2022-07-21

1992


Tahun 1992 aku Form 3.
Takde masalah kalau terjaga pada tahun ni semula.
Aku memang suka pun life 90an.
Tak mewah, tapi cukup.
Apa yang aku perlu, ada. Apa yang aku takde, aku tak perlu sangat.

Tahun 1992, zaman rock kapak.
Masa aku tengah angau dengan Bagio Damasutra.
Takde duit nak beli kaset, tapi takpe. Rumah ada radio.
Boleh tunggu Pilihan Bersama pukul 9pm orang hantar request lagu-lagu best.
Umpama Mimpi Dalam Mimpi tu boleh dikatakan hari-hari keluar Pilihan Bersama.
Aku hanya perlukan kaset kosong untuk rekod lagu-lagu sedap.

Tapi, kaset kosong takde.
Duit nak beli kaset kosong pun takde.
Bak kata aku tadi, apa yang aku perlu, ada. Kan?

Jadi, apa yang ada?

Ya, benarrrr.
Kaset-kaset lama bapak aku. Kahkahkah.

Bapak aku simpan banyak kaset kat kabinet bawah.
Kaset-kaset lama macam kaset Ottawan, Bee Gees, Engelbert Humperdinck.
Dalam timbunan kaset-kaset tu ada la beberapa kaset yang dah lama, yang aku tak pernah dengar bapak aku pasang pun.
Antaranya kaset Khatijah Ibrahim, album inggeris dia tajuk Everyday Girl.
Korang pernah dengar lagu ni? Pi dengar. Sedap.
Lagu ni sampai sekarang ada dalam playlist aku.

Aku pun apa pagiiii.
Aku ambik kaset Khaty tu padam buat rekod lagu-lagu dalam Pilihan Bersama.
Alhamdulillah, aku selamat sampai sekarang.
Bapak aku tak tau pun kaset tu aku dah lenjan buat rekod lagu Damasutra.
Silap-silap dia pun terlupa kewujudan kaset tu.
Happy betul aku dapat rekod lagu sedap-sedap dalam satu kaset. Bijak kan aku? 😆

Tapi tu lah, dah rekod lagu sedap tapi nak dengar kena ikut time.
Sebab radio dalam rumah aku dulu ada satu je.

Macam ni la rupa radio aku waktu tu, tahun 1992.
Setiap malam, lepas dengar Pilihan Bersama, aku kena bawak turun radio ni semula ke dapur.
Karang esok pagi mak aku bangun nak dengar radio takde, masak aku.
Balik dari sekolah dapatlah dengar kaset sambil mengemas rumah sebab mak bapak aku tak balik kerja lagi.
Dalam pukul 4pm macam tu dah kena stop dengar kaset, karang mak aku balik dia raba radio panas, panjang tazkirah dia.
Malam, baru boleh guna balik radio sebab malam mak bapak aku tengok TV.
That's why aku boleh dengan Pilihan Bersama dengan tenang.
Nampak macam aku masuk bilik awal sebab nak study, padahallll.

Tahun 1992 boleh dikatakan aku "budak baik".
Tak banyak buat hal kat sekolah. Banyak buat hal sendiri.
Maybe environment aku ketika tu buatkan aku jadi baik sikit.
Tahun 1992 aku masuk kelas khas.
Kelas budak-budak terpilih orang kata.
Semua kat dalam tu budak bijok-bijok. Aku je yang banyak main.
Duduk dalam kelas budak suka belajar, dengan aku-aku sekali jadi jem terpaksa belajar.
Dulu aku keluar TKC sebab tak suka environment macam ni, last-last Form 3 dapat environment yang sama.
Bezanya, kali ni tak duduk asrama, boleh balik rumah.

Tahun 1992, lepas SRP baru banyak main.
Sebab dah takde apa nak belajar, tapi masih kena datang sekolah, jadi cikgu-cikgu bagi kitorang task yang best iaitu - cat mural.
Meriah betul dinding sekolah waktu ni.
Dinding depan, dinding tepi, dinding belakang - pantang ada kosong cikgu suruh cat.
Waktu ni cikgu yang handle adalah Cikgu Nizam.
Dia cikgu Pendidikan Seni yang ajar dari Form 1 sampai Form 3.
Aku tak sure masa Form 4 dia ada lagi ke tak sebab dah takde subjek Pendidikan Seni dah waktu tu.

Cikgu Nizam ni ada bilik sendiri iaitu kelas Seni.
Dia tak duduk bilik guru.
Kalau budak-budak perempuan lain lepak bilik dia, dia akan suruh keluar.
Tapi kalau aku, tak. Dia tak kisah aku lepak dalam tu.
Aku tau sebab apa.
Sebab, budak-budak perempuan lain tu semua lawa-lawa.
Cikgu takutlah nanti guru-guru lain cakap apa pulak sebab Cikgu Nizam bujang masa tu.

Aku tahu kenapa aku bebas melepak kat dalam tu.
Yang pertama, sebab aku selalu tolong Cikgu Nizam melukis.
Gambar yang aku bulat tu, hasil kerja aku.
Ada 2-3 lukisan aku yang dia tampal kat dalam bilik dia.
Bukan lukisan kerja sekolah tapi lukisan yang aku saja-saja conteng masa melepak bilik dia.
Kiranya aku dah jadi macam assistant dia untuk melukis demi nak cantikkan bilik Seni.
Kebanyakan lukisan dalam bilik cikgu bukan lukisan student tapi hasil lukisan Cikgu Nizam sendiri.
Dia sangat-sangat pandai melukis.
Maybe cikgu tengok aku suka melukis kot, jadi dia benarkan aku melepak and menconteng kat dalam tu.
Gambar atas tu adalah gambar lepas SRP.
Pergi sekolah pakai baju biasa with seluar track sebab nak mengecat dinding.

Yang kedua, sebab aku tak cantik.
Takde siapa nak gossipkan Cikgu Nizam dengan aku. Kahkahkah.
Sebab tu cikgu selesa aku lepak dalam bilik Seni. Agaknyalah.

Masa ada pementasan Ibu Mertuaku, dari pagi ke lewat petang aku bersidai dalam bilik Seni siapkan prop.
Kau tau aku kena buat apa? Aku kena cat kubur!
Cikgu Nizam minta aku warnakan kertas surat khabar jadi seakan-akan warna tanah.
Surat khabar tu nanti dorang nak tampal kat permukaan kubur atas pentas.
Masa pementasan tu, semua orang kagum dengan lakonan pelajar.
Aku kagum dengan tanah-tanah kubur atas pentas tu.
Tak sangka real betul jadinya kubur tu. Kahkahkah.
Syabas Diana, syabas! *tepuk bahu sendiri*
Nak jadi pelakon tak dapat, cat kubur pun jadiklahhhh.