2014-10-03

Hari Wukuf


Satu persoalan "comel" yang nampaknya tahun ni masih berlaku ialah penentuan pemerintah pada hari Raya Haji. Raya Haji disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Penentuan haribulan-nya kalau mengikut kaedah pemerintah Malaysia masih menggunakan alat teropong anak bulan. selain kiraan falak. ‎Teropong itu baik dan teruskanlah meneropong.

Cuma atas dasar "mengatasi maslahah atau ‎kesulitan yang lebih besar", alangkah baiknya kalau tak payah meneropong anak bulan Zulhijjah, ikutlah sahaja penentuan wukuf oleh Kerajaan Arab Saudi. Rasanya sejak 5 tahun kebelakangan ini, ada masalah yang timbul jika tarikh wukuf di Mekah adalah 8 Zulhijjah di Malaysia. Ini kerana perayaan Hari Raya Aidiladha juga dipanggil Raya Akbar, iaitu Raya Besar diiringi ia oleh beberapa ibadat yang telah ditentukan masanya.

Paling mudah ialah Puasa Arafah. Iaitu puasa bagi seluruh umat Islam yang tiada dirinya akan hadir di bumi Arafah sebagai melaksanakan wukuf. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
Puasa pada hari Arafah, aku berharap agar Allah menjadikannya penghapus dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya. [Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, hadis no : 1983]

Agak sulit bagi kebanyakan orang Islam, terutamanya Ahli Puasa, untuk melaksanakan ibadah ini dengan aman, tanpa was-was jika kita berselisih hari dengan Arab Saudi. Bagi yang tak puasa hari ni macam saya, tak adalah isunya sangat. Di Arab Saudi 9 Zulhijjah dan Wukuf sedangkan di Malaysia 8 Zulhijjah. Kalau nak dipuasa 9 Zulhijjah waktu Malaysia di Arab Saudi sudahpun masuk 10 Zulhijjah, hari Raya. Hari Raya adalah hari yang diharamkan puasa. Begitu juga dengan ibadat qurban, yang dilaksanakan pada 10 Zulhijjah sehingga selesai Hari Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Maka hari Tasyrik terakhir di Arab Saudi 13 Zulhijjah adalah sehari lebih awal daripada Tarikh Tasyrik di Malaysia, Qurban pada 13 Zulhijjah di Malaysia ialah 14 Zulhijjah di Arab Saudi, sudahpun terkeluar daripada Hari Tasyrik dan tak boleh lagi dianggap Qurban. Jadilah ia sembelihan biasa dan menjejaskan banyak perancangan serta menimbulkan kesulitan.

Memang ada jalan keluar untuk berkompromi dengan keadaan ini tetapi bukankah "mendefaultkan" ‎tarikh agar selari itu lebih mudah dan jalan keluar yang paling praktikal? Kenapa setiap tahun bila ada kes ini kita tetap kena refer kepada orang pandai agama sedangkan ia mudah dilakukan dengan cara yang dipanggil synchronization? Kita ni selalu berlebih-lebih pada tempat yang boleh dipermudahkan. Tempat yang patutnya kita berlebih-lebih kita permudahkan pulak. Terbalik kita ni. Kesian kat kita. ‎Lagipun wukuf hanya boleh dilakukan di Arafah. Besar kewajaran pada fikiran saya yang takde sijil agama ini untuk mengikut tarikh di Arafah bagi penentuan Hari Wukuf, yakni 9 Zulhijjah. Lainlah wukuf boleh dibuat di Putrajaya.

Wallahu'alam.

Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana