2022-02-14

Langkawi - nak tengok Redza graduate.


Dah lebih seminggu aku balik dari Langkawi jumpa Redza, rupanya aku tak update kat blog lagi.
Semalam ada yang DM "Bila Kak Di nak tulis pasal Langkawi?"
Aku macam..oh aku belum update lagi eh? 😆.
Bila ada macam-macam akaun media sosial ginilah jadinya.
Dah up gambar 2-3 keping kat IG, terus terlupa nak update blog.
Rupanya tak memadai ya gambar 2-3 keping tu? Hahaha.

Trip ke Langkawi hari tu cuma 1 malam je.
Bukan bercuti. Datang nak tengok anak je.
Macam korang tiap-tiap bulan jenguk anak kat asrama.
Kitorang ni anak over the sea, tak dapek nak pergi tiap-tiap bulan.
Maka, pergilah bila ada hal-hal penting, contohnya, nak hantarkan songkok and kain sampin.
Kitorang pergi 4 Feb, sebab patutnya 5 Feb tu majlis graduation Redza.
Memang dari awal tau dah itu majlis tertutup, parents tak dijemput datang atas faktor Covid-19.
Tapi En Wan nak sangat tengok anak dia pakai jubah graduation, dapat tengok dari luar pagar pun takpelah.
Saja, nak suka-suka tengok anak.

Cikgu and parents dah buka order kat whatsapp group untuk beli graduation bouquet.
Sekali aku terperasan yang tarikh graduation 6 Feb, tunda satu hari.
Tiket dah beli. En Wan kata takpelah, pergi je.
Nanti kita cari Redza kat masjid sebab kebetulan kitorang gerak Jumaat pagi.
Sempatlah nak gi cari dia kat masjid.
Dapatlah pass kat dia kain sampin and songkok untuk pakai hari majlis.

Bertolak dari rumah pukul 5am. Drive sendiri je kat airport, senang.
Tinggalkan kereta kat situ satu hari.
Takyah kalut nak tunggu grab atau taxi.
Lagipun kalau nanti balik dengan kereta sendiri, boleh singgah mana-mana.
Alhamdulillah, segalanya smooth.
Keluar awal, takdelah terkejar awal.
Tau je lah kan, KLIA2 punya pintu jauh mana.
Menapak melintas jambatan tu.
Sempatlah aku lepak dalam surau 20 minit lebih awal tunggu Subuh. Surau pun takde orang.

Flight pagi smooth.
Bertenang-tenang aku kat atas tu dapat settlekan 1 juzuk kau.
Dasar penakut.
Kalau tak, aku bukannya boleh tidur pun.
Baik aku cari benda untuk dibuat nak distract minda aku dari berimaginasi yang bukan-bukan.
Dari airport terus breakfast kat Nasi Dagang Pak Malau.
Punyalah berkali-kali aku dok pulang balik pulang balik ke Langkawi, inilah first time aku datang sini.
En Wan kalau pergi Langkawi sorang-sorang dia singgah sini.
Dengan aku dia tak bawak sebab dia kata aku cerewet takut kucing.
Tapi hari tu takde kucing, kalau ayam bersepah.

Kitorang sampai ni masih tak ramai orang.
15 minit lepas tu, full takde seat sampai orang menunggu.
Memang semua turun flight pakat breakfast sini terus agaknya.

Kaunter nasi dagang ni macam kaunter nasi dagang Masjid Kinrara Puchong.
Ginilah pesennya, dengan periuk-periuk bersusun macam ni. Tinggal pilih je nak apa.
Tapi kat sini ada lauk kuah nasi dagang daging.
Selalu orang makan nasi dagang dengan ikan je.
Tapi kat sini ada lauk daging.
Aku ambik daginglah, apa lagi.
En Wan nasi dagang original makan dengan ikan.
Rayyan tak reti makan nasi dagang, dia always nasi minyak lauk ayam.

Yang bestnya kat sini kuih-muih sangat banyak.
Terus aku macam "Ini kalau Mak Aji ada sekali, tak habis dia menapau ni".
Tapi ni je gambar kuih aku sempat snap. Ada banyak lagi sebenarnya.

Mak Aji cukup suka kedai yang ada kuih-kuih melayu macam ni.
Tu pasal kalau pi JB, balik-balik kitorang makan kat Sedap Corner sebab situ kuih-kuih melayu sangat banyak.
Mak aku enjoy makan kuih-kuih melayu ni.

Hari tu aku sempat ambik karipap kentang je.
Lepas tu orang dah ramai kerumun-kerumun aku dah macam risau nak tempuh orang ramai.
Dia menjak semua dah cucuk vaksin ni, dah tak berapa nak kisah bergesel badan.
Asal tak sentuh mata and hidung je kekdahnya.
Yang penting mask on, ya. Mask jangan tanggal.

Ini menu utama di sini.
Nama pun Nasi Dagang Pak Malau, kalau datang sini hanya nak pekena kuih, memang tak kenalah.
Mestilah makan nasi dagangnya.
To me, nasi dagang dia boleh makan.
Aku pernah makan nasi dagang yang lagi sedap dari ni.
Tapi oklah nasi dagang Pak Malau ni. Boleh datang lagi.
Insyallah next month kitorang ke Langkawi lagi untuk ambil Redza balik for good, bolehlah singgah sini lagi.

Yang bonus kat sini dalah view belakang tu.
Cantik and kedesaaan makan tepi sawah.
Instagrammable sungguh bergambaq makan dengan pemandangan sawah.
Kan rare tu.

Ini Pak Malaunya, siap bertanjak bagai.


Lepas makan, En Wan pujuk aku pi naik bot.
Aku dah berapi dalam kereta. Pung pang pung pang aku bancuh.
Baru turun flight, dah suruh aku naik bot.
Aku mikir nak kena naik flight pun sampai takleh tido.
Baru je aku nak bertenang, dah suruh aku panjat bot pulak.
Memang memintak aku bancuhlah, kan.
Dia kata "Kita gi tengok dulu, kalau tak ok, takyah naik".

Ajak aku pi sini. Paradise 101 Langkawi .

Situ je pun pulaunya. Naik bot 2 minit je.
Kecoh lebih mak kau ni, Rayyan.

Oklah, kali ni aku naik bot dengan tak gabra lansung sebab yang pertamanya, dekat sangat.
Yang keduanya, tak dilambung ombak lansung sebab ombak tak masuk pun kawasan ni dek kerana ada pulau lain kat depan tu.
Kawasan pantai yang bot lalu ni airnya tenang.
Pantat kau takkan melambung-lambung atas bot.
Aku bukan apa, pengalaman naik bot ke Pulau Redang dulu buat aku tobat nak pegi lagi.
Tak pegi lagi Pulau Redang tu pun takpelah.
Melambung-lambung pantat aku, ombak bantai kaw-kaw.
Habis keluar segala zikir, azan.
Penumpang dalam bot tu lagi seram tengok aku menjerit dari tengok ombak. Kahkahkah. Gasak kau situ.

Apa ada sini?

Kalau korang jenis enjoy beach, datang sini.
Kalau sesaja nak datang tapi tak mandi, tak main jetski, tak payah datang.
Macam aku datang sini, bukan buat apa pun. Ambik gambar je.
Makan pun tak sebab awal sangat sampai, cafe tak bukak lagi.

Tiket kau masuk ini bersekali dengan voucher buffet (lunch).
Tapi bukan makan free dengan voucher tu, kena top up sikit lagi kat dalam tu.
Voucher tu berapa ringgit je dia bagi.
Kau kena top up kalau nak makan nanti.
The thing is, kalau kau nak makan ala carte walaupun air, takde ya.
Kau kena makan buffet juga.
Pandai gak dia buat pakej gini.
Nak tak nak, orang kena top up juga duit untuk makan buffet.
Kitorang hari tu bukan taknak top up, tapi nak kejarkan pi jumpa Redza kat masjid, makanya, voucher tu burn begitu saja.

Banyak juga spot cantik-cantik untuk bergambar.
Tapi hari tu aku takde mood sangat nak bergambar.
Panas terik (walaupun panas pagi). Aku takut aku migrain je nanti kena panas-panas ni.
Jadi, aku banyak menyorok kat tempat redup.
En Wan and Rayyan je lah yang merayap banyak untuk bergambar.
Ramai yang datang situ sebab nak mandi and main.
Laut air tenang, memang best la nak berjetski and mandi.
Silakanlah pergi kalau datang sana.
Aku lupalah tiket berapa harga. Tak mahal pun.

Kesian En Wan, nak ajak bini ambik gambar sama-sama pun kena merayu-rayu.
Aku bukan taknak, tapi nak preserve kepala aku dari kena migrain attack.
Ni masih pagi, panjang lagi hari nak tunggu ke malam.
Aku kalau dah kena sakit kepala, satu hari tu kira gone, ya.
Melepek muntah belahak siap. Karang tak jadi apa nanti.
Tapi aku ambiklah jugak, buat syarat bukti dah sampai.

Dulu, masa aku kerja sales, ke sana sini everyday sampai lebam kulit aku kena panas, boleh dikatakan pain killer sentiasa ada dalam handbag.
Asal sakit kepala je, aku telan sebiji.
No choice, kalau tak, aku takleh buat kerja.
Kadang-kadang aku telan Tramadol. Ini power punya ubat.
Now dah tua-tua ni, banyak memerap kat rumah je.
Tak kuasa aku nak mencekik pain killer je.
Tu pasal kalau nak ajak aku berjalan tu ada sikit payah.
Aku taknak ruin orang punya program kalau sakit kepala aku datang.
Adalah lebih baik, korang je pegi berjimba, aku lepak dalam bilik pun takpe.
Tapi bagus juga tau gini, ada hikmahnya.
Cuba kalau aku kebal panas, mesti aku masih seperti dulu, tukar 2 piece terjun dalam laut. Hahaha.


 

Ini video sempat En Wan ambik dalam perjalanan dari pulau Paradise kembali ke tanah besar.
Orang lain pergi pagi balik petang, kitorang 1 jam je dah patah balik.

Lepas tu terus ke mall untuk shopping barang Redza.
Dah alang-alang ke sana, dapatlah belikan dia barang sikit.
Budak-budak ni takleh outing, semua barang kena melalui ko-op.
Apa yang ada kat ko-op boleh beli di sana, kalau takde boleh request.
Si Redza ni jenis tak kisah. Nak tunggu dia men-request memang taklah.
Apa yang ada kat ko-op tu dia beli. Yang takde, dia buat diam je.
Dalam hal ni, menyenangkan kerja aku.
Hari tu bapak dia cakap meh sms Redza dulu tanya apa barang dia nak.
Aku cakap "Tak payah. Kalau ditanya, semua benda dia kata tak payah. Dia yang betulnya, belikan aja. Hantar".

Hari tu belikan biskut-biskut, jajan, maggi, Milo, susu low fat, shampoo, sabun, sabung basuh, toiletries, dan segala tok nenek yang aku rasa dia perlukan.
Kalau tanya dia, memang semua dia kata taknak.
Cuba kalau dibelikan, dia takkan kata apa punya.

Lepas shopping try call Redza tanya ada kat mana.
Dia kata now dah siap-siap tunggu bas.
Maka kitorang terus ke masjid. Tunggu dia kat sana je.

Alhamdulillah, dapat jumpa Redza.
Sardin je anak aku turun bas dengan tak pakai mask, tak bawal sejadah.

"Ma, ada mask lebih tak? Mask Redza tak tau jatuh kat dalam bas tak jumpa"

"Abis, sejadah mana? Tak bawak?"

"Lupa"


Nasib baik bapaknya dah prepare bawak sejadah siap-siap dari rumah.

Sejuk hati tengok anak-anak ni gi bersolat kemain smart dengan bersampin lengkap.
Baju putih Redza pakai tu adalah baju yang sama dia pakai lusanya (Ahad) masa graduation.
Betul-betul tak kisah budak ni tau.
Baju skolah pun ok, janji baju melayu konsepnya.

Budak-budak ni solat Jumaat tak masuk dalam, semua di luar.
Aku rasa dia nak bagi gap supaya tak berada dekat dengan orang luar.
Dorang kan memang terkurung dalam skolah, jadi bila sesekali keluar agak berisiko juga.
Maka, dorang tetapkan budak-budak ni solat di anjung.
Tapi, Redza hari tu mencilok masuk dalam masjid sebab nak solat sebelah bapak dia.

Ingat nak pass barang-barang beli tadi dengan dia terus kat masjid, tapi dia kata mintak kitorang pass kat depan pagar skolah.
Jadi, lepas solat, dapatlah jumpa dia lagi kat sekolah pulak.
Mak bapak hanya depan pagar saja, ya.
Tapi sempat jugak bergambar. Nasib baik guard baik.
Sekian sajalah sesi berjumpa Redza.
Takpe, lagi sebulan lebih je lagi. Lepas tu kita ambik dia bawak balik terus.
Tak sangka Redza tak sampai 2 bulan lagi dah nak habis sekolah.
Rasa macam baruuuu je aku dengar dia baca buku tadika "This is my penily. I love my penily". *nangis*

Lepas tu terus pi makan. Dah nak pukul 3pm tak lunch lagi.
Ini kedai feveret. Rasa dah banyak kali aku letak gambar aku makan sini.
Nama kedai ni HIJAU kalau tak salah.
Sini lauk-pauk banyak. Dan yang best ikan-ikan bakar dia banyak jenis.
Aku macam biasa, akan sauk siakap dulu.
Kuah asam dia mahvelles!
Walau dah nak pukul 3pm, lauk-pauk masih banyak pilihan.

Lepas makan barulah check in.
Aku macam biasalah, no idea mana tempat aku bakal stay ni.
Tapi En Wan berani-beranilah nak buat lawak dengan aku stay tempat merepek-repek, memang aku keluar tido hotel lain.
Nasib baik hotel ok.

Kitorang stay Ocean Residence.
Hotel ni kalau tepi jalan memang tak nampak. Dia ke dalam sikit.
Jalan masuk pun kecik je macam lorong.
Tapi tetiba kau nampak gah pintu masuk Ocean Residence.
Macam ada di suatu kawasan yang lain. Gitu.

Kat sini ada villa, ada cabin house dan ada long house.
Long house ni umpama bilik hotel.
Kalau villa and cabin house ada siap dining area, and hall.
Aku datang 3 beranak je, sesuailah ambil long house.
Long house dia konsep bukak sliding door terus terjun masuk pool.
Ni kalau datang satu famil besar dengan adik-beradik ambik sampai 5-6 bilik, pool tu consider korang punyalah.

Selain dari pool long house ni, ada infiniti pool juga kat area villa.
Villa takde 'private' pool macam long house. Kalau nak mandi kau kena datang infiniti pool.
Macam long house ni best sebab pool betul-betul depan bilik kau.
Nak mandi sampai tengah malam pun takde sape halau.

Ini tugas aku kat sana - mengambil gamba dua beranak ni berendam dari hujung ke hujung.
Selebihnya hanya lepak dalam bilik tengok TV dan makan.

Harga bilik RM300+ untuk satu malam.
Bilik dia kecik je, and very basic.
Almari pun takde, just tempat nak menggantung baju.
Tapi iron and board semua ada dalam bilik.
Hari tu kitorang ambil extra matress. Matress ya, bukan katil.
Sebab bilik kecil, tak muat nak masukkan extra bed.
Masuk bilik tu kitorang kena re-arrange perabot sebab nak muatkan tilam and sediakan space untuk solat.
Bilik air takde bathtub.
Nak buat apa bathtub kalau ada 'private' pool, kan.
Tapi shower dia lebat betul. Puas mandi.
Yang penting, ____________ [sila isi tempat kosong, 5 markah].

Dua beranak tu lepas berendam, masing-masing terbongkang sampai Maghrib.
Lepas solat baru keluar dinner.
En Wan dah plan nak makan kat Telaga Seafood, di Pantai Cenang.
Aku yang malasnya masuk Cenang ni, HAZABBBB dengan umat.
Musim-musim penyakit ni, risau juga nak bersesak-sesak, tapi kena hati-hati je lah.
Tempat parking, kalau kau nak park tepi-tepi jalan depan kedai tu memang kirim salamlah.
Tapi takpe, dorang ada sediakan tempat parking orang awam. Besar kawasannya.
Cuma kena menapaklah jalan kaki untuk ke kedai yang korang nak tuju.
Kalau jenis kaki masih larat nak berjalan jauh, takpe.
Dapat yang tak larat nak menapak, memang letih.
Tapi sebenarnya bila kau berjalan kaki kat situ tak terasa jauh sebab kiri-kanan kedai meriah-meriah.
Kau ralit dengan kedai kiri kanan tau-tau dah sampai Telaga Seafood.

Orang memang ramai kat dalam ni. Tapi, tempatnya besar dan banyak juga meja.
Hari tu kitorang tak tunggu lama, 5 minit je dah dapat meja.
Ada live band sekali dalam ni. Ikan boleh pilih sendiri, jangan risau.

Pilihan seafood sangat banyak. Cuma hari tu ikan kerapu takde.
Takpe, siakap ada.
Makan 2 orang je, tak enjoy sangat sebab tak banyak makanan boleh order, takut tak habis.
Rayyan nak makan chicken grill.
Jadi, aku berdua je dengan En Wan nak meratah ikan siakap ekor, udang goreng tepung and tomyam campur.
Nak order lobster takut tak terabis pulak.
Dilema betul kalau makan berdua.
Tekak nak makan macam-macam tapi takut tak habis.
Kalau makan ramai-ramai tu at least bolehlah cuit sana sikit, cuit sini sikit.
Overall makan malam hari tu RM150 saja. Oklah, price dia.
Cuma, lambat sikit makanan sampai. Ramai orang agaknya.

Esoknya check out awal sebab En Wan ajak merayap ke Impian Suri.
Laki aku ni lagi kuat berjalan dari aku tau.
Dia yang pujuk aku masuk sini.

"Taknak beli periuk?"

"Hari tu kata kuali dah rosak, pegilah beli".

"Ni alas periuk panas, taknak beli?"

"Pyrex ni kata hari tu nak beli yang kecik-kecik, banyak ni. Belilah".


Ya Allah. Aku ni bukan taknak beli.
Tapi memikirkan nak mengangkut naik flight.
Airport sini bukan macam KLIA tu.
Sini nak kena angkut segala tok nenek barang panjat tangga flight tu.
Tapi buat syarat dah masuk kedai, belilah jugak sikit.
Selebihnya simpan bulan depan last gi Langkawi ambik Redza bawak kereta baru aku borong.

Kali ni tak pergi Haji Ismail pun sebab masa beli barang-barang untuk Redza, dah sekali beli coklat kat situ.
Coklat pun aku dah tak tau nak beli apa.
Rasa macam kerap nau pulak beli coklat kat Langkawi.
Kalau Redza balik bercuti pun akan kirim coklat.
Yang makan kat rumah ni tak ramai pulak tu.
Nantilah, bukan depan beli banyak sikit.

Flight balik on time, alhamdulillah, cuma experience dia tu yang aku tak berkenan.
Rupanya musim angin tengah kuat.
Dari take off atas landasan lagi kapal tu dah ke kiri ke kanan ke kiri ke kanan.
Masa naik lagilah ke tepi ke tengah kejap kejap terasa kapal terturun.
Ya Allah, tak tenang betul aku nak menghabiskan 1 jam perjalanan.
Benda-benda macam ni yang jadi punca aku bergaduh kalau nak berjalan.
Faktor persekitaran telah menyumbang kepada pergaduhan suami isteri. Kahkahkah.

Tuan besar sedang menikmati Stabucks sementara tunggu amma habis solat.