2023-05-01

Raya Aidilfitri 2023


Ok, cerita raya 2023 [yang tak berapa nak beraya].
10 Syawal baru nak up cerita raya.
Aku tengok Kat FB newsfeed, orang dok up gambar beraya tak habis-habis lagi.
Aku Selasa dah masuk kerja.
That shows how "meriah"nya raya aku tahun ni.

Tahun ni turn raya Tganu, tapi dari awal tahun dah decide nak beraya di Putra Heights saja sebab Rayyan masih bertongkat [waktu tu].
Payah nak mengangkut dia ke sana sini dengan keadaan bertongkat.
Dibuatnya on the way balik Tganu nak terkencing terberak, dah satu hal nak berangkut ke toilet segala.
Kesian dia nanti. Malu pun satu hal jugak.
Anak aku ni kalau malu satu benda tak jadi. Monyok je karang.
Jadi kitorang plan tahun ni beraya kat rumah sendiri je lah.
Aku pun dah planlah pagi raya nak masak apa semua.
Siap plan nak order kek Gula Cakery bagai.

Rupanya Rayyan dapat lepaskan tongkat lebih awal. Alhamdulillah.
Maka, perancangan beraya pun berubah. Balik Tganu.
Tapi tahun ni kan En Wan dah attached dengan company baru, attached pula dengan Prudential HQ, maka tak boleh sesuka hati balik raya macam dulu.
Khamis (20 April) tu patutnya dia masih kerja, ada meeting kat TRX.
Aku cakap, kalau Khamis masih kena kerja, kita takyah baliklah Tganu.
Aku tak kuasa nak melekat dalam jem.
Sebab aku kenal sangat badan aku ni.
Kalau melekat dalam jem terlampau lama, kepala aku jadi sakit amat, esoknya takleh bangun.
Dah pernah terjadi ya tahun 2019.
Panas sangat kat Tganu, terus seharian aku melepak dalam bilik.
Baju raya pun tak pakai.
Penyudahnya, petang tu juga balik PH.

Alhamdulillah, meeting dia batal.
rRedza dibenarkan balik (Rabu 19 April) selepas 2 pm.
Ambil Redza dan zasssss balik Tganu around 3.30 pm.
Sebelum ambil Redza dah siap-siap masak nasi goreng, ayam goreng, gorengkan keropok and buat sandwich telur.
Ini bekal nak berbuka.
Dah boleh imagine betapa ramainya umat kat RnR nanti time berbuka.
Dengan meja yang penuh dan berselipat, eiiii ngeri aku.
Aku nak makan bertenang-tenang dengan masakan sendiri yang konfem sedap (gituuu).
Dah macam bekal piknik siap berbakul, dengan sudu garfu, pinggan gelas, plastik sampah -- complete.

Sejam nak keluar dari KL sebab bertembung dengan orang balik kerja.
Tapi lepas dari tol Gombak, clear seclear-clearnya.
Again, alhamdulillah.
En Wan cakap orang nak balik lepas berbuka agaknya.
Balik sebelum berbuka ni kalut nak cari tempat berbuka dan penat.
Rupanya betul. Malam yang kitorang balik tu rupanya ramai melekat dalam jem.
Syukur aku dah sampai Tganu.

Kitorang stop berbuka kat RnR Temerloh.
Aman-aman berbuka tepi kereta bentang plastik.
Laki aku siap bertambah nasi.
Betapa tenangnya beliau makan berbuka.
Sebagai tukang masak, aku happy tengok semua makan dalam keadaan tenang dan aman-aman.
Lepas makan, teruskan perjalanan ke Tganu.
Sepanjang jalan hujan on and off.
Pukul 10 malam baru sampai KT.
Singgah Batu Burok terus untuk makan yang lebih proper, sekali harung bersahur.
Malas nak bangkit pagi-pagi.

Kitorang stay kat Apartment Ladang Tok Pelam.
Ini kali kedua stay sini tapi di unit yang berbeza.
Ok je unit kali ni.
Semua kelengkapan ada, tapi aku bawa juga iron buat standby.
Bilik ada 3. Seronoklah Redza and Rayyan dapat bilik sorang satu.
Cuma unit ni wifi takde.
Mujurlah data internet laju sebab duduk kat town.
Dapatlah aku buat kerja ofis.

Sepanjang berpuasa kat sana, kitorang berbuka kat rumah mok.
Tapi berkumpul untuk berbuka je lah.
Makanan semua kena beli siap-siap sebab rumah mok dah takde apa dah.
Hanya boleh duduk berkumpul.
Nak tido pun tak selesa dah.
Hari tu pun kipas kat hall rosak.
Nak panggil orang datang repair pun takde sebab masing-masing dah nak bercuti raya.
Maka, berkuaplah ramai-ramai dalam rumah tu.
Memang tak lamalah aku stay. Lepas berbuka je balik.
Mok pun tak tido situ. Balik rumah Kak Long.
Ajak mok stay dengan kitorang kat town dia taknak sebab nanti dia tak tahu nak buat apa katanya.

Hari Khamis aku and En Wan melepak je kat apartment sambil buat kerja.
Petang, balik rumah mok.
Hari Khamis tu ramai berkumpul sebab dorang tempah nasi makan ramai-ramai.
Berlendir ketiak aku ramai-ramai dalam tu dengan kipas hall yang tak function.
Hari Jumaat ofis aku dah start cuti, jadi takde kerja aku nak buat.
Maka kitorang berdua merayap.
Tinggalkan budak-budak ni kat apartment.
Mula-mula En Wan gi jumpa client dia hantar gift.
Kat Tganu pun ada client beliau rupanya.
Lepas tu gi beli kek raya.
Memang aku suka mengambil tugas beli kek raya.
Sejak awal kawen sampai now, tak pernah missed task ni.
Bukan apa, culture keluarga En Wan memang tak masak-memasak persiapan raya.
Orang lain petang raya sibuk merendang, merebus ketupat, perap ayam, perap sate, bakor lemang -- tapi family En Wan tak.
Dari dulu lagi tak.
Sebab menu dorang kalau tak nasi dagang, mesti nasi minyak.
Kedua-duanya tak perlu masak petang raya.
Masak pagi subuh raya pun sempat lagi.

Oleh sebab itu, aku suka menyibukkan diri pegi beli kek raya.
Jangankan tidak nak jugak sibuk-sibuk petang raya macam orang lain, kan.
Orang lain sibuk pecah peluh buat persiapan lauk raya, aku pecah peluk merayap cari kek raya. Jadiklahhhh.
Tahun ni jumpa satu kedai kek baru.
Not bad juga selection kek and pastry dia.
Belilah kek indulgence. Sedap.
Alhamdulillah mok kata kek ni settle hari raya pertama tu juga.

Lepas beli kek, En Wan ajak singgah butik baju batik yang selalu aku shopping baju.
Lupa nama dia, somewhere menghala ke Marang.
Menjak PKP aku dah tak buat baju raya.
Dorang anak-beranak je yang buat.
Aku cuma recycle baju kurung lama untuk matchkan dengan warna baju melayu dorang.
Tahun 2020, 2021, 2022 -- takde baju raya untuk diri sendiri.
Jadi tahun 2023, dah naik malas nak buat baju raya.
Tahun ni En Wan paksa aku buat baju raya, aku pun buatlah.
Itupun aku buat baju kurung basic pakai kain plain yang sama dengan baju melayu dorang.
Biar semua plain. Punyalah malas nak mikir pasal baju raya.
En Wan ajak beli baju kurung batik, tapi aku dah malas.
Maka, kekallah aku dengan sehelai baju kurung raya warna plain.
Aku punya tahap malas tu, sejak En Wan ambil baju dari tailor, aku tak try pun.
Pagi raya baru sarung kat badan. Nasib muat.

Malam raya masih berbuka rumah mok.
Beli makanan and berbuka ramai-ramai.
Lepas berbuka, balik semula ke town.
Esok paginya, aku bangun 4.30 pagi untuk gosok baju.
Tenang betul gosok baju di pagi raya sambil bukak YouTube lagu raya.
Dah siap menggosok, mengemas pulak hall kat depan.
Feeling beraya kat rumah sendiri padahal rumah orang.
Tetappppp nak feel raya aku mengelaplah sikit sana sini.
Itupun mujur rendang paru aku tak siap.
Orang yang aku order tu terlepas pandang rendang paru aku.
Kalau tak, pagi raya tu breakfast dulu kat apartment dengan rendang paru.
Aku dah plan balik raya esok nak bawa rendang paru, nak bawa ketupat palas, nak rebus nasi impit sikit.
Memang menjadi betul angan-angan aku.
Kekal dalam angan-angan sampai ke sudah 😆.

Rezeki En Wan pagi tu bersolat kat Masjid Ladang, rupanya Sultan Tganu bersolat situ pagi raya.
Dapatlah bersalam dengan Sultan.
Aku kat apartment bersiap mengemas nak check out terus lepas orang lelaki balik solat.
Ingatkan raya Jumaat. Booklah apartment sampai Sabtu.
Sekali raya Sabtu.
Jawabnya gerak balik PH hari raya pertama tu juga.
Lepas En Wan balik bersolat, kitorang check out dan bergerak ke rumah mok.
Tapi sebelum sampai Manir, stop area drawbridge nak ambil gambo dulu.
Tapi taknaklah sama macam semua orang berlatar-belakangkan drawbridge.
Kita ambik gamba area food truck area. Rare.

Kat rumah mak, makan nasi dagang yang ditempah.
Lepas tu duduk lepak menunggu tetamu.
Adik-beradik En Wan keluar beraya.
Aku tahan En Wan dari keluar ke mana-mana.
Bukan apa, takkan nak tinggal mok sorang kat rumah.
Ini raya pertama. Mok pulak tak tinggal situ.
Mestilah hari raya orang datang nak jumpa mok.
Dah kalau semua keluar, siapa pulak nak menghidang air untuk tetamu.
Mok tak kuat dah nak hidang-hidang air ni.

Sekali betul kau.
Yang datang rumah mok bukan jenis datang berdua bertiga, ya.
Sekali datang bertujuh. 2-3 kereta sekaligus.
Aku cakap kat En Wan lepas ni, everytime raya di Tganu, kalau semua orang keluar beraya, kita mesti stay jangan ke mana-mana.
Naya kalau orang datang rumah takde orang tunggu mok.
Bila semua adik-beradik En Wan balik dari beraya, barulah kitorang gerak balik ke PH.
Around 3.30 pm gerak.
Pukul 6 pm mok call just nak bagitau lepas kitorang balik, segerombolan orang datang beraya sampai tak muat rumah, ada yang duduk kat kerusi luar rumah.
Pheww! Nasib baik aku dah balik. Kahkahkah.

Sampai Gombak around 8.30 malam.
Nak makan pun kedai banyak tutup.
Raya pertama, kedai apa je lah yang bukak kat KL ni.
Maka kitorang ke Sunway Piramid.
Mall je yang bukak raya-raya ni.
Makan kat Madam Kwan's. Lepas tu baru balik rumah.
Ya Allah lega betul dah sampai rumah sendiri.
Bertenang-tenang mandi, siap pakai mask bagai, lepas tu bukak TV sambil bersila makan kuih raya. Barulah raya!

Esok pagi 4.30 pagi aku dah bangun, kemas-kemas rumah.
Susun-susun kuih dalam balang. Lipat baju. Kemas beg.
Siang tu nak gerak ke Bangi pulak.
Macam biasalah, everytime turn beraya rumah mertua, kitorang adik-beradik akan berkumpul di Bangi pada raya ketiga.
Tapi memandangkan aku dah ter-balik awal.
Jadi, aku and Ima sama-sama balik Bangi on raya ke-dua.
Ibal and CT kekal sambung beraya kat Pasir Mas sampai raya ketiga baru balik Bangi.

En Wan pagi-pagi dah mendobi baju melayu yang kitorang pakai semalamnya.
Balik dari dobi aku terus gosok semula baju raya.
Nak pakai baju melayu balik Bangi gaisss. Kasi feel raya.
Aku pesan kat Mak Aji and Pak Aji tolong bersedia pakai baju raya sebab kitorang nak ambil gamba terus.
Karang aku dah bukak baju raya, memang jangan haraplah aku nak pakai balik.

Sampai Bangi, Pak Aji dah nak ke surau.
Takpe, kasi dia pergi dulu sementara aku makan makanan raya.
Ya ampunnnnn lega betul tekak aku dapat nasi himpit and rendang ayam.
Takde lodeh pun takpelah.
Lepas makan, Pak Aji pun dah balik dari surau, barulah sakan bergamba raya.
Lepas bergambar, aku dengan Ima bersinsing lengan baju, terus buat kerja kat dapur menyiapkan apa yang patut.
Macam biasalah, aku bawa kuali sudip papan pemotong pisau semua dari rumah.
Kain lap tangan pun aku bawa dari rumah, ya.
Bukan taknak pakai Mak Aji punya, tapi aku nak biar kerja aku pantas.
Bila pakai perkakas sendiri, kurang sikit terkibai-kibai kat dapur.
Ni karang aku memasak pakai kuali sudip dia mulalah serba tak kena kerja aku. Lembab semacam.

Petang tu aku take over buat sambal goreng.
Lepas tu gorengkan ketupat palas.
Ima masak lauk untuk makan malam terus.
Kesian En Wan, pagi raya 1 Syawal hanya makan nasi dagang, tak jumpa ketupat palas pun.
Makanya, untuk minum petang raya kedua tu, kita tea time dengan ketupat palas with rendang dan sambal goreng.
Itupun kan, masa aku menggoreng ketupat palas, "warden" diri kat tepi.
Tahan dia berdiri tepi aku nak tengok aku menggoreng.
Pegilah duduk depan tengok TV hendaknya. Takkkkkk.
Dia nak peratiiii jugak aku buat kerja.
Pastu komplen "Minyak kau tak banyak sangat ke tu?", "Apa yang besar sangat api kau tu?", "Letaklah banyak sikit, bila nak masak kalau letak sikit-sikit".
Ya ampunnnn. Macamana la aku tak terkibai-kibai kat dapur.
Memang otomatik aku jadi bengap tau bila warden sedang memantau.

Pagi esoknya, rutin aku and Ima tetap sama.
Pagi-pagi dah masuk dapur.
Aku plan raya ketiga ni kita buat nasi lemak sambal udang je lah.
Kalau sesiapa datang, toksah hidang lauk raya dah.
Penat dah nak makan nasi himpit dengan rendang. Bagi nasi lemak je sudah.
Raya ketiga tu menderu-deru orang datang beraya.
Dari pagi sampai ke dah nak Maghrib aku dengan baju yang sama.
Mandi petang pun tak sempat.
Memang betul-betul jadi orang dapur seharian.
Lepas masak, masak lagi. Lepas masak, masak lagi.
Alhamdulillah orang datang beraya masa kitorang adik-beradik ada.
Kalau tak, aku takleh imagine camana Mak Aji punya mengeluh menyiapkan semua sendiri.
Dia kan always "Macam nak mati aku buat kerja sorang-sorang kat dapur".
Syukurlah aku dan Ima masih panjang umur walau kerja seharian kat dapur 😆.

Bila rumah mak kita dah jadi rumah 'orang tua', ginilah.
Dah tak sompek dah anak-anak nak beraya ke mana-mana.
Memang tunggu rumah menerima tetamu.
Agaknya esok bila mak bapak aku dah takde, rumah aku pulaklah jadi tumpuan adik-beradik dan sedara-mara.
Tapi masa tu aku mungkin buat konsep pot luck.
Datang rumah aku sorang sikit bawa makanan. Aci tak?

Tahun ni paling tak beria nak bergambar.
Serious. Tak beria lansung.
Lebih beria nak memastikan rumah mak aku sentiasa ada makanan untuk guest.
Dia punya tak beria tu kan, sampai takde lansung gambar raya ramai-ramai.
At least aku ada la juga gambar berbaju raya dengan Mak Aji Pak Aji.
Ima lansung takde.
Rilek je dia bergambar raya dengan baju blouse biasa sebelum balik ke Johor.
Takpe, janji rumah mak bapak kita ada hidangan raya nak bagi kat tetamu.
Balik rumah masing-masing nanti kita bergambar anak-beranak sampai lebam.

Hari ni Isnin 1 May 2023, aku gerak ke Ipoh hantar Rayyan.
Walaupun MC dia hingga 30 May, takpelah, dah boleh berjalan.
Masuk je lah sekolah.
Dia pun nampak ready dah nak pegi.
Maybe sebab dah tak bertongkat lagi, jadi dia pun konfiden sikit.
Kaki masih terhencot sikit, tapi takpe.
Janji tak menyusahkan orang nak kena papah ke sana sini.
Malam ni aku overnite di Ipoh satu malam.
Just to make sure kalau Rayyan call kami ada di sana.
Mudah-mudahan dia ok di sana, tak mengikut jejak langkak maknya. Doakan Rayyan, ya.