2025-02-15

Yang banyak kita jumpa tu ha, pen sebatang pun nak dituntutnya!



Ramai dah celik mata bab hibah ni. Bukan ustazah je yang bercakap soal hibah, ustaz pun sama. Maybe semua dah nampak betapa penyakit penerima faraid ni semuanya hampir sama, iaitu lepas dapat harta si mati, semuanya terus hilang meruyup. Masa nak tuntut je kemain rajin nampak muka. Kejap-kejap kelibat dia je nampak depan mata. Dapat bahagian dia, terus sadaqallah.

Tapi aku jamin, berbuih orang educate bab hibah, tak semua mahu faham. Dorang dengar, tapi nak melaksana tu berasa tak penting sebab merasa "Eh takkanlah keluarga aku nak buat gitu, nak aniaya anak bini aku"

Jangan cakap. Bab harta, bab duit, sealim-alim manusia pun boleh bergoyang. Silap-silap, serban dengan jubah pun terbang. Selagi boleh spin, dia akan spin.

Hari tu masa dating dengan Dusty Pink Tits, kawan aku cakap, masa arwah ayah dia meninggal, adik-beradik ayah dia terus jumpa anak-anak sedara (anak arwah) minta bagi form/surat untuk dorang bagi perlepasan hak faraid. Seabb kawan aku ni adik-beradiknya semua perempuan, jadi adik-beradik arwah ayah boleh tuntut. Tapi pakcik-pakcik semua pakat taknak ambil faraid. 

Hakikatnya berapa kerat macam ni? Jarang jumpa. Yang banyak kita jumpa tu ha, pen sebatang pun nak dituntutnya! Kawan aku cakap, cara-cara takde yang menuntut pun setahun juga nak settle bab faraid ni sebab ada peringkat-peringkat yang kena follow.

Faraid tu ye lah. Kita tak boleh buat apa kalau ada orang nak tuntut. Memang dia ada hak. Pedulik apa dia lepas dapat bahagian kalau nak transform jadi halimunan pun. Yang kita ni. Kita ni yang kena ada plan lain, iaitu BUATLAH HIBAH. Capital letter aku bagi tu. Tolonglah plan buat hibah. Kalau suami tak nak buat, kita yang isteri ni buat untuk diri sendiri. Apply hibah atas nama suami, tapi kita yang bayar tetiap bulan. Kalau suami mati, duit hibah tu dapat kat kita.

Plan this for diri sendiri. Nak menunggu pembahagian faraid ni lama, ya. Biar yang lain tu bergasak sesama sendiri menuntut faraid, kau jalani hidup kau dengan tenang-tenang saja sebab kau dapat hibah. Dengan duit hibah tu settlekan apa-apa yang patut. Uruskan diri dan anak-anak. Dalam keadaan kita sedang kehilangan, jangan berharap orang lain membantu. Orang boleh bantu mendengar masalah kita je. Jangan menaruh harapan bantuan kewangan dari orang lain. Masing-masing ada bebanan yang dia tak cerita. Yang pakai kereta besar menjalar depan porch 4 biji tu belum tentu ada duit nak tolong kita. Jadi, kita plan siap-siap untuk diri sendiri. Untuk kesihatan mental kita sendiri.

Kalau korang nak buat hibah, aku cadangkan 3 plan:

1. Plan Pertama
Buat hibah sekadar 20 tahun saja. Katakan anak-anak korang masih bersekolah, buatlah hibah untuk tempoh 20 tahun sebagai persediaan sekiranya kau mati ketika anak-anak masih bersekolah. Selepas 20 tahun, anak-anak dah berkerjaya dan dah boleh mencari duit sendiri.

2. Plan Kedua
Buat hibah untuk backup hutang. Contoh hutang rumah + hutang kereta + hutang miscellaneous = ada lebih kurang 1 juta. Maka kau beli hibah 1 juta. Ditakdirkan mati, isteri akan dapat this 1 juta dan boleh settle hutang-hutang yang masih tertunggak. Maknanya kau buat hibah khas untuk bayar hutang saja. Isteri maybe ada pendapatan sendiri. Tak risau.

3. Plan Ketiga
Buat hibah untuk tinggalkan sesuatu kepada waris. Yang ini yang selalu orang buat. Buat hibah RM350K atau lebih, untuk diberi kepada isteri. Ikut pandai isterilah nak buat apa dengan duit tu sementara nak tunggu faraid selesai.

Please gais, cubalah buat. Hanya orang yang dah lalui keperitan hilang suami saja yang faham kepentingan hibah. Kita belum lalui, jadi kita takkan faham sekarang.

KWSP? Duit dalam bank?

Dulu aku pernah pesan kat En Wan, "Kalau Di mati, gi keluarkan duit saya cepat-cepat dari bank sebelum kena freeze".

Rupanya tak boleh, gais. Sebab masa kau bawa keluar duit, pemilik akaun bank dah meninggal. Kalau waris lain buat report polis, kau dah dikira mencuri walaupun duit pasangan sendiri. Bila pemilik akaun mati, duit dalam bank bukan kepunyaan si mati lagi. Tu dah jadi milik waris-waris lain juga. Kalau kau nak keluarkan, kena inform waris lain. So jangan ingat mudah nak keluar duit pasangan yang dah mati.

Sekarang ni masing-masing tengah hidup bolehlah cakap "Takkanlah mak bapak saya nak mintak, itu kan duit saya. Duit saya maknanya hak awak (isteri)"

Jangan mimpi, ya! Benda boleh tuntut, buat apa nak bagi isteri buta-buta je, ya tak?

KWSP pun sama. Jangan ingat duit KWSP suami tu jadi hak kita sepenuhnya bila suami mati. Sebagai penama, kita hanyalah pentadbir saja. As pentadbir, tugasnya adalah untuk membahagi-bahagikan duit KWSP tu kepada waris ikut faraid. Nak tak nak, kena share dengan waris yang layak.

Hutang rumah pun sama. Bila suami mati, hutang suami (loan rumah) terlangsai KALAU suami ambil insurans. Bab ni selalunya orang rasa lega sebab suami ada ambil insurans rumah. Tapi jangan lupa, loan maybe dah settle. Tapi faraid tak settle lagi, ya. Rumah tu ada nama suami, maka tetap boleh difaraidkan. Rumah takkan otomatik jadi hak isteri (kalau parents suami masih hidup). Semua harta-harta si mati kena faraidkan sebab dah jadi hak waris yang lain sama.

"Suami saya meninggal. Tapi rumah tu dah habis bayar"

Ya, hutang memang dah habis. Tapi bahagian si mati tetap kena difaraidkan, melainkan waris lain nak lepaskan. Katakan duduk rumah harga RM1 juta. Bahagian suami RM500K. Bahagian isteri 500K. Kau rasa takde waris yang menggigil nakkan bahagian suami kau tu?

Pedih nak terima kenyataan ini, tapi itulah hakikat yang kita semua kena terima. En Wan kata ramai yang masih belum nampak masalah ni.

Buatlah. Bayar untuk diri sendiri pun boleh kalau suami tak nak bayarkan. Janji hibah tu bakal dapat kat korang. Terlampau banyak dah cerita-cerita waris tuntut itu dan ini selepas suami meninggal. Mereka tak salah sebab mereka ada hak. Cuma kita yang lupa bahawa kita sebenarnya ada option untuk ambil hibah, tapi tak buat.