2023-03-01

Kenapa harga rumah mahal?


Semalam post ni lalu kat newsfeed aku.
Baca. Termenung.
Termenung mikir nasib anak cucu esok, mampu tak beli rumah.
Masalah rumah mahal ni dah lama rasanya, kan?
Tapi tu lah, dalam pada orang merungut rumah makin mahal, aku tengok makin banyak rumah mahal-mahal dibuat.
Kat Putra Heights ni dah takde dah rumah harga macam rumah aku, landed house semua dah RM3-5 juta.
Itupun licin terjual. Entah siapa beli yang ramai-ramai tu tak tahulah.
Yang aku tahu salah sorangnya pakcik aku.
Tau-tahu je habis semua terjual. Siap nak bina kondo pulak kat sini.
Entah siapa nak beli aku tak tahu.
Tapi percayalah cakap aku, habis juga nanti.

Nak buat macamana, tanah mahal agaknya.
Kos pembinaan, kos tenaga kerja dah pastinya meningkat saban tahun.
Nak tak nak, harga rumah pun naik.
Nak duduk di kawasan bandar, terpaksa beli rumah yang mahal.
Kalau nak yang murah sikit, terpaksalah pilih yang jauh sikit dari pusat bandar.
Tapi jadi satu masalah lain pulak - nak pergi kerja jauh.
Nak ke pusat bandar pun jauh.
Bak kata Prof tadi, ujung-ujung menyewa.
Menyewa sampai ke sudah sampai anak dah berderet.
Esok bila anak makin membesar, belanja dah makin besar pulak.
Dengan belanja sekolahnya, kelengkapan pendidikan, medical.
Bil dah tentu makin naik bila rakyat dalam rumah bertambah.
Makan satu hal lagi, dah makin besar perbelanjaannya.
Maka terkuburlah hasrat nak membeli rumah.
Lebih baik tumpu besarkan anak katanya.

Aku tak pasti apa sebenarnya jalan penyelesaian terbaik untuk memperbaiki masalah ni.
Adakah dengan menurunkan harga rumah?
Tapi nanti orang kata "Bukannya semua rumah harga 3-5 juta. Masih ada rumah yang harga RM200K".
Bila kita cakap rumah RM200K tu kecil sizenya, nanti dikata kalau nak beli rumah besar dan murah, belilah di luar bandar atau di tempat yang belum membangun.
Eh, betul juga cakap dia.
Tapi tu lah, macam Prof tu cakap - rumah yang murah letaknya jauh-jauh dari bandar besar.
Abis tu camana?



Penjelasan Dr dalam video ni jelas.
Kos rumah dan tanah akan semakin naik saban tahun.
Tak pasti kenapa kita (Malaysia) tak boleh control kenaikan ni.
Adakah semua bahan buat rumah memang kena import?
Entah, bukan bidang aku, tak reti nak kaji. Aku bertanya je ni.
Kesian dengan budak-budak muda.
Umur makin naik. Bila makin naik umur, interest loan pun makin tinggi.
Bila tahun agaknya mampu buat loan besar kalau harga rumah makin lama makin tinggi.

Lepas tengok video tadi aku cakap kat En Wan, syukurnya kita dulu aim untuk beli rumah dulu berbanding benda lain.
Rumah pertama kitorang beli tahun 2003, harganya cuma RM250K.
Sekarang tak jumpa dah rumah harga macam ni di bandar dengan keluasan yang sama.
Masa tu umur aku 25 tahun, En Wan 26 tahun.
Beli di Putra Heights sebab En Wan kerja di Shin Etsu Polymer.
Dia perlu cari rumah yang dekat dengan kilang sebab dia sorang je engineer berkaliber kat kilang tu 🙄.
Asal mesin rosak, asal production sangkut, pukul 1 pagi pun dia kena pergi kilang.
Dah macam dia sorang pulak engineer kat situ.
Jadi, Putra Heights adalah paling dekat untuk cari rumah.

Selepas kawen menyewa dulu. Menyewa 2 tahun sebelum beli rumah pertama.
2 tahun tu takde istilah vacation dan shopping.
Syukur masa tu media sosial belum wujud.
Kuranglah sikit stress tengok orang lain bercuti dan bershopping.
Memang kaw-kaw catu perbelanjaan.
En Wan memang sangat determined untuk beli rumah sebelum buat hutang lain.
Nasib baik kereta dia dah beli kat Jepun, bawa balik.
Aku pun ada Kancil, hadiah dari Mak Aji lepas habis belajar.
Dan kitorang sama-sama tak ada hutang pendidikan. Masing-masing dapat scholarship.
Dan kami sama-sama takde buat personal loan di mana-mana.
Aku masa ni belum pandai nak ber-credit card.
Maknanya, komitment belum tinggi. Anak pun takde lagi.
Dah lega dah kat sikit kat situ.

Walaupun nampak macam lega, hakikatnya taklah lega sangat sebab cita-cita tu tinggi, nak masuk rumah baru dalam keadaan semua dah renovate.
Jadi, bertambah-tambahlah kami mencatu perbelanjaan.
Dah gaji pun tetap tak makan mewah-mewah.
Everytime dapat gaji, restoran paling mewah kitorang pergi adalah KHALIFAH Kat USJ7.
Itu adalah sejenis mamak sahaja, ya. Tapi nak masuk situ tunggu gaji.
Kalau tak ke Khalifah, pergi Carlos.
Carlos pun kedai kuayteow sahaja.
Tapi masih tak mampu nak makan sana setiap minggu. Tetap tunggu gaji juga.
Padahal berapalah sangat makan kat mamak and kueyteow.
Tapi tu lah, bila kau dapat laki yang selalu ingatkan kau supaya tahan diri dari berbelanja demi nak kejar rumah pertama, ku tahan Jebat.

Masa bagitau Mak Aji and Pak Aji kitorang dah beli rumah dan harganya RM250K, terbuntang mata mak aku.
Sebab dulu RM250K tu agak tinggi juga harganya. Kita pulak baru nak belajar hidup. 
Mau orang tua tu tak terkejut?
 
"Apa yang mahal sangat ni? Nanti esok duit gaji kau habis kat bayar hutang rumah je!"

Uii, marah betul dia.
 
Perspektif mak bapak aku berbeza.
Dorang masih menyewa rumah ketika aku umur 6 tahun, Ima 4 tahun.
Sedangkan aku and En Wan beli rumah, Redza belum wujud.
Baru 2 tahun kawen pula tu, maka wajar dorang risau.
Dorang risau kalau nanti kitorang tak mampu nak hidup sempurna bila sebahagian besar gaji buat bayar loan rumah saja.
Tapi bak kata En Wan, "sakit" ni tak lama. Kena tahan sikit.
Setiap tahun pasti ada kenaikan gaji. Dan setiap bulan aku ada komisyen.
Insyallah tak terbeban mana. Gitu laki aku explain kat mertua 😁.

Sekarang memanglah tak rasa "sakit" sebab dah lama sakit tu hilang.
Boleh gelak-gelak lagi kalau kenangkan balik.
Tapi masa menganggungnya dulu, boleh tahan peritlah dia punya "sakit".
Selagi boleh catu, catu.
Nak beli baju baru pun pegang lepas pegang lepas. Last-last, lepas 😆.

Ketepikan dulu hasrat nak beli kereta baru.
Lenjanlah Kancil tu buat sales sana sini.
Walaupun aircondnya waktu tu bak hembusan kentut, tadah je lah.
Kalau panas sangat, turunkan tingkap.

Ketepikan impian nak bercuti macam orang lain.
Dalam tempoh 2 tahun tu, kitorang hanya cuti ke Cameron Highland sekali.
Bila pikir-pikir balik, boleh tahan kering gak hati kitorang tak gi holiday 2 tahun.
Tumpang dengar je member seopis sembang cuti sana sini.
Orang lain sembang pegi Jepun, pergi UK. Yang kau habis jauh pun Cameron 😆.
Nak cerita pun segan. Kahkahkah.

Masa tu sedih jugalah sebab tak dapat nak enjoy life, tapi idok la sedih sampai bawa bergaduh atau menangis.
Sekadar sedih sebab sedang melalui fasa itu saja.
Aku berterima kasih pada En Wan sebab 'berkeras' untuk prioritizing our needs vs our wants, demi nak bayar downpayment beli rumah.
Kalau dia tak berkeras, entah kat mana aku leburkan duit agaknya.

Aku nak bagi tips macam pakar kewangan tak pandai.
Ni pun sekadar berkongsi pengalaman saja.
Kepada yang baru-baru nak mulakan hidup, try ketepikan dulu kehendak.
Muda-muda ni kumpul duit beli rumah dulu.
Rumah sekarang memang mahal, tapi kalau kau tunggu tahun depan, jauh lebih mahal.
At least umur tengah muda, loan bank senang lulus, interest pun murah.
Dan komitmen korang belum besar lagi.
Esok dah beranak sampai 2-3 orang, lagi rasa payah nak menabung untuk beli rumah.
Usahakan, ya?