2021-05-31

Beban kenduri kawen.


Every year mesti ada yang minta tulis topik ni.
Ini pun semalam ada yang minta aku cakap pasal ni.
I guess ini masalah yang valid sepanjang zaman.  
Siap tanya "Esok kalau Redza kawen Kak Di suruh dia simpan duit atau Kak Di cover semua?"

Eh, dah kenapa pulak aku nak kena cover, dia yang nak kawen?

Tapi dalam plan aku and En Wan, kalau anak kawen esok, belanja kenduri duit kitoranglah, sebab dah tentu-tentu yang ramai jemputan dari kalangan kawan-kawan mak bapak.
Selalunya mana-mana majlis kawen yang ramai memang jemputan mak bapak, secara lojiknya mak bapaklah yang patut keluar duit untuk kenduri.
Dari pemerhatian and pengalaman aku melalui kenduri-kendara dari kalangan orang-orang yang aku kenal, bila mak bapak tak keluar duit tapi jemputan dia paling ramai, selepas majlis akan muncullah keluhan-keluhan macam dalam screen shot tu.

Some parents over bab kenduri kawen.
Seluruh pelusuk kampung nak dijemputnya, tapi duit dia tak keluar pun.
Lepas tu demand macam-macam.
Ini aku cakap sebab aku pernah berdepan dengan pengantin yang alami situasi macam ni, ya.
Bukan reka cerita.
Budak tu bekerja tak sampai berapa tahun, dah dimintaknya buat majlis itu ini.
Siap dia pulak yang mengatur goodies apa nak bagi kat tetamu.
Tapi dia keluar air liur je lah, anak dia yang tertonggeng-tiarap nak sediakan semua demi nak jaga ego parents.

Alhamdulillah, kenduri kawen aku dan adik-beradik lain, duit kenduri semua duit Pak Aji and Mak Aji.
Memang dorang dah cakap "Duit kenduri mama tanggung tapi duit kau nak mekap, duit hantaran, tu semua atas kau".
Memang lega banyak.
Paling lega En Wan lah, duit hantaran pun tak bawak.
Actually dia bawak duit hantaran tu.
Dari majlis bertunang Pak Aji dah bagitau taknak duit hantaran.
Tapi pakcik aku yang jadi wakil keluarga rasa macam tak sedap pula kalau kata tak mahu hantaran, jadi dia kata "Terpulanglah pada Diana and Wan untuk decide".
So we both decide ikut tarikh bersanding 5 May 2001 = RM5520.01 (memang satu sen ni ada dalam hantaran yang dia bawak tu).
Tapi Mak Aji pulangkan balik kat En Wan. Dia tak mau.

Kenduri aku masih style rewang.
Seminggu sebelum majlis dah bersoseh jiran-jiran datang rumah siapkan itu ini.
Anak sulung selalunya jemputan yang datang memang ramai.
Orang kat situ naik takut tengok jemputan yang datang punyalah ramai.
Dah pukul 3pm masih menderu.
Nasi kawah masak sampai 3 kali (termasuk yang pertama kali masa).
Maunya tak ramai, Mak Aji punya nombor pekerja 506 kot.
Maknanya dia orang yang ke-506 bekerja di UKM. Kira otai ni.
Dah tentu jemputan dia ramai.
Pak Aji pulak Pegawai Pendidikan Selangor Bahagian Disiplin dan Kaunseling.
Sekolah mana yang takde unit kaunseling kau bagitau aku?
Cikgu sekolah punyalah ramai yang datang.
Kebanyakkannya cikgu kaunseling sekolah-sekolah Selangor.

Bayangkan kalau aku yang kena keluar duit kenduri?
Berapa banyak aku nak spend untuk kenduri kalau gitu punya ramai?
Jemputan aku ada la 50 orang. Tu pun tak sampai kot.
Geng Dusty Pink berapa kerat je.
Semua masih single waktu tu, aku yang pertama sekali kawen.
Kawan sekolah aku berapa kerat je. Memang tak sampai 50 orang.
Kawan-kawan En Wan (geng study Jepun) semuanya datang ke jemputan belah aku tapi tak ramai mana.
Geng-geng En Wan sporting, dari majlis bertunang lagi dorang datang beramai-ramai bagi support kat En Wan.
Dah macam majlis nikah time bertunang dulu.

Mujurlah mak bapak aku faham dan sedar tak sepatutnya anak dia dibebankan dengan duit kenduri.
Memang tak adil pun kalau aku yang kena keluar duit kenduri sedangkan jemputan aku tak sampai 50 orang.
Baik aku celebrate kat cafe je.
Duit pelamin, duit bilik pengantin, kenduri, goodies, kad kawen --- semuanya free.
Kitorang keluar duit untuk persalinan pengantin, baju nikah, duit tempah baju, duit mak andam, duit urusan nikah, barang-barang hantaran and 100 keping kad kawen.
100 keping kad kawen ni kitorang bagi kat jemputan kitorang je (kawan and ofismate). Itu pun berlebih.
Itu bukti bahawa jemputan pengantin tak ramai mana.
Oh, lagi satu aku ada cover 50 batang bunga pahar yang dibuat sendiri.
Padahal Mak Aji dah tempah 100 bunga telur dah atas pelamin tapi aku nak merasa jugaklah menggentel bunga telur sendiri.

Itu je belanja kawen kitorang dari duit sendiri.
That's why masa kenduri takde kek kawen sebab tak cukup bajet.
Mak aku cakap nak potong kek pakai duit sendiri. Hahahaha.
Alhamdulillah, walaupun Mak Aji tu kadang macam naga jadian bila naik hantu, tapi dia ada common sense.
Dia tau tak patut nak bebankan anak menantu untuk kenduri.
Memang kitorang takde hutang mana-mana lansung demi nak kawen.
Takde buat personal loan, takde apa.
Masa tu kredit kad pun takde.
Konsepnya, takde buat cara takde.

En Wan lagilah, gaji pertama pun tak masuk lagi.
Masing-masing guna duit simpanan sendiri untuk cover apa yang patut kitorang cover.
Nampak macam tak banyak kan, tapi kena ingat, waktu tu gaji aku sebagai Research Asisstant hanya RM1400 je.
Tolak itu ini, RM1200+ je dapat.
Dengan duit tu la bulan-bulan aku kena simpan.

Memang aku duduk dengan mak bapak, tak payah bayar sewa.
Tapi aku sewa kereta (upah orang) untuk hantar and kutip aku dari/ke stesen komuter, RM50/sebulan.
Tiket komuter and LRT pergi balik kerja lagi.
Makan minum di tempat kerja lagi.
Tak masuk lagi keperluan peribadi yang mesti beli tetiap bulan.
Allowance untuk Ibal RM50 every month (yang ni tak perlu pun tapi Mak Aji kata takyah bagi duit kat dia, kalau nak bagi duit sangat bagi kat adik aku yang itam tu).
Masa ni aku rela tak pakai henfon dan jarang (i mean sangatttttt jarang) beli baju.
Nasib baik baju kurung Mak Aji banyak.
Dapatlah bertukar-tukar baju kurung pi kerja, macam-macam pesen. Kahkahkah.

Dengan duit gaji itulah aku menyimpan ikat perut macam nak rak demi nak cover kos-kos kawen.
Kalaulah aku yang kena cover segala urusan kenduri, agaknya tahun lepas baru aku kawen.
Aku bersyukur Mak Aji and Pak Aji sanggup tanggung sebahagian besar kos kawen aku.
Tapi aku taklehlah demand macam-macam - nak dulang girls pakai sedondon, nak khemah scallop, nak chiavari chair, nak pelamin 6 tingkat, nak buat kat dewan, nak ada rombongan penari zapin, yada yada yada.
Apa yang dia sediakan, aku syukur dah.
Takde lah koman sangat pun majlis aku.
Biasa-biasa je tapi meriah sebab semua keluarga dari Singapore and Johor turun Bangi.
Rombongan dari Tganu nak dekat 10 biji kereta.

Aku syukur sangat-sangat Mak Aji and Pak Aji tak membebankan kitorang dengan kos-kos yang tak perlu.
Hasilnya selepas 3 bulan kawen, kitorang dah dapat menyewa rumah sendiri di USJ Subang Jaya.
3 tahun selepas tu dapat pindah masuk rumah sendiri, dapat ambil maid untuk Redza, dapat beli new car.
Tapi masa ni holiday-holiday memang takde.
Our first holiday masa umur Redza 3 tahun.
Maknanya 6 tahun selepas kawen baru merasa nak pi bercuti.
Ini pun aku bersyukur sebab aku and En Wan diberikan kesedaran untuk sama-sama tahu apa yang perlu diprioritizekan.
Vacation can wait. Necessity comes first.

Aku cakap kat Redza, duit hantaran segala itu kau sediakan.
Sendiri nak anak orang, sendiri simpan duit dari sekarang.
Jangan nak tawar-menawar harga anak orang, buat malu. Agak-agak mahal, cari lain. Kalau nak kawen tema itu tema ini, bak sini duit top up.
Kalau tak, apa yang aku buatkan, terima saja.

Redza pulak cakap "Redza taknak naik pelamin, Ma".
Wahhhh ini sudah bagus. Jimat banyak ni. Hahahaha.
Ye sangatlahhh taknak naik pelamin.
Apak kau dulu pun beria taknak naik pelamin.
Aku jegil biji mata sekali terus ai followwwww.

Pasangan yang baru nak berkahwin kat luar tu, janganlah ikutkan hati bila buat majlis kawen.
Jangan terlalu nak follow trend.
Kalau ada budget, why not?
Tapi kalau takde, toksahlah sampai buat personal loan bagai.
Esok anak dah 2-3 orang, loan tak habis lagi.
Tambah pulak dengan hutang kredit kad, bila mau settlelah?
Kalau mak bapak yang beria nak buat majlis besar, cuba bincang kot-kot dorang boleh top up.

Kenduri aku kat Tganu, 100% duit En Wan.
Dari kenduri, persalinan dan kad kawen jemputan di sana segalanya duit En Wan.
Tapi khemah 2 je lah.
Masak pun gotong-royong.
Tetamu tak seramai Bangi.
Goodies biasa-biasa - telur, kerepek, manisan.
Takde bekas kristal atau bekas kaca. Bunga telur saja.
Orang kata "Takkanlah balik blaja overseas kerja engineer kenduri takat 2 khemah?".
Luckily, he doesn't care. Aku pun tak kisah.
Janji lauk pengantin tu mau sedap.

Selalunya gitulah. Bila terbawa-bawa dengan status, akhirnya menjerat diri.
Majlis kawen ni kejap je. Habis kuat 3 hari.
Lepas tu orang tak ingat dah majlis kau.
Yang menanggung beban hutang sampai RM80K ni kita suami isteri saja.
Jangan nanti dah 5-6 tahun kawen masih tak habis-habis mengungkit bab duit kenduri.
Dalam statistik rumah tangga, tempoh 5 tahun pertama paling banyak penceraian berlaku yang disebabkan oleh kewangan.
Tahun-tahun pertama ni banyak pakai duit.
Waktu ni dah ada anak, waktu ni nak beli rumah, waktu ni dah beli kereta, waktu ni anak dah mula nak bersekolah tadika.
Waktu-waktu ni banyak nak pakai duit.
Kalau beban kenduri masih tak settle lagi, boleh imagine tak stressnya besar mana? Ha, jawab.

By the way, majlis kawen time PKP ni jugak yang untung. 
Jimat satu hal.
Satu hal lagi orang pun tak kondem majlis kau simple.
Ini kesempatan yang Allah bagi, sape nak nikah time ni, silakan.
Habis PKP esok terus boleh bayar downpayment rumah baru.