2014-10-21
Masa II
Manusia yang menguruskan diri bagi mendapatkan masa, ada 3 jenis.
Pertama, mereka yang melewati masa, janji jam dua muncul jam tiga.
Mereka ini yang ramai sekali dan mudah dijumpa.
Dan mereka ini kategori yang teruk.
Yang kedua, mereka yang menepati masa, janji jam dua muncul jam dua.
Mereka ada, tapi bak kata Ahlul Nujum, "kaddang, kaddang".
Mereka ini biasa sahaja.
Mereka biasa kerana mereka sekadar menepati masa.
Ketiga, mereka yang mendahului masa, mereka ada, tapi "jarang-jarang".
Janji jam dua, jam satu lima puluh lima sudah ada.
Mereka ini hebat.
Mereka boleh menguruskan diri bagi mendapatkan masa dengan sumpurna.
Kalau kelewatan, mereka akan gelisah dan bertanggungjawab memaklumkan.
Kadang-kadang berlaku kita tidak dapat mendahului atau menepati masa.
Biasalah, dengan halangan dan perkara luar jangka.
Keadaan ini boleh dibenarkan sekali dua, tetapi ambillah tanggung jawab untuk memaklumkan ke pihak satu lagi.
Jangan biarkan orang yang dijanji menunggu kita.
Perbuatan kita kalau dibuat sekali maka dinamakan ia sebagai TINDAKAN.
Tindakan kita, iaitu perbuatan kita berkali-kali maka dipanggil ia sebagai TABIAT.
Tabiat kita yang diulang berkali-kali atas tindakan kita yang hasil daripada perbuatan kita berkali-kali membentuk SIKAP kita.
Sikap kita atas sesuatu perbuatan akan dipandang orang lain sebagai NILAI diri kita.
Perbuatan yang berulang-ulang, dibuat berkali-kali, menjadi tabiat dan seterusnya tabiat itu lekat pada kita, menjadikan ia sebagai sikap kita, dan sikap itulah yang dinilai oleh manusia lain sekeliling kita.
Andai sikap yang baik, maka baiklah "nilai" kita di mata orang ramai.
Andai sikap yang buruk maka begitulah juga "nilai" buruk kita di mata orang ramai.
Jika manusia lain mengatakan kita "kaki lewat", itulah cerminan sikap kita selama ini dengan dia. Kalau bangsa lain boleh menamakan jam kita berbeza dengan jam dia, maka ia satu tanda yang tidak elok.
Pernah dengar "jam melayu"?
Kenapa timbul perkara ini?
Siapa yang perlu membetulkan hal ini sekarang?
Sungguh banyak kerja kita rupanya, kesian kat kita.
In sha Allah bersambung...
Wallahu'alam. Wassalam.
Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana