2014-10-15

Sedar Diri


Antara sikap yang susah dibuat ialah "sedar diri".

Manusia lazimnya akan memanjat tangga kejayaan, semakin lama selalunya semakin nampak berjaya. ‎Maka mengejar manusia akan pangkat gelaran dan kemegahan. Ia naluri manusia, ia memang kehendak manusia yang normal. Ia tidak salah. Agama tidak pernah larang manusia mengejar kejayaan dunia, malah disuruhnya. Ada dalam Al Quran, tidak dinafikan.

Tapi biarlah segala habuan dunia yang kita dapat tidak membuatkan kita lupa diri. Selalu jadi bila kita di atas kita akan lupakan orang di bawah. Jadi kalaulah kita sampai hari ni masih di bawah tak naik-naik, anggaplah kita memang tak sesuai berada di atas, kerana dek berada di atas, kita akan lupa diri. Mungkin dengan cara itu Allah pelihara kita.

Ada orang yang bila sudah di atas, dengan pangkat gelaran akan berlaku sombong, tambah-tambah kalau kita ada urusan yang nampaknya dia tulah pemegang kata putus.

Aku Dato, aku Boss, kau pekerja, kau kuli.

Maka lupa akan ia akan asal usulnya, yang tak mungkin tak pernah kencing dalam seluar dulu waktu kecil. Sama saja semua orang.

Bagaimanapun mewahnya kita sekarang atau mewahnya kita semasa dibesarkan dulu, berlaku sombong sesama manusia adalah perbuatan jahat dan tidak berakhlak. Ia menjengkelkan. Mendedahkan kekurangan diri dan secara tak langsung membodohkan diri sendiri. Hal ini kerana, kita tidak mengenal sejauh mana orang yang kita sombongi itu. Mana tau dia lebih hebat dari kita?

Kalau menguji biar sama merahnya, kalau mengukur biar sama panjangnya. Hormati semua orang. In sha Allah kita akan dihormati. Berhentilah kesombongan kita, sedarlah diri dan insaflah memikir destinasi kita.

Semua manusia dilahirkan dengan cara yang sama, kecuali 3 orang sahaja.
Adam, Hawa dan Isa. ‎

Tak perlu berlagak, walau segah dan sehebat manapun segala pangkat darjat kedudukan kekayaan dan kemegahan kita, asal usul kita dari air yang sama.

Takde orang yang dilahirkan dari air sarsi atau coca cola.

Wallahu'alam, W‎assalam.

Sang Nila Utama 
Raja Muda Pura Cendana.