2024-06-28

Aku sangat serius kalau bercinta.


Sebab ada yang tanya, kenalah aku jawab. Soalan yang ditanya pulak memang favourite question, dengan gembiranya aku jawab ni.

Post IG aku pagi tadi bila aku tulis "Masa Darjah 6 aku dah start bercouple dengan Leslie"

Asa yang tanya "Sampai sekarang minat Leslie lagi ke?"

OF COURSE! Aku pernah cakap dengan En Wan, kalaulah Leslie tu nak kat aku, aku tinggalkan En Wan. Lantaklah orang nak cakap apa pun, aku tinggalkan jugak. Kahkahkah.

Aku bercinta dengan En Wan tak keluar modal besar. Habis kuat pun surat dengan setem je. Jarang aku call Jepun sebab dia tak kasi aku bazir duit. Dia je yang call aku. Tapi dengan Leslie modal aku besar, ya. Pengorbanan simpan duit belanja sekolah nak beli kaset dengah Galaxy. Poster Leslie aku beli dengan pengorbanan. Dahlah berkorban RM10, sekali poster kena siat pulak. Perasaan turut terkorban sekali. Tu belum lagi berkorban masa sanggup ketepikan study demi nak menghafal lagu Leslie. Kau agak-agak pengorbanan ni suka-suka mengisi masa lapang ke? Tak, ya. Aku sangat serius kalau bercinta. Mbhahahahaha.

Tahun 2009 kitorang ke Hong Kong. Tempat pertama yang aku aim adalah Madamme Tussauds, semata-mata nak tengok Leslie. Masuk-masuk je wax museum tu mata aku melilau cari patung Leslie. Percaya tak, dari pintu masuk museum mata aku dah start bergenang. Aku jalan menonong tinggalkan En Wan and Redza kat belakang. Nak sampai ke patung Leslie tu kena lalu dulu beberapa patung lain. Aku stop kejap je untuk certain-certain patung nak melayan En Wan bergambar.

Leslie ada ruangan khas yang besar. Nak menuju ke ruangan tu sayup-sayup aku dah dengar lagu dia. Aku jalan laju-laju ikut bunyi lagu. Dan kemudian....tadaaaaaaa!

Berlari aku peluk patung. Menangis kau! En Wan yang follow dari belakang kelam-kabut keluarkan kamera nak candid aku tengah mengongoi nangis peluk boifren lama. Mak Aji menjeling je tengok aku. I is don't care, Mak Aji. You think you siat my poster my feeling go die? NEVERRRRR.

Aku sendiri tak sangka cinta sejak umur 12 tahun berkekalan sampai dah 46 tahun. Playlist dalam semua kereta adalah playlist yang sama, iaitu playlist Diana's Listening. Masuk mana-mana kereta, kau akan dengar lagu Leslie. Tak cukup kat kereta, dalam bilik kalau nak buat kerja, playlist yang sama aku pasang dalam laptop. Tetap ada lagu Leslie.

Aku cakap kat En Wan, "Di dah biasa dengan long-distance relation ship sejak kecil, tu pasal tak kisah abang study Jepun dulu". Gitu eksyennya aku. Tapi untungnya aku sebab En Wan melayan apa yang aku suka. Dialah yang bawa aku ke Hong Kong. Memang dia nak jumpakan aku dengan Leslie. Masa kat Hong Kong dia juga yang gigih cari route ke Mandarin Oriental sebab aku teringin nak bergambar depan hotel tempat Leslie bunuh diri. Mak Aji membebel "Kau ni Wan, jangan dilayan sangat bini kau ni. Dia ni bukannya betul kadang-kadang". Eleh jeles.

Mak Aji kata orang lain takut nak pergi hotel tu karang hantu Leslie ikut balik. Aku jangankan takut, siap nak pergi kubur Leslie. Nak pegi kubur Wong Ka Kui bagai. En Wan bukan main lagi study macamana nak pegi, nak naik bas nombor berapa. Punyalah nak penuhi impian bini visit kubur Leslie. Tapi tu lah, mak aku ada sekali. Tak lepas kalau dia ada. Karang aku yang terkubur kat sana.