2023-09-15

Apa pilihan yang aku ada.


Ramai yang respond kat IGS cerita kena hina.
Mentang-mentang kat blog dah tutup komen.
Menderu korang komen kat DM.

Aku tepek 2 respond yang berbaloi kalau nak dijadikan blog post.
Yang pertama ini:

Warna kulit, muka tak cantik, dan tak kaya are something yang di luar upaya aku untuk ubah ketika tu.
Kulit aku hitam berlegam. So apa aku boleh buat?
Nak minta Mak Aji belikan skin care?
Dia sendiri tak pakai skin care.
Until Form 5, aku hanya ada bedak powder Johnson & Johnson saja.
Itu pun kadang kalau dah habis, sebat Mak Aji punya.
Nak bagitau bedak aku dah habis pun tak berani.

Deodoran pun tak pernah ada.
Masuk matrik barulah cuba beli deodoran.
Itupun sebab kawan beli. Aku pun join beli.
Moisturiser yang pertama pun beli masa matrik.
Punnnnnn asbab tengok kawan beli, aku join.
Masa tu duit MARA ada khennn, dapatlah belajar untuk bercantik sikit.

Zaman sekolah, nak merasa bedak yang wangi sikit, hanya time balik kampung (Tampin).
Arwah nenek aku lebih kaya dari kitorang.
Makcik and pakcik aku kat Singapore hantar duit bulan banyak kat nenek aku.
Nenek aku pakai bedak Yardley.
Tak pernah nampak dah brand bedak ni.
Wangiiiii.
Sehari mandi 3-4 kali dek nak pakai bedak punya pasal.

Itu warna kulit. Kalau muka pulak?
Tak cantik macam kawan-kawan lain. So apa aku boleh buat?
Pasrah je lah.
Tapi aku rasa aku bukanlah buruk sangat, cuma berselipat je.
Takde modal besar.  
Cuci muka pakai sabun buku Lux je.
Itulah sabun badan, itulah sabun muka, itulah sabun bontot. 3 in 1 gais. Kahkahkah.
Eh, tak. 4 in 1!
Sebab aku guna sabun yang sama untuk basuh simis aku.
Kan simis aku sehelai je. Aku pernah cerita, kan?

Dilahirkan tak kaya macam kawan-kawan yang sama-sama pergi beraya dulu. 
So, apa aku boleh buat? Lalu je lah.
Apa yang ada, cuba untuk jadikan cukup.
Yang ada, manfaatkan.
Yang takde, takyah pikir.
Meratap meraung pun, bukan boleh ubah keadaan.

Baru-baru ni bersembang dengan En Wan pasal kawan aku Nurul.

"Abang tau tau tak, Nurul tu kaya tau, Rumah dia banglo 2 tingkat. Besar gila tanah mak bapak dia. Hall dia luas, bilik tido dia luas, dapur dia boleh main galah panjang sebab besar sangat".

"Ada satu hari tu saya tido rumah dia sebab nak study sama-sama. Nurul siap offer saya "Kau nak buku ni? Ambiklah".

"Tengah-tengah study, Nurul ajak "Jom makan aiskrim?". Di pun bersiaplah, ingatkan dia nak ajak gi teman beli aiskrim kat kedai runcit. Rupanya makan aiskrim kat dapur. Dalam fridge dia ada banyakkkkk makanan!"


Masa aku cerita kat En Wan, dia pandang aku pelik.

"Rumah awak takde makanan ke?"

😭😭😭😭

Bukanlah takde makanan.
Tapi makanan ringan tu tak banyak.
Kalau Mak Aji gi beli groceries kat Billion Kajang, dapatlah potato chips Cottage tu SATU.
Kongsi dengan adik-adik, ya.
Bukan aku punya sorang.
Jadiklah buat rasa-rasa.
Jangan sampai orang kata tak pernah makan.

Masa aku cerita Rayyan belajar keyboard, ada sorang follower komen "Saya teringin nak hantar anak saya belajar hoki, main keyboard macam Rayyan. Tapi tak mampu".

Gitulah aku dulu.
Aku berasa pelik macamana kawan aku boleh ambik kelas piano.
Ada yang join kelas piano, kelas swimming, kelas ballet.
Ini semua kemahiran-kemahiran yang famous di tahun 90-an.
Semua ni bukannya murah.
Tertanya-tanya juga, mak bapak dorang ni kerja apa?
Banyaknya duit boleh pergi kelas-kelas macam tu.

Kawan aku Nurul masuk kelas dance.
Aku tertanya-tanya kenapa dia masuk kelas tu?
Dapat jadi apa kalau masuk kelas tu?
Bukan apa, cara aku dibesarkan adalah -- kalau nak masuk apa-apa kelas, mesti yang bagi impak pada pelajaran. Kalau tak, tak payah.

Hari tu aku tengok satu video.
Orang tu kata, mak bapak yang tak belajar tinggi dan kerja biasa-biasa, selalunya mahu anak-anaknya buat STEM.
Kerja doktor, engineer, lawyer, akauntan, atau kerjaya yang ada kaitan dengan sains.
Sebaliknya, mak bapak yang belajar tinggi dari aliran STEM, selalunya lebih relax dan tak kisah kalau anak ambik arts.

Apa orang tu cakap, betul.
Aku tak berpeluang nak join kelas-kelas macam kawan-kawan.
Parents aku bukan orang senang.
Bukan lulusan universiti pun.  
Jadi, dorang nak tengok anak-anaknya berjaya lebih dari apa yang dia mampu bagi.
Kelas yang "main-main" macam swimming, piano, ballet -- tak pernah ada dalam perancangan.

Aku tak salahkan parents aku.
Jangan salah faham.
Dalam keadaan kurang, dorang dah cukupkan yang perlu.
Aku adik-beradik tetap bersekolah sampai habis.
Sambung Uni, sampai habis.
Banyak yang dorang korbankan untuk bagi kitorang hidup.
Bukan tak pernah teringin nak merasa macam orang lain, cuma belum masanya.
Just be happy dengan apa yang ada dulu.

Dia bukan masalah kuat atau tak.
Tapi kalau dah itu je jalan kita, takkan nak lalu jalan orang, kan.
Lalu jelah jalan kita tu.
Walaupun keluarga tak sesenang orang lain, masa tu aku tak terasa susah pun.
Yang basic, ada. Yang kehendak tu saja takde.   
Kalau dah takat tu je yang ada, pakai dululah yang ada.

Tu pasal everytime ada aktiviti petang di sekolah, aku lenjan je seluar trek Pak Aji.
Sebab itu je yang ada.
Seluar track aku sehelai je.
Kalau tiap-tiap petang ada aktiviti, memang seluar bapak akulah jadi mangsa.
Kau bayangkan bapak aku tinggi nak mencecah 6 kaki, aku boleh sarung seluar dia.
Bahagian pinggang tu berlipat 4-5 kali gulung.
Dah rupa pakai kain pelekat kat dalam 😆.
Kasut sukan bapak aku pun aku pakai tau.
Sebab itu je yang ada.
Aku tak pernah ada kasut sukan sampailah masuk matrik
Sumbat tisu kat depan supaya tak longgar.
Tu yang dapat nick name "Ronald Mc Donald" tu.
Sebab kasut aku panjang.

Apa yang TV tunjuk -- orang susah, orang yang tak cantik -- senang nak dihina.
Itu memang betul. Ni ha living proof-nya.
Aku dah rasa semua tu.
Tapi, apa pilihan aku ada masa tu?
Nak mintak parents aku beli, tak terluah.
Jadi aku pilih untuk pekakkan telinga bila kena ejek.
  
Dia punya jijik dengan aku, sampaikan aku jadi game dorang.
Dulu, budak-budak lelaki sekolah rendah suka bersidai kat balkoni kelas, tengok budak-budak perempuan main getah kat bawah.
Banyak kali terjadi, everytime aku lalu kat balkoni, dorang main tolak-tolak member.
Kalau ada yang terkena aku, siaplah budak lelaki tu kena ejek "Itu girlfren dia".
Ada sorang budak lelaki tu sampai nangis kena ejek jadi boifren aku.
Alahaiii. Yang kau menangis apeheyyynya.
Aku yang kena ejek hitam ni pun rilek je.
Kau pulak over stress.
Mesti spesis kote tak berapa nak naik ni.

Kalaulah ada pilihan antara beli simis dengan beli krim pemutih, aku pilih beli simis.
Aku pernah cerita kan aku hanya ada 1 simis yang dipakai dari Darjah 4 sampai Darjah 6.
Aku pilih simis sebab itu keperluan.
Kalau pilih skin care untuk bercantik-cantik, aku kan masih sekolah.
Boleh buat apa pun dengan cantik.
Boleh buat ngorat Guru Besar ke? Kahkahkah.

Aku sebenarnya tak ambik port sangat budak lelaki ejek.
Perangai budak lelaki memang macam tu.
Tapi aku terkilan bila perempuan pun tumpang mengejek aku sebab nak dapat pengaruh berkawan dengan budak lelaki.
Some of the girls rasa macam coolness dapat join mengutuk aku.
Senang nak masuk jadi member dengan budak lelaki agaknya
Disebabkan itu, aku lebih prefer berkawan dengan lelaki.

Lelaki ni, bila kau dah jadi kawan dia, dia takkan bahan kau depan kawan.
Dia protect kau.
Dia hanya bahan kau bila kau dengan dia je.
Tapi perempuan bila dah jadi kawan kita, dia tergamak bahan kita depan member-member lain dan jadikan kau stok lawak semata-mata nak nampak cool.
And for that reason, aku lebih close dengan kawan lelaki.
Ada je kawan perempuan. Tapi tak seramai kawan lelaki.