2021-07-29

Kenapa masak sikit.


Percaya atau tak, aku kerap dapat pertanyaan kat IG, kenapa aku masak sikit.
Kau ada sampai portion masakan pun diperhatikan? Ada?
Takde, kan?
Aku adaaaa. Hahahahah.

Aku masak almost everyday, tetapi hanya sekali.
Kalau breakfast kadang-kadang je masak. Selalunya beli.
Breakfast hanya dibuat untuk Rayyan, itupun En Wan yang prepare.
Malas nak masak 2-3 kali sehari.
Kalau rajin baru aku masak banyak kali, tapi selalunya tak rajin.
Benda ni ada kait rapat dengan kebiasaan semasa kecik.

Masa kecik dulu, Mak Aji masak sekali sehari je.
Dia masak pagi-pagi sebelum Subuh.
Itulah lauk lunch, itu jugalah lauk dinner.
Kalau ada tambahan time dinner pun, sayur.
Kalau lauk-lauk utama memang dah masak siap-siap dari pagi.

Ada kebaikan cara tu.
Mengajar kitorang adik-beradik makan beringat sikit belakang-belakang.
Sebab dah tahu mak kau memang takkan masak lain dah untuk hari tu, jadi apa yang ada dalam periuk, pandai-pandai tinggalkan untuk makan malam.
Atas faktor tak berapa kaya, aku dah terbiasa dengan lauk-pauk yang small portion.
Ikan goreng tu kadang 3 ekor je.
Ibal tak makan ikan.
Ima memang out of the storylah sebab dia sekolah asrama.
Jadi, tinggal aku je kat rumah nak mentekedarah ikan goreng tu.
Memandangkan ikan tu ada 3 ekor je, aku patahkan dua, sebelah aku makan lunch.
Nanti lagi sebelah makan malam.
Lagi 2 ekor tu tinggalkan untuk mak bapak aku.
Even mak aku masak asam pedas ikan tenggiri pun, aku tak biasa ambik sekeping walaupun ikan tu kecik.
Tetap ambil separuh je.
Sebab seram, nanti mak aku balik takde benda nak makan.
Kalau dia merajuk lari kat Batu Belah Batu Bertangkup takpe (hahahah).
Dibuatnya aku kena libas karang, takde ampun dapat 3 calit pangkat sarjan kat betis.

Kebiasaan ni membawak sampai ke sekarang.
Dulu, masa awal-awal kawen, sementara nak menunggu panggilan interview kerja, aku duduk rumah je tak keje.
Ada la kot dalam 2-3 bulan gitu.
Dalam tempoh tu memang tak buat apa sangat, kecuali En Wan hantar aku belajar kereta.
Selebihnya aku macam maid - kemas rumah, masak, membasuh, mengemop.
Celik mata, itu je lah kerja aku.
Tapi bab masak tetapppp sekali sehari.
Takde de aku raji nak masak siang lain malam lain.
Kalau En Wan balik lunch (which is jarang), baru aku masak 2 kali.
Kalau tak, sekali je.
Dan aku pun tak makan lunch, tunggu makan dinner sekali harung dengan En Wan.

Bila dah ada bibik barulah rumah aku ada berjenis-jenis lauk.
Bibik rajin masak 2-3 kali sehari.
Kadang tu dia yang kejap-kejap tanya aku nak makan apa lagi.
Agaknya bosan tak tau nak buat apa.
Bila dah takde bibik, aku take over dapur, maka kebiasaan lama kembali lagi, iaitu masak sekali sehari.

Punca aku masak sekali sehari adalah sebab kat rumah ni rakyatnya tak berapa nak makan nasi.
Mok makan nasi, tapi tak makan lauk-pauk.
Lauk dia sayur je.
Yang Redza and Rayyan bukan hantu nasi.
Masing-masing suka mee, atau spageti, atau macaroni, atau kek-kek.
Jadi, aku ni kalau masak lauk untuk aku and En Wan.
Kau imagine nak masak lauk-pauk untuk 2 orang makan, berbaloi tak?
Tak berbaloi okeh.
That's why aku macam malessssss je nak masak.
Walaupun almost everyday memasak, tapi lauk tu simple-simple je.
Takde de nak nampak aku masak lauk rare yang beria sebab takde sape makan pun.

Memandangkan makan 2 mulut, portion masak pun kecik.
Kadang aku goreng ayam 4 ketul pun tak habis, membawak sampai ke besok.
Last-last ayam tu aku carik-carik buat nasi goreng untuk breakfast esoknya.
Tu pun kadang nasi goreng tu tak habis.
Nak habis camana kalau balik-balik yang makan aku and En Wan je.

Menu aku kalau memasak (follower IG mesti perasan benda ni), balik-balik sup, kari, lemak cili api, asam pedas, masak kicap, sup lagi, kari lagi, sup lagi, lemak cili api lagi....pusing-pusing itu je.
Takde de kau nak jumpa aku masak kerutup ke, kuzi ke, laksa Penang ke, rendang ke...memang tak.
Sebab renyah berejam kat dapur tapi nak makannya 2 orang. Memang tak lah.
Terasa nak makan laksa, order.
Terasa nak makan nasi Arab, order.
Terasa nak makan nasi beriyani, order.

Walau macamanapun, aku suka shopping barang basah.
Walaupun lauk aku balik-balik itu je, tapi bila barang basah ada, sedikit sebanyak mendatangkan kerajinan nak masak.
Mak-mak kan memang macam tu, masak tak masak belakang cerita.
Yang penting bahan nak masak ada.
Kalau tetiba saka memasak sampai, barangnya dah ada.
Jadi, masa atau tak, ayam tetap sekali beli 2 ekor.
Sotong sekali beli 2kg.
Udang sekali beli 2 jenis.
Ikan tenggiri tetiap minggu wajib beli sekor.
Beli je dulu, bab masak kita pikir kendian.

Sebut pasal ikan tenggiri, pernah orang tanya aku pasal ni.
Dia kata tetiap minggu mesti lauk aku ada ikan tenggiri.
Yup, betul. Ikan tenggiri ni must have.
Orang kata ikan ni ikan orang have-have, sebenarnya tak, ya.
Ikan tenggirilah paling jimat.
Aku kan kalau malas nak beli ikan yang lain, ikan tenggiri mesti mau ada.
Sebab dengan ikan tenggiri aku boleh buat fishball soup, bergedil ikan, asam pedas ikan, ikan masak asam, masak balado, kari, masak kicap, sweet sour, singgang....banyak macam jenis.
Kalau ikan lain mana boleh buat fishball? Mana sedap buat bergedil?
Tak percaya, kau beli sekor ikan tenggiri and masak pelbagai resepi.
Ikan tenggiri ni tak macam ikan lain.
Rasa ikan tu berubah ikut resepi.
Kalau ikan cencaru kau masak kari atau balado, rasanya sepesen je.

Hari tu ada follower kat IG cakap aku kerap beli kek kat Gula Cakery.
Ya, memang setiap minggu ke sana.
Kalau tak ke sana pun, aku tetap beli kek di tempat lain.
Sebab Redza suka makan kek.
Dia kalau dah jumpa kek, memang bernyawa.
Sekali harung kalau beli kek kat Gula Cakery tu 10 kotak terus.
Simpan kat freezer, nak makan baru alihkan ke fridge supaya tak beku.
Kalau Rayyan pulak suka makanan yang ringan-ringan macam roti canai, roti telur (roti Gardenia celup telur), kepok lekor, nugget, fries, spageti.
Nak suruh Rayyan makan nasi macam nak bagi makan ubat gegat!

Jadi, kalau tengok kat IG aku apesal masakan aku cuma secubit-secubit je, maka itulah explanationnya.
Orang je sampai 5 dalam rumah ni, tapi yang makan nasi berlauk 2 orang.
Itupun kalau siang dah makan lauk A, malam En Wan takleh makan lauk A.
Selalunya malam beli - kuey tiaw, nasi lemak, roti cheese naan, burger atau kalau dah malas sangat masak maggi je.
Nama aku nak masuk dapur bersilat lagi sekali, kem salammmmm.

Ok, now aku nak turun masak.
Sambal udang, sayur kobis goreng, sup ikan merah and goreng ikan masin.