2015-03-21

Viral Video


Saya menonton video yang menjadi tajuk utama akhbar hari ni, kebetulan Cik Puan Diana yang mintak saya tonton. Dia tau kalau dia tak bagitau saya, dah tentu saya takkan tahu. Ia tentang seorang wanita bercakap dan memberi pandangan tentang Hudud yang baru-baru ini mendapat kelulusan DUN Kelantan.

Saya menghormati hak seseorang untuk bercakap dan mengemukakan pandangan.  Tapi kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita cakap semasa hidup. Itu yang menjadi masalah.

Tujuan saya menulis ni pun bukan nak bercakap isu Hudud tu, tapi nak merespon atas video tadi.

Kita ni, ada satu masalah besar selaku seorang manusia, iaitu kita akan mati lambat laun sebagai manusia juga.
Kalau kita masti sebagai kayu senang cerita.

Agama ni, dah ada sejak beribu tahun, ia kekal ada malah akan menjadi penting ketika selepas kita dibangkitkan semula.

"Raja bagi Hari Agama..." (Al Fatihah, ayat ke empat).

Nabi diturunkan beratus orang, Rasul-Rasul yang wajib kita kenal pun ada 25 orang.
Sejak dulu, agama telah menjadi bahan mainan, bukan zaman ni saja, dulu zaman semua Rasul pun ada‎ mereka yang atas dasar lebih pandai dan lebih konglemerat kadang-kadang terbabas menggunakan akal mengatasi wahyu.

"Sesungguhnya Kami mengutuskan kamu (‎Muhammad) dengan membawa kebenaran, sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, dan tidak ada satu umat melainkan telah datang dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi peringatan."

"Dan jika mereka mendustakanmu, maka sesungguhnya orang yang sebelum mereka pun telah mendustakan (Rasul-Rasul) ketika Rasul-Rasulnya datang dengan membawa keterangan yang nyata, Zabur dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna". (Surah Faatir, Ayat 24 dan 25)

Saya sebut tadi, masalah kita yang paling besar ialah kita akan mati dan akan dipertanggungjawab atas perbuatan kita.
Yang besar dan juga yang kecil.

"Alangkah besar penyesalan terhadap hamba-hamba itu, setiap kali datang seorang Rasul kepada mereka, mereka selalu memperolok-olokkannya" (Surah Yaasin, ayat 30)

"Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa dahulu mereka kerjakan" (Surah Yaasin, ayat 65)

Bolehlah bersuka sementara ada hayat dan kekuatan.
Ia cuma tempoh yang pendek, takkan sampai pun seratus tahun.
Apa yang saya maksudkan ialah, meskipun kita ada kebebasan bersuara dan memberi pendapat, adab memberi pendapat juga perlu dijaga.
Kita pun tak boleh sewenang-wenang memberi pendapat kepada YDP Agong Malayisa kalau tak kena dengan pengetahuan yang mendalam dan protokol yang bersusun.
Hudud ada Tuannya.
Siapalah kita nak memberi pendapat dengan kedangkalan ilmu kita yang Dia juga bagi tu.

Hudud bukan milik parti politik tertentu.
Lebih wajar dan bijaksana bagi saya jika kita diam dan memerhati, dalam masa sama mempelajari sambil mengasing pandangan parti dan ideologi. ‎
Serahkan kepada mereka yang berkuasa untuk mengatur dan merencana keadaan ini.
Kita tak pandai.
Lagipun, setahu saya Hudud ni hukuman syariat untuk orang yang membuat kesalahan jenayah, jadi kenapa perlu kita takut dengan Hudud seolah-olah kita ni penjenayah tu? ‎
Kalau kita bukan seorang penjenayah dan tidak bercita-cita untuk buat jenayah di masa depan, patutkah kita takut dengan hudud?

Eh tak pahamlah. Saya jahil. ‎

Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita, yang terang dan yang tersembunyi, yang besar dan juga yang kecil, yang dilakukan secara sedar dan yang dilakukan secara lalai.

Saya dah bagitau masalah kita tadi, iaitu kita akan mati semuanya.

"Dan jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (Mereka merayu), "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya ‎kami sekarang telah YAKIN".

"Dan jika Kami mengkehendaki, nescaya Kami berikan kepada setiap jiwa petunjuk (bagi)nya, tetapi telah ditetapkan perkataan (ketetapan) daripadaKU, "Pasti Aku penuhi neraka Jahannam dengan Jin dan manusia bersama-sama" (Surah Sajdah, ayat 12 dan 13)

... ada satu lagi yang menarik di dalam ayat seterusnya surah ini... ....

"Orang yang‎ beriman dengan ayat-ayat kami, hanyalah orang yang apabila diperingatkan dengan (Ayat-Ayat Kami), mereka bersyukur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya dan mereka tidak MENYOMBONGKAN diri" (As Sajdah ayat 15).

Kematian yang menunggu kita di depan tu adalah entiti yang boleh menundukkan kesombongan kita.
Berhentilah dari menjadi manusia yang sombong, melainkan kita yakin kita boleh uruskan jenazah kita sendiri setelah kita mati tanpa memerlukan bantuan orang lain.

Maafkan saya kalau tulisan saya ni tidak tepat.
Saya tak pandai.

Wallahu'alam, wassalam.

Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana.