2016-02-02

Amalan untuk jadi kaya. Buat!


Semalam ada reader PM aku kat FB bagi satu artikel tentang sorang budak ni bagitau dia amalkan surah-surah tertentu dan terbukti rezeki dia melimpah selepas tu.

Surah tu Al-Waqiah.

This reader cakap dia ada terbaca dalam entry umrah yang aku pun amalkan surah ni.

Pesan aku, nak amalkan bagus.
Tapi jangan salah faham apetah lagi salah niat.

Kalau dengan hanya baca surah tertentu boleh buatkan seseorang tu kaya, maka tak mustahil akan ada yang hanya amalkan baca surah yang sama berkali-kali.
Dah tak ada minat nak baca Quran.
Dah takde minat nak solat.
Sebab manusia ni kecenderungannya memang mengejar dunia.
Abis tu kalau dengan baca satu surah je dah boleh bagi rezeki melimpah-ruah, tak mustahil akan hilang kecenderungan untuk buat amalan-amalan lain.

Nabi Muhammad saw sendiri tak kaya.
Tak cukup ke amalan Baginda sampaikan dia tak layak menjadi kaya?
Sedangkan Baginda solat malam sampai bengkak-bengkak kaki punyalah terlalu lama berdiri sebab solat.
Dan kita cuma berharap dengan buat Dhuha everyday plus baca surah-surah tertentu dah boleh jadi kaya?

Kesiannya kita ada anggapan macam tu.
Boleh pulak nak pilih-pilih amalan tapi dalam masa yang sama mengharapkan kurniaan besar dari Allah.
Amalan kat Allah pun berkira-kira nak buat yang mana yang mendatangkan keuntungan kat diri sendiri saja.
Pilih yang boleh jadikan kita kaya je.
Amalan yang takde sangkut-paut dengan murah rezeki taknak buat.

Kat sini sekali lagi Tuhan menguji kita.
Samada kita buat sesuatu tu atas niat yang macamana.

Tuhan ni menilai manusia tak sama macam cara cikgu bagi markah exam.
Jawab semua soalan bagus baru boleh dapat A.

Tuhan ni caraNya lain.
Dia ada penilaianNya yang tersendiri.
Orang yang Dhuha 2 rakaat rezekinya 10.
Kalau Dhuha 12 rakaat rezekinya 100.
Bukan macam tu.

Ada orang buat Dhuha sebab nak rezeki melimpah ruah.
Padahal bukan itu tujuan kita Dhuha.
Berapa ramai yang jangankan kata Dhuha, solat fardu pun tak buat, siap boleh togok air setan lagi tapi jauh lebih kaya hidupnya. Jauh lebih melimpah rezekinya.

Kita buat Dhuha untuk dapat rezeki yang barokah. Bukan rezeki banyak.
Rezeki banyak kalau tak barokah pun akan sentiasa mengalir. Tau-tau je abis tak tau pi mana.

Dalam doa Dhuha tu sendiri tertulis "...kurniakan aku rezeki sepertimana Kau kurniakan kepada orang-orang yang soleh".

Orang soleh dah tentu dapat rezeki yang barokah.
Belum tentu melimpah-ruah, tapi pasti barokah.

Tapi ramai yang salah faham.
Nak buat Dhuha sebab nak kaya.
Sedangkan tak solat pun kalau Allah nak bagi kaya pun Dia boleh bagi.
Tapi kaya yang bagaimana?
Yang barokah atau yang istidraj.

"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu."
(Adz-Dzariyaat 51: 56)

Dah jelas dah kat situ Allah ciptakan kita bukan untuk tengok kita bermati-matian cari rezeki kat dunia ni.
Dia suruh kita beribadat, rezeki tu nanti Dia uruskan.
Yang penting kita buat dulu apa yang wajib buat.

Amalan yang bawak rezeki bukan setakat Dhuha saja.
Pun bukan setakat Waqiah saja.

Masa aku tersadai kat hospital time mengandung Rayyan, doktor kata keadaan aku tak stabil sebab anytime aku boleh kena sawan. Atas sebab tu dorang insist aku stay kat wad.
Dorang tak jamin aku keluar wad boleh selamat sebab once sawan sampai, otomatically supply ke baby akan stop.
Jadi kalau aku dapat sawan di hospital dorang boleh terus buat apa-apa yang patut sebab segalanya ada di sana.
Kalau kena sawan kat rumah risiko sikit. Silap-silap boleh mati tengah dalam perjalanan ke hopsital.
Chances untuk tak selamat tu lebih tinggi mengikut perkiraan doktor.
Dorang lebih arif dan berpengalaman.

Duduk kat spital dalam keadaan kau tak tau kau boleh balik ke rumah dalam keadaan masih bernyawa ke tak, membuatkan aku stop berdoa mintak dilimpahi duit.
Aku dah tak nampak relevannya duit masa ni.

Aku start selawat. Dan banyakkan amalan lain.
Rasa masa ni macam dah nak mati.
Dah terasa nak mati baru menggagau cari Quran kan?
Tapi aku anggap ini hidayah.
Mungkin dengan cara ini hidayah itu sampai.

Masa tu aku tak ada ilmu yang strong tentang selawat, just aku nak berselawat je.
Maybe just to kill the time.

Aku mula sedar selawat ni memang ada keajaiban bila dokter yang jaga aku sepanjang 28 hari aku kat sana cakap, kalau ikut blood and urine reading sepatutnya kaki aku dah bengkak. SEPATUTNYA.
At least jari-jari dah bengkak but it didn't happen.
Dorang bagi aku special diet - makanan tanpa garam at all.
Aku sorok-sorok mintak En Wan bawak masuk MekDi la KFC la apa la. Sebab aku muak makan makanan tawar.
And everytime blood test dokter hangin je dengan aku sebab reading aku teruk (dia tak tau aku seludup makanan).
Dorang always belek-belek kaki aku "Tapi tak bengkak kan? Tapi tak swell kan?" dorang cakap sesama sendiri.
Atas sebab tu dorang delaykan delivery sebab aku nampak macam sihat walafiat.

Rupanya di zaman Nabi ada sejarah membuktikan selawat menyembuhkan penyakit.

That moment betul-betul bukak mata aku yang kalau duit kat bank banyak sekalipun, akan ada satu ketika duit kau tak boleh buat apa-apa. Boleh bayarkan duit hospital je.
Sebab penyakit aku dulu takde ubat.

Aku pun dulu macam kebanyakkan korang yang siang malam asik mintak nak rezeki melimpah-limpah.
Alhamdulillah, Tuhan bagi.
Until lah kes mengandungkan Rayyan tu buatkan aku sedar, rezeki tu bukan sekadar duit.
Malah lebih dari tu.
Malangnya kebanyakkan kita jarang mintak supaya diberikan kesihatan beria-ia macam kita mintak nak jadi kaya, kan?
Dan mungkin juga tak ramai bersungguh-sungguh mintak supaya diberikan kekuatan untuk bersolat di awal waktu sebagaimana bersungguhnya kita mintak dilimpahi rezeki (wang).
Sedangkan solat di awal waktu juga adalah pembawa rezeki.
Sebab secara lojiknya kalau solat yang fardhu pun kita lengahkan, maka apa istimewanya Dhuha kita pada pandangan Allah?

Lagi satu, duit Tabung Haji.

Apa-apa hal, aku akan dulukan simpanan dalam Tabung Haji.
Alasannya, supaya dapat pi umrah cepat sikit.
Aku bukak akaun Redza and Rayyan and masukkan sikit-sikit duit dalam akaun tu supaya bila time aku nak bawak dorang pi umrah ke haji ke, dorang pakai duit dalam Tabung Haji masing-masing.
Sendiri nak pi umrah sendiri keluar duit konsepnya walaupun duit dalam tu memang duit kitorang pun.
Kadang-kadang tu kalau bulan tu aku terpaksa kurangkan simpanan Tabung Haji sebab ada benda lain yang kena didulukan, aku jadi terlalu stress.
Sebab aku sedaya upaya nak disiplinkan diri aku untuk menyimpan fix amount every month dalam Tabung Haji ni.
Boleh amukan kalau bulan tu amount simpanan tak cukup.

Tapi aku lupa, susun atur rezeki bukan dari aku, tapi dari Allah.
Tanpa aku sedar, ajaibnya, dua kali aku ke umrah, aku tak sentuh duit dalam Tabung Haji ni.
Redza and Rayyan pergi umrah baru-baru ni pun aku belanja sebab En Wan belanja mak.

Kadang tu bila aku duduk and fikir pasal ni, aku sendiri tak tau macamana aku leh ke sana tanpa guna duit Tabung Haji yang aku beria simpan sampai stress-stress tu.

Dulu masa first time pi umrah, aku cakap "Bestnya kalau dapat bawak anak-anak sekali. Tapi banyak pakai duit lah. 8-9K seorang tu banyak gila".

Terbayang-bayang duit Tabung Haji and ASB bakal menyusut.

Tapi Allah tu kan sebaik-baik perancang dan pemberi rezeki.
Elok pulak tahun lepas aku bawak anak-anak ke sana yang aku sendiri tak pasti mana datangnya duit tu. Sebab simpanan Tabung Haji and ASB tak bersentuh.

Lagi satu sedekah.

Dulu di zaman jahil aku, aku agak menyampah jugak dengan orang yang mintak sumbangan kat kedai makan.
Walaupun aku cuba bersangka baik dengan bagi juga derma tapi hati aku ni dalam masa yang sama akan ada rasa betul ke dorang ni? Kalau selalu bagi lama-lama dorang jadi pemalas.
Until Sang Nila Utama cakap kat aku "Duit kita pada dorang tu dorang nak buat apa, samada jujur atau tak, itu urusan dorang esok depan Allah. Tapi duit kita yang kita bagi kat dorang tu mungkin boleh selamatkan kita esok kat akhirat".

Masa mula-mula nak belajar rutin sedekah setiap hari, aku agak berkira-kira.
Sebab always rasa nanti belanja diri sendiri tak cukup camne?
Dan aku always buat alasan "Nak sedekah pun janganlah sampai menyusahkan diri sendiri".
Tu alasan aku always cakap kat diri sendiri.
Untuk sedapkan hati.

Sekali lagi aku cuba jadi Tuhan.
Macamkan aku tau rezeki aku esok banyak atau sikit, cukup atau tak.
Until aku ikuti ceramah satu ustaz di madrasah Bukit Mertajam.
Dia cakap "Duit yang kita sedekah tu la rezeki kita. Duit yang dalam poket belum tentu rezeki kita".

Aku cuba praktikkan.
Mula-mula aku try dengan setiap hari RM50. *aku cuma nak ceritakan pengalaman sendiri. Moga Allah jauhkan dari bunga-bunga riak*

Everyday aku gugel kat FB untuk cari mana-mana orang yang share pasal sumbangan anak yatim, tahfiz, madrasah, supaya aku boleh sedekah.
First time berjaya keluarkan RM50 untuk sedekah dia punya feeling bangga gila.
Macam berjaya buat sesuatu yang mustahil. Sebab RM50 tu selalunya nampak banyak kat tabung derma tapi nampak sikit je bila bawak pi Parkson.
Terasa berjaya pecahkan tembok yang besar.
Selama ni sedekah RM5-10, kali ni dapat sedekah RM50. Happy!

Tapi again, setan tu memang pandai.
Mula-mula dia tak kasik kita sedekah.
Bila kita dah berjaya sedekah, dia datangkan lagi was-was "Ujub sangat kau ni dapat sedekah RM50. Baik takyah sedekah kalau macam ni, baik-baik nak carik pahala terus dapat dosa!"

Lagi sekali aku terdiam.

Dan again that ustaz dari madrasah tu cakap "Ujub dan ikhlas tu bezanya sangat tipis. Nak datangkan ikhlas kita kena istiqomah, baru kita boleh define mana ujub mana ikhlas".

Aku teruskan rutin sedekah tu.
Supaya hilangkan rasa 'menggelabah' bersedekah.
Betul kata ustaz, apa juga benda yang kita buat sekali-sekala kita susah nak dapat rasa kenikmatan tu.
Dan kita akan always dikejar rasa was-was.

Tanpa aku sedar, aku dah boleh keluarkan duit untuk sedekah lebih dari nilai aku simpan dalam bank setiap bulan.
Sampai satu-satu masa tu tak simpan duit dalam bank bulan ni pun takpelah, sebab aku rasa macam aku dah simpan jugak duit, tapi kat tempat lain yang aku tak tau kat mana.

Again, aku pelik.
Kat mana datangnya duit-duit tu tadi?
Yang dulunya aku cukup berkira-kira nak keluarkan.
Kononnya nanti tak cukup belanja sendiri.

Rupanya sedekah juga pelancar rezeki.
Bukan sekadar Dhuha, bukan sekadar Waqiah.

Rasulullah saw dalam salah satu hadisnya menerangkan bahawa tak setiap orang berhijrah itu dengan niat lillaahi taala, ada yang berhijrah dengan niat mengharapkan sesuatu selain Allah.
Ada yang ingin mendapat penilaian dan kekaguman makhluk, ada yang ingin mendapat rezeki, ada yang kerana wanita, dan macam-macam.
Sedangkan apa yang diniatkan, sebatas itu sajalah yang kita akan dapat.

Macam tu lah jugak halnya dengan rezeki.
Sometimes, bila kita mengharapkan rezeki, selalunya kita membayangkan yang rezeki tu datang dalam bentuk duit yang boleh nampak.
Kita boleh nampak kat besarnya rumah.
Kita boleh nampak kat banyaknya kereta bersusun depan porch.
Kita boleh nampak kat setahun berapa kali pi overseas.
Kita boleh nampak kat berapa banyak branded items kita bertingkek-tingkek dalam lemari.

Maka atas sebab itu kita mula berkira-kira dengan amalan kita.
Kita ghairah nak buat amalan yang kita rasa mampu bagi kita rezeki yang banyak.
Dan kita mula lupa pada amalan lain.

Buat sajalah semua.
Jangan pilih-pilih.
Kerana penilaian Allah tak sama macam cara manusia menilai.
Kau buat ni kau dapat ni, kalau kau buat tu kau dapat tu.
Tak.
Penilaian Allah sangat bijaksana tak terjangkau dek akal kita.

Buat sajalah semua dengan niat mencari keredhaanNya.
Kerana redha Dia yang penting.
Bila Dia redha, pasti rezeki yang turun adalah barokah.
Bila rezeki itu barokah, dah tentu kita jadi orang yang paling 'kaya'.

Semoga kita semua selalu periksa hati dan luruskan niat supaya setiap ikhtiar kita adalah benar-benar kerana Allah.

Tolong doakan aku juga ya.