2015-10-07

Kematian yang macamana?


Salam kepada semua pembaca, semoga perlindungan Allah dan kasih sayangNya terlimpah kepada kita menghiasi ia akan keberkahan dunia dan akhirat.

Kematian sesuatu yang pasti, tidak dapat dinafi. Kelahiran adakala boleh dirancang, kematian rencam datang, menyapa dan memutuskan semua kenikmatan, ikatan dan perniagaan.

Benar, kematian yang baik itu sesuatu anugerah, ia jugak suatu tanda kemuliaan. Akhiran yang baik menjadi impian semua, kalau boleh yang paling jahat pun ingin mati di tikar sejadah.

Tapi kematian telahpun dituliskan, berdoalah supaya mendapat kita akan kematian yang diimpikan.

Kematian pada hari Jumaat contohnya, syaiidul ayyam, penghulu hari. Lazim dikaitkan dengan satu petanda baik. Benar, ia boleh difikirkan demikian dan boleh dianggap sedemikian.

Tapi bagi saya, elakkan ketaksuban, jangan lupa ada berjuta lagi orang yang bukan Islam juga meninggal pada hari Jumaat. Di tempat kita sendiri pun, ada orang bukan Islam meninggal ‎pada hari Jumaat. Maka apa pulak patut dikata?

Dan jangan lupa, Nabi SAW juga tidak meninggal pada hari Jumaat, Tetapi Isnin. Saidina Abu Bakar As Sidiq meninggal pada Isnin malam Selasa, juga bukan Jumaat.

Jadi elakkan ketaksuban, dalam masa sama doakan kematian yang baik untuk kita sendiri.

Namun, seperti Lailatul Qadr, ia boleh diusahakan. Kalau lailatul Qadr berlaku pada malam-malam bulan Ramadhan Al Mubarak, salah satu kaedah pasti dalam mendapatkan lailatul Qadr ialah dengan menganggap semua malam ramadhan ialah lailatul Qadr dan kita tidak memilih malam untuk beribadat. Sebaliknya buatlah setiap malam. Sudah pasti peluang kita mendapat lailatul Qadr ialah 100%.

Begitu juga dengan persediaan kematian, pastikan kita sibuk dengan amalan atau sekurangnya zikir sepanjang masa walaupun ketika sihat, mudah-mudahan kita mati ketika berzikir.

‎Tapi kalau kita minat memancing atau bermain burung sepanjang masa, kita kemungkinan besar akan mati ketika memancing atau ketika bermain burung.

Ia matematik kebarangkalian.

Jadi mulai hari ini, ‎marilah kita sama-sama berbuat kebaikan sepanjang masa untuk persediaan kematian kita yang jugak boleh datang pada bila-bila masa.

Selesai satu bab.

Satu bab lagi, berhubung kematian di bilik air. Seperti anggapan tadi, janganlah ada ketaksuban. Benar bilik air tu tempat sukaan syaitan, tapi syaitan bukan boleh buat kita mati.

‎Tidaklah ada sangkutan atas sebab-sebab demikian, ia sekadar pilihan yang telah ditentukan kepada empunya jasad oleh Yang Maha Kuasa.

‎Pilihan kita, berhentilah risaukan sesuatu yang kita tak mampu tahu, sebaliknya usahakan sekuat yang kita mampu.

‎Memikir sesuatu yang tak mampu akan membuang masa kita, sepertimana kita sendiri tak tahu siapa jiran di kuburan kita nanti. Usaha apa yang ada di depan mata.

Sekian wallahu'alam, wassalam.

Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana