2018-06-26

Isu tahunan.




Nampak post ni lalu kat newsfeed pagi tadi.

Ini adalah masalah tahunan, setiap kali raya, inilah masalah yang muncul.
Dah jadi upacara wajib menyelongkar barang tuan rumah bila datang beraya.

Inilah juga dilema aku setiap tahun "nak buat open house ke tak, nak buat ke tak, nak buat ke tak..."
Tapi selalunya aku buat juga.
Cuma tahun lepas je tak buat sebab En Wan ada projek deko-deko dalam rumah di bulan Syawal.

En Wan ada tanya aku hari tu "Nak buat open house bila?"

Aku tanya balik dia "Buat kat dewan, nak?"

Tapi melampau pulak rasanya sampai nak sewa hall untuk buat jamuan raya.
Tapi bila memikirkan impak aftermath, down rasanya nak buat open house.
Buat open house ni memang seronok, walaupun setiap kali open house aku sebenarnya tak berpeluang nak sembang-sembang sangat dengan tetamu sebab jemputan aku always 250-300 orang.
Dah macam nikahkah anak je gayanya.
Salam-salam pastu "Jemputlah makan ya."
Pastu aku dah tak ingat dah sape yang salam dengan aku tadi.

Tapi nak mengemas balik lepas open house tu yang aku malas.
Selalunya aku hire weekly bibik aku datang.
Biar dia tolong kemas-kemas.

Setakat ni belum pernah menerima kejadian barang-barang pecah, ataupun wallpaper kena siat.
Tapi tang almari kena bongkar tu selalu.
Kabinet kat bawah aku isikan dengan koleksi buku.
Last time punya open house, bersimpang-siur buku-buku aku kat dalam tu jadinya.
Yang terkoyak pun ada. Alahaiiii, sedih jugak rasanya.

Aku ni sejenis takde barang kemas dan tak suka beli barang perhiasan rumah yang kaca-kaca.
Barang yang aku sayang adalah koleksi buku aku.
Takkanlah aku nak kena pindahkan buku-buku aku masuk dalam bilik semata-mata nak buat open house?
Kalau semua benda aku kena sorok, adalah lebih bagus takyah jemput orang terus je macam tu.

Kadang tu, dah disiapkan khemah pun kat luar, tapi nama pun open house kan.
Dah tentu orang nak masuk dalam rumah jugak.
Nak tengok-tengok rumah katanya.
Biasalah orang melayu kan ramai yang gini, suka tengok-tengok isi rumah orang kelebet sampai ke dapur.
Patutnya dah masuk habis tour kat dalam tu, pegi lah duduk bawah khemah pulak makan.
Ada sebab kenapa orang tu sediakan khemah.
Ni tak, sambung melepak dalam rumah. Kalau dipelawa takpelah jugak.
Serba salah tuan rumah.
Nak suruh duduk luar karang nampak macam menghalau pulak.
Entahlah, mana pegi common sense.

Yang aku pelik tu, ada certain mak bapak boleh buat tak reti je bila anak-anak dia main barang-barang orang.
Anak bersenggayut kat langsir aku pun dia boleh gelak-gelak tengok anak dia.
Dah kau gelak, memanglah budak tu seronok bersenggayut lagi.
Cuba kau jegilkan bijik mata.
Kalau langsir tu koyak satu hal.
Kalau rail langsir tu hempap anak kau baru padan muka.

Benda-benda macam ni bila kita cakap, nanti ada orang kata "Kalau dah tau sayang barang, lain kali tak payah buat open house".

Eh hello!
Open house tak bermakna segala isi dalam rumah tu kau boleh raba, ya?
Dia senang cerita macam ni lah.
Kau sakit hati tak orang keluar masuk workstation ambik stationary kau atas meja tak pulangkan balik, pastu punggah file kau then tak letak tempat asal?

Yang jadi masalah bila kau yang datang tu mengharapkan tuan rumah bertolak-ansur dengan anak-anak kau.

"Alah, budak kecik. Memang macam tu..."

"Kalau tak melasak, bukan budak kecik namanya".

"Budak-budak yang tak lasak ni selalunya dah besar esok jadi bodoh".

Ha'ah, betul la agaknya tu.
Agaknya masa kecik dulu kau jenis tak melasak, tu pasal membesar jadi mak bapak yang bodoh.

Kita bukan marahkan budak.
Kita marahkan mak bapak tu.
Mak bapak yang bawak masalah sebenarnya.

Aku pun pernah jadi budak.
Bezanya, mak aku kuat bagi penampar kat anak-anak dia time kitorang kecil dulu sebab tu kitorang tau bawak diri pi rumah orang.

Aku tak faham ada mak bapak yang bila datang rumah orang, dia biarkan je anak dia berpencak dalam rumah orang tu dengan alasan "Kat dalam ramai budak-budak, biar dia berkawan".
Yang dia-nya elok je mencekik kat luar tak benti-benti.

Bukan marah kau makan.
Memang dijemput untuk datang makan pun.
Tapi, pandang-pandang sama kat anak.
Time makan tu, heret anak duduk makan sekali.
Bukan tawakkal biar anak kat dalam rumah dengan harapan ada orang lain boleh tengok-tengokkan.
Mak orang lain sanggup makan dalam rumah sebab nak perhatikan anak dia.
Yang kau sibuk nak makan dengan bertenang-tenang kat luar macamkan tengah pi honeymoon.
Lain kali, kalau nak makan tanpa gangguan anak, jangan bawak anak.
Kalau takde tempat nak tinggalkan anak, maka kau kena perhatikan anak kau walau kau tengah makan.

Untuk orang yang hobinya kumpul Hotwheels, bukan harga yang jadi persoalan tapi minat dan sayangnya pada barang tu.
Kau takde hobi, jadi kau tak tau apa rasanya bila ada hobi.
Kau tak tau entah orang tu merantau sampai ke ceruk mana untuk kumpul limited edition series.
Berapa banyak pulak masa dia habis untuk kumpul koleksi ni, untuk mengelap koleksi ni tiap-tiap minggu.

Sampai bila nak suruh tuan rumah simpan barang-barang supaya anak kau tak menjerit mintak?
Asal anak kau menjerit nak je, kau suruh tuan rumah bawak lari barang tu.
Sorokkan dari pandangan anak.
Itu dah terang-terang rumah dia. Nak simpan celah mana lagi?
Yang betulnya, piat telinga anak kau tu.

"Tu semua harta dunia, tak bawak ke mati".

Ya, statement tu betul.
Tapi statement tu untuk muhasabah diri sendiri.
Bukan untuk dijadikan modal simpati supaya orang boleh berlebih-kurang dengan kita.
Cuba anak jiran campak batu kena kat cermin keta kau sampai pecah, pastu bapak dia cakap "Ni semua harta dunia, tak bawak ke mati", aku nak tengok kau terbakar ke tak dengar statement tu.
Tak pun, tunggu ada budak tumpahkan air coke dalam kereta, selet coki-coki atas kerusi kereta, time tu aku nak tengok kau boleh redha tak harta duniawi kau kena camtu.

Bila ada isu vandalisme, kemain lagi kita mengecam budak-budak muda.
Takde kesedaran sivik lah apa lah.
Dah kalau dari sekarang tak diajar hormat barang orang, hormat tempat orang, esok jangan terperanjat kalau anak-anak kau jugak yang menjahanamkan toilet awam.

Please lah, please.
Budak-budak will always be budak-budak.
Dorang masih tak tau apa yang boleh apa yang tak boleh.
Tapi kita mak bapak dah berbulu atas bawah, takkan masih tak reti-reti lagi apa yang boleh apa yang tak?
Cuba blaja marah anak tu sikit kalau dia sentuh barang tuan rumah.
Titik tangan dia kalau dia mula meraba perhiasan rumah orang.
Jegilkan biji mata tanda warning.

Sampai bila nak biasakan anak-anak berpencak bersilat dalam rumah orang?
Jangan samakan rumah kita dengan rumah orang.
Jangan samakan barang kita dengan barang orang.
Barang dalam rumah kita apa aje yang ada pun, tu pasal kita tak kisah budak-budak bersilat dalam rumah.
Tapi barang dalam rumah orang boleh jadi hadiah dari suami dia, boleh jadi hadiah dari anak-anak, boleh jadi barang warisan keluarga, ada sentimental value.

Cukup-cukuplah berbangga dengan statement "Bukan bawak mati pun".
Barang memang tak boleh bawak mati, tapi dosa bawak ke mati ya.
Kalau dah menyakitkan hati tuan rumah dengan perangai kau, sendiri mau ingat.

"Budak-budak takut kejap je, lepas 10 minit dia buat balik".

Ya, aku tau.
Anak-anak aku pun keluar-keluar dari perut bukan terus duduk bersimpuh.
Dorang pun pernah jadi budak kecik jugak. Melasak boleh tahan.
Aku memang paham sangat, sekali pekik takkan jalan.
Sebab tu aku always terpekik-pekik walau kat publik.
Biar aku nampak macam singa jadian, asalkan anak tu kita tegur.
Lama-lama nanti dia akan faham juga.
Jangan disebabkan perangai kita yang bodoh tak reti marah anak, maka anak kita jadi kebencian orang.

Kadang-kadang tuan rumah jadi faham bila nampak kita berusaha tegur anak kita, nampak kita berkejar-kejar jaga anak kita.
Dia faham.
Kes-kes macam ni tuan rumah takkan sakit hati.
Sebab dia juga ibu dan bapa.
Dia tau struggle membesarkan anak-anak kecik.

Yang tuan rumah jadi hangin bila mak bapak buat tak reti bila anak melasak dalam rumah orang.
Anak tu dah tumpahkan air atas karpet orang tu pun dia boleh cakap "Anak saya ni pegang apa pun mesti tumpah".

Hah, dah tau pun pegang apa pun mesti tumpah, yang kau tak pegangkan kenapa?

Ada jugak jenis mak yang dah tau anak dia makan bersepah, lagi nak suruh budak tu suap sendiri.
Nak ajar anak pandai makan sendiri katanya.
Kalau nak ajar anak makan sendiri, tu buat kat rumah kau. Bukan kat rumah orang.
Ajar dia sampai pandai makan sendiri kat rumah, baru boleh biar dia suap sendiri bila makan kat rumah orang, faham?

Pernah masa akikah anak sedara aku kat Bangi, ada tetamu tu anak dia pi kopek telur rebus (dari bunga telur) atas karpet.
Pastu makan telur rebus dan telur rebus tu jatuh atas kapet.
Dia pijaknya telur tu.
Emaknya kat tepi je elok bersembang.

Aku pun apa lagi "Eh...jangan buat macam tu, sayang kat makanan".

Saje je aku bagi ayat camtu, nak bagi mak dia toleh.
Pastu mak dia toleh, boleh dia cakap "Laa....kenapa makan sampai tumpah ni. Tengok apa dah jadi dengan karpet nenek ni. Ni siapa nak tolong mama kemas ni? Kesian nenek kena cuci kapet ni nanti"

Ewahhhhh.
Apa lak mak aku yang kena cuci?
Kau lah bangun pi ambik kain buruk lap!
Aduhhhh, mendidih je aku.

Ni lah punca-punca orang malas nak jemput kita datang rumah lagi.
Esok lusa bila orang tu dah tak jemput kita datang rumah dia lagi, kita mengata dia pulak.
Padahal puncanya dari kita juga.

Ramai orang tak terpikirkan benda ni.
Dia rasa bila orang tu tak jemput dia lagi, orang tu lupa member, orang tu dah taknak kawan dengan dia lagi, orang tu lupa diri, berlagak, .....bla bla bla.
Padahal bukan orang tak suka kat kau, tapi orang takut termarahkan anak kau sebab kau tak reti marah anak.
Tuan rumah tu taknak sampai satu tahap terpaksa bergaduh dengan kau, jadi jalan paling mudah adalah tak jemput kau datang.

Lagi satu perangai mak bapak yang aku cukup tak berkenan, bila anak anak dia bukak tutup fridge tuan rumah.
Pastu mintak makanan dalam tu.
Yang si mak pulak bukannya dilarang, tapi dia tanya pulak anak dia "Ye, nak apa...nak apa..."

Ewahh, boleh pulak dia pi tanya anak dia nak apa.
Ingat ni 7-11?

Tu lah agaknya kenapa mak mertua aku sorokkan coklat-coklat and makanan cucu-cucu dia dalam compartment khas.
Hari tu aku cari mana pi coklat aku.
Rupanya dia sorok belakang-belakang cover dengan botol air.
Aku tanya "Apesal letak belakang, mak?"

Mak aku cakap "Eh, tak boleh. Ni rakyat ramai ni. Karang habis".

Bukan berkira ya.
Tapi mesti tau beza barang untuk tetamu dan barang untuk tuan rumah.
Apa yang dah dihidang, itulah untuk kau.
Yang tersimpan tak dibawak keluar, itu tuan rumah punya.
Jangan dicari-cari.

Anak-anak aku bukak pintu esbok nenek dia kat Bangi tu pun aku dah pekik "Apa benda lagi yang kau carik kat dalam tu?"

Bukan apa, walaupun itu rumah nenek dorang sendiri, tapi adik ipar aku tinggal situ.
Kita tak tau barang-barang dalam fridge tu entahkan barang-barang makanan dia.
Jangan sesedap anak tekak ambik barang dalam tu macamkan mak bapak kau ada share.
Memang boleh diganti balik, tapi tuan punya barang bukan hadap sangat kita mengganti.
Dia pun boleh beli balik kalau nak.
But their concern is ADAB.
Kau kaya banyak duit sekalipun, kalau takde adab, FAIL!