2019-01-30

Jemputlah dengan cara yang baik



"Tidak ada satu binatang yang melata di bumi melainkan Allah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat duduk binatang itu dan tempat penyimpanannya (rezeki)." (Hud, 6).

Dalam ayat kat atas jelas cakap semua makhluk dah ada rezeki.
Tempat di mana rezeki tu disimpan pun dah ada.

Secara lojik, bila rezeki itu disimpan, bermakna benda tu dah ada.
Tak perlu dicari dah, sebab dah ada.
Kita hanya perlu jemput.

Dan apa saja yang dijemput mesti melibatkan ikhtiar/usaha.
That's why kita perlu ubah statement "mencari rezeki" kepada "menjemput rezeki".
Kerana kalau "menjemput" bermakna rezeki tu dah ada, tinggal di jemput je.
Tapi kalau "mencari" bermakna rezeki tu belum tentu ada.
Memandangkan dalam ayat di atas Allah dah kata rezeki memang dah ada, jadi kita tak perlu cari dah.

[nak sebut "cari rezeki" pun takpelah, asalkan pemahaman kita terhadap rezeki tu jelas, iaitu rezeki memang dah ada]

Memang ada rezeki yang tak payah dicari (jemput), tau-tau je datang depan mata.
Sebagai contoh, bayi dalam rahim.
Tak payah keluar ke mana-mana pun, tapi makanan tetap sampai ke dia.

Bila baby keluar ke dunia, everytime dia lapar pun dia tak perlu cari makanan.
Hanya perlu menangis, nanti mak dia suapkan susu.
Menangis adalah sebuah ikhtiar oleh bayi.
Bermakna, bayi masih perlu berbuat sesuatu baru rezeki (makanan) tu sampai kepada dia.
Kalau dia senyap membuta 24 jam, konfem mak dia pun tak teringat nak bagi susu.

Nak cari (jemput) rezeki sebetulnya tak susah sebab bendanya dah ada.
Kita hanya perlu jemput dengan cara yang Allah redha kerana inilah yang menentukan keberkahan rezeki yang kita dapat.
Inilah yang menentukan samada usaha kita jadi ibadah atau tak.

Bisnes adalah ibadah.
Jujur, bertanggungjawab, tak ambil kesempatan, memberikan informasi yang betul tentang servis/produk - ini adalah bentuk-bentuk usaha dalam berbisnes.
Kalau usaha ini semua berlandaskan niat kerana Allah, insyallah Allah akan kirimkan barokahnya dalam bentuk kemudahan mendapat idea dan inspirasi sehingga bisnes kita semakin berkat, bermanfaat dan bernilai ibadah.

Seseorang yang memiliki keyakinan bahwa hanya Allah yang berkuasa memberi rezeki, dia akan menjalankan bisnesnya (marketing) dalam cara yang berbeza dengan orang yang sekadar bisnes biasa.
Kerana bagi orang yang mencintai akhirat, baginya bisnes adalah ibadah.
Sedangkan bagi pencinta dunia, dia menganggap rezeki datang dari makhluk (manusia), kerana itulah dia sanggup buat apa saja demi untuk melakukan produk/servisnya.

Tak perlu buat marketing merepek-repek sampai nak kena menonggeng, meniarap, mengangkang, yang laki sibuk nak pakai macam perempuan, etc.
Tu belum lagi dengan ayat-ayat copywriting yang tak jejak ke tanah.

Patut padanlah sikit.
Jangan over sangat menjual ayat, menjual imej.
Takkanlah kita terdesak macam tu sekali.

Rezeki kita semua dah ada, tinggal nak jemput, maka jemputlah dengan cara baik.
Rezeki yang dijemput dengan baik, barokahnya berpanjangan, insyallah.
Kalaupun tak datang dalam rupa duit yang berkepuk, dia akan datang dalam bentuk yang lain.
Dia datang dalam bentuk keluarga yang harmoni.
Rumahtangga yang aman.
Anak-anak yang bijak.
Badan yang sihat.
Kemudahan beribadat.
Keseronokan beribadah.
Dihindarkan dari malapetaka.
Ini semua rezeki.
Tak semua rezeki datang dalam bentuk duit, perlu faham itu.
Jemputlah rezeki dengan cara yang Allah redha kerana itu semua bakal menjadi darah daging dan keturunan.

Maka, kalau kita faham tujuan, tidak akan ada istilah "tawar hati dengan urusan dunia bila dah kenal akhirat" - no such thing.
Bila kita faham bahawa urusan dunia boleh menjadi ibadah, maka itulah yang membuatkan kita semakin mahu berusaha, hanya perlu pastikan usaha itu berlandaskan niat yang betul.
Jika niat kita lurus dan cara kita betul, maka kita akan berjumpa dengan rezeki yang menjadi hak kita dalam keadaan barokah.
Hati kita akan tenang, keperluan kita akan dicukupkan, dan kerjaya kita akan bernilai ibadah di sisi Allah.

Tetapi, kalau niat kita salah dan ikhtiar kita juga tak sesuai dengan apa yang Allah suka, maka tengoklah nanti.
Kita akan sentiasa diselubungi dengan rasa gelisah, panik pikir duit tak cukup, malah sentiasa rasa apa yang dah dimiliki masih sikit.
Mulalah masa tu rasa nak bersaing dengan rezeki orang lain pulak.
Bila dah sampai ke tahap tu bemakna kita dah semakin jauh dari keyakinan terhadap jaminan Allah bahawa setiap orang sudah ada rezekinya masing-masing.

Ikutlah cara Rasulullah.
Baginda adalah seorang yang usahanya sangat maksimum dan tawakalnya tinggi.
Baginda sangat serius dalam menjemput rezeki.

Tengok macamana baginda berniaga.
Jujur, amanah dan penuh tanggungjawab.
Padahal dia tahu dah Allah jamin rezeki setiap orang.
Kalau dia pegang pada itu boleh je dia tak payah kerja, tunggu je rezeki turun.
Tapi tak.
Dia tetap usaha kerana dia tahu Allah menilai usaha.
Di akhirat esok yang ditanyakan bukan tentang banyak mana rezeki kita dapat tapi apa usaha kita dalam menjemput rezeki.
Rasulullah kalau nak pegi berperang, dia siapkan pasukan dia dengan perisai and baju perang, padahal dia tahu tak ada yang dapat mencederakan dia kalau Allah tak izinkan tapi dia tetap usaha pakai baju perang.

Ceritanya sekarang adalah apa usaha kita dan bagaimana cara kita berusaha.
Rezeki bukan ceritanya.
Rezeki hak Allah, Allah punya kerja.
Kerja kita adalah menyempurnakan ikhtiar.

Siti Hajar tu sangat yakin dengan janji Allah.
Tapi dia tetap membuktikan keyakinannya dengan berusaha lari di antara dua bukit (Safa dan Marwah) nak bagi jumpa air.
Sampai waktunya, Allah keluarkan air.

Oleh sebab itu, kalau terjadi sesuatu keadaan yang tak kita harapkan, contohnya sales tiba-tiba menurun atau susah, maka periksalah diri kita.
Jangan buruk sangka pada Allah.
Boleh jadi usaha yang kita lakukan belum sungguh-sungguh atau tak sesuai dengan apa yang Allah redha.

Letakkan pergantungan hanya padaNya.
Berusahalah hanya kerana Dia redha.
Tak perlu kejar perhatian manusia semata-mata nak rezeki kita bertambah tapi kejarlah cinta Allah agar Allah sayang dan Dia cukupkan segala keperluan kita dengan caraNya yang luar biasa.


*tulisan untuk ingatkan diri sendiri yang kadang-kadang terbabas juga*