2020-02-05

Transgender ke Mekah


Apa cerita kes Sajat sehingga ke hari ni?
Dengar kata polis and majlis agama dah ambik maklum.
Baguslah, biar dorang handle kes ni, semoga ada jalan penyudahnya.

Bila viral isu-isu macam ni lumrahnya ramai blog readers and followers tag aku minta aku blog about this.
Benda tengah panas, manusia tend to bercakap ikut emosi, jadi aku bagi keadaan reda dulu sikit.
Bukan apa, benda tengah hot karang selalunya lebih banyak berhujah guna kepala lutut.

Honestly, malam Ahad lepas baca artikel tu, memang berbaur emosi.
En Wan kata aku emosi sebab menangis.
Terima kasihlah Sajat, disebabkan kau, berjurai-jurai aku menangis muhasabah diri.

Ramai yang question kenapa dia seberani tu. Di Tanah Haram pula tu.
Hakikatnya di Mekah, macam-macam jenis kejahatan ada.
Penyeluk saku ramai.
Sindiket menipu sedekah ramai.
Yang pergi ke sana untuk meminta-minta pun ramai.
Come to think of it, kenapa Allah izinkan benda-benda jahat ni berlaku?
Apa hikmah dari kejahatan ni semua?

Nak menyingkapi ujian ini, kita balik pada basic.

Siapa cipta syaitan dan iblis?
Apa keperluannya iblis dicipta?

"Katakanlah : Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh. Dari segala kejahatan yang Dia ciptakan" [Al-Falaq, 4].

Setiap kejahatan yang Allah ciptakan pasti ada hikmahNya.
Kita diberikan ilmu yang sangat sikit saja, that's why hikmah dari setiap perkara yang berlaku kadang-kadang kita tahu, kadang-kadang kita tak tahu.

Satu kisah contoh yang aku boleh kaitkan, tentang Nabi Yusuf dan Zulaikha.

Zulaikha menggoda Nabi Yusuf.
Dalam bahasa mudahnya, Zulaikha jahat.
Tempias dari kejahatan Zulaikha dapat kat Yusuf.
Yusuf diuji dengan ujian syahwat asbab perangai jahat Zulaikha.
Tapi Nabi Yusuf beristighfar sekuat-kuatnya dan akhirnya bila dia takut tak mampu kawal diri maka dia berdoa agar dirinya dipenjarakan.

Inilah hikmah sebuah kejahatan.
Bila kejahatan berlaku, Nabi Yusuf lekas-lekas beristighfar.
Kalau tak ada kejahatan, manusia dah tentu tak nampak apa perlunya beristighfar.

Lebih kurang macam ni lah yang jadi sekarang.
Yang jahat - Sajat [aku tak memaksudkannya, cuma analogi saja].
Yang menerima tempias ujian - kita.

Malam tu aku terfikir, apa beza aku dengan dia?
Aku pun jahat juga.
Aku pernah mencabar perintah Allah.
Aku pernah cukup berani dedah aurat aku yang bukan sikit-sikit.
Aku bangga tayang body aku.
Aku buat tak peduli dengan laranganNya.
Teruk tak teruknya aku di mata manusia dulu sampaikan awal-awal lagi aku dah kena hukum masuk neraka.
Itu baru dosa yang orang nampak.
Dosa yang hanya Allah dan aku saja yang tahu, jauh lebih banyak.

Tapi Allah Maha Baik tetap pelawa aku ke rumahNya.
Allah bagi peluang aku beribadat.
Allah tak aniaya aku di sana, malah Allah tutup aib aku.
Takut sangat dulu aku nak ke sana.
Imaginasi aku melampau-lampau.
Terbayang kot-kot aku rebah bila jejak kaki kat Mekah, tanah haram tak nak terima aku.
Sampai macam tu sekali aku membayangkan.
Buruk sangka betul dengan Allah, kan.

Kadang-kadang kita merasa diri kita lebih baik hanya kerana kita tak seperti dia.
Kita rasa kita tak teruk sangat hanya kerana dosa kita takde orang tahu.
Kita men-diskaun-kan dosa sendiri sedangkan hukum Allah tak ada diskaun.
"At least aku tak macam dia..."
Inilah keyword favourite kita.

Don't get me wrong, salah tetap salah.
Kalau betul dia transgender, aku tak sokong apa yang dia buat tu.
LGBT terang-terang salah, memang kena basmi puak-puak ni tetapi janganlah kita usik urusan ibadah dia itu antara dia dengan Allah.
Kita jentik akhlak dan perangai dia yang melampau tu dah lah.
Sekiranya dia memang transgender, kita ada saluran yang lebih betul.
Report perbuatan dia. Biar pihak berwajib ambil tindakan.

Nak support bisnes dia, takde masalah.
Nak bisnes barang perempuan tak apa, tapi tak perlu kot dengan kau-kau sekali jadi perempuan.
Stoplah puji dia cantik, body cantik, kulit mulus - cukup-cukuplah.
Siap panggil "Sis" pulak.
Puji-pujian macam ni lah yang buatkan dia susah nak istiqomah sebab persekitaran menyokong.

Cuma dari sudut respond kita pada dia, jangan kita usik perkara yang tak patut.
Patutnya muhasabah diri sama.
Masing-masing dah tak nampak dosa sendiri sebab 'terlindung' dengan dosa Sajat.
Inilah yang scary, bila kita sangka Allah menguji Sajat seorang.
Boleh jadi Allah gunakan kelemahan Sajat sebagai perantara untuk menguji kita dalam masa yang sama.

Salah satu komen aku baca, "Sajat ni pegi Mekah sebab nak tunjuk bukti dia tu perempuan, bukannya nak beribadat".

Niat dan amalan dia tak payahlah sentuh.
Niat dia baik, nak beribadat tapi cara dia salah.
Kita concernkan cara dan akhlak dia yang tak betul tu je dah lah.
What if aku kata kat kau "Sajat yang macam tu pun dah sampai Mekah, yang kau bila lagi?"
Agak-agak pedih tak rasa?

Islam tak pernah bagi ruang sesiapa untuk tepuk dada membanggakan dirinya di atas umat Islam yang lain.
Merasa diri lebih baik dari orang lain adalah tanda akal lemah, jahil dan bodoh.
Takde yang lebih cacat dari tu.

Kenapa Allah tak azab LGBT di sana, itu hak Allah.
Tak ada kaitan sama sekali dengan pembolehan LGBT dalam Islam.
Azab Allah yang bersifat penghancuran umum tak terjadi lagi selepas Allah turunkan Taurat kepada Nabi Musa.

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa kitab [Taurat] sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi penyuluh bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat".

[note : Firaun kena azab sebelum Taurat diturunkan]

Dah disebut dah takkan ada azab selepas Taurat diturunkan, jadi tak payahlah kita nak meminta-minta.
Ingat kalau turun azab tu kena kat sorang dua je ke.

Rasulullah saw memang dah takde tapi masih ada di kalangan kita yang rajin beristighfar.
Boleh jadi kerana istighfar ini, kita semua masih terselamat.

Boleh jadi juga Allah tak turunkan azab kerana masih tegaknya amar makruf nahi mungkar di dunia.

Boleh jadi Allah simpan balasan tu, nanti kat akhirat DIA claim.
Itu peringatan buat kita sama.
Hari-hari dok mengutuk orang tapi tak ditimpa musibah kan?
Boleh jadi Allah "save the best for last". Hati-hati..

Dan boleh jadi juga itu cara Allah encourage kita yang baik-baik sangat ni supaya usahakan sampai ke sana.
Allah nak tunjuk Maha Baiknya Dia, tak kira siapa pun, masih ada ruang di sana.

Pergi sana tak penting untuk kita bahaskan, tetapi bagaimana kita selepas pulang dari sana jauh lebih menarik untuk dibincangkan.
Kerana bagaimana kita selepas pulang sangat menentukan samada kita dapat "sesuatu" atau tak.