2022-04-15

Mindset


Screen shot whatsapp dari Mak Aji yang aku tepek semalam, ada yang surprised aku mesra dengan Mak Aji.
Macam kamceng katanya sedangkan Mak Aji garang masa aku kecik.

Haah. Memang kamceng pun.
Dah tu anaknya 3 orang je, bukan 13 😆.
Siapa lagi nak melayan dia kalau bukan yang 3 orang ni khennn.

Takde. Takde lansung rasa dendam kat Mak Aji walaupun dia pakar memetir.
Sebab, bukan aku sorang yang kena marah.
Bukan aku sorang yang kena belasah.
Dendam hanya wujud kalau balik-balik kau seorang je kena bantai, dan balik-balik kau je kena buat itu ini dedangkan orang lain mengangkang.
Kalau gini, memang patutlah pun berdendam.

Mak Aji punya style, sorang buat silap, semua kena.
Dengan bapak aku sekali kena 😆.
Kalau kebetulan masa tu kau melintas, kau pun kena sekali dia tak pedulik.
Kalau aku nak bengang pun bengang dengan adik-adik je lah.
Sebab kau punya pasal aku kena bantai sekali.

Mak Aji takde pilih kasih bab membantai anak.
Jadi, bila sama-sama kena bantai, takdelah rasa apa.
Dah kira macam acara wajib la tu. Dibantai berjemaah.

Orang kata kalau ajar anak dengan memukul, esok besar anak cenderung untuk jadi baran dan suka memukul juga.
Alhamdulillah tak terjadi kat kitorang adik-beradik.
Ima pun tak memukul anak. Suara je high pitch.
Aku pun tak memukul sangat, tapi memekik memang selalu.
Kalau bab pukul anak aku serahkan pada En Wan.
Dia kalau pukul anak, aku rasa macam nak bawak anak tu lari dari rumah.
Tapi jaranglah dia pukul.
Syaratnya, jangan sesiapa start naikkan darah dia.
Kalau susuk dia tertanggal karang, maka saka-sakanya akan bergabung tenaga.
Disaster jawabnya.

Ada orang opt for kaedah psikologi dalam mendidik anak.
Taknak marah. Nak berbincang.
Taknak pukul. Nak nasihat.
Masing-masing ada cara sendiri, buatlah.
At the end semua nak anak-anak jadi orang.

Mixed feelings baca Sam kena 6 tahun kes langgar budak-budak basikal lajak.
Kes ni lansung tak menjentik isu perkauman.
Rata-rata persoalkan tentang macamana budak-budak tu boleh keluar main pukul 3 pagi.
Entahlah, cakap lebih-lebih karang ada yang terusik pulak.
Baca dan diam ajelah.

Kitorang pernah gak berdepan dengan situasi lebih kurang macam ni.
Bezanya, di kawasan perumahan.
Awal-awal dulu, kawasan pertempatan aku ni open access.
Putra Avenue tempat aku ni bersebelahan dengan kampung.
Yang memisahkan kitorang adalah bukit.
Putra Heights ni bukit. Jadi tempatnya tinggi sikit.
Dari tepi rumah aku ni boleh nampak sebahagian besar kampung sebab tempat aku tinggi.

Dulu, kenderaan dari kampung boleh keluar masuk area rumah.
Budak-budak main basikal. Budak-budak main motor.
Brong breng brong breng lalu depan rumah.
Playground penuh dengan tempat dorang melepak.
Orang-orang Putra Avenue tak sedap hatilah sebab 10 tahun lepas, kebanyakan anak-anak jiran kecik lagi.
Sekarang playground dah sunyi sebab anak-anak semua dah membujang.
Budak-budak dulu kalau main moto dalam kawasan perumahan kitorang ni pun dia kona lipat.
Bahaya.
Lepas tu melepak mat-mat moto kat playground sampai budak-budak takut nak main.

Sekali pandang nampak macam kitorang ni berlagak sebab tak kasi dorang masuk kawasan.
Tapi yang tau, taulah. Malas cakap.
Karang orang kata kita takde timbang rasa.
Tapi dorang takde common sense takpeee 🙄.

Pernah aku and En Wan nak keluar ke mamak berhampiran, kat jalan masuk Putra Avenue ni budak-budak main basikal pukul 12 lebih, PAGI!
Masa tu New Year.
Budak-budak, ya. Bawak basikal tengah-tengah dunia.
Bila dah ramai-ramai tu dorang jadi tak makan saman sikit.
Padahal dia dah toleh nampak ada kereta kat belakang tapi tetap tak beralih ke tepi.
Selamba tapir je dia ramai-ramai berbasikal tengah jalan. Memekak pulak tu.

Aku terpikir, mak bapak dorang ni tak kunci pintu ke sebelum tido?
Kau tak mencari ke anak-anak kau dah nak dekat pukul 1 pagi tak balik rumah?

Kita dulu Maghrib tak nampak batang hidung, siap!
Jangan ceritalah nak keluar malam.
Lepas kawen, En Wan ajak keluar tengok midnight pun aku takut.
Takut Mak Aji marah keluar malam.
Masa tu baru kawen, duduk Bangi.
Punyalah tak biasa merayap malam, sampai takut.

En Wan inilah benda biasa di kampung-kampung.
Dia orang kampung, dia tahulah.
Biasa kalau anak-anak merayap malam.
Biasa naik motor tak pakai helmet.
Biasa tengah-tengah malam main gitar tepi simpang.

Tapi sebenarnya selain dari lokasi/lingkungan, ada satu lagi yang sangat memainkan peranan, iaitu MINDSET.  
Bila lingkungan mereka dengan kebiasaan macam tu, mindsetnya juga akan begitu.
Dorang akan membawa kebiasaan dan mindet begitu di tempat lain.
Tu pasal brong breng brong breng depan kawasan perumahan macam pelesit.
Dia anggap kawasan rumah orang macam tempat dia.
Buat tempat orang macam tempat dia.
Buat semua tempat macam dia ada share.
Orang dewasa, maybe tak apa-apa.
Tetapi kebiasaan itu kadang-kadang boleh bagi pengaruh pada budak-budak.

Maybe inilah yang berlaku kat budak-budak yang main basikal pagi-pagi buta.
Sebab DAH BIASA.
Dah biasa lepak malam.
Dah biasa keluar merayap.
Di tempat mereka itu perkara biasa.
Jadi kebiasaan tu dia bawak ke mana-mana.

Kelompok macam ni payah sikit nak diubah melainkan persekitaran mereka berubah.
That’s why pentingnya lingkungan kita.
That’s why Rasulullah berhijrah ke Madinah.
Sebab bila lingkungan kita tak betul, jangankan kata kita nak ubah dia, silap-silap dengan kita-kita sekali hanyut.

Dulu masa kawasan aku nak tutup access orang luar masuk, memang banyaklah dengan suara-suara yang kata kitorang ni takde timbangrasa.
Bila kitorang tutup access, dorang kena pusing jauh nak balik ke rumah.

See? Kita pulak yang dia kata takde timbangrasa.
Dia yang takde common sense dia tak nampak pulak.
Ni lah jenis orang yang dia nak kita paham dia je. Dia nak kita consider dia je.
Selagi tak dapat apa dia nak dia kata kita takde timbang rasa.
Macam kes Chef Ammar hari tu.
Ada yang bagi cadangan “Buatlah 2 versi. Satu yang mahal, satu lagi yang murah sebab kami pun nak rasa juga nasi Chef Ammar”.

Inilah yang diatakan SELF-ENTITLEMENT.
Dia rasa dia entitled untuk semua hal.
Apa-apa yang berlaku kena consider dia.

Dey! Orang tu nak jaga kualiti.
Karang kalau dia buat pek ekonomi kau kata “Alah sama je rasa macam nasi Arab mak aku”.
Dah kau yang nak sangat, terpaksalah dia downgrade ikut resepi mak kau!
Haaa kau. Geram aku.

Pernah tengok cerita Bride Wars?
Dalam cerita tu Kate Hudson tak muat pakai wedding dress Vera Wang.
Pastu tunang dia kata “Alterlah dress tu”.
Kate jawab “YOU DON’T ALTER VERA TO FIT YOU. YOU ALTER YOURSELF TO FIT VERA!”

Maksudnya, kau yang kena upgrade untuk match level dia, bukan kau paksa dia downgrade untuk match kau. Chantekkkk?
Kamon, belajarlah respect orang lain.
Bukan semua benda kita boleh suruh orang consider kita.
Tempat orang, hormat.
Harta orang, hormat.
Rumah orang, hormat.
Karya orang, hormat.
Jangan buat kepala sendiri.

Masa aku sekolah rendah, aku belajar berzanji.
Tapi kelas tu Jumaat malam.
Around 9.30 pm baru habis.
Masa tu berjalanlah ramai-ramai balik rumah.
Ada satu brader ni naik motor nampak kitorang berjemaah nak melintas jalan dia stopkan moto.

“Ni nak pegi mana malam-malam?”

“Balik mengaji pakcik”

“Rumah kat mana?”

“Sana” (tunjuk seberang jalan)

“Ha cepat balik. Jangan nak bersembang-sembang malam-malam ni”


Brader tu follow kitorang dengan moto.
Dia pastikan kitorang masuk simpang rumah baru dia blah.
Itu duluuuuuu. Sekarang ni kalau kita marah, kita yang kena sound balik dengan budak-budak.