2018-04-20

Surat cinta



Post atas ni mengundang banyak email.
Tapi tak sempat nak reply.
Aku elaborate kat sini je lah ya.

Kita ni selalu 'amnesia' dengan nikmat Allah.
Sebab tu Allah bagi kita ujian supaya akhirnya kita terbangun jugak untuk solat malam.
Selalunya ketika diuji, solat kita jadi sangat khusyuk.
Cuba kalau waktu happy-happy, solat asyik ditangguh-tangguh je, zohor pun pukul 4pm.
Nak berlama-lama atas sejadah pun macam tak sempat-sempat, macam bontot tu ada duri takleh duduk lama-lama.
Tapi ketika diuji, the moment dengar azan je dah bergenang airmata.
Kerana apa?
Kerana pada waktu tu kita perlukan tempat untuk mengadu, untuk bersandar, untuk merayu, untuk menangis.
Dan hanya Allah saja tempat yang kita ada.

Manusia yang tak pernah diuji takkan pernah rasa nikmatnya muraqabah.
Allah dengan sifat pengasihNya, tak mahu kita hanyut dan leka, jadi sesekali Dia turunkan ujian supaya kita kembali merintih padaNya.
Sebab itulah orang yang mampu solat dengan khusyuk adalah orang yang hatinya sangat dekat dengan Allah.
Salah satu cara untuk mendekat adalah bila kita diuji.

Bila lagi kita nak merasa nikmatnya menangis sampai basah telekung kalau bukan ketika diuji?
Bila lagi kita nak merasa nikmatnya berzikir pagi petang kalau bukan ketika diuji Allah?
Inilah namanya surat cinta dari Allah.

Allah itu Maha Pencemburu.
Dia jealous tengok kita sibuk sangat dengan hal lain sampai takde masa untuk Dia.
Kalau selama ni kita terlampau menyanjungi suami dan bergantung harap sepenuhnya pada dia, nanti Allah datangkan ujian dengan karenah suami.
Kalau selama ini kita terlampau menyayangi isteri sepenuh hati, nanti Allah datangkan ujian dengan hal isteri.
Begitu juga kalau sibuk sangat dengan anak-anak dan kerjaya.
Allah akan uji kita semula dengan hal-hal yang kita pentingkan sangat tadi, supaya kita jadi tau, sebenarnya hanya Allah saja tempat kita bergantung harap.

Banyak yang email tu bertanya kenapa bila kita dah menjadikan sunah sebagai jalan kehidupan, Allah bagi ujian bertimpa-timpa.
Kenapa bila dah bertaubat, berhijrah, beriman, banyak pulak ujian yang datang. Why?

Kerana, kalau manusia tu hidupnya terlampau mudah, nanti nikmat akhirat tu tak terasa.
Berbeza dengan orang yang diuji bertimpa-timpa lalu dia sabar, masyallah, hanya mati saja yang jadi tempat dia berehat.
Berehat dari penatnya taat ketika masih hidup.
Ujian yang Allah bagi masa kat dunia dah selesai, tinggal nak reap the fruits saja bila mati.
Gitulah perumpamaannya.

Analoginya macam orang yang banyak makan.
Kalau terlampau banyak makan, nanti nikmat makan tu hilang.
Ce kalau kita makan ayam tiap-tiap hari, lama-lama mesti bosan.
Sesekali pekena ikan sepat masin dengan kicap, baru rasa sedap.
Cuba kalau kita jarang makan ayam, bila sesekali dapat makan ayam terasa syurga dunia!

Tak caya tunggu bulan puasa nanti.
Minum pada hari tak puasa dengan minum semasa berbuka puasa, nikmatnya berbeza.
Minum pukul 8 pagi pastu minum pukul 9 pagi, then sambung lagi minum pukul 10 pagi - tak rasa apa. Rasa dapat basahkan tekak je
Tapi kalau kita minum setelah seharian berpuasa, baru terasa minum tu adalah satu nikmat walau hanya air kosong.
Kenapa rasa nikmat?
Sebab kita dah menahan diri seharian tak minum.

Allah bagi kita ujian untuk kita belajar sabar supaya nanti bila mati, mati itu menjadi tempat kita berehat.
Kerana kita sebenarnya takkan mati, cuma beralih dunia je.
Jadi di sana nanti kita masih hidup.
Mudah-mudahan setelah penat taat dan sabar di sini, di sana nanti kita dapat berehat sikit.

Jangan pernah anggap hidup akan dimudahkan bila kita dah berhijrah dan bertaubat.
Kalau kita menyangka bila dah beriman maka laluan kita Allah permudahkan, itu bermakna masa baca Quran, kita skip baca ayat 214 Baqarah.

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)." (Baqarah, 214).

Dah terang-terang kat situ cakap orang yang mencari syurga, jalannya tak pernah easy.
Allah sengaja buat macam tu supaya semua susah-payah ujian tu nanti akan digantikan di akhirat dengan kesenangan.
Sebab tu pepatah melayu cakap "Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".
The "kemudian" tu tak spesifik pun.
Dia tak janji samada kejap lagi ke, esok ke, bulan depan atau lagi 30 tahun.
Boleh jadi "kemudian" tu lepas mati nanti baru rasa senang.

Khadijah masa kawen dengan Rasulullah saw, rumah dia tak pernah sunyi.
Sebab pintu rumah dia sentiasa terbuka untuk para sahabat datang belajar ilmu dengan Rasulullah.
Jadi atas kesabaran dia, Allah dah sediakan satu rumah kat syurga, dan Allah bagi specs siap-siap rumah itu adalah rumah yang hening.

Specs dia Hening (sunyi sepi).

Kenapa hening?

Sebagai ganti kepada rumahnya di dunia yang tak pernah sunyi.

Kat sini kita boleh ambik pengajaran bahawa tak kira besar mana pun ujian kita, Allah pasti ganti balik.
Dan Allah akan ganti balik dengan sesuatu yang lebih besar.

Jadi, jangan pernah ingat bila dah berhijrah, dah bertaubat, laluan kita jadi senang.
Takkan pernah senang!
Laluan ke syurga tu tak pernah mudah. Syurga tu mahal.
Ya ampunn, nak beli rumah kat dunia je pun dah susah.
Jenuh kumpul duit 15 tahun.
Kalau nak dapat sebijik rumah kat dunia pun sampai 15 tahun simpan duit, what do you expect nak dapat rumah dalam syurga lebih senang dari tu?
Dah tentu lebih susah.

Semakin kita memperbaiki diri, semakin kita mendekatiNya, semakin kita menjadikan sunah sebagai cara hidup, semakin hidup merasa susah dengan macam-macam ujian.
Kenapa semua jadi susah?

Sebab, kita sudah bergerak dari tak tahu kepada tahu.
Yang dulu tak tau, sekarang dah tau.
Yang dulu boleh, sekarang jadi tak boleh.
Yang dulu selamba buat, sekarang dah tak boleh buat.
Yang dulu tak apa-apa, sekarang dah apa-apa.
Yang dulu kita anggap tak dosa, sekarang dah jadi dosa.

Bila kita dah semakin faham ilmu, itulah ketikanya semua benda terasa susah.
Bukan kerana sekarang baru susah, tapi dulu kita yang terlampau ambil mudah banyak perkara.

Jadi, jangan tanya-tanya WHY ME?
Dah memang gitu Dia cakap dalam ayat 214 tadi. Ikut je lah.

Orang yang hidupnya sedang dimudahkan, jangan pulak pegi mintak ujian.
Mintaklah kekuatan untuk mampu bersyukur.
Yang sedang diuji pulak, jangan merasa kita dibenci Allah.
Allah tak pernah benci kita, malah Dia akan lebih sayang bila kita mencari hikmah dalam setiap ujian.