2022-10-28

Bisnes belum jalan, hutang dah besar.


Semua business perlukan duit untuk bermula.
Walaupun kita kerja sorang (self-employed), kita masih perlu keluarkan duit untuk buat daftar perniagaan, create simple-simple website, dan beli equipment yang perlum - contohnya laptop dan internet.
Apetah lagi bisnes macam aku yang kena simpan stok. Lagilah perlu modal yang besar.

Sejak PKP 2020, beberapa orang dari kalangan blog reader bagitau terpaksa tutup bisnes.
Ada yang suami kena tutup bisnes.
Ada yang stok melambak tak terjual.
Ada yang dah berbulan tak dapat gaji tapi dek kerana kesiankan bos teruskan juga bekerja.
Macam-macam cerita.
2 hari lepas sorang blog reader bagitau bisnes dah tak boleh sustain, tapi loan bank dah maksimum.
Tak tahu macamana nak hadap.
Komitmen dah tinggi. Tak nampak jalan keluar.
Dia tanya pandangan aku.

Aku tak pandai bab-bab ni.
Sebab aku tak ada buat sebarang bank loan untuk business.
Personal loan pun tak pernah buat.
Maybe boleh jumpa orang bank tanya macamana cara nak bayar balik.
Aku yakin dorang akan cadangkan satu structure pembayaran yang tak membebankan.
Bank adalah orang berniaga. Dia pun taknak rugi.
Asalkan peminjam boleh bayar balik ok dah tu. Cuma nak tahu cara saja.

Business aku dulu adalah lab supplies.
Nak tak nak kena letak duit untuk start bisnes.
Awal-awal aku run bisnes, pengalaman run business memamg tak ada.
Tahun aku start business umur aku 31, very young.
Tak ada pengalaman buat online business atau sebarang business sebelum tu.
Hanya ada pengalaman kerja dengan majikan yang jual lab supplies.

Awal-awal start business memang agak kalut sikit sebab baru nak hadap benda baru.
Tapi syukur duit hasil komisyen bekerja aku tak joli sangat, dapatlah jadikan modal nak start.
Average cost untuk mulakan business adalah sekitar RM30K.
Disebabkan company ni asalnya partner dengan ex-bos aku, maka kitorang letak sorang RM20K saja. Total RM40K.
Pandai-pandailah guna RM40K ni sampai jadi 4 juta. Kahkahkah.
Memang kitorang (aku and partner dulu) taknak libatkan bank.

Dengan RM40K ni lah sewa kedai untuk buat ofis, beli meja and kerusi untuk kerja (betul-betul meja dengan kerusi je tau, bukan workstation yang gempak).
Beli pun kat kilang secondhand.

Sewa mesin fotostet yang siap ada printer and scanner.
Sebulan RM80 je.
Mesin ni sangat penting dalam hidup kitorang sebab banyak dokumen sebutharga and tender nak kena fotokopi.

Utilities selagi boleh jimat, jimat.
Aircond beli sebijik je.
Bayangkan ruang ofis yang besar tapi aircond cuma sebijik.
Hazab nak merasa aircond. Sepoi-sepoi je anginnya.
Nasib baik kitorang jarang ada kat ofis sebab berkeliuaran buat sales.
Balik ofis untuk buat quotationn and print invoice saja.
Kuranglah sikit merasa hazab panas dalam tu.

Punyalah ofis tu takde apa, sampaikan brader yang deliver barang kat ofis konfius bila masuk ofis kitorang "Saya ingatkan surau" dia kata.
Kureng hasam.
Redza masuk ofis boleh main kereta control dalam tu punyalah luas.
 
Sebelum start bawa masuk stok dari overseas, kitorang jadi re-seller dulu.
Maknanya jual produk orang lain.
Belum mampu jadi sole distributor masa ni.
Profile belum cantik.
Jadi, kita create revenue dengan menjual produk orang lain.
Kalau ikut lojik, susah nak dapat sale bila jual produk orang lain.
Dah tentu harga kami lebih mahal sebab kena mark up.
Tapi some sales people malas merayap jumpa new customer.
Dorang selesa menjual dengan existing customer saja.
Jadi kami ada kelebihan. Kami approach new customer.

Some sales people tak strong in product knowledge.
Dorang menjual pada repeat customer saja.
Yang pertama, jual dengan existing customer lebih senang sebab customer dah kenal dia.
Yang kedua, dorang tak pandai nak explain product pada new customer.
Maka ini jadi kelebihan kat kitorang juga.

Kebanyakan sales people pada waktu tu fokus pada menjual produk.
Takde yang nak come out with training, workshops atau seminar.
Ini jadi kelebihan terbesar kami waktu tu bila kami ketuk satu makmal ke satu makmal offer DNA analysis service.
Kami collab dengan private lab untuk guna lab dia for halal testing.
This plan memang boom.
Semua Jabatan Perikanan seluruh Malaysia punya sample ikan and udang masuk ke company kami untuk buat testing.
Pernah aku dipanggil ke JAKIM untuk bentangkan report DNA analysis.
Masa ni isu beri ikan makan tulang babi baru nak berjinak-jinak muncul kat Malaysia.

Alhamdulillah dari RM40K tu Allah cambahkan menjadi satu lagi angka kosong di belakangnya.
Bila profile dah strong, barulah konfiden sikit buat proposal untuk carry brand bawa masuk Malaysia.
Brand pertama sebagai sole distributor adalah KAPA Biosystem dari Cape Town (tapi operating office di USA).
Customer pertama yang beli produk ni adalah seorang post-graduate student from Thai yang study kat UPM.
Kit paling murah KAPA adalah RM3500. Aku jual kit ni seketul.
Menangis dalam kereta bawa balik Purchase Order.
Proud moment betul masa ni.
Padahal masa kerja dengan majikan terdahulu, sap sap soi je jual 350K sekali jalan.
Company sendiri dapat jual RM3500, dia punya feeling berbeza.
The rest was history.

Boleh sebenarnya kita nak start business tanpa pinjaman dari bank. Cuma kurang gah.
Awal-awal ofis tak dapat buat cantik.
Facilities pun tak megah macam Megah Holdings.
Gaji pun ambil sekadar boleh bernafas.
Nak ambil staff pun tak berani. Naya anak orang kalau tak dapat bayar gaji karang.
Claim-claim ni semua takde. Absorb semuanya.
Jangan ceritalah bergaya.
Memang tak terpikir nak hidup bergaya.
Waktu ni coli pun pakai Scarlet RM10 sehelai. Spender RM15 dapat 3. Hahahaha.
The good old days.

Tapi tak semua mahu mulakan bisnes dengan guna apa yang ada.
Zaman sekarang online.
Orang lagi banyak berniaga di media sosial berbanding physical shop.
Orang lebih banyak "hidup" dalam dunia internet berbanding realiti.
Maka perlu tonjolkan yang the best untuk dapat attention.
Maka, ada yang belum apa-apa dah berhutang dengan bank maksimum demi nak raih trust and attention.
Bisnes belum jalan, hutang dah besar.
Bila memulakan perniagaan dengan menonjolkan kemewahan, nak tak nak, gaya hidup itu perlu diteruskan untuk maintain trust.
Terpulanglah. Kalau rasa pinjaman itu mesti dibuat, kalau tak buat bisnes tak jalan - buat.
Tak salah. Yang salah tu bila tak bayar. Itu saja.

Satu cara lagi, adalah cari orang untuk invest.
Venture capitalists and angel investors would likely be happy to give you an injection of cash - tapi sebagai balasannya kenalah bagi dorang kepentingan dalam syarikat.
Ini standard lah. Duit dia bagi, dah tentu dia mahukan sesuatu.
Kalau aku, ok je sebab aku memang suka buat kerja.
Dia nak jadi Chairman, I no hal.
Janji kekalkan aku as CEO supaya senang aku run company.
Kau inject je duit, pandai-pandailah nanti aku nak expand the business.

Kawan aku buat bisnes dapat capital injection a few hundres thousands dari majikannya sendiri.
Macam-macam dia buat dengan duit tu - sewa premis, renovate, sediakan merchandise untuk customer, travel the nation untuk promote produk tak risau nak claim sebab duit company banyak.
Dan dia berjaya create revenue sampai millions.
Ini satu contoh bagus menggunakan capital injection dengan cara yang betul.
Tapi kebanyakan orang taknak cara ni.
Sebab, tak boleh 'merompak' duit dari company.
Bila ada capital injection, duit takleh ambil sesuka hati, duit tak boleh belanja sesuka hati, nak increase gaji pun kena dapat kelulusan BOD.
Tak best katanya, penat-penat buat kerja tapi duit takleh enjoy.

Aku lebih suka ada capital injection berbanding pinjaman.
Sebab at least expenses untuk tahun seterusnya dah secure sebab duit ada orang lain pump every year.
Hujung tahun bentang belanjawan kat BOD.
List apa plan kita tahun depan, berapa banyak tempat kita nak tour untuk promote sales, berapa banyak gaji kita nak minta untuk pekerja, apa yang nak ditambah dalam ofis - semua bentang kat BOD.
Kita tinggal kerja kuat cari sales saja. Duit dia pump in.
Lega banyak wei.

Company aku buat masa ni, belum ada capital injection dari sesiapa dan belum ada keperluan untuk buat loan.
Semuanya bermula dengan modal RM40K 14 tahun lepas.
Tambah-tambah income syarikat dari sale.
Alhamdulillah, tak banyak. Tapi ada.
Kalau perlu capital injection, aku harap En Wan inject.
Yang ni kalau inject duit takyah ajak meeting. Ajak mating je. Eh.