa aku sedang berada di airport benua lain. Yang Redza pulak dalam video tu benda pertama yang dia tanya "Mama mana?" 

Terharu ammak bila tengok balik video tu. Walaupun mamanya paling kuat memetir dalam rumah, tetap mama-nya dulu yang dia cari. 



Setelah 6 bulan tak jumpa, the feeling dapat peluk anak, tak tergambarkan. Nampak je Redza berjalan ke arah aku, rasa macam..ya ampunn aku tinggalkan anak aku kat sini?? Aa gitu perasaannya.




Dari Heathrow ke Birmingham Redza ajak naik bus express. Train lambat katanya. Ok tak kisah sebab ada Redza. Dia dah familiar, kita pun legalah sikit. Sebelum bas gerak, singgah Pret beli sandwich. Aku yang tak berpuasa pun sama naik tak makan dari KLIA sampai ke UK, ya. Orang lain puasa 18 jam hari tu, aku lebih 24 jam! Betapa beriman-nya aku.

Alhamdulillah rumah yang En Wan sewa di Birmingham sangat sangat selesa dan kemas dan selesa dan selesa! Haa gitu puas hatinya aku. Sebab aku dah warning dia. Aku nak ke UK ni satu pengorbanan, ya. Pastikan pengorbanan aku ni berbaloi. Kalau tak, kem salammmmm aku nak pegi lagi.

Rumah ni macam apartment. Setiap unit ada 3 tingkat. Tingkat bawah living hall, tingkat 2 kitchen and 2 bilik tido. Tingkat atas sekali ada 1 bilik lagi. Memandangkan kekuda kitorang masih kuat, kitorang berdualah duduk paling atas. Mak Aji and Rayyan duduk sebelah menyebelah. Rayyan paling happy dapat sebilik sorang. Ingatkan Redza nak tido sekali, rupanya dia nak balik rumah sebab malas nak berangkut beg baju. Rumah dia pun dekat je.


Ini rumah di Birmingham. Kat sini duduk 9 hari. Sengaja duduk lama sebab Redza belum start cuti. Nasib baik raya UK jatuh on Ahad. Kalau jatuh hari Isnin memang beraya tanpa Redza jawabnya sebab dia masih ada kelas. Hari tu pun first raya je berkumpul. The next day dia dah ke kelas semula.

Memandangkan ini cerita raya jadi aku skip part lain. Aku fokus bab raya je, ya.

Petang raya tu dah bersiap dengan rebus nasi impit yang dibawa dari Malaysia. Tinggal masak rendang and kuah lontong saja kat sana. Kitorang ada bawak sambal dendeng paru juga yang retort punya.

Selama ni pagi raya pukul 5 pagi aku, Ima and CT tiga orang dah bersilat kat dapur. Tahun ni aku sorang je, gais. Sedih pulak takde geng nak memekak-mekak kat dapur pagi-pagi buta. Memasak sorang-sorang di pagi raya ni syahdunya lain macam sebab kalau aku kena petir dek Mak Aji takde sape backup aku, gais. Kahkahkah. Jadi, aku masak dengan penuh berhati-hati.



Sebagai langkah persiapan untuk tak kena petir, aku bangun 3.30 pagi. Biar aku masak sorang sebelum dia bangun. Steady je guwe masak rendang, kuah lontong, siap kuah kacang bagai. Sambal sotong je aku tak buat sebab cili boh sana dijual seciput-ciput dan macam manis-manis sikit, tak sedap. Better takyah buat lansung. 

Dah nak siap, barulah mak incik bangun. Dahlah bangun setakat tolong kacau-kacaukan rendang aku, siap membebel lagi. Ada je yang tak kena kat mata dia.



Walaupun takde orang nak datang beraya kat sana, roh raya tu kena ada. Jadi, kita pasang You Tube lagu-lagu raya. Biskut raya 6 jenis bawak dari Malaysia, atur atas meja. Hat ni aku pun tak tahu bila masa En Wan beli. Dan bila masa dia packing semua biskut raya ni, know-know arrive UK. 

Oh lupa pulak. Malam raya tu, cousin aku yang duduk Qatar orderkan laksa Johor untuk makan berbuka and raya. Punyalah banyak. Dia order dari kawan yang tinggal kat Conventry. Jadi, pagi raya tu meriah lauk raya kitorang.





Sementara tunggu Redza sampai, kitorang bersalam raya dulu. Tahun ni anak-beranak sajalah beraya sama-sama sambil makan lauk raya. Elok je Redza sampai lepas solat (dia solat kat kampus), barulah cukup korum untuk bergambar. 



Tahun ni semua pakai warna ala-ala sedondon, termasuk Mak Aji dan suaminya. Kat luar tu sejuk nak mampos, ya. Masa ni 8 degree kot. Tapi nak bergambar punya pasal, kugagahkan diri berjemur kat luar. 



Lepas snap 5-6 kali, berlari masuk rumah. Pastu keluar balik sambung bergambar. Pastu berlari balik masuk rumah. Punyalah sejuk. Tapi dalam gambar semua muka nampak cool-cool je.

Lepas settle bergambar and makan, kitorang ke uni Redza. Hari tu Ahad, sesuai nak jalan-jalan dengan tenang dalam kampus sebab student cuti. Bolehlah bergambar sekali. Maka, kitorang semua dengan berbaju raya masuk University of Birmingham (UOB). Dari tempat tinggal kitorang ke UOB berhenti satu train station saja.

Redza selalunya jalan kaki je dia kata. Jalan kaki 30 minit pergi, 30 minit balik. Sana sejuk, takpelah jalan 30 minit. Kalau kat Malaysia buat gini, lecak ketiak kau. 






Memang tenang kat UOB takde orang sangat. Tapi ramai student bergambar. Student Indonesia mostly. Kebetulan kawan-kawan Redza se-KMB pun berkumpul untuk bergambar. Masa ni lah dorang tahu parents Redza datang beraya. Terus dorang bagitahu nak datang raya.

Lepas bergambar, zasssss kitorang balik rumah untuk tambah lauk-pauk. 10 orang nak datang. Tak cukup setakat nasi impit and rendang. Nasib baiklah sebelum raya aku dah shoping ayam segala. Sampai je rumah, salin baju, terus masak nasi tomato and gulai ayam. Walaupun regu-nya macam tak kena, sebab selalunya gulai ayam makan dengan nasi minyak. Ahh tak kiralah. Janji anak-anak ni ada benda nak makan. Kesian, first time beraya overseas, biorlah dapat makan yang sedap sikit. Raya kot.





45 minit siap makanan aku. Meriah meja makan dengan lauk raya. Tak semena-mena rezeki dapat buat open house di UK. Alhamdulillah. Seronok anak-anak ni melepak kat hall makan-makan. Redza kata dorang bersembang sambil kepit balang kuih raya. Punyalah rindu nak makan biskut raya agaknya. 

Aku bawak nutella button, kuih tart, kuih bangkit, kuih kacang - semua yang old skool punya. Makan sambil dengor Dendang Perantau konfem merembes!



Pastu berdesup-desup masuk whatsapp kat group Parents of UOB say thank you seban menyantuni anak-anak. Rupanya dak-dak ni share gambar open house rumah parents Redza. Aku pulak segan. Bukan apa, masa mak-mak kat dalam tu sembang pasal nak hantar kuih raya, nak hantar baju raya, aku buat senyap je. Taknak bagitahu aku akan ada di Birmingham. Aku takut nanti ada yang menyampaikan barang. Aku sendiri tak tahu what to expect kat sana, jadi tak nak berjanji apa-apa. Alhamdulillah dapat jamu anak-anak ni. At least mak bapaknya tahu anak dapat makan lauk raya. Aku cakap kat Redza, ni tahun je aku beraya sana. Tahun-tahun lain pandai-pandai kau la masak sendiri.

Sampai pukul 6 pm anak-anak ni lepak kat rumah. Redza balik semula ke apartment dia after Maghrib dengan membawa sebeban makanan untuk jamu kawan-kawan rumah yang tak sempat datang. Sekian sajalah cerita raya 2025 di Birmingham. Pengalaman pertama raya diperantauan sepakej dengan buat open house sekali.