2014-12-07
Iktikad dan Aqidah
Bismillahirrohmanirrohim,
Persoalan iktikad dan kaedah ber'aqidah perlu diperhalusi untuk dibincangkan. Perbuatan kita yang menyerupai perbuatan penganut agama lain, juga perlu diperhalusi dan dita'akul dengan bijaksana.
Perbuatan dan pakaian yang dilarang, hanyalah yang berkaitan dengan perbuatan keagamaan, pakaian agama dan perbuatan agama. Contoh mudah, seperti memakai pakaian sami agama lain. Ini jelas dilarang.
Islam diturunkan kepada semua manusia, tak kira bangsa, keturunan, kebudayaan dan sebagainya. Nabi SAW dilahirkan dalam bangsa Arab maka pakaian Arab secara tak langsung menjadi pakaian Nabi.
Begitu juga dengan kebudayaan Arab, yang mana tidak bercanggah dengan suruhan Agama, ia juga menjadi kebudayaan Nabi.
Tapi Islam bukan untuk bangsa Arab sahaja, beratus beribu bangsa dan kebudayaan di dunia ini, beratus beribu kaedah pakaian di dunia ini, asalkan selari dengan kehendak agama, ia dibolehkan tanpa ragu.
Perbuatan tafakur, walaupun menyerupai perbuatan orang agama lain, ia tidaklah menyalahi untuk kita juga bertafakur dengan membaca apa yang bersesuaian dengan kehendak agama kita, sesuai dengan keadaan yang banyak. Atau tidak, berdiam sahaja dan ingat kematian kita di masa depan. Cukuplah.
Pakaian kita, pakaian mana-mana bangsa sahaja, asalkan mengikut garis panduan syarak, ia dibenarkan sama sekali. Tanpa ragu.
Agama Islam ini mudah, tapi tidaklah boleh dimudahkan. Ia mudah dalam erti kata sesuai diamalkan dan menjadi "cara hidup". Agama yang selari dengan "perjalanan" hidup kita sehari-hari. Setiap satu diajarkan mulai kita buka mata sehingga tutup semula.
Ada tidak agama lain yang ajarkan penganutnya doa bangun tido, doa masuk tandas, doa lepas keluar tandas, doa pakai baju, doa melihat diri sendiri dalam cermin, doa makan, doa keluar rumah, doa naik kenderaan, zikir dalam kenderaan, doa mula hujan, doa masuk masjid, doa keluar masjid, doa mula kerja, doa habis kerja, doa masuk rumah, doa nak tido...?
Masuk tandas kaki mana dan keluar tandas kaki mana juga diajar.
Inilah contoh cara hidup.
Ia mudah diamalkan, kalau tak boleh bahasa Arab, bacalah apa-apa bahasa yang diketahui, dengan makna yang bersesuaian. Tak salah langsung.
Inilah cara hidup yang diajar. Ini hanya hal-hal kecil dan remeh yang menjadi contoh tulisan ini. Jika hal kecil sebegini ada caranya, hal besar juga pasti diajar.
Tuhan hanya ada Satu. Semua makhluk bertuhankan Allah. Tak ada Tuhan lain yang mengatur hidup mereka, Allah-lah juga.
Allah, sebagai Tuhan, berkehendak semua hambaNya memilih jalan hidup yang baik, jalan hidup yang akan membantu mereka balik semua ke Kampung Akhirat dengan diredai. Kampung asal usul moyang kita, Adam dan Hawa.
Maka Allah sediakan jalan agama, sebagai memenuhi fitrah manusia juga. Sebab manusia memang mencari kepuasan spiritual disamping kekenyangan fizikal.
Hanya Islam agama yang diredhai. Semua Nabi dan Rasul mempunyai Aqidah yang sama.
Syariat berbeza mengikut zaman. Tapi Aqidah sama.
Islam tidak pernah menafikan hal ini. Islam memandang dan menyayangi semua Nabi dan Rasul. Termasuk Nabi Musa dan Nabi Isa.
Hanya umat Islam yang bersolat, "mengenang" Nabi-Nabi Allah dalam solat mereka, sehari 5 kali paling kurang. Umat agama lain, tidak begitu.
Islam mengajar dan menjadi amalan berselawat Ibrahimiyyah dalam tahiyyat akhir, antaranya menyebut "Ya Allah, selawat ke atas Nabi Muhammad, dan Keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Allah berselawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim, Ya Allah, berkatilah Nabi Muhammad dan Keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan Keluarga Nabi Ibrahim"
Keluarga Nabi Ibrahim merangkumi Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Yaakub, Nabi Ishak dan beratus mungkin beribu lagi.
Nak perincikan memang panjang. Memerlukan perhalusan. Agar tidak dipesong. Agar tidak timbul salah faham.
Jangan kita mudah memudahkan agama Islam ini dengan menyamakan ia dengan Agama lain, Islam itu tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam.
Bible sendiri menyebut tentang Nabi Muhammad di banyak tempat dalam kitab berkenaan. Maka kenapa kita perlu berasa ragu-ragu lagi?
Untuk memudahkan, bacalah buku karangan Sheikh Ahmad Deedat, Debat Agama. Boleh cari dengan mudah.
Jangan biarkan syaitan memperdaya kita dengan memudahkan isu Aqidah, mudah-mudahan pembaca Blog Diana ini dihindari dari gangguan keraguan seperti ini.
Wallahu'alam, wassalam.
Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana.