2015-08-04

Manusia berevolusi dari beruk?


Soalan : Teori Darwin. Bagaimana Islam mengupas isu ini?



PANDANGAN:

Evolusi manusia berlaku sejak adanya manusia di muka bumi ini.
Evolusi dari segi saiz, rupa, umur, pakaian, cara hidup semestinya ada dipengaruhi oleh faktor-faktor yang pelbagai sejak dulu, kini malah akan datang.

Percambahan keturunan dan geologi akan mempengaruhi cara manusia zaman berzaman. Ini juga evolusi.
Sebagai contoh, Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun sedangkan kita sekarang hidup nak sampai 100 tahun pun susah, jelas manusia ada mengalami evolusi dalam cara hidup sesuai dengan kehendak Allah.
Tetapi mengakui manusia berasal-usul dari makhluk lain adalah bertentangan dengan Islam.

Manusia sejelas-jelasnya berasal daripada Adam, manusia pertama yang dicipta Allah sebagai pemimpin di atas muka bumi ini.
Bagaimana Allah mencipta Adam tidak usahlah didebatkan. Ini bersandarkan Al Quran, Surah Al Baqarah, ayat 30 hingga 34, maksudnya seperti berikut :

(30) Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

(31) Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

(32) Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. 

(33) Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

(34) Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

Allah bukan sahaja mencipta Adam, malah mengajarkan Adam tentang "benda-benda" secara langsung dan "cara gunanya" (ayat 31) berdasarkan ayat di atas.
Bagaimana Allah mengajar Adam juga usahlah difikirkan. Bukan tahap kita untuk membandingkan. 

Maka, sejelasnya, Adam diturunkan ke Bumi dengan pengetahuan yang mencukupi untuk mentadbir bumi sebagai MANUSIA, malah boleh berinteraksi ("bercakap"-rujuk ayat di atas, "Adam menerangkan"-ayat 33). Bukan sebagai makhluk lain, lebih-lebih lagi beruk atau monyet.
Manusia memang istimewa atas faktor ini, iaitu "ilmu pengetahuan dan kaedah menggunakannya", yang diwarisi daripada Adam, manusia pertama di dunia ini. Inilah yang membezakan manusia atas semua makhluk lain.

Malah manusia istimewa dengan ertikata yang sebenar, merujuk kepada Firman Allah, Surah At-Tiin, ayat 4 "[4] Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Atas sebab ini juga, manusia yang beriman akan menolak Teori Evolusi kerana jelas bertentangan dengan panduan Al Quran.
Ini bukan munafiq atau sombong, ini hakikat.
Sebagaimana hakikat kita akan mati, dan tiada upaya kita untuk menolak kematian kita sendiri, Firman Allah Surah Al Waaqi'ah ayat 83-87 :

[83]Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, -

[84]Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, -

[85]Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,

[86]Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), -

[87]Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar ?

Hal kematian ini dicabar oleh Allah kepada kita, bila sampai masa kematian seseorang, kita yang mengelilingi orang itu hanya mampu melihat sahaja, jika diri kita ini bukan milik Allah (berkuasa sendiri), kita kembalikanlah roh itu kepada tuannya, supaya dia dapat hidup lebih lama.
Sudah tentu kita takkan mampu.
 Seorang doktor pun, tidak mampu menentukan di mana roh berada di dalam jasad. Tetapi roh itu ada. Sesuai dengan Firman Allah, "Ditanya kepada kamu akan Roh, katakan (Ya Muhammad), Roh itu urusan Tuhanku, aku tidak diberikan ilmu atasnya melainkan sedikit sahaja".

Konkrit atau tidak sesuatu hujah, bukan bergantung kepada penyampaian, tetapi penerimaan.
Kita tidak boleh memaksa seseorang menerima pandangan kita, tetapi seseorang itu boleh menggunakan akalnya untuk menyetujui pandangan kita, jika boleh berlapang dada.
Apa lagi hujah konkrit yang diperlukan jika sudah ada hujah Al Quran di depan mata?

Tetapi sudah dimaklumi, sejak zaman Nabi-Nabi, kebenaran dilihat palsu, yang palsu dilihat kebenaran bagi sesetengah orang, bergantung kepada hati dengan hidayah dan taufiq daripada Ilahi. Firman Allah; Surah Al- Insaan, ayat 2 dan 3 :

[2]Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.

[3]Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

Inilah sebahagian kecil daripada hujah Al Quran yang mulia tentang hal ini, bacalah Al Quran dan pelajarilah maknanya, nescaya kita akan yakin.

Yakin ada 2, yakin dengan cara ilmu dan yakin dengan cara melihat.

Ada banyak benda lagi yang kita belum lihat, tetapi kita perlu yakin bahawa ia ada (wujud), ini syarat pertama merasa diri hamba. Al Baqarah, ayat 1-3 :

(1) Alif Laam Miim

(2) Inilah Al Kitab (Al Quran), TIDAK ADA KERAGUAN PADANYA, PETUNJUK bagi orang bertaqwa

(3) Iaitu (mereka) yang beriman dengan PERKARA-PERKARA GHAIB, dan mendirikan solat, dan pada rezeki yang kami berikan, mereka infakkan.


Sekian, terima kasih.

Wallahu'alam, wassalam.

SANG NILA UTAMA
RAJA MUDA PURA CENDANA