2023-01-13

Aku tak rasa aku boleh terima poligami.


Tadi nampak artikel sorang perempuan ni kata "Kami berempat hidup bahagia je" (lebih kurang ginilah).
Referring to hidup poligami, husband dia kawen 4.

Benda melibatkan hati dan perasaan ni susah sikit kalau nak disamakan dengan orang lain.
Ada orang sanggup hidup poligami walau sebenarny tidaklah bahagia benar, hanya sekadar berkorban saja.
Ada orang lain pula rela bercerai dari hidup berkongsi sebab baginya buat apa hidup sekadar hidup sedangkan tak bahagia.
Ada orang, kawen lelaki tua berkedut tak kisah janji kaya.
Ada orang lain, tak kisah susah senang bersama asalkan kawen suka sama suka.
Inilah namanya pilihan.
Bak kata mak mertua aku yang pernah hidup bermadu.
Dia kata "Mana ada orang hidup bermadu betul-betul bahagia? Dia cuma pilih untuk taknak bergaduh je".

The keyword is PILIHAN.
Memilih untuk berdiam.
Memilih untuk bersabar.
Memilih untuk berkorban.

Aku tanya mok, mok terpikir tak nak cerai?
Mok cakap dia pernah bercerai dengan arwah ayah. Tapi rujuk.
Selepas rujuk baru dapat En Wan.
Selepas dapat En Wan, arwah ayah kawen lagi. Tapi mok tak pisah.
Mok kata kali kedua kawen semula, dia hanya fikirkan anak sebab En Wan masih kecil.
Mok cakap anak lelaki yang membesar tanpa ayah, perangainya akan jadi lain.
Dia taknak itu berlaku pada anak lelaki dia. Jadi, dia bertahan.
Maknanya kali kedua berkahwin mok dah bukan lagi fikirkan tentang kebahagiaan dia tetapi masa depan anak.

So nampak tak kat sini, bagi isteri pertama, poligami tu sebenarnya pahit.
Terpaksa mengalah dan memujuk hati sendiri demi masa depan yang lebih terjamin.
Yang kata bahagia tu pasti dia bukan yang pertama.
Cuba kalau kau jadi yang pertama, suami kau kawen lain, agak-agak boleh terima?
Kalau kau adalah yang kedua, duduk diam-diam dulu.
Esok datang yang ketiga baru aku tanya pendapat kau. 
  
Tak kurang juga ada yang jadi isteri kedua, tapi akhirnya sedar bahawa marriage tu tak bahagia sebab suami banyak lebihkan isteri pertama.
Hujung-hujung berpisah.
Itu juga bukti bahawa takde orang yang benar-benar bahagia bila berkongsi suami.
Yang ada hanyalah willing untuk berkorban dan mengalah.

Arwah ayah En Wan pernah cakap kat aku "Kalau anak-anak ayoh nak kawen lagi, ayah tak setuju. Sebab ayoh rasa dah. Toksohlah".
Walaupun ayah kekal ada 2 isteri hingga akhir hayat, aku tahu hingga ke penghujungnya dia masih berusaha untuk balancekan perhatian, tanggungjawab dan menjaga hati 2 keluarga.
Tapi aku syukur sangat setahun sebelum ayah meninggal, arwah ayah nampak En Wan salam mak nombor sambil hulur duit, tanda dia dah boleh terima mak kedua dalam keluarga.
Masa tu terpinga-pinga mak nombor 2 dapat duit dari En Wan.
Bergenang airmata ayah masa peluk aku. "Terima kasih, Diana".
Maybe dia tahu aku pujuk En Wan untuk terima mak kedua.

Aku pujuk En Wan untuk terima mak nombor 2 bukan sebab aku setuju poligami.
Bagi aku, poligami ni urusan mak dan ayah. Rumahtangga dia. Hati dan perasaan dia.
Anak-anak tak payah nak ikut campur.
Lagipun arwah ayah tak pernah tak balik rumah. Tak pernah tak bagi nafkah.
Hari-hari balik rumah.
Kalau hari ni tido rumah mok, pagi tu breakfast di rumah.
Kemudian keluar tengok kebun, tengahari lunch rumah sana pula.
Kalau malam tu tido rumah sana maknanya esok pagi breakfast sana, lunch pula di rumah mok.
Aku tengok pun letih.
Maybe inilah yang arwah ayah cakap kat aku dia tak setuju anak-anak lelakinya kawen ramai. Penat.

Menjaga hati lebih payah dari menguruskan perbelanjaan 2 isteri.
Hari ni isteri di sini merajuk, esok isteri di sana merajuk.
Hari ni isteri di sini buat perangai gini, esok isteri di sana buat perangai gitu.
Last-last diri sendiri tak merasa bahagia pun.
Hanya mem-balance-kan perhatian sampai ke sudah.

Aku tak rasa aku boleh terima poligami.
Sebaik mana pun suami tu cuba mencukupkan keperluan, itu dan ini -- nope. I don't think I can do that.
Lebih baik berpisah daripada hidup bersama sebab like I always say -- MY MENTAL HEALTH IS VERY EXPENSIVE.
Aku mahu peace.
In order for me to experience peace, aku perlu ada ketenangan.
Kalau hati aku tenang, fikiran aku tenang, insyallah tenang jugalah hidup kau.
Tapi kalau aku tak tenang disebabkan kau, sebelum blah aku taboh kaw-kaw dulu.
Kau dengan penyondol tu, keluarga kau, keluarga penyondol, kawan, followers FB, dengan bos-bos kau sekali aku taboh.
Call me saiko? Sukati.

Rasanya dalam mana-mana keadaan, bila ditanyakan apa sebenarnya formula hidup berpoligami, jawapannya mesti -- berlapang dada, fahami bahawa suami itu hanya pinjaman, bersabar, banyakkan mengadu pada Allah, etc.
Maknanya tidaklah benar-benar bahagia, kan? Entahlah, formula poligami ni jarang yang jumpa bahagia. Banyaknya hanya pasrah.

Satu kisah sumber riwayat HR. Bukhari dan Muslim.
Perasaan cemburu yang tak terbendung pernah buatkan Aisyah cakap perkataan yang kurang baik terhadap Khadijah.
"Apa yang dapat kau lakukan dengan perempuan tua yang kedua sudut mulutnya berwarna merah? Padahal Allah telah memberi ganti untukmu dengan yang lebih baik darinya".

Rasulullah saw menjawab, "Demi Allah, Allah tidak menggantinya untukku. Ia beriman padaku ketika yang lain ingkar, ia membenarkanku ketika semua mendustakanku, ia melimpahkan hartanya padaku ketika semua orang menyembunyikannya, dan darinya Allah memberiku keturunan."

Itu isteri Nabi, ya.
Pun ada perasaan cemburu pada Khadijah yang dia tak pernah jumpa pun!
Dan Aisyah juga pernah menghempaskan pinggan ketika Rasulullah saw balik dari rumah isterinya yang lain membawa bekal.

Betapa menerima kehadiran orang lain dalam rumah tangga tu tidak mudah untuk diterima.
Ia proses yang mengambil masa.
Kalaupun satu hari nanti isteri pertama dah cool, belum tentu dia dah boleh menerima.
Dia cuma tak kuasa dah nak mikir pasal kau.
Aku faham, ada beberapa situasi, isteri kedua atau ketiga yang dikahwini adalah someone yang perlu diselamatkan.
Contohnya, kahwin kerana agama, kerana kesempitan hidup, atau kerana mahu selamatkan si perempuan dari maksiat. Ini bagus.
Tapi bukan itu yang aku argue.
Kau nak kawen lain kerana niat yang mulia bukan kerana nafsu -- bukan itu yang aku argue.
Yang aku cakap ni adalah soal hati. Hati isteri pertama yang pasti terguris walau baik mana pun alasan kau.
 
Orang perempuan ni, selagi dia merempan, itu tanda dia masih sayang.
Kalau isteri kau merempan ke, cakap kesat kat kau ke, sebelum kau tuduh bini kau saiko, kau tengok balik apa yang kau dah buat.
Takde orang yang gila nak merempan tak bersebab. Mesti ada sebab.
Kau tunggu esok bila dia senyap. You should be scared.
Bila isteri dah diam, maknanya kau dah tak penting dalam hidup dia.
Hati dia dah hancur.
Hati kalau dah hancur, takde apa dah yang boleh menambah hancurkannya lagi.
Masa tu kau buatlah apa pun, dia dah tak rasa apa.
Habis kuat pun dia pandang kau and cakap "Kesian".