2014-11-01
Sedikit Pernisbahan
Perbuatan Solat dalam kitab Munyatul Musolli boleh dinisbahkan ia dengan satu tubuh badan. Sebagaimana kita lihat jejaka kacak seperti Aaron Aziz atau Keith Foo atau lihat wanita jelita seperti Neelofa dan Anzalna, kita juga sepatutnya ingin lihat solat kita "jelita" dan "kacak".
Solat yang terdiri ia atas rukun dan perbuatan sunat, terbahagi kepada beberapa bahagian.
Pertamanya dipanggil rukun, yakni kewajipan dikerjakan di dalam solat.
Jika tinggal, maka batal solat itu atau batal rakaat itu.
Ini dinisbahkan kepada KEPALA bagi sesebuah jasad.
Tak mungkin ada jasad yang "kacak" atau "jelita" tanpa kepala.
Adapun rukun solat ada 12 atau 13 bermula dari takbiratulihram sehingga salam.
Tak sesuai diperincikan semuanya dalam tulisan yang terhad ini maka rujuklah ke kitab-kitab dan kuliah-kuliah berkenaan.
Pembahagian kedua dipanggil "sunat ab'adh", iaitu sunat-sunat yang besar yang mana jika ditinggalkan disunatkan pula ditampung dengan sujud sahwi.
Dalam mazhab Syafie diringkaskan kepada 2 sahaja iaitu meninggalkan tahiyyat awwal dan meninggalkan qunut pada solat subuh.
Maksudnya, sekiranya tertinggal tahiyyat awwal dan qunut, maka sunat ditampung dengan sujud sahwi.
Sunat ab'adh ini dinisbahkan sebagai anggota-anggota berat bagi manusia iaitu TANGAN DAN KAKI.
Jika tiada, akan cacat nyata sekujur tubuh itu.
Tak dapat dipanggil orang kacak atau jelita tanpa adanya tangan atau kaki.
Begitulah resamnya.
Pembahagian ketiga dipanggil "sunat hai-at" yakni sunat-sunat yang ringan dan dinisbahkan sebagai perhiasan dalam solat sepertimana KUKU, RAMBUT, KULIT dan sebagainya.
Bagi manusia, kekacakan dan kejelitaan pasti perlu lihat aspek ini, walaupun kecil.
Meninggalkan sunat hai-at tidaklah menjejaskan solat tetapi mengurangkan pahala solat.
Dari aspek kacak dan jelita, ia mencacatkan penampilan sahaja. Maknanya, takdela hensem.
Macam tu lah.
Dan sunat hai-at itu banyak sekali.
Setelah ada jasad, ada kepala, ada anggota berat, ada perhiasan kuku, bulu, kulit dan rambut, maka lengkaplah jasad manusia untuk dinilai kekacakkan atau kejelitaan.
Walauapun semua itu ada, tapi sekiranya baring kaku tak bernyawa, ia juga takkan dipanggil kacak atau jelita.
Ia di panggil mayat.
Maka roh perlu ada sama, maka lengkaplah.
Begitulah juga solat, perlu ada roh untuk melengkapkan ia sebagai jasad kacak jelita yang hidup.
Roh dalam solat dipanggil KHUSYUK.
Selama ini, saya percaya banyak solat kita merupakan seperti jasad tidak bernyawa.
Ini memang tanda akhir zaman yang diketahui.
Telah dinyatakan bahawa "Tanda kiamat paling awal ialah, diangkat khuysuk dari solat sehinggakan dalam satu masjid tidak ada seorang pun yang khusyuk".
Marilah kita berusaha supaya solat kita hidup, tidak mati.
Muka hensem pun, kalau mati tetap takkan dipandang mahupun dikehendaki.
Begitulah juga dengan solat. Hidupkan solat kita. Cari 'roh'nya.
Wallahu'alam, wassalam.
Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana