2020-04-19

Niat baik juga ada halangannya



IGS aku beberapa hari lepas.
Ada yang mintak elaborate.

Setiap niat, baik yang baik atau buruk, akan ada halangan.
Yang membezakan adalah HASIL.
Niat asalnya dari hati.
Kita sendiri boleh rasa samada niat kita itu baik atau tak.

Contohnya, niat kita berkongsi perkara kebaikan di media sosial.
Kalau niat itu benar-benar baik, hati pasti rasa tenang.
Tetapi jika sebaliknya, hati akan rasa tak sedap - rasa bersalah, rasa tak gelisah, kejap-kejap nak check kalau-kalau ada komen yang dapat menduga niat sebenar kita.
Kita boleh saja kata kita ikhlas, hakikatnya kita tak boleh tipu diri sendiri.

Rasulullah saw bersabda "Jika dua pedang seorang muslim saling berhadap-hadapan, maka pembunuh dan yang terbunuh akan di neraka. Para sahabat bertanya "Wahai Rasulullullah, si pembunuh masuk neraka kami faham, tetapi yang terbunuh kenapa pula?" Baginda menjawab "Kerana dua orang tadi bersemangat untuk saling membunuh" [Bukhari 6875].

Betapa niat itu sangat halus dan sangat perlu dijaga.
Walaupun nampak seperti yang satu sedang mempertahankan kebenaran, tetapi hasil akhir tetap kembali kepada niat.

Dalam hadis Tirmidzi ada cakap, dunia ni ada 4 jenis orang saja :


Yang pertama

Orang yang Allah anugerahkan harta dan ilmu, dan dia beriman serta bertakwa di atas kurniaan itu.
Orang ni duduknya di level atas sekali.

Dulu aku pernah dengar satu ceramah, dia kata jika orang itu kaya dan memiliki kurniaan/nikmat yang banyak dan dia masih bertakwa, maka ibadahnya sangat Allah suka.
Bila hari tu ustaz ajar tafsir hadis ni, aku teringat balik ceramah yang aku pernah dengar tu.
No wonderlah orang kaya yang bertakwa amalan dan ibadahnya Allah lebih suka, kerana dia adalah kelompok yang duduk di level ini.


Yang kedua

Orang yang Allah berikan kefahaman ilmu [agama], tapi tak diberikan harta.
Walau bagaimanapun, dia tetap jujur dengan niatnya.
Dia kata "Kalaulah aku ada harta seperti orang tu [level 1], aku akan buat macam dia".
Jika niat ini benar, dia akan dapat pahala yang sama macam orang di level 1.

Bahagianya kalau kita yang tak berharta tak berduit ni memiliki keikhlasan seperti ni.
Pasti hatinya tenang sebab dia tahu walaupun dia tak berharta, tapi kerana niatnya jujur, dia sudahpun mendapatkan pahala yang sama.
Orang-orang macam ni selalunya jauh dari perasaan dengki, tetapi sentiasa mendoakan pula si level 1 mendapat rezeki yang berlimpah.
Kerana orang di level 2 ini Allah berikan dia kefahaman dalam ilmu [agama] sehingga dia jadi tahu bahawa dia akan dapat pahala yang sama sekiranya dia ikhlas dalam niatnya.


Yang ketiga

Orang yang oleh Allah berikan harta tapi tak diberikan ilmu [agama].
Akhirnya, dengan harta itu dia buat sembarangan, dengan harta itu menjadikan dia lalai, leka, semakin mengejar dunia, tidak jujur, tamak dan riak.
Dengan harta yang Allah berikan itu akan menjadikan dia di kedudukan yang hina tanpa dia sedari.


Yang keempat

Orang yang tak diberi harta mahupun ilmu.
Dia berkata "Aku nak sangat merasa hidup macam tu [level 3"
Kerana niat itu sahaja, dia sudah pun memiliki dosa yang sama seperti orang di level 3.
Orang level 4 ni kelompok paling malang sekali, dah la tak berilmu, tak kaya pulak tu, belum merasa kaya pun lagi tapi dosa dah menumpuk-numpuk akibat dari niat.


Betapa niat sangat penting untuk dijaga kerana niat memberi pengaruh dalam banyak perkara.
Bayangkan kita tak berduit tapi bila seronok tengok orang berduit buat amal, lalu kita mendoakannya dan berniat untuk jadi sepertinya, dengan tak perlu keluarkan duit kita pun, tetap kita dapat pahala yang sama. Untung, kan?
Walau bagaimanapun, orang yang bersedekah of course memiliki kedudukan yang lebih tinggi.
Tidaklah bermakna kedudukan orang yang bersedekah itu tidak Allah pandang.

Niat yang baik tak menjamin perlaksanaannya mudah.
Untuk mencapai tujuan, kita kena ikhtiar semaksimum yang boleh.
Tetapi kadang-kadang dah buat semua benda, usaha sudah, sedekah sudah, berdoa sudah, tetap hasilnya tak sepadan dengan apa yang diusahakan.
Hasilnya jauh di luar jangkaan.
Terasa buang masa, buang tenaga, buang duit!
Lantas kita mengeluh, apa hikmahnya?

Kegagalan adalah bukti bahawa keupayaan manusia terhad dan manusia serba lemah.
Kita hanya wajib mencuba tetapi tak wajib berjaya.
Kita merancang, tetapi takdir ada rancangannya sendiri.
Di sini, hikmah kegagalan mengajar kita satu perkara - bahawa kita adalah makhluk yang jauh dari kesempurnaan.
Yang sempurna adalah Allah.
Kadang-kadang kita terkehel tanpa sedar.
Kita yakin dengan ilmu yang kita ada, pengalaman yang kita ada, network yang kita miliki, support sistem yang kuat, akhirnya tanpa sedar keyakinan kita tergelincir dari meletakkan pergantungan pada Allah, maka Allah tegur dengan kegagalan.
Allah tak marah, itu tanda Dia masih peduli.
Kalau Dia tak peduli, Dia biar je kita leka dengan 'kesempurnaan' yang kita ada tu.

Sebagai orang Islam, visi kehidupan tak terbatas di dunia saja tapi melampaui kehidupan ukhrawi.
Kalau kita benar-benar beriman pada Rukun Iman, maka kita sedar ada kehidupan lain setelah kehidupan dunia berakhir.
Sebenarnya tak ada ruang untuk kita berhenti berharap atau putus asa kalau kita gagal di dunia.
Kerana Allah dah janji "Berharaplah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan harapanmu" [Al-Mukmin, 60]. 

Allah uji niat dan usaha baik kita bukan kerana Dia tak suka, tetapi Dia tak pernah janjikan pun apa yang kita niatkan, apa yang kita ikhtiarkan akan dapat hasilnya jam-jam tu jugak.
Plan Allah lebih hebat dari our plan.
Oleh sebab itu, logik kalau kita dilarang berhenti berharap.
Halangan dari niat baik dah tentu ada.
Kalau niat baik takde halangan, dah tentu dakwah para Nabi semuanya smooth sailing.
Tapi tak berlaku macam tu.
Kerja-kerja dakwah Nabi dan Rasul semuanya tempuh jalan yang sangat susah.
Itu Nabi, kekasih Allah. Masih diberikan halangan.
Kita, Nabi bukan, Imam bukan, jadi makmum pun kadang-kadang, tapi nak segalanya senang. Lojik?