2018-12-12

Terengganu : Bukan cuti.


Jumaat lepas aku balik Tganu.
Lama sangat tak balik, memang dah janji dengan mak balik dari umrah kita akan balik Tganu kejap.
Balik on weekdays memang heaven, jalan selapang-lapang yang ada.
Tapi siap la kan, pakwe aku punya pecut.
3 jam setengah dah sampai kampung.
Kita tunggu je la saman sampai.
Hari tu total saman kena bayar RM1800, mujur ada diskaun.
Semuanya saman dia je, aku mana bawak kereta.
Bawak keta nak laju je, tapi time saman tunggu diskaun. Mbhhahaaha.

Kali ni first time balik kampung tapi check in hotel dulu.
Puncanya aku nak buat kerja.
Kat rumah mak takde internet.
Rumah mak tu kalau mak duduk sana memang aku pasangkan internet, tapi since rumah tu dah jadi ala-ala homestay tak kuasa lah nak memasangkan apa-apa pun.
Balik kampung pun 24 jam beli makanan, masak pun tak dah sebab kuali periuk pun takde.
Jadi, nak taknak kena check in satu malam dulu kat hotel so that boleh buat keje sat.

Check in Duyong Marina.
Tempat ni cantik tapi jauh nau ke dalam.
Nak privacy-privacy boleh la.
Tapi kalau anak-anak kau spesis macam anak-anak aku terpekik 24 jam, baik duduk tempat lain.
Mengganggu ketenteraman awam je.



Tapi sebelum tu singgah jap beli lunch.
Ni En Wan punya lunch - pulut lepa area depan Hotel Sumai, Batu Burok.
Aku tak berapa suka sangat pulut akak ni sebab cinonet sangat.
Tapi dah nama sesekali balik kampung, cinonet pun cinonet lah. Bedallll.
Sebiji tu 50 sen.

Aku anak-beranak punya lunch or cos lah AnW (dah alang-alang sampai Batu Burok kan).
Tapi aku tak makan. Rayyan and Redza sapu bersih.



Mak taknak ikut sekali duduk hotel.
Biasala kan dia dah sampai rumah dia, takkan dia nak ikut kita tido tempat lain.
Takpelah, dekat je pun. 
Kak Long pun ada lepak rumah mak.




Aku lupa nak ambik gamba bilik.
Ni aku ambik kat website dia.

Bilik yang aku stay Deluxe Room.
Ni kira bilik paling cokia sekali kat sana.
Ingatkan ambik Executive Deluxe tapi Executive Delixe lebih kecik room dia.
Aku tak nampak apa yang beza dengan Deluxe dari segi bilik and bilik air nampak semua sama.
Cuma nampak luxury sikit lah design bilik dia.

Kalau kau ambik Deluxe, building dia macam tu.
Aku dapat bahagian atas.
Balkoni besar, view cantik.
Bilik air sangat besar, ada bathtub and separate shower.
Katil king boleh muat aku 3 beranak dengan selesa.
Redza kitorang ambikkan extra bed.
Kalau korang datang sefamily 8 orang pun muat masuk dalam Deluxe Room sebab memang besar, cuma kau bawak toto sendiri.




Ini balkoni, spacious and kemas.
Tak sempat pun nak bersantai-santai kat luar ni.
Kalau nak berehat baring-baring kat depan ni dengan pario and sunnies, silakan tinggalkan anak-anak kat rumah ya. Kalau bawak kanak-kanak ni, memang namanya stay kat hotel je, bukan berehat di hotel.





Aku tak melawat pun kolam.
Masa budak-budak ni mandi, aku tengah mentekedarah nasik goreng dalam bilik sorang-sorang.
Rayyan kata kolam ada 3 ruang - dewasa, kanak-kanak and satu lagi tak tau apa. Jacuzzi kot, ntah.
Tapi ok la tempat ni, kolam besar, puas orang nak berendam.



Ini nasi goreng dia!

Kali ni tak sempat nak order Club Sandwich sebab aku lapar sangat, jadi aku order nasi terus.
Yang lain semua taknak makan katanya sebab nak makan seafood dinner nanti.
Eloklah, biar aku makan sorang dengan aman.

Nasi goreng dia sangatlah meriah dengan haiwan.
Sotong besar-besar, udang bersepah, ayam lagi.
Nasi and lauk dah sama banyak.
Macam meratah lauk pun iya gak, siap ada wantan bagai.
Memang fokus betul aku hadap nasi goreng ni.



Malam tu kitorang dinner kat sini.
First time sampai sini.
Nampak macam menarik je terus masuk.

Alhamdulillah memang menarik pun.
Nak makan ikan sotong bakar ada.
Nak makan masakan ala-ala Thai pun ada.
Nak makanan western pun ada.

Malam tu of cos la makan seafood - ikan bakor and sotong bakor.
Tapi ramai yang order western nampaknya.
Maybe sedap kot.
Takpe next time boleh try.
Restoran ni kat area Losong.

Malam tu kitorang makan nasik putih 3, vanilla shake, teh O ais 3, ikan siakap bakar medium size, sotong bakar 3 ekor besar-besar, and tomyam = RM65 je.
Macam tak percaya apekeheynya murah sangat?



Ok aku dah lost track dah.
Banyak sangat keluar gi makan sampai aku dah tak tau bila hari aku makan ni, bila hari aku makan tu.
Takpelah, aku cerita je lah aku makan apa ya.

Ok, ini salah satu makanan wajib beli dan wajib settle 2 buku sekali hadap, sorang (aku sorang).

Roti Paung.

Roti Paung ni makanan ruji orang Tganu.
Kat mana-mana pun ada jual tapi aku selalu beli kat Manir je, dekat dengan rumah.

One thing yang aku perasan kat Tganu ni, baik kedai makan, baik klinik, baik gerai kepok, gerai pulut lepa - dorang ni lebih pentingkan service and kualiti makanan dari pembangunan bisnes.
Dah 17 tahun aku kawen dengan orang Tganu, setiap kali balik mesti singgah beli roti paung kat kedai yang sama.
Yang membeli bukan aku sorang ya, ramai sangat!
Kadang tu sampai kena beratur.
Sanggup pulak tu ramai-ramai beratur tunggu roti paung masak.
Tapi tu lah, dah 17 tahun, gitu gak pesen kedai dia, takde yang berubah.
Bunting je berganti, yang lain semua masih sama.
Nama dia nak besarkan kedai ke, beli kerusi tempat duduk customer menunggu roti masak ke, nan ado.
Rilek je dia bisnes selama 17 tahun ni takde pembaharuan pada kedai, yang dia fokuskan hanyalah kualiti makanan.
Dan terbukti, nak bisnes takyah gah mana, janji produk bagus.
Contohilah kedai roti paung Manir. Haha.



Ni kedai Roti Paung Manir.

Lagi satu, klinik.
Hari tu En Wan gi klinik kat town.
Klinik Chong nama dia.
Buruk je klinik dia tapi servis tip top.
Dokter memang berpengalaman.
Kita tunjuk sakit kat tumit, dia tanya "Ada tak rasa sengal kat pangkal peha?"

Bila kita jawab "Ada".

"Ok, that's infection already".

Pehhh!
Rupa klinik macam hidup segan mati tak mahu.
Tapi dokter power.
Oh tapi kan, ubat dia mahal.
But, ubat dia setakat ni memang mujarab.
Aku rasa dia tak kuasa kan baiki klinik, asal orang boleh datang, boleh duduk, dokter boleh bekerja, dah.
Jangan tambahkan kos yang tak perlu nak pasang aircond, beli sofa ke bagai.
Nanti bil pesakit jadi mahal.
Cukuplah ubat je yang mahal.
Aku rasa konsepnya macam tu kot.

Mak mertua aku sampai sekarang asal balik Tganu je mesti ambik macam-macam ubat kat Klinik Lim (another klinik).
Klinik tu dia pegi dari zaman muda sampai ke tua.
Dokter tu pun dah kenal mak mertua aku.
Stok paracetemol, ubat selsema, ubat migrain, ubat tahan sakit, ubat sakit urat - memang tak pernah putus kat rumah aku, always ada.
Mak kata klinik dia gitu la pesen dari zaman tok kaduk sampai sekarang, tapi orang berjujuk-jujuk datang sebab servis bagus.

Pok Nong tu kau tengok lah.
Berbelas tahun aku nak datang makan tempat dia.
Tambah la hendaknya kaunter tu, biar jangan beratur panjang.
Takkkkkkk.
Gitu gak la pesen dia dari 17 tahun lepas.
Tapi takde hal, orang masih datang juga regardless beratur 1 jam pun.

Aku rasa kita kena contohi bisnesman yang macam ni.
Takde kisah pun nak gempak-gempakkan kedai, packaging, marketing macam nak rak.
Sustain jugak bisnes bertahun-tahun.
Tapi ye la, takde la taraf jutawan kan, but kelansungan bisnes tu ada.
Dan dorang adalah pakar dalam bidang dorang tu dek kerana lamanya dorang bertahan.
Orang-orang macam ni yang patut bagi bisnes talk.



Ni gerai kepok lekor Manir, feveret aku.
Banyak sebenarnya keropok lekor kat Tganu ni.
Antara yang ramai orang pegi Losong, Seberang Takir, Baru Rakit, and Setiu.
Tapi tekak aku berkenan sangat dengan keropok lekor Manir.

Kalau dari Simpang 3 Manir tu, ambik kiri.
Gerai dia belah kanan. Tu gamba dia aku snap.
Snap dari atas kereta yang sedang bergerak tu pasal gamba jadi half gitu.
Pakwe aku kan bawak keta macam pelesit.
Seb baik dapat capture nombor tefon Kak Yah tu, silakanlah call untuk buat tempahan.




Ini lagi satu tempat tak boleh tak singgah sebab ini kat Manir je kedainya.
Sorry la nama kedai aku tak pernah terfikir pun nak tengok.
Yang pasti lokasinya di Manir.

1. Kau masuk je Manir, nanti ko nampak ada simpan ke kanan. Masuk simpang tu.
2. Kau akan lalu depan 7-11 sebelah kiri kau.
3. Depan sikit dari 7-11 tu ada simpan ke kanan. Masuk simpang tu.
4. Slow down, perati belah kiri.
5. Warung dia belah kiri, bersebelahan dengan kedai runcit.

Datang awal lah, jangan datang lambat.
Hari tu aku datang 9 pagi pun lauk daging dah habis.
Nasib baik lauk ayam pun sedap, belasah.
En Wan macam biasa macam nasi dagang.



Takkan gamba makanan je, up lah sikit gambar tuan tanah sekali.


Lepas makan, kitorang pi town.
Pi Pasar Payang, nak cari baju tido kaftan.
Kalau balik Tganu memang sengaja aku taknak bawak tido banyak-banyak, ada la sikit alasan nak menambahkan baju tido baru.

Kali ni aku beli baju tido kaftan batik lukis.
Pakwe speaking Tganu dapatlah harga RM45/helai.
Kalau tak, konfem kena sembelih.

Lepas gi beli baju tido, gi Ariani.
Macamkan kat KL takde Ariani, kan?
Tapi memang macam tu ya.
Kalau kat sini nak pi Ariani punyalah bercinta aku nak kena bagi 10 alasan kenapa perlu aku ke Ariani.
Tapi kalau balik Tganu, tak payah letak alasan.
Cakap je "Bang, nak gi Ariani boleh?"
Konfem boleh.
Aku pun tak tau kenapa.
Mungkinkah ini yang dikatakan semangat kenegerian? Eh.





Ok 3 gambar kat atas tu bukan aku makan kat mana-mana.
Tapi tu semua benda wajib bawak balik untuk stok makan-makan kat rumah.

Yang pertama sekali - ketupat palas.
Tapi disebabkan musim-musim tak raya ni takde yang nak pi cari daun palas, maka dorang guna daun tebu.
Tetap dipanggil ketupat palas jugak cuma guna daun tebu.
Aku lagi suka ketupat daun tebu sebab wangi bila digoreng.
Bendanya sama je, ketupat juga dalam tu.

Sejak mak mertua aku perkenalkan ketupat daun tebu ni, aku dah jadi suka.
Jadi ini adalah satu makanan wajib simpan stok.
Dulu nak makan ketupat tunggu raya kan.
Tapi kat rumah aku hari-hari hari raya sebab sentiasa ada ketupat. Hahaha.

Nampak je dalam paket kan, padahal dia buat tu by request tau.
Sebelum balik Tganu lagi mak mertua aku dah tempah.
Aku pun tak tau kat mana tempat mak aku tempah ni, bukan kat kedai tapi kat rumah orang.

Gambar kedua tu telur puyuh.
Orang kampung En Wan ni ada buat bisnes burung puyuh.
2 hari sekali burung dia bertelur, ko imagine berapa banyak telur dia kutip seminggu?
Dulu kalau nak makan telur puyuh kena beli kat pasar malam, kat gerai yong tau foo.
Now, takyah.
Setiap kali kitorang balik Tganu atau setiap kali Kak Long datang rumah, mesti akan datang dengan pakej telur burung siap rebus!

Gambar ketiga, burung puyuh.
Takkan beli telurnya saja, ye tak.
Haruslah tapau sekali dengan burungnya.
Order 2kg burung, tapi macam selalula, mesti dia akan bagi lebih punya.
Aku rasa lebih 1kg dia bagi.
Siap siang, siap basuhkan.
Mak tinggal gaulkan garam kunyit and stok siap-siap dalam tupperware.
Tu kalau malas gak nak masak tak tau la nak cakap apa lagi, dah siap gaul kunyit tinggal nak goreng je.






4 gambar kat atas ni gambar-gambar biasa kalau balik Tganu.
Selalu makan kat Warung Kak Yah (ke Cik Yah?), tapi hari tu tutup.
Jadi kitorang makan kat Warung Adik-Beradik (depan Warung Pok Nong).
Aku sekarang dah tak singgah Pok Nong dah.
Aku tengok orang beratur panjang pun dah boleh kenyang.
Baik aku pi port lain, sama gak pesennya, sotong celup tepung gak namanya.
Cuma Pok Nong punya keistimewaan, dia punya tepung garing lagi and sotong besar lagi.

En Wan kan kalau makan kat sini, ayat dia yang tak pernah tinggal "Tau tak sebab apa orang Tganu pandai-pandai? Sebab kitorang banyak makan ikan, makan budu. Omega 3 tinggi. Sebab tu bijok"

Dan aku pun akan balas balik "Haah, memang ramai yang pandai. Especially kat kampung abang. Tu yang ramai yang jadi 'dokter' tu".

Terus diam. Kahkahkah.



Ni apak dia yang ambikkan.
Dia melayan anak-anak dia nak tengok laut sementara mak dia fokus pada sotong 3 piring.



Dah habis ke cerita makan ni?

Oh, belum lagi ya.

Lepas je kitorang makan celup-celup tepung, terus straight pi makan mee pulak.
Ya ampunnn perut orang ke perut lembu ni?



Karang ramai pulak tanya "Apa nama kedai ni, Kak Di?"

Hah kau tengok tu, nama kedai pun takde!
Kita bisnes sibuk nak naikkan signage berkelip-kelip lampu neon bagai.
Tokey ni rilek je bukak kedai 2 pintu lagi, selamba badak kedai takde nama.
Oh by the way, dia ada 2 kedai ya.
Selang sebuah dua rumah dari kedai ni, there's another kedai yang dijaga oleh abang dia pulak.

Orang lain aku tak tau lah, tapi inilah port kedai anak-beranak Wan Dagang sejak zaman-berzaman.
Aku kenal kedai ni lepas kawen dengan En Wan.

17 tahun lepas, habis settle kenduri kawen kat sana, arwah ayah ajak anak-beranak makan kat sini.
Nama ke kedai cina tapi yang memenuhkan ruang kedai ni semua melayu.
Orang kedai ni kenal sangat dengan arwah pak mertua aku (sape je la yang kat KT tak kenal dengan Wan Dagang).

Pak mertua aku kenalkan aku kat tokey "Ini menantu ambe. Orang Kolumpo".

Haaaa gitu.
Orang Kolumpo okehhh. Don't play-play.
Cuma bapak mertua aku lupa aku Jawa. Hahahaha.

Kedai hanya jual mee.
Mee goreng, mee tiaw (kueytiaw) and mee sup.
Nasik-nasik toksah cari sini lah, pi cari tempat lain.

Lokasi kedai ni kat Batu Rakit.
Berdepan dengan masjid, bersebelahan dengan dewan badminton.




En Wan and Redza makan kueytiaw, aku macam biasa makan mee sup.
Dia punya mee sup haiwan bersepah-sepah.
Ayam, sotong, udang telur. Lengkap.
Dah la banyak pulak tu.
Kau tengok sendiri ayam dia potong besar mana.
Tak kedekut rencah lansung.
Tu pasal aku cakap kebanyakkan perniagaan yang Tganu ni dorang tak kisah hal nak mencantikkan kedai, nak hipster lah apa lah.
Cukup kedai bersih, meja kerusi sudu garfu cukup and clean.

Oh by the way, dia tak letak sudu garfu siap-siap atas meja.
Bila mee kau sampai, dia bawak sekali mangkuk air panas yang direndam sudu garfu dalamnya.
Yang atas meja dia letak cili jeruk, kicap, tisu and air putih dalam teko.
Very old-skool. I like!



Balik dari makan mee, singgah beli ubi pulak.
Tak habis-habis dengan makan si Diana.
Yang ni tapau bawak balik Putra Heights.
Rumah mak mertua aku kuali pun dah takde, nak goreng ubi camne kan.
Jadi, beli siap-siap kat sini, balik rumah sendiri baru goreng.

Musim-musim hujan memang banyak orang jual ubi tepi jalan.
Karang banjir busuk pulak ubi dalam tanah tu, jadi sebelum banjir, dorang ambik siap-siap buat jual.





Malam tu (on the same day), around 11pm, terasa lapar pulak.
En Wan ajak makan kat Gong Badak.
Lepak restoran kawan skolah dia Matt Cafe.
Orang lain sibuk intermittent fasting sekarang kan? 
Aku anak-beranak pukul 11.30 malam sibuk nak mencekik lagi. 
En Wan lagi la siap order daging merah, dah macam lauk kenduri. Hahaha.



Ada pulak jual macam-macam jenis kukis kat kaunter.
Tapi dah kenyang, tak jadi beli, jadi ambik gamba je.



Ni pulak kedai kawan En Wan masa sama-sama keje kilang dulu.
Tapi dia berhenti lebih awal sebab nak balik berbisnes kat kampung.
Hari terakhir di Tganu kitorang breakfast kat warung dia.
Yang tebar roti canai ni la tokeynya, kawan En Wan.




Kedai ni kalau time breakfast ada belaka - nasik minyok, nasi dagang, nasi lemak, laksam.
Tapi dia punya signature dish is Nasi Ayam Tempayan.
Pagi tu kitorang breakfast nasi ayam tempayan.



Camni rupa dia, macam nasi beriyani sikit.
Yang buatkan dia sedap adalah rempah ayam tempayan tu.
Dah macam bulan puasa je rasanya makan ayam bakar pagi-pagi.



Nak rasa roti canai melayu, boleh datang kedai dia.
Nama kedai lupa. Hahaha.
Sila tanya En Wan apa nama kedai.
Aku masuk kedai memang tak tengok nama kedai.