2014-11-20
Debu dan Kepelikkan Langit
Sehari dua ni isu alam sekitar di Mekah dan Madinah dibincangkan. Malah semalam masuk akhbar yang memperincikan secara ilmiah fenomena itu. Angin merah debu dan cuaca luar kebiasaan mengundang pelbagai perbincangan. Akhbar memilih untuk menulisnya sebagai fenomena biasa menjelang musim sejuk di Timur Tengah.
Setengahnya pula terus membincangkan tanda-tanda kiamat, angin merah yang menyelaputi meninggalkan kita untuk merancakkan perbincangan.
Garisnya, janganlah keterlaluan. Setinggi mana pun faham kita, alangkah baiknya jika mengambil langkah menghormati. Kalau timbul kerisauan di hati, ambillah langkah taubat dan insaf, ambillah peringatan.
Kalau rasa rilek saja, kerana dikatakan fenomena biasa, janganlah pula mengutuk member yang dipancing keinsafan tadi, biarkanlah dia. Cara Allah mengajar hambaNya tidak sama setiap orang.
Mereka yang berasa risau dengan keadaan ini mungkin atas sebab-sebab tertentu. Mereka yang tak rasa apa, mungkin jugak ada sebab tersendiri.
Tapi bagi saya yang tak ada kelulusan ni, molek jika ada sedikit keinsafan meletus di hati. Walaupun dikata orang fenomena biasa tahunan, ambillah sikap Nabi, ketika muncul awan hitam di langit sebagai panduan.
Aisyah RA mengkhabarkan katanya, "Nabi SAW kalau melihat awan gelap di langit, beliau menghadap, membelakang, masuk dan keluar dan berubah wajah Baginda. Dan kalau turun hujan dari langit, barulah Baginda gembira (tenang kembali)". ( HR Bukhari)
Kerisauan melihat keadaan langit yang bukan normal, adalah juga reaksi Nabi SAW. Maka kita ni, janganlah rilek sangat bila melihat benda yang bukan kebiasaan harian, bimbang tercabut risau, dan seterusnya meremehkan keinsafan.
Bagi yang terpanggil hatinya, sebutlah dengan tawaduk dan penuh penghayatan:
"Robbana, ma kholaqta haza bathila, subhanaka faqina 'azabannar..."
"Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau dan peliharalah kami dari 'azab api neraka".
Amiin.
Wallahu'alam, Wassalam.
Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana