2021-04-28

Beribadah bersyarat


Selalu dengar orang kata “Tips nak berjaya kena amalkan ini”.
“Amalkan ayat ni..”
“Rajin buat solat ini..”
“Jangan kedekut sedekah hari-hari..”


Benar, impak ibadah sangat luar biasa....jika diamalkan DENGAN IKHLAS.
Bukan kerana niat nak sukses.
Manusia susah nak buat sesuatu dengan ikhlas.
Kita selalu meletakkan syarat.
Buat ini mesti dapat imbuhan ini.
Buat itu dapat upah itu.
Kalau aku buat ini, kau kena buat itu, baru fair.
Segalanya bersyarat.
Kadang-kadang sedang berdoa pun kita masih meletakkan syarat “Ya Rabb, aku dah solat, aku dah mengaji, aku buat apa yang Kau suruh tapi kenapa aku masih diuji bertubi-tubi?”

Maka tak hairanlah ramai yang cenderung share, kumpul dan tumpu pada mengamalkan ayat-ayat murah rezeki.
Kerana bila sebut REZEKI saja otomatik terbayang duit mencurah-curah.
Dalam tak sedar kita amalkan semua tu kerana bersebab.
Dan dah berjaya, kita jadi sangat yakin “Oh! Betullah tips ni sebab aku buat semua tu”.
Aku berjaya sebab jaga solat.
Aku berjaya sebab rajin puasa.
Aku sukses sebab baca Quran.
Aku sukses kerana sedekah tak tinggal.

Apakah yang tak berjaya tak pernah beribadah?
Betapa rendahnya erti ibadah ikut pemahaman kita.
Tidakkah rasa malu pada Rasulullah saw?
Baginda manusia yang paling dicintai Allah, siang malam solat sampai bengkak kaki, tapi masih hidup dalam kesederhanaan.
Jadi, sukses itu apa, ya?

Friends,
Sukses bukanlah dari seberapa banyak dunia yang telah kita raih.
Terlalu rendah rasanya jika ibadat diukur sebagai syarat sukses di dunia.
Mana rasa malu kita pada para sahabat Rasulullah, yang dah dijamin syurga tapi hidupnya di dunia sering tak bercukupan.
Kurang apa lagi ibadah mereka?
Sedangkan jika kita beribadat sepanjang hidup pun masih tak mampu nak tandingi ibadah mereka.

Hakikatnya segala yang kita dapat adalah kerana Allah berkehendakkan begitu, bukan kerana kita rajin amalkan itu amalkan ini.
Jangan sombong!
Allah beri kerana dia Maha Pemberi.
Kerana sifat Maha Pemberi itu maka tidak ada syarat - samada manusia itu beriman atau tidak, samada rajin ibadah atau tidak, samada kuat berusaha atau tidak - jika Dia mahu beri, surirumah yang tak ada sumber pendapatan tetap akan dapat rezeki, melalui suami.
Tetapi dek kerana Allah itu Ar Rahman dan Ar Rahim maka ada beza bila rezeki itu diberi kepada yang beriman atau tidak.
Yang kita nak kejar sekarang adalah ketika rezeki itu diberi dengan Ar Rahman dan Ar Rahim.
Tidak semestinya melimpah banyak tapi pasti barokah.

Allah tak suruh kita beribadat demi mengejar sukses kerana urusan dunia adalah hak Dia.
Allah minta kita beribadat kerana ibadah adalah HARGA MATI.
Sukses kita hari ni bukan kerana rajin beribadat tapi kerana rahmat Allah itu luas.

"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk BERIBADAT padaKu. Aku tidak berkehendakkan rezeki sedikitpun dari mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi rezeki" (Ad-Dzariyat).

Maka tujuan kita di dunia adalah melaksanakan ibadah.
Dan IBADAH tidak semestinya solat, mengaji atau sedekah.
Usaha juga ibadah.
Kerja juga ibadah.
Silaturrahim juga ibadah.
Malah, tidur juga ibadah.
Tidak ada janji bahawa yang bersolat pasti sukses di dunia dengan harta yang tak pernah habis.
Tetapi solat menjadi tujuan hidup di dunia kerana ia adalah ibadah, bukan kerana ia syarat sukses.

Menulis ni rasanya seperti tampar diri sendiri berkali-kali.
Tapi, masih tak sedar-sedar sedang mengulang kesilapan yang sama.
Berapa banyak solat, mengaji, puasa, sedekah yang dilakukan untuk tujuan dunia?
Termasuklah aku.
Bukan sikit-sikit orang yang kita dengar “Tengok orang tu. Sebab tu dia berjaya. Puasa Isnin Khamis tak tinggal. Kau kena puasa Isnin Khamis juga baru rezeki lancar!”

Lihat sekeliling kita, ramai yang menyarankan bersedekah untuk lancar rezeki, solat tahajud untuk sukses kerjaya, dan sebagainya.
Pemikiran sebegitu melekat dalam diri.
Maka tak hairan ramai yang susah istiqomah dalam urusan agama kerana meletakkan syarat sukses harus beramal soleh.
Bila dapat apa yang dihajat, happy.
Bila tak dapat, terus hilang konsistensi dalam ibadah.

Adakah kita tak boleh berharap begitu?
Boleh saja, tetapi teliti dan perbaiki niat.
Niat yang sesungguhnya berlandaskan tujuan utama kita diciptakan di dunia.
Aku termenung tadi bila buat kesekian kalinya membaca terjemahan ni:

“Barangsiapa menginginkan keuntungan akhirat, akan kami tambah keuntungan itu baginya, dan barangsiapa menginginkan keuntungan dunia maka akan kami berikan kepadanya keuntungan dunia dan tidak ada bahagian lagi untuknya di akhirat” (As-Syura).

Tujuan utama kita diciptakan di dunia adalah untuk beribadah dan tujuan beribadah supaya lulus ujian dunia dan sukses ketika mengharungi kehidupan setelah mati.
Tapi sayangnya kebanyakannya beribadah kerana mahu suskes hidup di dunia.
Kita merasa dengan meletakkan itu sebagai tujuan tak apa-apa kerana sambil menyelam minum air.
Dah alang-alang buat sebab nak rezeki banyak, sekali harung nanti dapat kebahagian di akhirat.
Soalnya, betul ke pemahaman begitu?

Cuba fahamkan kembali ayat tadi.

“Barangsiapa menginginkan keuntungan dunia maka akan kami berikan di dunia dan tidak ada bahagian di akhirat”.

Bukan ke itu maksudnya kalau tujuan sedekah untuk mendapat rezeki 10 kali lipat, dan ketika kita dah dapat rezeki 10 kali lipat maka tidak akan ada lagi bahagian kita di akhirat.
Manusia yang belum faham agama cenderung menfokuskan kehidupan di dunia, tidak peduli dengan kehidupan selepas mati, bahkan cenderung melupakan kematian.
Tapi kita, especially yang menulis ni, yang sedikit sebanyak dah faham tujuan hidup yang sesungguhnya untuk beribadah tetapi masih tertipu dengan godaan setan yang membelokkkan niat ibadah untuk tujuan dunia.
Padahal kalau niat benar-benar kerana Allah, kerana cintakanNya, kerana takutkanNya, maka Dia menjanjikan kesuksesan kedua-dua sekali - dunia dan akhirat.

Let’s perbetulkan niat ibadah kita kerana Dia, tidak ada syarat keuntungan.
Hanya semata kerana Dia.
Serahkan semua urusan dunia dan hasilnya kepadaNya.
Kerana Allah dah menjamin kecukupan kita di dunia tetapi tidak menjamin kehidupan kita di akhirat.