2020-09-16

Nak sangat staycation yang rare!


Tersebutlah kisah sebuah kejadian yang berlaku pada 15 September 2020, selepas breakfast di mamak, En Wan berkata "Terasa nak tidur hotel lah. Jom?"
Takde ribut, takde petir, tetiba ajak staycation 1 malam kat hotel.
Aku ok je, takde hal, cuma aku ada kemuskilan dengan perancangan adhoc macam ni.
Bukan aku hidup 19 hari dengan En Wan ni, dah 19 tahun dah pun.
Paham sangat dah perangai dia kalau buat agenda terkejut-terkejut macam ni, ujung-ujung memang mengejutkan sangat.
Lepas breakfast dia masuk ofis pagi tu dengan meninggalkan pesanan "Siap. Lepas Zohor kita gerak".

Aku pun sambung buat kerja macam biasa kat rumah, dah siap Zohor baru dia balik.
Masa ni dah siap pack baju segala, tapi aku masih lagi tak tau ke mana arah nak pergi ni.

"Tido mana?"

"KL lah".

Tapi dia tak nak bagitau lagi nama hotel.
Ni yang buat aku rengsa je.
Dalam kereta aku warning dia siap-siap, kalau dia bawak aku lagi pi hotel ceruk-ceruk, siap! Aku ambik grab, balik.

"Takkanlah. Abang tau taste awak macamana".

Dah sampai KL, dari laluan hiway, sampai laluan persekutuan, sampai masuk ke lorong kecik, hinggalah ke ceruk!
Aku dah panas hati dah ni.

"Tak, yang berahsia sangat ni, kita nak pi mana sebenarnya? Dah masuk Chow Kit bagai. Ni nak bawak pi Lorong Haji Taib ke apa?"

Nak bawak aku pi duduk Red by Sirocco rupanya.
Dari depan takdelah teruk sangat hotel ni, tapi aku tak berkenan persekitaran dia - kat ceruk-ceruk.
Ntah kenapa ntah dia ni suka nau bawak aku pi ceruk.
Aku bagitau kat dia aku tak suka persekitaran tempat ni.
Kalau aku masuk bilik nanti dan bilik tu tak kena dengan keperluan aku, aku keluar. Gasak kau situ.
Dia konfiden bilik yang dia pilih memang best.
Dia cakap request bilik sebelah President Room [sebelah je u olls, bukan bilik presidennya. Kahkahkah]

Dia suruh aku tunggu dalam kereta sebab nak settlekan check in.
Dalam kereta aku gugel pasal hotel ni, oklah not bad. Rating pun tinggi.
Cuma persekitaran hotel yang tak menyelerakan, tapi bilik nampaknya boleh tahan.

Depan sikit dari hotel ni ada mall, lupa dah apa nama mall tu.
En Wan dah plan, lepas check in kitorang nak keluar makan kat mall tu, lepas tu balik semula ke bilik.
Lepas Isyak nanti keluar balik ke mall tu untuk midnight movie pulak.
Memang tak jauh sangat, boleh jalan kaki je ke mall tu cuma kau kena langkau ceruk-ceruk kedai je lah.
Dia punya plan tu macam dah susun baik dah.

Lama dia kat dalam hotel tu, sampai aku kena alih kereta 2 kali sebab block kereta orang.
Tapi aku malas nak kacau dia, karang bertekak pulak.
Lagipun nak berehatkan fikiran katanya, jadi aku nak duduk senyap-senyap membangkitkan mood bercuti.

Dia call "Kejap eh?"
Aku syak orang ramai check in, ok takpelah.
Dalam setengah jam lepas tu dia masuk kereta.

"Takpelah, Di tak suka hotel ni. Abang dah cancelkan".

Eh???

Aku "eh?" sebab pelik.
Sumpah pelik sebab En Wan ni bukan sejenis yang 'lembut hati' bab-bab ni
Belum pernah lagi kalau aku bertekak pasal hotel dia willing nak cancel booking. Tak pernah lagi.
Dia seboleh-boleh akan berkeras nak duduk hotel yang dia dah booked
Tapi semalam lain, dia cancelkan semata-mata kerana aku tak suka [??]. Uishh, lagi pelik!

After desak-desak barulah dia bercerita.
Masa masuk hotel tu, katanya lobby kosong. Jangankan kata guest, staff pun takde.
Kat front office ada PC je, tapi kelibat manusia takde.
Dia call hotel, ada orang angkat.
Orang tu suruh tunggu 10 minit.

10 minit??

En Wan kata kenapa lama sangat sebab dia block kereta orang kat luar, tak nak lama-lama sangat.
Kejap lepas tu staff tu sampai, dia say sorry and bagitau hanya dia sorang je yang bertugas hari tu.

Kau bayangkan DIA SORANG je staff hotel pada hari tu?

Rupanya hotel tu macam ada gaya-gaya nak tutup dah.
Most pekerja dah diberhentikan, dia adalah antara yang tinggal [entah-entah dia boss].
Bila dia cakap macam tu En Wan mula tak sedap hati.
Ye lah, kalau dah dia je sorang yang berkerja, apa nasib kitorang yang bermalam kat situ nanti.
Kalau jadi apa-apa ke, tak ke naya.
Jangan cakap la nak room dining, definitely out of the story dah.

En Wan tanya "Esok breakfast ada tak, sebab saya book sekali dengan breakfast".
Dia kata ada, tapi akan dihantar ke bilik.
Memang takde la aku nak percaya, entah-entah kau beli kat mamak depan hotel ni.

En Wan dah dihambat rasa bersalah tak nak menambahkan rasa bersalah kalau esok tetiba makanan yang sampai tak senonoh. Jadi, dia request untuk cancel booking.
Agaknya staff tu pun faham situasi hotel tak meyakinkan untuk accept guest, jadi dia benarkan En Wan cancel booking.
Lepas cancel booking, staff tu cakap "Nasib baik juga Encik cancel. Kalau tak, saya pun tak tau macamana nak kemaskan bilik encik nanti. Cleaner pun sorang je tinggal". 

Scary gila weh.
Aku dengar En Wan bercerita nak gelak pun ada, seram pun ada.
Aku usik dia "Staff tu sebenarnya wujud ke tak? Entah-entah abang cakap sorang-sorang tadi". Kahkahkah.
Wah, bukan main lagi Diana mengusik orang. Kena kat kau baru tau demam.

Rupanya itulah ceritanya yang buatkan dia cancel booking.
Aku dah agak dah, tak mungkin la laki aku nak kensel booking semata-mata bini dia tak berkenan.
19 tahun hidup bersama weiii, paham sangat dah perangai.

Lepas kensel booking, menggelabah nak cari new hotel.
Aku ajak dia duduk Ritz Carlton [kahkahkah].
Dia marah aku "Duduk setakat KL nak bayar mahal-mahal. Baik pi bercuti betul-betul".
Ok fine! Dah tu sekarang hotel mana kau nak bawak aku ni?

Percaya ke tak, En Wan mati-mati nak ajak aku duduk area Chow Kit/Kampung Baru?
Entah hape yang dia berkenan sangat nak duduk Chow Kit ntah. 
Nak mengimbau memori dengan awek lama ke hape.
Dia booked Hilton Garden Inn at Chow Kit.
Aku layankan je sebab dah nak pukul 5pm, penat dah aku tersadai dalam kereta ni.

Sampai area hotel, terus park kat basement.
Cari tangga ke lobby semua takde. I mean semua pintu ke lobby ditutup!
Eh takkan la aku kena keluar ke depan berjalan kaki ikut ram?
Aku pun call hotel, rupanya betul, semua laluan pintu ke lobby dari basement DITUTUP.
Guest kena panjat ram and berjalan kaki ke main entrance, boleh?
Eh bolehhhhhhhhhh. Apa salahnya.
Lalu berangkutlah kitorang dengan beg baju segala jalan kaki naik ram masuk ikut pintu depan hotel.

Lobby dia kecik je. Ini memang aku expect dah sebab nama hotel pun 'Hilton Inn' kot.
Jangan fokus kat Hiltonnya, fokus kat perkataan INN-nya tu. Hahahah.
Tapi yang buat aku macam "erghh" bila kat lobby ada satu rack, kat situ dia susun maggi, biskut, ubat gigi, and Durex.
Durex and maggi sama banyak.
Lantas aku terfikir - hotel di Chowkit + Durex - sesuatu sangat kan? Hahahaha.

Masa nak check in, aku terasa apesal lobby ni panas.
Slow-slow En Wan datang kat tepi aku "Tunggu kejap eh, ada trips [electrical shuts off]".
Terus aku pandang dia macam....tak settle-settle lagi ke dugaan kita hari ni?
Kat situ juga aku sembur kat En Wan.

"Kalau bawak Di pi Ritz Carlton tadi dah settle dah. Nak pi makan pun senang area situ. Nak shopping pun senang. Ni entah apa yang dia berkenan sangat nak duduk kat Chow Kit, tempat makan takde, nak berjalan pun jauh".

Senyap member kali ni. Jarang dia nak mengalah awal.
Ni kes memang rasa bersalah sangat lah ni.

Dapat bilik. En Wan kata dia boom Queen Deluxe facing KL Tower. 
Siap request tingkat paling tinggi. Nak sejukkan hati bini la tu.

Inilah bilik yang dia booked. Dalam gambar gini la rupanya.
Oklah lega sebab cantik. Bilik air pun see thru [motif??].
Tingkat 22, tinggi.
Masuk-masuk bilik, aku terkesima. Eh, apesal bilik ni kecik?

Kitorang dapat bilik single okeh!
Ini macam punya kecil katil, memang nak suruh aku tidur bertindih atas En Wan ke hape.
Aku tanya En Wan, kalau ginilah biliknya, baik kita balik sekarang.
Dia dah sepatutnya tahu syarat nak bawak aku tido hotel, hotel itu mestilah :

[1] Katil at least sebesar katil aku. Katil aku kat rumah king size. Kalau katil rumah aku lagi selesa, baik aku duduk rumah je.
[2] Bantal hotel mesti lagi selesa dari bantal aku.
[3] Toilet mesti ada hose.
[4] Aircond mesti at least setara sejuknya dengan aircond bilik aku.

Wow kemain demand lagi si Diana. Macamkan kau kluster kayangan!
Hahaha, jangan kecam dulu. Ada explanationnya.

Dia camni, kalau katakan keadaan terdesak contohnya tersekat kat jem berjam-jam macam tak nampak gaya traffik akan pulih maka terpaksa cari tempat tido untuk bermalam. 
Ok yang ni aku tak kisah macamana pun keadaan bilik kecuali, toilet mesti ada hose.
Tetapi, kalau kau plan bawak aku keluar dari rumah for saja-saja atau bercuti, lepas tu kau expect aku duduk di bilik yang kurang selesa dari bilik aku kat rumah, haaa yang ni aku tak boleh tolerate.
Baik aku duduk dalam rumah je. 
Kau ajak aku keluar, lain kali plan tu biar yang senonoh sikit.

Berbalik kepada kejadian bilik single tu, En Wan dah bengang.
Aku suka bila dia dah bengang macam sebab itu tandanya dia sendiri kesal tak dengar cakap aku.
Dia turun ke lobby and argue apesal tempah bilik lain dapat bilik lain?
Boleh pulak hotel tu kata bilik tu dah takde.
Aku pun tak tau lah apa maksudnya dengan TAK ADA - samada sold out atau itu gambar lama. 
Maybe bilik lama yang dah tak wujud.
Malas dah En Wan nak argue, dia mintak upgrade ke bilik yang besar sikit.
Ada, tapi twin bed. Takde hal, asalkan besar.

Masa dia turun ke lobby tu aku dah terbakor dalam bilik.
Jadi, nak mengurangkan api yang menggelegak ni, aku Asar dulu.
Elok je aku sarung telekung, En Wan masuk "Jom! Kita tukar bilik. Cepat!".
Kan hotel tu tengah trip, jadi kad bilik tak function, kena guna master key.
Aku terpaksa keluar dari bilik tu masa tu jugak sebab guard dah tunggu nak bawak kitorang ke bilik lain.
Maka, berondoh-randah lah aku dengan telekung turun lift.
Aku pandang muka aku dalam cermin lift, terasa diri ini sangat sardin sekali dengan bertelekung bagai.

Akhirnya duduk bilik ni. Twin bed tapi jauhhhhhhhh lebih selesa sebab luas.
Segalanya ok - aircond sejuk, TV clear, water heater well-functioned, ada iron and board sekali.
Kiranya legalah, after ber-hustle dan ber-shuffle macam nak rak setengah hari, dapat bilik yang tak hazab sangat.
Masuk je bilik, aku terus solat.
Tapi masa ni letrik masih belum ada, jadi En Wan ajak keluar cari makan.

Nak cari makan tu satu hal lagi, sebab kat area situ takde kedai makan yang selesa dan menepati selera.
Kau bayangkan kedai-kedai makan area Chow Kit, apa ajelah yang ada. Gerai banyaklah.
Aku bukan memilih tapi macam yang aku kata tadi, kau yang ajak aku staycation, biarlah planning tu senonoh.
Takkan staycation masih nak ajak aku makan gerai kot. 
Tak cukup-cukup lagi selama ni seminggu 2-3 kali kita mentekedarah kat warung and gerai?

Again, En Wan dihambat rasa bersalah.
Memang kaw-kaw kali ni dia kena dengan aku.
Aku tanya "Awak ajak saya duduk sini agak-agaknya planning tu nak ke mana? Kalau akhirnya pi Bukit Bintang untuk cari makan, baik duduk kat Bukit Bintang je tadi". 

Lalu beliau membagi alasan "Di tak tak pernah jalan-jalan Chow Kit. Abang ingat nak bawak Di jalan-jalan sini. Pastu gi Kampung Baru. Abang nak tunjuk tempat abang selalu pergi masa blaja kat UTM".  

Halah halahhhhhh syahdu pulak aku mendengar.
Pastu dia sambung "Tapi kalau Di tak selesa, kita makan tempat lain. Di nak gi mana?"
Aku sebenarnya kesian tapi saja aku buat keras hati. Bukan selalu dapat menang gini wei.

"Nak makan TGIF kat Pavillion"

"Ok boleh, tapi nak pi sana jem. Lambat sampai. Kita naik monorel"

Aku pandangggggg je muka dia.
Ni bukan apa ni, ni sah dah plan awal nak ajak aku duduk area Chow Kit sebab nak bawak aku pusing KL dengan monorel. Macamlah aku tak paham tektik dia.
Malas dah aku nak argue, aku cuma berdoa dalam monorel nanti ada tempat duduk. 
Kalau kena berdiri, memang keluar api mulut aku ni.
Aku syak En Wan pun berdoa benda yang sama. Kahkahkah.

Menapak boleh tahan jugak la dari hotel ke stesen Chow Kit.
Selama ni kalau berjalan berdua, especially kalau naik/turun tangga En Wan memang tahu aku akan pegang tangan dia.
Kali ni tidak ya, tidak! [wahh drama gitu].
Lintas jalan pun aku tak pegang tangan dia.
Kesian pulak En Wan kejap-kejap tertoleh-toleh nak pastikan aku ok.
Kat tangga monorel pun dia kejap-kejap terstop nak tunggu aku hulur tangan. Kem salammmmmm.

Nasib baik dalam train dapat tempat duduk.
Aku punya kepala memang keras hari tu, aku sengaja duduk lain seat dari dia. Duduk sebelah orang lain. Kahkahkah.
Ya Allah kejamnya aku. Kesian pulak En Wan, dia duduk seat lain tapi dekat dengan aku.
Berhenti kat stesen apa ntah, tapi area Lot 10, Pavi semua tu.
Berjalan kaki menuju Pavi.
Dapat TGIF terus padam api aku.
Senang je nak pujuk aku, bawak gi tempat makan.

Berjaya mengepaw TGIF.
Padahal ada je kat Sunway Piramid tu, tapi saja je nak menyakitkan hati dia.
Masa tengah makan tu terasa gak bersalah, sebab aku tahu En Wan tak berapa suka western.
Selalunya kalau pemilihan tempat makan, memang aku serahkan pada dia sebab tekak aku boleh je masuk hampir semua benda.
Tekak dia je yang memilih sikit.
Aku ni lauk 2 hari lepas pun aku boleh bedal.
Tapi semalam aku memang buat aku punya keras hati, biar lepas ni dia serik nak buat planning 'surprise' gini.
Tapi masa tengah makan ni dah sembang gelak-gelak dah. Aku dah cool.

Ha tengok, ceria kan aku? Hahahaha.
Of cos la ceria sebab dapat makan makanan yang aku suka.

Memang takde apa pun nak dicari kat dalam Pavi ni.
En Wan ada gak tunjuk-tunjuk aku, "Tu Shu Uemura awak, taknak beli apa-apa ke?"
"Kedai bra awak ada dalam ni, nak cari ke?"

No, takde.
Aku kalau dalam kepala nak makan, memang makan je aku cari.
Kau tunggu besok kalau aku kata nak shopping.
Masa tu memang semua benda aku cari. Masa tu kau mengeluh, siap!

Lepas makan, terus keluar Pavi and singgah Uniqlo kat depan tu nak cari T Shirt Redza, lepas tu terus balik.
En Wan plan lepas Isyak nak ajak aku keluar balik, tapi kali ni naik kereta [berani dia nak ajak aku naik train lagi?]
Nak ajak aku tengok movie.
Lepas aku mandi, dah Isyak semua, aku terasa letih sangat.
Bukan letih apa ni, penat marah dari siang.
En Wan pun setuju takyah tengok movie, maka melepak la kitorang berdua dalam bilik sembang-sembang.

Aku memang gini sebenarnya kalau duduk hotel.
Aku tak berapa appreciate beach and pool atau apa-apa outdoor activity.
Memang aku suka lepak dalam bilik, tengok TV atau baca buku.
That's why bilik hotel sangat penting, biar yang selesa sebab aku akan habiskan masa yang banyak dalam bilik.

Lama betul aku tak naik train, padahal sebelum kawen and sebelum ada anak, inilah medium transportation aku ke tempat kerja. 
Kesian pulak tengok malam-malam masih ada yang baru balik kerja, sampai tersengguk dalam train.
Tu belum yang kena berdiri.
Allah, aku tengok pun terasa letih.
Sesiapa yang pergi kerja naik train, I feel you. Aku pernah lalui moment tu.
Semoga satu hari nanti semua dapat kerja 3 minit je dari rumah, boleh naik moto je pi keje.

Malam tu aku tido awal, 10.30pm dah padam.
Tapi kejap-kejap terjaga, bukan takleh tido tapi sebab nak terkencing. Aircond sejuk gila. 
 
Pagi ni woke up fresh, lepas makan terus nak balik.
Nak stay pun takde benda nak cari kat KL ni, baiklah aku balik.
Makan ok, takde la mewah sangat dengan makanan setiap sudut tapi semua benda ada.
Ada cereal, ada dim sum, ada nasi, ada mee, ada egg kaunter, ada pastry - semua yang sepatutnya ada pada sebuah hotel yang selesa ada kat Hilton Inn.

Cuma tu lah, aku rasa mana-mana hotel pun dah tak allow guest ambik sendiri makanan.
Sama macam Hilton kat Melaka hari tu, di sini pun staff yang ambilkan makanan.
Kita tinggal tunggu je kat depan kaunter tu.
Honestly, bercuti di waktu Covid-19 ni dah tak seseronok dulu.
Nak ambil makanan pun naik segan nak bangun 2-3 kali.
Karang staff tu pelik "Dia ni tak reti kenyang ke? Dari tadi muka dia mintak makanan".
Dah la I sejenis enjoy food, tadi bangun 2 kali je [selalu lebih okeh]. 
Segan nak mintak makanan banyak kali.

Staycation kali ni dah macam endurance race, banyak nai pancarobanya.
En Wan kata semalam segalanya macam tak menjadi.
But today, aku boleh gelak-gelak bila ingat balik semua kejadian semalam.
Kalau segalanya smooth dah tak rare la memories tu kan.
Nak sangat memory yang rare? Hah, ambik kau.