2022-07-05

Sebelum kawen kalau boleh bincang dulu hal ni.


Pesanan penaja atas ni, sekali imbas tengok macam mengarut.
Takkanlah benda-benda macam ni nak kena discuss katanya.
Kerana dalam Islam, tanggungjawab bills and provide tempat tinggal, bagi makan, perbelanjaan anak-anak, perbelanjaan isteri semua di atas bahu suami.
Selalunya kita takkan terfikir nak berbincang perkara ni.
Masing-masing anggap masing-masing dah tahu tanggungjawab.
Lagipun, sebelum kawen, ramai yang banyak fikir tentang persiapan MAJLIS kawen, tak ramai yang prepare plan SELEPAS majlis kawen.

Sebelum aku and En Wan kawen, antara yang kitorang discuss-kan, kat mana nak tinggal lepas kawen.
Aku terus-terang bagitau En Wan, aku taknak keluar dari KL atau Selangor.
Kebetulan, aku start kerja dulu sebab En Wan masih di Jepun.
Aku dah kerja setahun, baru dia balik. 
Jadi, dialah yang kena tukar plan 😁.
Sebelum kenal aku, dia plan nak balik kerja kat Tganu.
Tapi lepas kenal aku, dia start buat Plan B untuk kerja kat Shah Alam.
Shah Alam kan banyak kilang.

Dari sudut family, aku dah tahu jenis family mertua apa yang aku nak pilih (wahhh, macamkan kau banyak pilihan sangat 😆).
Tak, maksud aku, family mertua mestilah seorang yang bukan orang have-have, berpangkat, atau ternama.
Dia mesti biasa-biasa macam family aku.
Sebab aku tak nak letakkan parents aku dalam situasi yang tak selesa bila berbesankan orang-orang berada.
Biarlah dua-dua keluarga berdiri sama tinggi duduk sama rendah gitu.

Tapi yang paling aku nak jaga nilah yang terbabas.
Semuanya berlaku dengan tergesa-gesa, tiba-tiba je nak bertunang.
Tak sempat nak kenal family pun.
Ye ye je masa kenal-kenal, dalam surat dia cakap dia orang kampung.
Mak tak kerja, hanya surirumah.
Bapak dia kerja kebun katanya. Kebun kelapa sawit.
Yang aku ni bodoh naif, membayangkan bapak dia peneroka.
Rupanya bapak dia own the ladang sawit!

Kan aku bertunang mengejut.
Masa mak aku bagitau adik-beradik dia yang aku nak bertunang, dorang ni datang bincang-bincang apa nak buat kat majlis tu nanti.
Mak aku takde gambar En Wan, takde gambar family En Wan untuk tunjuk. Dia hanya tahu nama je.

"Nama dia Wan Mohd Ridzuan bin Wan Dagang. Orang Tganu. Tapi tak tahulah Tganu belah mana".

Pakcik aku (adik ipar Mak Aji) berkerut dengar nama tu.

"Wan Dagang? Bapak dia bisnes ke?"

"Eh tak Diana kata kerja kampung je"

Pakcik aku tak puas hati.
Dia tanya lagi "Cuba tanya dia ada tak abang ipar nama Adam?"

Abang ipar En Wan ni dulu sama kerja dengan pakcik aku.
Dorang dulu sama-sama kerja kat syarikat rokok.
Biasalah, sales. Memang selalu travel sana sini.
Tu yang pakcik aku kenal Wan Dagang sebab dah pernah lepak kat rumah tu dah.

Pakcik aku sembang sembang sembang lagi dengan mak aku, pastu dia kata "Kalau betullah Wan Dagang yang aku cakap ni, ini bukan calang-calang orang, Yah. Rumah dia banglo besar tepi jalan".

Malam tu mak aku call henfon kawan aku, ya.
Dia dah gelabah kat rumah.
Tak sempat nak tunggu siang, malam tu jugak dua kacau kawan aku.

"Diana, cuba kau cakap sikit kat Mama, si Wan tu bapak dia kerja apa?"

Ya Allah, aku berderau.
Gila tak berderau mak kau call semata-mata nak tanya kerja bakal bapak mertua? Hahaha.
Aku kat sana dah tak tentu arah.
Nak call En Wan, takde nombor. Nak call pun jauh, takde duit.
Terpaksa tunggu dia call baru aku boleh melahar.
Nak mintak Muni typekan email untuk En Wan karang Muni tahu pulak aku tengah bergaduh.

En Wan call, aku tak bagi channnn. 
Aku interrogate dia kaw-kaw.
Macam mesin gun aku tembak.
Dah la jumpa pun sekali. Pastu nak bertunang.
Siapa keluarga dia pun aku tak kenal.
Ni mak aku dah susah hati kat rumah, camne?
Nak kensel bertunang tapi En Wan pandaiiiii.
Dia gunakan situasi aku untuk create urgency.

"Boleh tak kita jangan bincang pasal tu? Keluarga saya biasa-biasa je. Kita bincang pasal nak bertunang dulu. Di jauh kat sana, saya takde kalau jadi apa-apa. Biar kita bertunang dulu. Saya balik nanti kita bincang".

Dalam kepala aku, takpelah bertunang dulu.
Aku kena selamatkan diri aku dulu apa-apa hal.

Aku bertunang malam.
Yang mekapkan makcik aku.
Makcik aku perasan muka aku berpeluh kuat.

"Apesal muka kau berpeluh ni? Cair mekap".

Mau tak berpeluh? Aku tak tahu apa nak expect kot.
Keluarga dia datang kejap lagi itulah pertama kali aku nak tengok macamana orangnya.
Sekali datang sampai 7 buah kereta.
Menjalar Benz depan rumah.
Ketua rombongan adalah pakcik dia, Dato' Ismail, a politician. 
He was a bekas Pengerusi MARA juga.

Masa tu aku kat atas, tak tahu kisah kat bawah ni.
Bila tengok gambar bertunang, sedih aku.
Aku rasa dah malukan mak bapak aku.
Rombongan dorang datang berbaju melayu lengkap bersamping.
Bapak aku sambut dengan baju melayu and berkain pelekat saja 😥.
Ye lah, sebab masing-masing ingat rombongan dari kampung, jadi kita biasa-biasa saja lah supaya pihak lelaki pun rasa selesa. Sekaliiiii.   
Sedih aku masa aku tengok gambar tu.
Terbayang-bayang kat kepala macamanalah agaknya perasaan bapak aku terima rombongan yang datang malam tu.
Kalaulah aku tahu background En Wan, aku takkan letakkan parents aku dalam situasi serba-salah.
Tapi family dorang ok je.

Esoknya, En Wan datang nak bawak aku kenal-kenal dengan family dia pulak sebelum the rombongan balik semula ke Tganu.
Allah seram gila.
Dorang semua berkumpul kat rumah Dato'.
Rumah dia besar dan cantik sampaikan aku tak perasan yang aku duduk tu adalah dry kitchen dia.
Halah halahhh, darat nau aku!
Itu je lah bab yang terbabas.
Beria plan nak cari keluarga mertua biasa-biasa, sekali kena game dengan tunang sendiri.

Politik views!
Ini lagi satu perkara yang kitorang discusskan sebelum kawen.
Benda ni nampak tak penting, kan.
Tapi sebagai seorang yang loud, ini penting untuk aku clear cut.
Tak sama parti takpe, tapi view tentang politik tu biar tak jauh sangat perbezannya.
Sebab aku suka deep conversation.
Kalau sparring partner tu jenis yang merepek meraban bercakap emosi macam takde otak, sorry, aku tak boleh stay sekali dengan orang macam ni.

Careers and education.
En Wan awal-awal dah bagitau dia tak suka isterinya tidak bekerja.
Dia suka isterinya pegang jawatan, indepedent, can communicate effectively, ada network yang luas, etc.
Nasib baik aku pun tak bercadang untuk tak bekerja.
Cukup takut kalau tiba-tiba dah kawen esok suami suruh aku berhenti kerja because I enjoy working.
Bila dia awal-awal cakap macam tu, lega rasanya.
Maksudnya, dia sudah bersedia dan berlapang dada kalau isterinya kena kerja lebih masa, outstation, etc.
Alhamdulillah, lepas kawen, En Wan tak kisah kalau aku balik lambat, atau outstation back-to-back.
Yang penting, jangan senyap hilang.
Kena update aku di mana dan bagitau kalau kena balik lambat.
Disebabkan we all dah plan untuk sama-sama berkerja, having bibik dah memang ada dalam plan sebelum kawen lagi.
Ya, memang jauh nak kitorang berangan dulu 😆. Sampai ke bibik segala.

Education.
Yang ini aku respect dengan En Wan sebab dia sanggup kerja pakai duit sendiri untuk sambung degree.
JPA taja untuk Diploma saja.
Sebahagian besar kawan balik lepas habis diploma.
Dia dari awal ke Jepun dah plan untuk sambung Bachelor di sana.

Tahun akhir diploma dah start kenal aku.
Hati dia dah berbelah bahagi sama ada nak sambung belajar atau quit sebab dia pernah ada history ex-gf minta putus sebab dia ke Jepun.
Pada awalnya dia takut aku tinggalkan dia juga.
Takut pisang berbuah dua kali gitu.
Semacam satu ujian untuk tengok sejauh mana dia mahukan Bachelor.
Pilih awek ke, pilih sambung belajar. Pilih awek ke, pilih sambung belajar.
Dia pilih belajar, guysssss. Awek tolak tepi.  

Dia call bagitau decision untuk sambung belajar.
Masa tu belum plan nak bertunang lagi.
Tapi dia tanya "Boleh tak tunggu Wan? 2 tahun je tak lama".
Selfish, kan? Dia yang duduk jauh tapi suruh aku tunggu dia pulak.
Tapi nampaklah dia tak main-main. 
Padahal baru jumpa sekali, tapi dia treat aku serious.
Maybe inilah salah satu punca aku terus setuju bila dia suggest bertunang dulu.

Lepas bertunang dia terus tak balik-balik sampai grad, guyssss.
Sakit jiwa aku. Pandai betul dia game aku.
Tapi mungkin asbab bertunang tu lah buatkan aku tunggu dia juga.
Kalau takde ikatana, agaknya lama dah aku angkat kaki.
Ye lah, dah lah tak balik-balik, ada hati nak suruh aku tunggu.
Tapi tu lah, kalau dah jodoh.
Ada je situasi yang berlaku untuk buatkan kitorang terikat.

Masa final year, aku stress dengan final project.
Stress DNA bacteria aku tak keluar.
Terus call En Wan, nangis-nangis cakap nak berhenti belajar.
Aku paksa dia balik kawen dengan aku sekarang, pastu bawa aku balik Jepun. Kalau tak, putus!
Menggelabah juga En Wan masa tu bila tunang buat perangai.
Tapi dia pujuk "Abang tak boleh stop, Di. Di ingat abang suka ke stay jauh macam ni. Abang buat untuk future kita. Di tahan sikittt je lagi. Abang balik nanti kita kawen terus."
Gitu pickup line beliau. Terpedaya lagi aku.

Tak, cara dia cakap "nanti" tu, macamkan "nanti" tu bulan depan.
Aku dah habis belajar SATU TAHUN, baru dia balik.
Memang dia ni dari sebelum kawen sampai sekarang kerjanya menyakitkan hati aku je.
Yang aku pulak percayaaaaa je dengan janji-janji dia.
Dia punya "nanti" tu aku dah faham sangat sekarang.
Kalau aku minta gantung frame gambar, dia punya "nanti abang buat", insyallah Deepavali tahun depan baru naik frame tu.

Parenting style, kitorang tak pernah plan.
Tapi dah plan, esok kalau ada anak, anak nak sekolah yang macamana, apa bahasa perantaran di rumah, siapa yang buat ini, siapa yang buat itu.
Bab education anak, aku tak berkenan cara En Wan.
Cara dia tu macam drill. Keras. 
Sekian-sekian waktu kena belajar. Sekian-sekian waktu kena baca ni.
Siap ada exam lagi dia buat untuk anak-anak dia, set waktu ujian bagai.
Maybe dia membesar dengan cara begitu.
Aku takleh. Rimas!
Jadi aku pilih untuk tak ambik port hal belajar anak. Bagi dia handle semua.
Cuma, yang kitorang tetapkan adalah kalau aku tengah marah anak, dia jangan campur.
Begitu juga sebaliknya. Karang, dengan kau-kau sekali aku libas.