2021-03-01

Ilmu dunia tak pernah salah.

Rayyan kena buat mask - jahit sendiri dari fabrik kain pilihan masing-masing.
Dah tentu bukan dialah yang menjahit tapi aku.
Aku tak berani nak bagi dia jahit.
Aku menjahit pun tercucuk jari, ini lagikan dia.
Mula-mula masa En Wan baca arahan homework dia tanya aku “Kena buat mask betul-betul ke ni?”

“Ya. Gi cari apa-apa kain, potong, lepas tu jahit. Jahit simple-simple je ni. Cikgu bukan nak tengok kemas tak kemas tapi nak tengok jadi ke tak jadi”.

Kalau zaman kita dulu, task macam ni masuk dalam subjek Kemahiran Hidup.
Kemahiran Hidup ni macam skill yang kau perlu ada untuk basic kehidupan - masak, menjahit, bertukang, eletrik and paip.
Time bertukang dulu aku kena buat tempat letak orkid and ada satu lagi projek kayu, lupa dah apa dia.
Tapi tak sempat buat projek kedua tu sebab Form 1 kan aku melompat sekolah sana sekolah sini, last-last tak sempat nak buat pun projek kedua tu.
Projek buat tempat orkid tu pun aku buat masa kat TKC.
Patah balik sekolah Bangi orang lain dah settle buat projek kedua dah.
Letrik and pipe pulak takde projek khas cuma latihan biasa kat bengkel.

Tapi bab menjahit and memasak memang macam-macam kena buat.
Seingat aku kena buat alas meja, skirt and baju sepasang and sarung tangan angkat periuk panas.
Kalau memasak macam-macam - buat mee goreng, kek paun, buat cekodok - yang simple-simple je.
Masa assessment memasak kena buat hidangan minum petang.
Aku buat kek paun and mihun goreng.
Kek paun aku laku weiii, kawan-kawan aku tak sempat rasa.
Cikgu angkut bawak pi bilik guru.
Aku rasa kek aku sedap sebab aku guna butter Golden Churn.
Ini butter arwah nenek aku guna untuk buat kuih tart, sebab tu kuih tart dia sedap.
Dulu butter ni la paling sedap sekali, now dah banyak kot yang lagi sedap.

Dulu masa kena buat projek jahitan, cukup aku susah hati.
Bukan sebab tak pandai buat tapi nak membeli bahan-bahan tu semua nak pakai duit.
Nak mintak Mak Aji beli barang-barang tu pun tak berani.
Pernah Mak Aji marah aku “Cikgu korang ni tak sediakan ke bahan-bahan ni semua? Takkan bahan-bahan budak-budak kena beli?”

Sebenarnya tak jadi isu pun.
Standardlah benda-benda macam ni memang murid kena sediakan.
Sama macam projek Pendidikan Seni, sometimes kena beli kertas warna, kertas minyak, manila kad, etc.
Untuk orang berduit, memang tak mahal mana.
Tapi untuk yang tak kaya macam kitorang dulu, nak beli barang-barang menjahit ni bukan sikit-sikit duit nak keluar.
Lagipun bukan setakat 1 projek tapi 3-4 projek jahitan.
Tu belum lagi bab kena buat projek sulaman.
Benang sulam tu je dah berapa warna.
Masa nak buat sepasang baju nak kena upah jahit tepi lagi. Tu semua duit.
Jadi aku boleh fahamlah kalau ada parents sekarang yang mengeluh bila banyak benda yang kena beli.
Ceritanya, kalau ada duit tak jadi masalah. Yang jadi masalah bila takde duit.

Tapi sesak-sesak macamana pun dulu, tetap Mak Aji sediakan walaupun sambil beli sambil membebel.
Pakai kain murah je.
Bukannya baju tu untuk aku pakai, asal jadi baju je konsepnya.
Untuk dapatkan markah. Belilah kain yang murah-murah je.
Bab membeli dah lepas. Bab membuat pun seksa jugak ni.
Disebabkan duit takde, jadi aku tak ada peluang kedua.
Hanya ada peluang pertama.
Kalau tak jadi baju tu, mampus markah zero sebab aku tak akan ada peluang untuk minta mak aku belikan kain lagi.
Dia punya konsep satu kali beli je.
Baik kain, baik benang. Semua satu kali beli.
Pandai-pandailah estimate and buat cermat-cermat sampai jadi.
Dan selalunya projek jahitan aku tak mewah macam orang lain.
Aku punya basic design je.
Kalau orang lain buat baju siap ada piping lace kat leher, aku tak.
Aku letak piping je cukup. Asal ikut requirement.
Kalau requirement kata sepasang baju mesti ada kombinasi 3 jenis jahitan, aku ikut tapi design basic saja.
Orang lain baju siap ada riben kat hujung lengan, aku takde.
Sedih juga tak dapat buat cantik-cantik macam orang lain tapi takpelah, janji lulus.

Apa benda sebenarnya aku nak cakap ni?

Ceritanya, UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI.
Apa yang kita buat, biarlah ikut kemampuan walaupun apa orang buat lagi best.
Kita buatlah cara kita dengan cara yang terbaik.
Melainkan kita mampu, ikutlah cara orang tu kalau nak sangat.

2-3 hari ni aku baca post pasal si anu berhentikan anak sekolah formal sebab nak tumpukan anak pada pelajaran akhirat.
Lepas tu ada sorang lagi si anu tunjuk anak dia hanya homeschool tapi berjaya ke universiti luar negara.
Lalu, berbondong-bondonglah mak bapak dari kalangan netizen yang tag pasangan masing-masing ajak ikut jejak langkat si anu-anu sekalian demi nak menumpukan pada ilmu akhirat.
Yang nak homeschool anak pun boleh tahan ramai.
Aku tengok macam....alahai.
Kau baru tengok satu contoh, dah menggelabah tetek nak berentikan anak sekolah.
Punyalah ramai contoh-contoh anak-anak berjaya disebabkan sekolah kerajaan, takde pulak nak jadikan contoh.

Look, si anu yang homeschool anak tu orang berduit.
Anak dia pi overseas guna result IGCSE.
IGCSE ni kalau kau dapat B atau C (asal tak fail), boleh je sambung A Level kat private Uni.
Konsepnya kau kena berduitlah. Takde de Uni nak sponsor.
IGCSE tu tau tak berapa yurannya? Satu subjek RM1000, ya.
Redza ni pakkal dengan MRSM, hanya RM2500 je untuk 6 subjek.
Kalau kena ambik kat sekolah private, memang taklah aku nak ambikkan.
Kau tunggu je SPM tu.

Yang si anu lagi satu berhentikan anak skolah formal sebab nak anak tumpukan ilmu akhirat, dia juga orang berduit.
Orang yang berduit boleh memilih.
Dia mampu hire tenaga pengajar dan ustaz terbaik untuk ajar anak dia di rumah.
Yang kita? Berhentikan anak sekolah bodoh-bodoh gitu takde planning nak buat yang terbaik.
Tapi sibuk nak ikut-ikut orang.
Beria kondem sistem pendidikan formal.
Mengata mak bapak hanya pentingkan anak-anak dapat straight As berbanding urusan solat.
Menuduh mak bapak sekarang lebih bangga anak-anak belajar universiti berbanding hafal Quran.
Tak, sekarang aku nak tanya, yang mengondem tu berapa surah dah hafal?
Ke umur dah 40 tahun balik-balik 3 Qul je tak bertambah-tambah?
Setahun berapa kali khatam? Sehari berapa kali pegang Quran?
Nak suruh anak je pandai agama, anak je hafal Quran tapi mak bapaknya juzuk amma pun tak lepas-lepas, please muhasabah diri.

Kita ni kalau nak kondem, biar walk the talk.
Jangan kerana kita boleh komen maka kita tak perlu membuktikan apa-apa.
Allah tu nampak je apa kita buat. Jangan hanya pandai bercakap, buatnya tak pun.
Aku tak ada masalah dengan orang-orang yang berhentikan anak sekolah formal untuk bagi anak-anak pendidikan agama.
Bagi aku, mereka adalah orang yang mampu.
Mereka orang berduit. Mereka mampu hire guru agama datang ke rumah mengajar.
Mereka mampu hantar anak ke luar negara pakai duit sendiri untuk belajar apa saja course.
Kita yang tak mampu ni ikutlah saluran mana yang ada, yang sesuai dengan kemampuan dan tak kurang hebatnya.
Ukur baju di badan sendiri.
Ini tak, kau tak mampu tapi kau nak ikut cara orang yang mampu.
Bila tak mampu, salahkan sistem pendidikan, salahkan kerajaan, salahkan semua benda.
Yang salah orang, kau tak pernah salah.
Orang kaya tu optionnya besar.
Takde cara A, dia boleh buat cara B.
Yang kita ni kalau takde duit, buatlah cara tak berduit.
Masuk je skolah kerajaan.
Kau tu tu belajar sekolah kerajaan juga. Helok je pun. Ke tak?

Ilmu itu luas.
Ilmu dunia (sains) kalau dipraktikkan dengan cara yang betul juga boleh jadi ladang ibadah.
Bidang aku biotech. Bidang sains.
Dengan ilmu biotech itu, salah satunya boleh mengenalpasti contamination DNA babi dalam makanan.
Makanan yang ada unsur haram can easily be detected menggunakan konsep PCR atau antigen-antibody.
Bukan ke itu jadi manfaat untuk Islam?
Kalau semua orang tinggalkan pendidikan formal hanya nak tumpu fardhu ain, esok bini nak beranak, tau pulak menggagau nak dokter perempuan.
Tapi kau tak bagi anak kau belajar sains.
Bayangkan kalau semua hanya bertumpu pada ilmu akhirat, apa akan jadi dengan urusan dunia kita?
Urusan dunia ni memang fardu kifayah je tapi ia jatuh jadi perkara wajib dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentingan umat Islam.
Kalau takde siapa buat maka seluruh masyarakat berdosa.
Bayangkan kalau DG Tan Sri hanya tumpu pada ilmu akhirat.
Siapa nak handle urusan Covid-19 ni?
Buta-buta nak serah pada takdir tanpa ikhtiar yang sungguh-sungguh?

Ilmu dunia tu tak salah.
Yang salah tu bila melebihkan urusan dunia berbanding urusan akhirat.
Ilmu akhirat adalah bekal kita ke akhirat.
Ilmu dunia pula sebagai tunjang untuk melaksanakan ilmu akhirat.
Paling mudah nak faham ginilah.
Someone yang faham dengan ilmu akhirat (agama) maka dia wajib mengamalkan ilmunya, seperti bersolat.
Untuk bersolat harus memenuhi syarat sah solat, antaranya menutup aurat.
Untuk menutup aurat of course dengan pakaian yang sesuai.
Nak dapatkan pakaian yang sesuai tu harus beli dengan duit.
Nak dapat duit kena kerja.
Nak kerja mesti mengusai ilmu.
Walaupun hanya berniaga kecil-kecilan ataupun berkebun semua tu kena ada ilmunya.
Habis tu usahakan kebun pakai niat je ke?

Ilmu meletakan manusia lebih utama daripada makhluk Allah yang lain, bahkan lebih tinggi daripada malaikat.
Tak heranlah kenapa semasa Allah menjadikan manusia, Dia melengkapkan manusia dengan ilmu supaya manusia menggunakannya dengan betul.
Maksudnya manusia diberi alat menerusi ilmu untuk menggunakan sumber alam semaksimum mungkin bagi manfaat diri secara bijaksana.
Allah nak kita bongkar rahsia alam dan mencari tanda-tanda kekuasaan Allah dari situ.
Bila kita tidak nak menguasai ilmu, maka kita akan jatuh ke lembah kegelapan dan kejahilan.
Mencari dan mempelajari ilmu sebenarnya merangsang usaha penyelidikan manusia hingga membuka peluang yang tak ada hadnya bagi manusia dalam semua bidang.
Janganlah terlampau kecikan skop ilmu ni.
Yang penting bagaimana kita jadikan ilmu dunia dan akhirat itu ladang pahala.
Itu lebih penting untuk difikirkan.