2026-06-11

Mok balik Putra Heights - Part 1

Hari ni mok Day 1 di Putra Heights selepas balik Tganu bulan Nov tahun lepas. Kali ni mok balik sini bawak bibik. Duduk sini sampai September, sampai Redza balik.

Sampai je rumah semalam, mok macam excited sangat. Dia turun je kereta terus tuju ke pintu. Beg tangan dia pun dia tak ambik. Masuk-masuk je rumah cari Rayyan and Redza dulu. Budak-budak ni kat atas masa tu. Aku cakap nanti mok, lepas Maghrib dorang turun. Sebab kitorang sampai dah nak Maghrib.

Mok terus tuju dapur. Kau tau dia buat apa?

Dia bukak kabinet dulu, gaissss. Satu, satu dia bukak. Aku dah seram sebab banyak tupperware aku dah buang. Hahaha. Dalam hati aku berdoa mintak-mintaklah dia dah lupa semua tupperware tu.

Pastu dia check apa ada dalam frigde and freezer.

“Banyoknya barang. Tak muat nak letak ni”

Dia bawak kayu keramat, kepok lekor, durian. Rumah dia kan dah banyak sayur-sayuran bibik tanam. Serai 2 ikat besau! Dengan daun limau, daun kesum, daun kari, daun kunyit. Semua dia bawak. Nasib baik aku tak shopping barang basah lagi. Kalau tak, memang jenuh nak sumbat barang-barang yang dia pack dari kampung.

Oh. Cerita pasal durian.

AKU BERJAYA, GAISSS!

Berjaya menahan diri dari muntah-belahak dalam kereta. Gila wehh, bau durian dari Manir sampai Putra Heights! Sesabar itu rupanya aku. Sampai je rumah aku terus mandi shampoo segala. Rasa macam sampai ke kulit kepala bau durian.

Ok sambung cerita mok.

Pastu mok tengok balang keropok dah kosong. Sebelum dia tanya, aku jawab dulu.

“Hari-hari Diana goreng kepok, mok. Anak mok asal masuk dapur je cari kepok dulu (apa-apa hal aku salahkan anak dia dululah). Hari yang nak balik ambik mok je Diana tak sempat goreng. Kalau tak, penuh sokmo balang ni”

Gituuuuu aku selamatkan diri.

Pastu kitorang tunjukkan bilik baru dia. New katil, new room. Sukalah dia ada bilik baru. Bilik bibik kat sebelah. Berjiranlah dia dengan bibik.

Pastu dia ke laundry area. En Wan tengah keluarkan baju dari dryer.

“Ni dah kering ke? Biar…biar. Nanti mok suruh bibik lipat gosok. Dah letak. Letak. Biar”

Cepat-cepat aku pilih spender-spender. Pastu aku ambil semua baju-baju aku. Yang lain tu nak lipat ke, gosok ke, silakan. Aku punya kenot. I punya baju I buat sendiri.

Pastu Redza and Rayyan pun turun. Halah halahhhh kemain jejak kasih. Berpeluk-peluk dengan Redza. Cargas mok dapat jumpa cucu. Bibik pun terkejut mok namapk bertenaga. Seronok agaknya. Makan pun banyak. Bibik kata kalau kat rumah sikit je makan. Semalam dia makan sambal ayam banyak. Kemain lagi berdua bersembang dengan Redza dalam bilik.

Pagi ni aku turun ke dapur tengok atas island dan bersusun tuppwerware and periuk. Terkejut I. Rupanya dia dah start inspection, ya. Awal operasi bermula.

Aku tengok frigde semua barang dah berubah kedudukan. Bibik dah siap mengemop.

Aku pun damage control lah apa lagi. Dah terbangun lambat, kan.

“Jap lagi Grab datang. Diana order roti canai dah. Mok lama tak makan roti canai, kan? Nanti bibik makan dengan mok, ya”

Pastu mok tanya “Diana, mana baju nak gosok? Bawak turun. Bibik buatkan”

Ya ya. Jap lagi bawak turun.

Terus aku zasssss naik bilik. Laju-laju gosok baju sikit. Taknaklah bawak turun semua. Nampak nau pemalasnya khennnn.

En Wan nampak aku menggosok.

“Apesal gosok? Bagi je bibik. Sampai bulan September gaji bibik abang bayar sorang. Awak suruh je bibik buat apa-apa. Takyah penat-penat gosok”

Alahh yang ini pun kot ye pun nak green forest coverlah sikit. Janganlah nampakkan sangat bini ni pemalas. Biarlah antara kita berdua je. Mbhahahaha.

Tadi masak aku nak letak garam dalam periuk nampak bekas garam and kunyit aku dah penuh. Dalam hati aku “Alamak, mok dah berjaya jumpa mana aku simpan kunyit dengan garam. Mesti dia pelik apesal bekas ni tak berisi. Tak masak ke menantu aku?” 

Dahlah semalam masa sampai rumah aku tak sempat nak sorok pek nasi ready-to-eat. Berpek-pek ada dalam kotak.

Mok tanya apa benda ni. Dengan tenang aku jawab “Nasi putih ni, mok. Beli yang dah siap. Kat rumah ni abang je makan nasi putih (sekali lagi salahkan anak dia). Adik tak makan nasi. Dia pun jarang. Jadi kalau nak masak untuk abang je, sayang nanti nasi tak habis. Belikan yang dah siap ni tinggal masuk dalam microwave je”

Phewww! Sebelum dia syak aku tak masak, aku kena bagi explanation yang padu dulu.

Setakat 4.30 pm tadi, Day 1 dilalui dengan cemerlang. Seorang Diana dah tunjuk bibik cara masak sambal udang petai and fishball soup dari ikan tenggiri. Sukses!

Esok pagi aku ajar buat nasi goreng pulak. Biar lepas ni hari-hari Redza and Rayyan breakfast nasi goreng je. Aku, boleh sambung tido.

Mok nampak happy kembali ke rumah yang dia duduk for 15 years. Bibik bagitau mok ceria betul. Aku cakap yelah, ini rumah dia. Dia kenal sangat mana dia simpan barang, mana nak simpan baju Rayyan and Redza. So dia rasa macam dia jumpa life dia balik.

Bibik kata mok semalam bagitau dia “Berasa tak nak balik Tganu dah”

See? Walaupun menantu dia sejenis hantu, dia gembira.

Aku cakap biarlah dia nak duduk sini pun. Dekat dengan anak kesayangan dia and cucu yang dia bela. Hujung-hujung minggu anak cucu yang lain boleh datang jenguk. Kalau kat sana, payah nak balik.

Tahun depan turn raya Tganu. Kalau mok masih duduk sini, aku rasa nak hasut mok raya sini je. Biar semua kumpul sini. Aaaaa gitu. Nampak tak perangai menantu hantu dia dah start?