2020-04-01

Bahaya lingkungan yang tak betul


Ada satu cerita.
Tentang sekumpulan kawan-kawan 6 orang satu van pi travel sama-sama.
Sampai waktu Zuhur, yang sorang ajak stop kejap kat masjid untuk solat.
Semua pun turun, solat sama-sama.

Perjalanan di teruskan hingga Maghrib, kawan ajak stop untuk solat.
4 orang turun, lagi 2 orang tak.

Perjalanan sambung lagi sampailah ke Subuh esoknya, kawan yang sama ajak stop Subuh.
Kesemua 5 orang marah "Kau ni! Kejap-kejap suruh stop. Kita ni ramai. Setiap kali berhenti, dah berapa lama ambil masa. Bila nak sampai kalau asyik stop je?"
Akhirnya dorang teruskan perjalanan tanpa solat Subuh.

Itulah penting memilih kawan.
Kalau lingkungan kita terdiri dari orang-orang yang memotivasikan, menjadikan kita lebih baik, berakhlak, insyallah kita juga akan terpengaruh dengan nilai-nilai baik kawan kita.

Orang kata, zaman sekarang kalau baik nampak macam poyo.
Especially kalau dapat kawan yang rajin bagi nasihat, tak ramai yang selesa dengan kawan macam ni.
Macam 'good-good' orang kata.
Jadi, nak tak nak, 'si poyo' terpaksa blend dengan kehendak persekitaran.
Dia yang pada awalnya mahu mempengaruhi, akhirnya dipengaruhi oleh persekitaran yang kurang baik.

Percaya tak, menjadi baik itu tak keseorangan?
Kerana bila kita jadi baik, perkitaran kita akan berubah.
Yang tak suka pada kebaikan akan segera menjauhi kita, dan yang suka pada kebaikan akan mendekat.
Kebaikan itu akan keluarkan energi positif yang menarik setiap energi positif dari orang lain.
Kemudian energi positif itu akan berkumpul ke arah kita.
Dan percayalah, kita akan dikelilingi oleh banyak energi positif, yang akhirnya memancarkan ketenangan dalam hidup.

Sikap kita PASTI dipengaruhi oleh persekitaran.
Maksudnya, kalau kita sombong, pasti lingkungan kita juga yang sombong-sombong.
Kalau kita pemarah, pasti sebahagian besarnya berpunca dari persekitaran.
Lingkungan tak semestinya perlu ramai.
Kadang-kadang sorang je pun cukup, tetapi dominan.
Contoh, seorang perempuan yang sopan, lembut, akhirnya bertukar jadi kasar dan angkuh.
Bila diperiksa lingkungannya, rupanya tertekan dengan sikap suami.
Suami seorang pemarah, kedekut dan pemalas.
Akhirnya dia menjadi sangat loud di luar kerana nak melepaskan tekanan.

Hari ni, di media sosial terlalu banyak perdebatan berlaku.
Mula-mula satu dua je, lepas tu berjujuk-jujuk topik yang sama naik.
Inilah namanya efek persekitaran.

Bila masing-masing bertumpu pada satu persekitaran yang sama, mempengaruhi dan dipengaruhi sangat senang terjadi.
Maka, hati-hatilah dalam menjaga hati sendiri.
Kita yang awalnya ingatkan cuti-cuti ni boleh banyakkan ibadah, qada' solat yang tertinggal, baca Quran, ambil peluang menghafal surah-surah pendek, bermuhasabah ketika berita kematian demi kematian appear on news, akhirnya terjebak dengan perkara yang melekakan.
Kita cenderung melayan cerita sensasi.
Ada yang sukarela menggali dan mengorek macam-macam info.
Akhirnya daripada satu cerita menjadi berpuluh-puluh cerita.
Ya, termasuklah aku sekali terjebak membaca.

Tapi ada satu yang menarik perhatian aku.
Betapa manusia tak boleh diharap.
Yang tikam belakang, yang mendiamkan diri, yang berpaling tadah - macam-macam.
Kita yang dulu ramai kawan se-kepala dan se-angkatan, kawan yang bergurau bersama-sama.
Ketika kita di atas, semua suka, semua mengaku kawan.
Bila kita dalam keadaan sukar, tak nampak bayang kawan.
Mungkin masing-masing support each other di belakang tapi takde yang berani menyokong terang-terangan.
Masing-masing cuba menjaga periuk nasi sendiri.
Tak, tak salah pun.
Memang lojik kalau buat begitu.
Cuma kat sini boleh nampak pengajarannya untuk yang mahu berfikir.

Sekarang baru jelas, manusia adalah followers ketika kita senang.
Kerana keupayaan manusia terbatas.
Boleh jadi dia kesiankan kita dan nak sangat support tapi ada kepentingan lain yang perlu dijaga.
Maka ketika inilah jelas bahawa hanya Allah saja yang tak pernah tinggalkan kita ketika kita susah.
Dialah harapan kita satu-satunya.
Yang memperhatikan kita ketika kita senang.
Dialah penolong yang tetap ada semasa susah.

Beruntunglah mereka yang sedang diuji dengan sikap manusia, itupun jika mereka faham bahawa inilah cara Allah memaksa diri untuk bermuhasabah.
Itu tanda Allah masih peduli.

Dan hati-hati untuk yang sedang berseronok atas kejatuhan orang lain.
Kerana "Siapa yang menjelek-jelekkan saudaranya kerana suatu dosa, maka dia tidak akan mati kecuali dia melakukan dosa yang sama" [Tirmidzi, 2505].