2019-03-16

Tak mahukah kita ambil pengajaran?


Dua hari berturut-turut aku baca berita kematian.

Yang pertama, 2 hari lepas.
Sorang budak yang katanya dapat 9A meninggal accident on the way back ambil result SPM.

Semalam, pembunuhan beramai-ramai orang Islam di masjid di Christchurch, NZ.

Sedih.
Terfikir apalah dosanya, apalah salahnya mereka yang meninggal ni?
Yang sorang meninggal tanpa sempat berbakti pada mak bapak.
Yang satu lagi dibunuh tanpa sebab, tengah bersolat pulak tu.

Kita orang awam selalunya akan busy cari alasan dan punca untuk mencari rasional di sebalik kejadian sesuatu perkara yang tak sesuai dengan keinginan kita.

Tapi bagi mereka yang mahu berfikir, kematian adalah nasihat.
Bukan mengajak untuk taknak ambil tau, yes, salah tetap salah, tak dinafikan.
Tapi dari satu sudut yang lain ada mesej yang lebih penting untuk kita semua fikirkan.

"Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang melenyapkan semua kenikmatan, iaitu kematian!" (Tirmidzi)  

Cerita kematian dua hari berturut-turut banyak bagi nilai-nila pelajaran yang menarik untuk kita renungkan.

Kematian mengingatkan kita bahawa masa itu emas.
Tak ada apa yang lebih hebat yang dapat mengingatkan kita tentang kematian, other than death.
Tak ada sorang pun tau bila last day dia.

Macam kes budak yang meninggal accident tu.
Kematian dia entah macamana bagi kesan sangat kat aku.
Rasa sedih sangat sampaikan aku baca Yassin khas untuk dia, dek kerana terkesan dengan news tu.
Aku macam....ntah tak tau nak describe macamana.
Sampai terdetik dalam hati aku "Kenapalah tak bagi dia peluang menikmati moment-moment ni dengan lebih lama?"

Astaghfirullahalazim....jahilnya aku.

Bukan apa.
Sebab aku dok imagine kalaulah aku berada di tempat dia, mesti the whole week aku dah berdebar-debar pikir apelah agaknya result yang bakal aku dapat.
On the day itself, bila dah dapat keputusan, mesti aku dah seronok and terbayang-bayang universiti mana aku bakal pergi, terbayang dah future aku, future mak bapak aku.
Semua tu sure aku dah terbayang and excited nak tunggu hari esok.
Rupanya, hari esok tu takde untuk aku.

Kes pembunuhan di masjid semalam, lagi sekali buatkan aku tersentak.
Down betul rasanya.
Nak pulak semalam aku half day kerja.
Sebelum En Wan pi solat Jumaat, dia drop aku kat rumah, then dia terus ke masjid and lepas balik solat dia masuk ofis balik.
Masa aku dapat berita pembunuhan tu melalui whatsapp, En Wan belum balik lagi.
Dalam keadaan berdebar-debar, tiba-tiba pintu bilik aku terbukak, En Wan balik awal.
Allahh....rasa nak berjurai airmata.
Ternyata, ajal itu datang dalam pelbagai cara.
Tak perlu sakit, tak perlu tua, tak perlu menderita.
Suami kita yang keluar dari rumah ke masjid, belum pasti lagi dia akan balik lagi.
Kita orang perempuan mesti anggap itu adalah sekadar rutin biasa "Laki aku pi solat Jumaat, pukul 2.30 karang sampailah rumah balik".
Padahal belum tentu, kan?

Kalau kita mahu berfikir, maka setiap berita kematian adalah peringatan buat diri.
Apetah lagi kalau kita rasa sangat-sangat terkesan dengan mana-mana berita kematian, itu petunjuk bahawa Allah mahukan kita mengingati mati.

Kematian juga mengingatkan kita bahawa kita ni bukanlah siapa-siapa.

Macam orang seni selalu kata dunia yang ni hanyalah pentas.
Kita adalah pelakonnya.
Sampai satu ketika, Direktor akan cakap "Cut!".
Maka scene kita pun habis dan semua akan kembali kepada role yang sebenar.

Apa pun watak kita di atas pentas, semuanya ada pengakhiran.
Tak selamanya kita boleh pegang watak tu.
Silakan bangga dapat pegang watak orang kaya.
Silakan sedih dapat pegang watak orang miskin.
Silakan berlagak dapat pegang watak orang sombong.
Hakikatnya, semua karakter tu tak kekal.
Sampai masanya, kita kena stop.

Role sebenar kita adalah nanti, di alam kubur, ketika kita tak mampu bercakap bohong lagi, tak mampu nak beremosi, tak mampu untuk jadi ignorance, etc.
That's our actual role.
Sangat naif kalau ada manusia berbangga dan percaya yang dia akan jadi kaya dan berkuasa selama-lamanya.
Sangat naif juga kalau ada yang merasakan mereka akan terus menderita selama-lamanya kerana kesusahan yang mereka alami.
Everything that starts will end, and the end of it is death.

Kematian juga mengingatkan kita bahawa kita tak memiliki apa-apa.

Kalau apa yang kita miliki sekarang benar-benar milik kita, dah tentu time mati esok semua benda ni akan ikut sekali masuk dalam kubur.
Malangnya tak.

Islam menggariskan syarat bahawa tak ada satu benda pun yang boleh ikut masuk ke liang lahad kecuali kain kafan.
Siapa pun dia, baik kaya atau miskin, baik raja atau rakyat - semuanya akan masuk lubang kubur bersama kain kafan.
Cuma kain kafan itu.

Tapi tak bermaksud kita tak payah hormat sesiapa dengan alasan "Kita semua mati esok masuk dalam keluasan kubur yang sama".
Sombong namanya kalau kita anggap macam tu.
Ketua kena hormat.
Raja kena hormat.
Orang tua kena hormat.

Kalau mati tak bawa apa-apa, so layak ke kita kata kejayaan yang kita capai adalah usaha kita?
Layak ke kita claim harta yang kita miliki atas usaha kita?
Ada la kot 20% usaha kita mencari/menjemput rezeki, yang selebihnya memang Allah nak bagi.

Kalau betul itu semua kerana usaha kita dah tentu Allah benarkan kita bawak semua tu sekali teman kita dalam kubur.
Hakikatnya kita masuk sorang-sorang.
Itulah bukti bahawa kira bukan siapa-siapa yang tak memiliki apa-apa.

Kematian juga mengingatkan kita bahawa hidup ini begitu berharga.

"Dan carilah apa yang telah Allah kurniakan kepada kamu di akhirat dan jangan lupa bahagianmu dari dunia" (Al-Qashash, 77)

Maksudnya, dunia adalah ladang akhirat.
Dunia hanyalah stepping stone untuk kita cari tempat duduk kita di akhirat nanti.

Seseorang yang mengingati kematian akan sentiasa sedar bahawa hidup ini sangat berharga kerana hidup adalah pinjaman.
Ia tak menjadi hak mutlak dan bila-bila kena pulangkan balik.
Samada dipaksa untuk pulangkan, atau diambil balik.

Seorang petani yang bijak akan memanfaatkan ladangnya dan menjaganya dengan baik supaya hasilnya mendatangkan manfaat.
Dia takkan buat kerja dengan sambil lewa kerana dia tau satu-satu masa nanti akan datang musim kemarau atau hujan ribut atau banjir.
Begitulah juga dengan orang yang mencintai sesuatu, dia takkan melengahkan sikit pun waktunya untuk mengingati kematian kerana dia tau itu adalah sesuatu yang perlu diingat.
Hanya dengan mengingati kematian barulah kita menghargai erti hidup.
Dan orang yang banyak ingat mati, Allah campakkan 3 perkara dalam dirinya iaitu dia sentiasa bertaubat, sentiasa bersemangat beribadah dan rasa qanaah dalam hati.

Kematian mengingatkan kita bahawa hidup ini sementara.

Kejayaan kadang-kadang menghanyutkan kita dengan sebuah imaginasi dan angan-angan seolah-olah kita akan hidup selamanya.

Bak kata pepatah "Bekerjalah bersungguh-sungguh seolah-olah kita hidup selamanya, beribadatlah seolah kita akan mati esok"

Ramai fokus kat first sentence, maka berhempas-pulaslah kita berusaha, bekerja, bersengkang mata mengejar dunia.
Yang sebetulnya, ibadat tu yang kena pulun dulu sebab "kita akan mati esok hari".
Sedangkan kerja tu masih boleh tangguh untuk sambung esok sebab "kita hidup selamanya".

Allah Maha Baik, Dia hantar salam kematian kat kita melalui rambut yang makin memutih, kulit yang makin berkedut, tenaga yang makin berkurang, haid yang makin lama makin sikit, cucu yang makin membesar, etc.
Itupun kadang-kadang belum mampu menyedarkan kita bahawa mati itu dah makin rapat.
Padahal Allah dah begitu baik Dia hantarkan dulu peringatan sebegini instead of rentap je kita tanpa bagi warning.
Dan salah satu peringatan yang lembut dari Allah adalah berita kematian orang lain.
Itupun kalau kita mahu berfikir.