2025-09-23

Malas itu pilihan


Sejak 31 Ogos hari tu berbondong warga Thread hantar bantuan makanan kat rider Grab/Ojek di Indonesia. Kat sana tengah kalut hari tu ada demo, jadi rider-rider ni ramai terkesan. Bila dah ramai-ramai pakat hantar bantuan makanan tu, some rakyat Malaysia kat Thread bengkek. Katanya beria nau nak tolong orang luar, kat Malaysia ni takde orang susah ke?

SCREENSHOT FACEBOOK TADI ADALAH JAWAPAN KENAPA MALAS NAK TOLONG ORANG SUSAH DI NEGARA SENDIRI.

Cerita-cerita macam ni bukan baru. Banyak dah orang share. Tu belum lagi yang biasa join sedekah makan kat gelandangan. Kemain demand lagi dorang ni. Sebab apa? Dah biasa dibantu. Sebab kalau tak dibantu, kerajaan zalim. Kalau tak dibantu, T20 zalim. Kalau tak dibantu, orang lain menjawab kat neraka. Memang dia je ahli syurga.

Hakikatnya, itulah yang berlaku. Orang miskin negara kita Malaysia ni tak sampai ke tahap melarat macam negara lain. Kat Indonesia tu aku tengok ada yang standby tepi lori beras. Tunggu je time orang angkat-angkat guni beras kalau ada beras yang jatuh sikit-sikit tu dia kaut letak atas tapak tangan. Berapa genggam je yang dapat menunggu beras jatuh? Segenggam tak lepas.

Aku baca respond rider-rider Grab Indonesia yang say thank you kat rakyat Malaysia, sambil mintak izin boleh ke ambil 2-3 bungkus nasi bawa balik rumah bagi anak-anak merasa. Allah, sebaknya aku. Kita kat sini 2 hari sekali beli makanan Grab sampai sendiri mengeluh balik-balik order makanan yang sama. Dorang tu ada yang tak pernah merasa donut!

Aku kan sampai malas nak menyumbang kalau muncul cerita-cerita asnaf sekeluarga takde tempat tinggal, kena halau dari rumah sewa, duduk bawah jambatan. Entahlah. Sama macam orang yang datang kat aku nak meminjam duit. Macam-macam cerita sedih aku dengar. Ada yang sanggup menipu suami meninggal takde duit nak urus jenazah. Bulan depan mak pulak meninggal. Pun dia cari aku nak meminjam padahal aku tak kenal dia pun. Yang best tu, mesej aku via DM Instagram. Apa tak jual je smartfon kau tu buat modal kebumi keluarga kau? Geram pulak aku.

Sekali imbas memang simpati. Just like screenshot FB tadi. Lima beranak, anak-anak kecik, kena halau dari rumah sewa sebab tak mampu bayar, tido kat semak, tido kat kaki lima, motor rosak. Semua serba tak kena. 

First time baca memang akan kata, “Kesiannya… ada akaun number tak nak transfer”. Bila dah viral, sekejapan turun NGO, orang surau, celebriti, restoran - semua offer bantuan. Sanggup bagi peluang kerja. Bukan tempat tinggal je percuma, makan minum, susu anak, pampers, motor lengkap insurans dibagi. Penyudahnya? Macam apa yang ditulis tu lah.

Inilah contoh klasik kenapa aku always kata orang malas selalunya miskin. Miskin dorang ni bukan sebab takde rezeki, tapi sebab perangai. Dah dibagi peluang, dibagi kemudahan, ditolong, tak reti-reti nak grab semua pertolongan tu dengan baik. Sebab apa? Sebab dorang sebenarnya memang enjoy hidup susah. 

Dorang ni takde mindset nak jadi kaya dan berjaya. Dorang punya mindset cuma nak hidup senang. Senang tu dari segi takyah kerja, duit dapat. Takyah masak, makanan sampai. Takyah bayar sewa rumah, duduk free. Mentaliti hauk-sehauk-hauknya.

Ramai orang marah bila aku cakap macam ni nanti. Nanti katanya tak boleh pukul rata, tak semua orang miskin tu malas, ada yang betul-betul susah. Betul. Aku setuju. Ada orang miskin yang betul-betul diuji, dorang dah kerja keras tapi nasib tak menyebelahi. Ada orang yang lahir dalam keadaan serba kekurangan tapi gigih cari jalan keluar, usaha siang malam, walaupun hasil tak banyak, sekurang-kurangnya dorang cuba. Tapi jangan lupa, ada juga satu golongan yang memang selesa jadi miskin. Dorang jadikan alasan miskin tu tiket untuk ditolong.

The most basic thing that people refuse to understand is, MALAS ITU PILIHAN. Bila kita malas nak usaha, malas nak kerja, malas nak appreciate peluang yang ada, malas nak berubah, maka akibatnya MISKIN. 

Miskin bukan datang sekelip mata, ya. Miskin ni hasil daripada pilihan-pilihan malas yang dibuat berulang kali. Malas bangun pagi nak kerja, malas bertahan dalam pekerjaan, malas nak cari penyelesaian bila ada masalah, asyik berharap orang lain hulur tangan. Akhirnya, dorang miskin bukan sebab orang sekeliling tak peduli, tapi sebab dorang sendiri tak peduli nasib diri.

Contoh keluarga dalam artikel FB tu dah jelas. Semua benda ditanggung. Rumah percuma. Makan percuma. Motor baru. Insurans dan cukai jalan dibayar. Pampers, susu anak-anak ditanggung. Peluang kerja depan mata. Kalau orang biasa yang benar-benar nak berubah, bersyukur dapat semua ni. Tapi dorang ni apa? Lari. Macam tak pernah diajar untuk menghargai pertolongan. Ini bukan tak mampu, tapi tak mahu.

Jenis yang selesa hidup melarat ni, dorang semacam allergik dengan kemudahan. Dorang jadi mati kutu bila segalanya mudah. Sebab selama ni dorang hidup atas mode survival paling minimum. Bila dibagi peluang untuk upgrade life, dorang jadi gelabah. Macam orang yang biasa tidur atas lantai, tiba-tiba disuruh tidur atas tilam, bukannya rasa selesa, tapi janggal.

Ada orang selesa dalam struggle sebab dah terbiasa. Hidup melarat tu jadi normal. Bila diberi kemudahan, dorang rasa macam hilang identiti. Jadi dorang sabotage diri sendiri supaya boleh balik semula kepada keadaan asal sebab kat situlah dorang rasa “selamat”.

Masalahnya, bila terlalu lama selesa hidup dalam kekurangan, dorang punya mindset tu dah set yang itu je tahap hidup dorang. Dapat lebih sikit, terus rasa burden. Suruh kerja, tak nak. Suruh usaha, mengelat. Akhirnya dorang cari alasan dan lari, sebab nak maintain status quo hidup melarat. Bila mentaliti malas nak berubah ni ada dalam diri seseorang, semua kemudahan kau bagi dia akan anggap beban. Inilah punca kenapa ada orang makin ditolong, makin rosak. Bukan tak mampu, tapi tak mahu.

Dah terbiasa hidup dengan bantuan, mana maunya kerja walaupun kerja dah tersedia. Peluang untuk berdikari tu to them, umpama hilang comfort zone. Bila orang lain bagi makan, bagi tempat tinggal, bagi motor, dorang rasa itu adalah budi dan dorang tak nak terikat untuk membalas budi tu dengan terpaksa menjadi rajin. Ini dorang tak nak. Dorang nak santai-santai bermalas-malasan.

Orang yang betul-betul nak berubah akan nampak sekecil-kecil peluang as batu loncatan. Tapi dorang ni peluang besar pun buat tak reti. Macam kerja. Dorang tak nak kerja sebab kerja memerlukan effort. Dorang lebih rela hidup melarat sebab dah biasa dengan shortcut. Tu pasal orang yang biasa buat kerja sedekah makanan kat gelandangan dah faham sangat mindset gelandangan kat Malaysia ni. Bila banyak kali ditolong, lama-lama dorang demand. Siap boleh komplen "Balik-balik makan ni je?". Ada yang kata gelandngan ni mencebik-cebik kelebet makanan yang dioffer. Kalau tak menarik, tak ambik.

Gelandangan ni bukan semuanya tak berduit. Ramai yang ada kerja. Dorang cuma takde rumah je. Sebab tu dorang jadi demanding. Lain kali takyah dibantu dengan makanan. Biar dorang beli makanan sendiri. Ah aku mulalah nak bagi yang pedih-pedih je ni.

Sebab itu bila kita dengar pusat zakat atau NGO buat macam-macam prosedur ketat untuk tapis siapa yang layak dapat bantuan, ramai yang komplen. Katanya kenapa susah sangat, kenapa macam nak soal siasat, kenapa kena isi borang, kenapa kena bawa dokumen macam-macam. Jawapannya, sebab terlalu ramai orang macam asnaf sekeluarga tadi. Kalau semua orang miskin tu jujur, zakat tak perlukan prosedur serumit tu. Tapi sebab wujud golongan malas yang ambil kesempatan, prosedur tu jadi perlu.

Kita kena faham, zakat tu duit orang ramai. Itu amanah. Kalau dibagi semudah-mudahnya tanpa tapis, nanti ada yang ambil kesempatan. Ada je yang mampu kerja tapi buat alasan. Ada yang lebih sanggup menipu daripada berusaha. Pusat zakat takde cara lain selain jadi tegas, walaupun akibatnya ada orang miskin yang betul-betul layak tak dapat bantuan.

Kalau kita perati, pattern orang malas yang miskin ni sama je.

1. Dorang pandai reka cerita sedih. Dorang ada skill tarik simpati. Anak kecik, motor rosak, tidur tepi jalan. Ni semua jadi modal.
2. Dorang tak pernah salahkan diri sendiri. Yang salah sentiasa keadaan, nasib, orang lain dan dunia. Diri sendiri tak pernah salah.
3. Dorang prefer shortcut. Kalau dibagi sumbangan, seronok. Kalau disuruh usaha, lari.
4. Dorang takde motivasi. Baru kerja dua jam, mengeluh, dah rasa berat, dah tak sanggup.
5. Dorang tak tahu menghargai. Rumah free, makanan free, kerja dapat - semua dorang anggap biasa je, takde yang special.

Teringat Dr MAZA cakap pernah dorang bagi bantuan oven untuk some people. Kot lah boleh buat kuih, meniaga. Harammmmm. Bulan ni bagi, bulan depan datang follow up, oven tu ada bawah rumah dah. Tak larat katanya. Bukan tak larat, tapi sebab dah biasa mengangkang, memanglah buat kerja sikit dah rasa letih. Mengote tak penat-penat pulak. Setahun sekali beranak.

Perangai macam ni lah yang buatkan hidup dorang takkan berubah. Dorang miskin bukan sebab takde peluang, tapi sebab tolak peluang. Dorang susah bukan sebab orang tak tolong, tapi sebab diri sendiri tak nak ditolong.

Disebabkan puak-puak inilah orang yang betul-betul miskin tak dapat apa yang sepatutnya dorang dapat. Kita pun jadi skeptikal bila dengar kisah-kisah miskin.

“Betul ke susah? Betul ke layak ditolong?"

Lama-lama masyarakat hilang rasa simpati. Bila hilang simpati, yang betul-betul susah jadi mangsa.

Orang malas ni sebenarnya jadi contoh buruk kepada next generation. Anak-anak dorang membesar dengan mentaliti “kalau susah, nangis je, nanti ada orang tolong.” Anak-anak tak diajar nilai usaha dan kerja keras sebab mak bapaknya takde nilai-nilai tu. 

Anak-anak kita semua akan mewarisi apa yang mak bapak contohkan. Sebab tu kemiskinan yang diwarisi adalah kerana mak bapaknya takde value. Kalau mak bapak B40 tapi ada mindset berjaya, kemiskinan tu akan habis takat mak bapak je. Anak dia nanti akan berjaya.

Bukan semua orang miskin itu malas. Tapi ramai orang malas memang akhirnya miskin. Kisah keluarga dalam artikel tadi cukup untuk tunjuk yang betapa banyak pun bantuan kau hulur, kalau dah namanya malas, sia-sia je lah.