2014-10-05

Panggilan Ibu


Seorang Ibu mendapat darjat yang tinggi dalam adat dan juga agama. Begitulah selayaknya. Islam menuntut setiap anak meninggikan ibunya. Bidal kata "Syurga terletak di bawah kaki ibu", bukan maksudnya di bawah kaki ibu ada syurga, tapi kalau nak melihat syurga atau bercita-cita hendak masuk syurga, ibu kita mesti lebih ditinggikan daripada kita, sehingga kita dapat melihat tapak kakinya.

Maksudnya, ‎memuliakan, meninggikan, sehingga kita sebagai anak berada di bawah. Ikatan ini perlu ada sepanjang masa, selama kita hidup.

‎Mendahului ibu dalam perkara yang tidak bertentang syarak, adalah kewajipan. Solat sunat kita, jika didirikan dan dalam masa sama kita dipanggil oleh ibu kita, maka solat sunat itu dituntut Islam supaya dihentikan. Boleh dikerjakan semula di masa lain.

Begitulah tinggi darjat dan "power"nya kuasa seorang ibu. Jangan sampai terdetik di hati ibu kita perasaan singgung dengan perbuatan kita, percakapan kita, atau tindak tanduk kita.

Kalau dalam solat sunat kita, ‎yang pada lahirnya, adalah perbuatan kita menghadap Allah, disuruh berhenti, boleh kita tanya diri kita sendiri, apakah urusan kita yang terlalu besar, untuk kita menolak panggilan ibu?

‎Panggilan zahir seperti yang kita bayangkan sekarang mungkin kita boleh jawab. Apa kata panggilan telefon?

‎Ya, panggilan telefon dari ibu kita.

Kalau kita sorang pekerja dan ada ketua, iaitu boss kita, lazimnya kalau kita nak telefon boss kita, kita akan sedikit teragak-agak.

Hal ini kerana kita bimbang dia meeting ke, tengah buat presentation ke, tengah discussion client penting ke ataupun hanya sedang bersama keluarga. Kita akan pertimbangkan keadaan boss kita sebelum menelefon, walau di mana dia berada.

Dalam hal ini, kita pekerja dan dia boss.

Dalam hal kita bersama ibu kita pula, ibu kita jika sampai tahap teragak2 untuk menelefon kita, kerana "pengalaman" dia telefon kita sebelum ini‎, katalah dia telefon dan kita tak jawab, bukan sekali dua, tapi berkali-kali, maka ter registerlah dalam fikiran ibu kita, seperti fikiran yang ter register dalam otak kita dalam kes menelefon boss kita tadi.

Ibu kita bimbang penelefonan dia itu, akan mengganggu kita dalam tugasan harian kita.

Maka jadilah kita "ketua" kepada ibu kita.

Atau dengan kata lain, "seorang ibu telahpun melahirkan ketuanya".

Ini hanya satu contoh. Satu misal.

Dan cukuplah satu contoh itu untuk kali ini dengan harapan hal ini dapat dibetulkan sempena Hari Raya Aidiladha ini.

‎Tanyalah diri kita. Tak payah lihat orang, semoga kita bukanlah Tuan kepada ibu kita.

‎Saya doakan begitu untuk diri saya dan Tuan/Puan semua.

Salam Aidiladha.

Wallahu'alam.

Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana.