2024-03-18

Mereka-mereka ni dibayar untuk buat review?


Nasib ada yang mengingatkan, kalau tak hari ni aku dah buat post lain.

Semalam aku naikkan kat IGS pertanyaan follower minta pandangan aku trend di TikTok.
Katanya kat TikTok macam ada satu trend kalau sorang review barang A, nanti ramaiiiii review barang yang sama.
Dan semuanya review yang lebih kurang sama.
Dia tanya if dorang tu betul-betul beli barang tu atau dapat?

Maksud dia, sama ada mereka-mereka ni dibayar untuk buat review?

Wallahualam.
Tapi boleh jadi juga dorang ni tak beli pun barang tu, tetapi dibayar.
Entahlah. Tak reti nak cakap.
Aku masuk TikTok nak tengok Kak Tam je. Hahahah.
Habis kuat pun aku beli gajus.

Kalau nak aku suggest gajus sedap, jap lagi aku bagitau aku beli kat mana.
Aku dah 3 kali repeat.
Mula-mula beli 500 gram je. Kasi try dulu.
Si Diana nak try pun sampai 500 g.
Orang lain try ambil yang 250 g je. Dasarrr.

Sedap, beli 1 kg pulak.
Hari ni sampai yang 2 kg punya. Kahkahkah.
En Wan tanya "Mandi gajus ke apa?"

Eleh, bising.
Tapi asal aku makan, dia kaup segenggam.

Aku dah berazam, tahun ni rumah aku takde kuih raya.
Nak isi kekacang je dalam balang.
Gajus, kacang parang, kacang tanah, muruku, kerepek ubi and rempeyek. Done.
Selalunya kalau kerepek and kacang laju sikit habis.
Kalau beli kuih, sampai berderai jadi habuk pun tak habis lagi.

Ok berbalik pada isu TikTok tadi.
Entahlah, dik. Akak kau ni tak berapa rajin melepak TikTok.
Tapi setiap kali melepak memang perasan berjujuk-jujuk orang review benda yang sama.
Tak tahulah dorang ni review ikhlas ke, berbayar.
Melainkan kau trust orang yang review tu, bolehlah beli.

Aku pernah terkena dah. Beli blouse.
Bersepah-sepah review blouse tu best katanya.
Kain tak payah gosok, lembut, tak panas, bla bla bla.
Seorang Diana pun try beli. Beli terus 2 helai pulak tu.
Sekali sampai, kain nipis. Bahu kata 15, yang sampai 17.

Tak payah gosok korok dia.
Tak tahulah kalau pen-review tu biasa pakai baju renyuk.
Kalau senang nak gosok, yes betul. Sebab kain nipis.
Tapi kalau kata tak payah gosok, nak je aku lempar blouse tu kat muka dia.
Last-last aku tanya weekly bibik, "Bik nak tak baju ni?".
Dia nak. Ambiklah bik, buat baju raya.

TikTok ada sistem affiliate.
Dapat komisyen dari penjualan.
Maybe ramai yang jadi affiliate buat review lebih kurang sama kerana nak kejarkan komisyen tu. Maybe.

Inilah yang aku kurang berkenan sikit.
Jenis orang yang promote produk semata-mata sebab duit.
Tak jauh beza dengan agen-agen jual jamu yang overclaim.
Janji produk jalan, duit dapat.

Zaman Nuffnang dulu berbeza.
Nuffnang hire bloggers buat review tanpa ada komisyen dari setiap jualan.
Bloggers dibayar untuk buat brand/product awareness sahaja.
Brand tak harapkan kita menjual, but more to create awareness.
Sebarang sales tak masuk kat blogger.
Sales masuk direct kat brand.
Blogger hanya dapat one-time payment sahaja.

Hari tu nampak sorang TikToker kecam seller yang letakkan target jualan kat dia.
Benganglah member. Tugas dia cuma review.
Laku tak laku, bukan tanggungjawab dia katanya.
Which is betullah apa kata dia tu.

Secara lojiknya, pen-review tak terikat dengan sales.
You pay them because crowd dorang besar.
Bukan untuk jualkan barang you. Itu yang sepatutnya.
Aku syak most brand di TikTok terdiri dari founder-founder macam aku, bukan big brand macam Nestle, Dutch Lady, or Celcom.
Founder-founder ini mengharapkan sales datang dari crowd pen-review.
Itulah agaknya dorang letak target.
Tak betul tu.

Perkara macam ni dah lama berlaku zaman blogger dulu.
Founder nak guna crowd blogger untuk jana sales.
Tapi, letak target. Kalau hit certain amount baru dapat sekian-sekian bayaran.
Abis tu, blogger buat review siapa nak bayar?

Patutnya review caj lain.
Kalau ada sales datang melalui that blogger, dikira sebagai komisyen pula.
Barulah blogger tu beria promote bila ada komisyen.
Kau tau nak jimat part kau je. Kederat orang nak free ke?

By the way, aku beli gajus gred AAA dari Tiktok CADAR GEBU AINAS.
Aku tak sure dia ni jual cadar ke jual kacang.
Sebab nama lain, tapi jual lain. Hahaha.
Tak kisahlah, janji gajus dia aku dah repeat 3 kali.
Tekak aku kata sedap. Silakan kalau nak beli.