2019-02-28
Masak pagi raya
Petang semalam aku up kat status FB pasal masak-masak di pagi raya pertama.
Boleh KLIK SINI kalau nak baca komen.
Memang sengaja aku nak buat survey kat FB sebab aku nak tengok respond orang ramai adakah sama dengan apa yang aku pikir atau aku sorang yang pelik.
Alhamdulillah, semua kata tak wajar kalau pagi raya takde makanan (menu raya) di rumah sendiri.
Betul dah tu.
Kot pemalas sangat, paling bangsat pun kau beli la lemang 2 batang, hidang untuk breakfast sekeluarga.
Ini tak.
Helok je cakap takyah buat apa-apa pagi raya sebab nanti boleh makan kat rumah orang time ziarah raya.
Bagi aku hari raya mesti ada makanan raya.
Ni toksah cerita hat yang tak mampu lah ya, kita cakap pasal standard practice untuk orang-orang bishe-bishe macam kita.
Kebiasaannya mana-mana rumah di pagi raya memang ada menu sendiri.
Bukan nak suruh buat yang gempak-gempak, just buat untuk makan anak-beranak jadilah.
Nasi lemak pun boleh.
Nak special sikit goreng ayam ke, puyuh ke.
Dah habis special dah untuk aku hat ni.
Tapi bila ada yang kata tak payah masaklah pagi raya sebab hari raya pertama selalu pi berjalan raya nanti kenyang - ini aku takleh terima.
Memang masing-masing pi beraya tu nak mencekik je ke?
Sorry to say, tapi jenis perangai ginilah yang selalu harap tuan rumah muliakan tetamu tapi dia sendiri tak faham adat bertamu.
Sebab apa?
Sebab dia tak pernah menjadi host menerima tetamu.
Jadi dia tak tau apa perasaannya pagi-pagi orang baru balik solat raya belum sempat berkumpul bersalam-salam dengan ahli keluarga, kau anak-beranak dah sampai depan pintu rumah.
Agak-agak lah weh.
Takyah la tunjuk sangat kat semua orang rumah kau takde makanan nak mencekik pagi-pagi.
Tuan rumah tu entah nak bergambar dulu ke ramai-ramai sekeluarga sementara mekap belum cair, sementara baju anak-anak masih senonoh, yang kau muka sardin dah sampai depan gate.
Aku tak faham mentaliti macam ni.
Memanglah hari raya tu kita beraya, tapi takkanlah kerana kau nak berjalan raya maka tak payah siapkan apa-apa makanan kat rumah.
Memang nak harap makan kenyang-kenyang kat rumah orang pastu balik nanti terus tido sampai eosk pagi ke hape.
Sampah sangat mentaliti macam ni.
Karang tetiba ada orang datang rumah dia mengejut, barulah menggelabah masing-masing "nak hidang apa, nak hidang apa".
Abis tu kau ingat kau je tau berjalan raya, abis orang lain tak reti berjalan raya?
Itu satu.
Satu lagi bab meraikan tetamu.
Ada je spesis yang pandai-pandai dia je kategorikan orang ini kita bagi makan apa, orang itu kita bagi makan apa.
Kalau orang tu nampak gah sikit, kita bawak keluar kek and biskut raya yang sedap-sedap.
Kalau orang biasa-biasa, bawak keluar yang second grade punya makanan.
Kadang tu bawak keluar je lah apa yang ada.
Pinggan mangkuk pun sama gak.
Kalau orang yang ada-ada sikit, habis dibawak keluar segala pinggan yang cantik and mahal.
Kalau orang biasa-biasa datang beraya, dibawak keluar pinggan simple-simple je, tak cukup set pun takpe, janji sorang satu dapat pinggan.
Kau rasa tetamu yang kaya tu ada masa nak kagum dengan pinggan mangkuk kau?
Pinggan mangkuk dia lagi mahal.
Kadang yang kaya-kaya ni datang bukan nak makan pun, rumah dorang lagi makanan sedap-sedap.
Dorang dah makan siap-siap kat rumah sebelum datang biar jangan nampak macam kebulor sangat.
Dulu pernah keluar artikel viral pasal sorang Hamba Allah ni cakap tuan rumah menjemput tetamu datang maka kenduri kawen tapi lauk habis awal.
Katanya ada tetamu datang dari jauh drive 5 jam sampai-sampai tempat kenduri lauk tinggal 2 jenis je, itupun sisa-sisa daging berkecai.
Ya ampunn, memang sepanjang 5 jam tu takde rasa nak menyinggah Select beli air ke, roti untuk alas perut?
Memang drive jauh-jauh aim untuk makan?
Ewah, ada hati nak marahkan tuan rumah, dia dah jemput kau datang pun dah besar rahmat tau.
Orang lain ada yang kecik-kecik hati tak dapat jemputan.
Kau dapat jemputan lagi mau bising.
Bagi dia "Kalau dah jemput orang datang makan, lauk mesti banyak. Kalau tak banyak, lain kali tak payah jemput".
Memang ada orang yang datang jemputan aim nak makan sampai kenyang-kenyang.
Bawak pulak suku-sakat yang sama pelahap macam dia.
Mungkin ini adalah orang yang sama yang mengamalkan konsep pagi raya takyah masak, gi makan rumah orang kenyang-kenyang.
Benda-benda macam ni kalau kita cakap direct kat orang tu, dia spin, dia kata kita tak menghargai tetamu.
Dia keluarkan segala dalil-dalil tentang adab menerima tetamu.
Padahal kalau tuan rumah tak beradap dengan tetamu, dah lama dia hambat kau keluar.
Tapi tak, dia terima je kau datang walaupun hati berkata-kata.
Dia terima je kau bertandang dari breakfast santak ke lunch walaupun sebenarnya dia berdoa bila la kau ni nak balik rumah.
Tuan rumah dah betul dah bab memuliakan tetamu.
Dia simpan rapat-rapat apa yang dia tak puas hati.
Yang tak reti bertamu tu kau!
Tau tak kalau bertamu tu jangan lepak lama-lama?
Tak tau kan?
Bukan tak tau, tapi taknak ambik tau.
Kalau kita cakap pasal ni dia spin katanya lain kali kalau taknak terima tetamu takyah jemput.
Agak-agak kalau tepek ni depan pintu dia nak kata apa :
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak makanannya! Namun, jika kamu diundang, masuklah! Dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa memperpanjang percakapan! Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi. Lalu, Nabi malu kepadamu untuk menyuruh kamu keluar. Dan Allah tidak malu menerangkan yang benar." (Al Azab, 53).