2026-02-10

Semikin buat cara semikin. Sama-sama buat kerja rumah.


Ramai ya yang bagi respond blog aku semalam pasal working mom burnout. Ramai working mom muda-muda kat dalam ni IG list aku rupanya.

Ya, apa yang korang luahkan tu aku faham. Aku pun pernah ada anak kecik. Aku pernah letak anak kat nursery. Pernah pakai maid. Pernah makan gaji. Pernah jadi majikan. Aku dah lalui semua tu that's why aku faham apa korang luahkan. Ramai rupanya burnout. Muda-muda lagi masing-masing.

Rata-rata kata, kalau dorang tak buat, takde siapa nak buat.

Itulah yang aku cakap semalam. Buat sebab takde siapa yang boleh diharap. Disebabkan takde siapa nak tolong, buatlah takat yang mampu sahaja, jangan semua-semua nak buat serentak. Yang aku suggest, tak sempat nak masak beria, masak je nasi putih dengan telor mata tuang kicap. Anak-anak dengan suami jangan banyak bunyi. Nak makan sedap, beli. Tak nak beli, tolong. Tak nak juga, hadap saja apa yang terhidang.

Ada yang kata baju suami, baju anak-anak semua dia (isteri) kena gosok, basuh, sidai, lipat. Kalau tak buat, semua tu tak bergerak. Ada yang kata balik-balik sauk baju yang sama untuk pi kerja, baju yang tak perlu gosok sebab tak sempat gosok baju sendiri. Sibuk menguruskan baju-baju orang lain.

Sorry ya aku tanya, laki korang ni semua cacat ke? Kote je yang function?

Kadang bukan apa tau. Ada perempuan yang ajar suami jadi berat tulang. Nak kejar syurga katanya. Semua benda buat sendiri. Tak diajarnya suami sama-sama buat kerja rumah. Ujung-ujung kau burnout. Nak mintak tolong suami dah terperangkap antara nak syurga dengan nak bantuan.

Ada sorang ni cerita baru nak mengaji, suami dah panggil "Nak makan".

Eh sumpahlah aku tak tahu macamana arrangement korang masa awal-awal kawen dulu. Nak makan pun tunggu wife hidang and senduk ke camana? Tak boleh buat sendiri?Jangankan kata nak hidang, nak suapkan terus pun boleh tapi biarlah ada timbang rasa. 

Yang kau pun perempuan, dah tahu lepas Maghrib nak mengaji, cakap dengan semua penduduk rumah "Mama nak solat, lepas tu nak mengaji. Kita semua makan pukul 8.30 lepas mama habis mengaji. Siapa lapar, makan sendiri. Senduk sendiri lauk dalam periuk". Susah ke bagi arahan macam tu?

Aku kan kalau si suami nak isteri layan macam raja, tapi kau sendiri semikin, tak boleh nak provide banyak benda meringankan beban isteri, toksah besar sangat angan-angan tu. Semikin buat cara semikin. Sama-sama buat kerja rumah. 

Sorang basuh, sorang sidai. 
Sorang angkat, sorang lipat. 
Sorang masak, sorang membasuh. 
Sorang ambik anak, sorang mandikan anak. 
Sorang menggosok, sorang tengok anak buat homework. 

Itulah marriage. Kalau sorang macam hamba buat from A to Z yang sorang hayun telo depan TV, len kali jangan kawen. Kau main je telo kau tu sampai pecah.

Kalau bini tak kerja opis, lain cerita. Ini bini kau sama-sama kerja, sama-sama top up expenses rumah tangga, tapi dia uruskan segalanya sorang takde bantuan. Perempuan stop jadi bodoh, plis? ASK FOR HELP! Bagi tugas kat suami. Kadang suami tu tak tahu you need help because kau terpaling nak kejar syurga.

"Kak Di memang buat semua yang Mak Aji suruh hari-hari ke?"
"Bila masa Kak Di buat homework?"
"Bukan ke dulu Mak Aji ada maid?"


Ya dik. Akak buat SEMUA yang Mak Aji suruh tu, EVERYDAY. Maybe itulah hasilnya sekarang. Akak kau ni multitasking sambil kerja sambil boleh masak 3 lauk tetiap hari. She trained me very well konsepnya 😆.

Mak Aji masa kat UKM dikelilingi oleh pensyarah and pegawai. Mak aku kerani, bukan pegawai. Jadi bila environmentnya begitu, dia terinfluence. Tu pasal aku cakap jurang beza antara aku dengan most friends zaman sekolah dulu, BESAR. Kebanyakannya anak pegawai and pensyarah. Rumah banglo, semi-D. Kereta besor menjalar depan rumah 2 biji.

Mak Aji disukai oleh boss-boss. Maybe dia rajin agaknya. Boss selalu ajak datang rumah makan. Sorang bosnya dulu lelaki, rumah banglo besar! Kat hall ada piano. Tahun 80-an rumah banglo siap ada piano to some people itu biasa. Tapi bukan aku. Aku rasa itu dah sangat kaya. Rumah dahlah cantik, bersih, mewah dengan perabot macam dalam drama PJ Holdings (gen X je tahu drama ni).

Sorang lagi boss mak aku, ladyboss. Rumah banglo gak. Rumah besar, pinggan makan dia bulat besar macam kat hotel. Sampai sekarang boleh ingat lagi. Punyalah kagum aku dengan pinggan dia. Baju kurung pi kerja pun cantik-cantik.

Sebab tu mak aku terinfluence nak rumah yang sentiasa kemas dan bersih. Tak banglo pun takpelah janji kemas dan bersih. Masalahnya dia tak larat nak berkemas. Tapi nak sentiasa kemas. So orang harapannya aku lah.

Aku boleh katakan Mak Aji lebih utamakan rumah yang kemas daripada aku belajar. Dia tak pernah suruh aku buat homework dulu atau study dulu. Apa-apa hal kena kemas rumah dulu. Kalau aku pilih untuk fokus study and biarkan rumah tak kemas, konfem aku takleh concentrate study sebab dia akan mengamuk hempas-hempas masa mengemas. Last-last aku tutup buku, tolong kemas.

Aku tak salahkan dia. Sebab dia membesar dalam environment belajar tu nombor 2. Urusan rumah kena utamakan. Mak Aji duduk dengan neneknya kat Tampin (moyang aku). Sedangkan mak bapak and adik-adik semua masih kat Spore. Bila duduk kampung, duduk dengan nenek pulak tu, mestilah kena tolong nenek. Balik sekolah cari kayu api. Basuh baju kat perigi. Kemas rumah. Memasak. Belajar bukan priority. Belajar tu hanyalah habiskan sekolah.

That’s why dia buat benda yang sama kat aku. Sebab dia dulu takde siapa ambil tahu belajar ke tak. Janji habiskan sekolah je. Tu pasal apa-apa hal dia nak aku settlekan hal rumah. Pastu nak belajar, belajarlah. Tu pun dia takkan berhabis untuk pelajaran aku. Sebab bagi dia "aku dulu pun sekolah takde tusyen takde buku tambahan, boleh pun habis sekolah". Dalam hati aku “Memanglah sekolah, tapi tak cemerlang, kan?” Tapi cakap dalam hati je la. Nak mampus cakap terang-terang? Kat situ jugak riwayat aku ditamatkan.

Banyak pengalaman zaman kecil yang aku cancelkan bila besar. Contohnya bulu ayam. Bulu ayam ni kalau rumah orang lain, fungsinya buang habuk. Kat rumah Mak Aji, fungsinya merotan anak. Jadi biarlah bulu ayam tu habis kat aku je.

Yang paling aku cancelkan, SEMUA KENA BENDA BUAT SENDIRI. Tu pasal benda pertama aku plan is maid.

Dulu masa kecik kitorang ada Kak Kiah. Dia ni jiran arwah nenek kat kampung. Mak Aji ajak dia kerja jadi maid. Dia jadi maid kitorang dari umur aku 7 sampai 9 tahun. Pastu dia pindah jadi maid makcik aku pulak. Lepas dia pindah, aku take over kerja-kerja dia. Tu pasal aku cakap dari umur 9 aku dah ambil alih tugas menggosok baju kerja mak bapak aku.

Kita tengok anak sendiri umur 9 tahun tak gamak nak suruh gosok baju kita, kan? Tapi mak bapak aku tawakalnya tinggi. Aku dibaginya tugas gosok baju. Seminggu punya baju zassssss aku gosok semua. Setengah hari menggosok. Dulu takde iron board. Bentang kain gosok atas meja. Sampai merangkak atas meja nak menggosok punya pasal.

Every week aku basuh semua bilik air (ada 3) termasuk bilik air dia. Kadang tu aku rest kejap nanti dia tanya "Bilik air mama dah basuh?" Macam bibik dah aku. Dahlah bilik air semua ada kolah. Sampai masuk dalam kolah nak basuh punya pasal.

Cuci longkang, cuci porch, mengecat pagar and dinding rumah pun aku, ya. Darjah 2 aku dah dibagi tugas cat pagar and dinding everytime nak raya. Buat kukis raya jangan cakaplah. Tu memang task aku sorang. Wajib 6 jenis. Choc chip cookies, biskut badam, Mama Carey, Almond London, biskut aunty Latifah and satu lagi lupa.

Biskut aunty Latifah tu resepi bos Mak Aji. Nama bos dia Latifah. Nama kukis tak pernah tanya, aku letak nama biskut aunty Latifah je. Biskut ni paling renyah nak buat. Kena sejukkan dulu semalaman. Esok potong, baru bakar. Choc chip kukis yang dia jual dulu, aku yang ajar tau! Adan uke, dah tua-tua kena buat kukis. Turn aku pulak ambik sebalang bawak balik rumah. Mbahahahahah.

Kalau ikutkan rutin harian aku dulu, tak lulus SPM pun orang takkan katalah. Sebab memang takde waktu yang banyak untuk study.

Bila aku pikir-pikir balik, kat uni aku boleh dapat Dekan. Dulu nak Dekan 3.5 je. Tapi tu pun tak ramai dapat. Aku dapat convert loan ke scholar. Aku cakap kat En Wan kalaulah dulu aku dapat peluang macam ni study 24/7 takyah buat kerja rumah, agaknya lepas SPM aku fly macam dia. Mesti aku fly ke US. Mesti pastu aku jumpa orang lain. Mesti aku tak pandang dia. Takde chan dia nak dapat aku. Kahkahkahkah.

Tapi tu lah, segalanya disusun ada sebab. Tak tahulah apa sebab musababnya. Maybe Mak Aji masa kecil banyak pengorbanan yang dia dah buat - jaga nenek, sanggup berjauhan dari keluarga sebab nak jaga nenek kat kampung, lepas SPM terus kerja untuk bantu keluarga. Jadi Allah kurniakan dia anak perempuan sulung yang sangat baik ringan tulang pandai buat kerja rumah bak Cinderella. Aaaaa gitu.

Sekarang Mak Aji jaga cucu. Terpaksalah dia berlapang dada dengan keadaan rumah yang bersepah. Rasakannnnn 😈😈. Tapi now dia hire weekly bibik untuk mengemop and basuh-basuh bilik air. Sapu-sapu tu bolehlah buat sendiri sikit-sikit.

Dulu, sampai menggigil-gigil aku angkat karpet berat nak jemur setiap hari Ahad. Buat sorang gaisss. Trim pokok bunga kertas kat laman pun aku. Akulah siram, akulah baja, akulah sapu laman, akulah trim pokok. Padahal dia yang sibuk nak berpokok tapi aku yang kena jaga.

Tu pasal dulu time cuti sekolah arwah nenek suka kalau aku duduk kampung. Dia tahu aku boleh kemas laman rumah. Laman rumah nenek aku luas. Aku boleh menyapu keliling. Sampai ke dalam kebun aku sapu. Pakej bakar sampah siap. Punca rajin mengemas laman sebab tu la, boleh main api pastu 😆. Rumah aku sekarang takde pokok bunga. Sebab aku taknak jaga. Penat dah aku menjaga laman.

Dulu Mak Aji punya modal "Kecik-kecik belajar buat semua kerja rumah, esok besar takdelah terkial-kial nak buat semua benda!"

Kenapa pesanan dia macam tu?

Sebab dia dibesarkan dengan buat kerja rumah. Belajar nombor 2. Dia anggap life anak-anak dia juga akan begitu.

Macam En Wan lain. Belajar nombor 1. Keluarga dia ada maid. Mak dia tak bersusah payah mengemas dan memasak. Kerjanya belajar saja. Jadi bila dah kawen, dia plan kena ada maid juga.

Hari tu aku gi cari baju raya. Masuk kedai ni baju dia semua merelip berlace heavy macam baju nikah. Aku cakap kat En Wan, dorang ni buat baju macam ni memang ada orang nak pakai ke?

En Wan cakap "Sebab ownernya anak orang kaya, bukan macam awak pagi raya basah lencun kat dapur membasuh tak habis-habis"

Hmmm...betul jugak. Owner dia mesti asal orang kaya yang hari rayanya hanya menjadi patung cendana takyah pecah peluh. Lainlah aku marhaen, dari celik mata sampai ke malam, raya pertama tu kat dapur bersingsing lengan masak tak sudah-sudah. Patutlah aku asik cari baju raya kurung pesak kain cotton je.