2025-03-25

Content Murahan. Hidup Tak Susah, Tapi Acah-Acah Susah

Hari tu kecoh satu post viral pasal sorang perempuan yang kononnya berkorban makan kepala udang je. Isi udang bagi kat suami dan anak-anak. Tapi, plot twist! Netizen rajin menyelongkar bukti. Lepas netizen kelebet semua post-post lama, kantoi rupanya dia bukan orang susah pun. Hidup elok je, boleh bercuti, pendapatan pun not so bad. Jadi, yang kepala udang tu sebenarnya bukan cerita pengorbanan, tapi content untuk engagement semata.

Nak kata terkejut, tak juga. Sebab memang ramai yang guna taktik macam ni untuk dapat attention dan simpati orang. Sebenarnya dari awal lagi dah boleh agak benda ni maybe content semata. Tengok size kepala udang pun tahu. Lagipun captionnya macam trying too hard, tapi tak sampai. Macam try hard sangat nak merendah diri ujung-ujung nampak menganiaya diri sendiri.

Dunia media sosial sekarang ramai yang sanggup buat content pelik-pelik. Kadang-kadang tak masuk akal. Macam post kepala udang tu, aku baca komen ramai yang kata "Kan ada udang yang size lagi kecil, kenapa tak beli itu je?". Ada juga yang cakap "Macam banyak je kepala udang tu, patut boleh bagi sama rata". Kan?

Sometimes bila terlampau nak acah-acah susah, kau terlepas pandang simple point yang logik. Pelik kenapa ada yang sanggup reka cerita sedih tunjuk diri konon teraniaya, yang acah-acah miskin, padahal kau helok je hidup selesa. Kenapa eh? Adakah sebab manusia mudah tersentuh dengan cerita susah dan pengorbanan, lagi-lagi kalau melibatkan mak dengan anak-anak? So that bila buat content macam ni, senang dapat perhatian?

Aku ni kalau boleh, seboleh mungkin nak sorok susah. Tengah takde duit, usaha diam-diam, tak canang satu dunia. Tapi ada orang yang tak susah pun, suka acah-acah hidup susah. Apa masalah eh? Tak cukup perhatian ke? Atau seronok tengok orang lain simpati kat kau?

Dulu orang buat content untuk hiburkan ramai orang, untuk bagi ilmu, untuk kongsi something yang bermanfaat. Sekarang? Content yang viral kebanyakannya merepek, drama lebih dan tak masuk akal. Kadang-kadang aku tengok benda yang bodoh pun boleh trending. Yang geram tu, ada je orang percaya bulat-bulat. Tengok video orang menangis tepi jalan konon tak makan berhari-hari, cepat je simpati tu datang. Ramai yang komen “Kesiannya sis, stay strong!” “Ya Allah, sebak tengok, nak transfer duit kat mana?” Bila netizen buat CSI and kantoi semuanya lakonan, si content creator dengan selambanya, “Eh, just for content je, jangan ambil serius”.

Tengok je lah budak yang buat content hilang dalam hutan kat Indonesia hari tu. Sampai polis sana pun terlibat mencari. Ujung-ujung, content. Kau jangan bangang sangat boleh tak? Nak jadi influencer biarlah yang senonoh. Kalau buat content merepek menyusahkan orang, kau tak layak jadi influencer. Kau layak jadi public nuisance je! Jangan buat media sosial tempat yang penuh dengan sampah, boleh?

Sekarang trend acah-acah miskin, acah-acah susah, memang tengah naik. Buat video makan nasi kosong dengan kuah saja konon tak ada duit, tapi scroll post-post sebelum tu, eh baru balik bercuti. 

Post gambar duduk tepi longkang termenung, caption sedih “Kadang-kadang rasa nak give up…” padahal minggu lepas baru beli iPhone 15 Pro Max. 

Semalam kat Thread ada orang kondem video sorang business owner yang ambik video gambar stok tudung melambak-lambak. Mengeluh katanya buat tudung 7000 pieces, yang terjual satu je. Halah halahhh, zaman sekarang masih ada yang nak pakai taktik marketing "buat cerita sedih supaya orang kesian dan beli"? 

Come on, orang dah makin bijak dalam berbelanja, bukan zaman dulu lagi boleh guna trick acah-acah barang tak laku so that orang terpengaruh nak jadi reseller. Logiknya, kalau betul kau business owner yang buat tudung 7000 helai, mesti dah ada market research, dah tahu ada demand, dah ada strategi, dah ada branding. You would not suddenly order thousands of stocks without any planning, would you? Ini bukan zaman main belasah buat produk pastu berharap ada yang beli. 

Kalau betul kau buat tanpa study market, memang salah kaulah, bukan salah customer tak nak beli. Benda ni boleh je orang reka cerita nak dapat simpati, last-last jual jugak tapi guna pendekatan "tolong support bisnes kecil kami". Padahal takde siapa paksa kau buat stok bertimbun tanpa plan. 

Nak buat bisnes you need to have the right marketing strategy, bukan berharap pada simpati orang. Kalau asyik main sentimen sedih, lama-lama orang menyampah. Sebab tu penting ada ilmu, bukan sikut trend dan berharap barang boleh jalan sendiri. Zaman sekarang orang beli sebab kualiti, sebab harga, bukan sebab kesian.

Pelik betul dunia media sosial sekarang. Orang yang betul-betul hidup susah, yang struggle cari duit everyday, tak ada masa nak buat content mintak simpati macam. Dorang sibuk fikir nak cari makan, bukan sibuk fikir content mana yang boleh buat orang kesian. Tu belum lagi yang buat content relationship bodoh. Suami buat surprise bawak girlfren datang rumah jumpa bini. Yang bini terpinga-pinga. Ujung-ujung rupanya surprise delivery. Pernah tengok tak? Hoih! Tak kelakar, ya. Tak kelakar. Kalau buat kat aku content bangang macam ni, kau dengan girlfren tu sekali aku bakar. Content tak content. Nak berjenaka dengan aku biar yang kelakar sikit.

Muskil aku, apesal content sekarang lebih kepada menipu orang? Kenapa nak jadi popular, nak dapat banyak views, kena reka cerita yang tak wujud? Sebab duit? Sebab nak engagement tinggi? Atau sebab kau ada attention-seeking problem yang tak dapat rawatan?

Tak kisah kalau nak buat content santai, nak buat lawak, nak buat video yang memang niatnya untuk hiburan. Tapi kalau sampai menipu, acah-acah hidup susah sampai membodohkan orang lain, itu bukan content. Itu sampah. 

Dulu kalau berhibur, memang betul-betul rilek je hadap hiburan. Fikiran tu tenang takde bersangka-buruk. Now tengok hiburan pun kena berfikir. Kena bijak menilai. Kena selidik dulu semua yang viral tu. Tak boleh cepat sangat sebak tengok orang menangis kat TikTok, takut nanti air mata aku membazir untuk benda yang tak wujud. Eh penatlah gini.

Jangan sampai satu hari nanti orang tak percaya dah apa kau buat sebab terlalu banyak drama yang kau create. Kalau kau bukan orang susah, patut bersyukurlah. Jangan acah-acah hidup susah semata-mata nak views. Kat iQIYI tu dah banyak drama. Tak payah tambah drama bodoh yang tak perlu.