2015-06-18

Susahnya nak keluarkan duit untuk bersedekah.



Kalau nak buat benda baik, pasti ada halangan.
Halangan terbesar adalah apabila kita rasa was-was samada nak memberi atau tidak.
Tapi, sedekah yang terbaik adalah ketika susah nak memberi.

Benda baik memang setan tak suka.
Sebab tu kalau bab-bab sedekah ni selalunya akan datang perasaan was-was bila nak memberi.

Nak pulak kat Malaysia ni, yang mintak sedekah, mintak sumbangan bukan main ramai, membuatkan kita rasa betul ke tak dorang ni?
Selaunya, rasa was-was nak memberi ni menjadi lebih teruk bila kita tengah takde duit.
Lalu, hati kita mencipta alasan demi alasan untuk meyakinkan diri supaya tak perlulah bagi sedekah kat dorang ni.
Cuba kalau kita tengah banyak duit, keadaannya pasti berbeza. Kita lebih mudah keluarkan duit, kan?

Apa saja perbuatan yang kita lalukan secara rutin, kita tak akan merasakan itu suatu yang berat atau susah, sebab perkara biasa.
Samalah juga macam berpuasa.
Yang belum pernah berpuasa, tak kira la budak-budak yang baru nak belajar berpuasa mahupun saudara baru, puasa tu akan terasa berat nak dihabiskan kerana belum terbiasa.
Tapi masuk hari 4-5 dan seterusnya, insyallah, dah tak rasa apa.
Kalau tak percaya, cuba tanya orang yang dah biasa berpuasa Nabi Daud (selang sehari).
Bagi mereka ni, hari puasa dan hari tak puasa dah takde beza. Sebab dah menjadi rutin. Tak berat mana dah untuk dorang laksanakan.

Begitu juga dengan sedekah.
Perasaan berat untuk bersedekah tu adakalanya bersangkut-paut dengan rutin.
Mungkin kita belum biasa, maka biasakan.
Bila kita dah biasa bersedekah, insyallah, akan hadir suatu ketika dimana kita merasa rutin harian seperti tak lengkap apabila tak memberi.

Adakalanya kita takut nak bersedekah bukan kerana takut sedekah itu sampai kepada orang yang tak layak (yang menyalahgunakan sedekah), tapi diri kita ni yang sebenarnya takut duit semakin berkurang.
Perasaan takut keperluan sendiri akan terjejas bila bersedekah adalah antara faktor kenapa kadang-kadang kita rasa susah nak memberi.

Dan kata seorang ustaz, perasan gelisah, takut miskin, takut diri sendiri tak cukup - ini sebenarnya adalah tanda-tanda tiada keberkahan dalam rezeki.



Memang kita perlu jadi kaya.
Tapi kita kena faham tak semua orang Tuhan jadikan kaya-raya.
Kalau semua manusia kaya, maka kehidupan tu tak jadi normal.
Sebab semua pun kaya, jadi tak ada yang nak jadi orang gaji, tak ada yang nak jadi tukang sapu, tak ada yang nak jadi tukang buat rumah, tak ada yang jadi tukang gunting rambut - TAK ADA.

Yang dicari bukan kaya-raya hidup dilimpahi kemewahan makan tak habis semata-mata.
Bukan itu.
Yang penting adalah kecukupan dan keberkatan dalam rezeki.
Apabila kita terlampau rasa nak kaya, itulah yang menyebabkan akan ada rasa nak lagi nak lagi nak lagi sebab selalu rasa belum cukup, dan bila ada peluang untuk bersedekah berkira-kira pula.
Sedangkan Islam mengajar kita untuk merasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada di samping terus berusaha.
Kalau banyak duit tapi duit tu tak pernah menimbulkan rasa cukup dalam diri, maka tak guna ada banyak duit.
Kalau banyak sangat makan jadi tak baik. Yang baiknya adalah cukup makan.
Kalau banyak sangat tido jadi tak baik. Yang baiknya adalah cukup tido.
Macam tu la lebih kurang perumpamaanya.

Rezeki itu ada tiga jenis, iaitu :

1. Rezeki yang dipakai, akan menjadi buruk. Tak kekal.
2. Rezeki yang dimakan, akan jadi najis. Tak kekal.
3. Rezeki yang disedekahkan ke jalan Allah. Kekal. Dan inilah yang kita punya yang akan kita 'jumpa' kembali di akhirat kelak.

Jangan takut dan berat hati untuk bersedekah.
Jangan terlampau fikirkan apa akan jadi dengan duit yang kita berikan tu, samada digunakan ke jalan yang baik atau salah.
Beri dengan ikhlas, insyallah ada pahala disisiNYA.
Apa yang penerima nak buat dengan duit itu, itu urusan dia dengan Maha Pemberi Rezeki.

Ni aku ajar ya, sebab ni pun aku belajar dari salah sebuah ceramah yang aku attend.
Setiap kali dapat gaji, asingkan 5% dari duit gaji.
Kalau gaji kau RM1000, asingkan RM50.
Tukar RM50 ni kepada duit seringgit-seringgit.
Jangan gunakan duit ni kecuali untuk bersedekah.

Kalau yang gaji RM20K jangan pulak tukar singgit-singgit jugak.
Kot ye pun 'janji saya ikhlas', biarlah berpada-pada.
Gaji 20K kot, apa sangat lah RM1000 untuk bersedekah.
Tukarkan RM1000 tu kepada note RM10-RM10.
Tak pun RM20-RM20.
Jangan gunakan ia kecuali untuk tujuan sedekah.

Buat macam tu.
Jadikan kebiasaaan.

Jangan takut duit habis.
Rezeki kita semua Tuhan dah tetapkan.
Kalau masih belum mampu nak buat macam tu, biasakan sesekali beli nasik lemak, beri extra RM2. Atau tak payah ambik duit baki.

Kalau masih belum mampu juga buat macam tu, memadailah dengan menyeru orang berbuat kebaikkan.

Rasulullah saw pernah bersabda, “Setiap muslim harus bersedekah.”
Para sahabat bertanya, “Wahai nabi, bagaimana jika dia tidak memiliki sesuatu untuk disedekahkan?” Rasulullah saw menjawab, “Hendaklah ia bekerja, kemudian hasilnya untuk diri sendiri dan untuk bersedekah.”
Para sahabat bertanya lagi, “Bagaimana jika ia tidak mampu bekerja?”
Rasulullah saw menjawab, “Hendaklah ia memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukan pertolongan.”
Mereka bertanya lagi, “Bagaimana jika itupun tidak dapat dilakukan?”
Rasulullah saw menjawab, “Hendaklah ia memerintahkan suatu kebaikan.”
Mereka bertanya lagi, “Jika itupun tidak sanggup ia lakukan?”
Rasulullah saw menjawab, “Hendaklah ia menghindari dari berbuat kejahatan maka demikian itu merupakan sedekah baginya.”

(Bukhari dan Muslim)

Betapa besarnya ruang kesempatan untuk bersedekah.
Sampaikan kalau tak mampu nak mengajak orang berbuat baik pun, cukuplah sekadar diri sendiri jauhi sikap buruk dan sia-sia, tidak menganggu orang lain, tak menyakiti dan mencela pun sudah dianggap sedekah.

Dan bagaimana pula dengan meninggalkan kejahatan dianggap bersedekah?
Apa kaitannya, betul tak?

Macam ni..

Orang yang bersedekah akan mendapat kebahagian dan ketenangan jiwa.
Kerana Allah menghantar 'appreciation' itu terus ke dalam hatinya.
Maka hati akan terasa tenang dan lapang.
Apabila hati tenang, di situlah datang rasa cukup, dan disitulah juga datang rasa tidak hairan dengan appreciation manusia apatah lagi kata-kata keji.

Sebaliknya, setiap perbuatan dosa akan mengundang kegelisahan.
Allah tak akan beri ketenangan kepada orang yang buat jahat.
Dan selama ini kita sangka kita akan menjadi tenang bila duit banyak.
Padahal yang menyebabkan tenang itu bukannya duit tapi keberkahan.
Kaya tetapi kepala asyik fikir kerja, asyik fikir duit, sentiasa fikir untung rugi sehingga hati tak tenang fikiran tak lapang, pun tak ada gunanya.

Jadi, kalau nak tenang, maka rajin-rajinkan bersedekah, memberi pertolongan, menyeru kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Kerana inilah punca-punca hati menjadi tenang.

Nah, mulakan dengan ni :






Raya 2015

Ephyra Free 20 sachets