2022-12-22

Ujiannya cuma kena kat aku, tapi hikmahnya ramai yang dapat.


Ada sorang follower cakap "Terima kasih Kak Di menulis tentang ni (referring to post 'Allah Lebih Tahu'). Bukan menyedarkan Kak Di je, tapi semua pembaca blog Kak Di".

Aku pernah tulis post tentang influencer beberapa tahun lepas.
Aku tulis tentang influencer sangat mainkan peranan menyebarkan maklumat.
Baik untuk tujuan bisnes, atau khidmat masyarakat, peranan influencer sangat besar.
Boleh nampak ramai cari influencer untuk hebahan maklumat.
Dan perasan tak dalam kebanyakkan ujian berbentuk musibah, akan diturunkan kepada influencer -- tak kira lah artis, instafamous, blogger, public figure. Perasan tak?
Yang kes cerai, kes kena pukul, kes rebut anak, kes tak bayar nafkah, kes kena kelepet, kes duit kena scam, etc.

Aku tak pasti if aku jatuh dala kategori influencer.
Berdasarkan bilangan blog post views yang more than 100K everyday, aku anggap aku begitu. Agaknya lah.
Boleh jadi Allah turunkan ujian pada influencer-influencer atau pada orang yang ramai pengaruh kerana itu salah satu asbab tersebarnya maklumat.
Be it ilmu baru, petunjuk atau hikmah.
Tahu je lah, zaman media sosial sekarang, pengaruh internet sangat tinggi.
Seorang ustaz cakap, zaman sekarang orang tak suka dengar tazkirah di masjid, jadi ustaz-ustaz kena pandai gunakan media sosial untuk mengajar ilmu.
Maka seorang public figure juga boleh menjadi asbab tersebarnya hikmah.

Malangnya, kita selalu mencari dosa orang yang ditimpa ujian.
Kita anggap ujian pada orang tu adalah kerana dosa-dosa dia semata-mata.
Padahal kalau digali hikmah dari musibah orang tu, rupanya bertepek-tepek kena kat muka sendiri.
Kita sepatutnya boleh jadikan musibah sebagai pengajaran, maka pandai-pandailah mengambil hikmah, kerana mungkin ini adalah sebahagian daripada cara mencari ilmu yang benar.

Dulu pernah ada satu kes sepasang suami isteri yang kerjanya doktor.
Akhirnya bercerai sebab suami kena tangkap ada skandal.
Dari sudut pandangan orang biasa, of course ini di luar akal.
Macamana pasangan suami isteri yang dah lama hidup bersama, yang bercinta sebelum berkahwin, yang kerja bagus, pendidikan tinggi, kedudukan ekonomi juga takde masalah sebab masing-masing kerja besar -- boleh terjebak dalam masalah rumahtangga seperti tu.
Walaupun macam-macam teori dibolak-balikkan, yang pasti kes itu membuka mata ramaiiiiii pasangan suami isteri untuk berhati-hati.
Masing-masing mula bagi macam-macam peringatan --
◽ Perempuan kena ada kerjaya, kena pegang duit sendiri, kalau kena tinggal dek laki, no problem.
◽ Isteri kena berani, jangan bagi suami pijak kepala boleh berskandal belakang kita.
◽ Bila isteri ada otak dan ada duit, dia takkan takut dedahkan kecurangan suami because dia boleh hidup tanpa suami.

Macam-macam peringatan dan ilmu kita dapat dari kejadian tu.
Maknanya musibah yang ditujukan bukan kepada pasangan yang bercerai tadi, tetapi hikmahnya ramai merasa, especially kepada pasangan yang sedang mengalami masalah yang sama dan menunggu jawapan terbaik untuk bertindak.

Ujian yang Allah bagi pada aku and En Wan bila Rayyan patah kaki, banyak menyedarkan aku tentang nikmat sihat, dan nikmat kasih sayang keluarga.
Dan mungkin pada orang lain, pengajaran yang mereka dapat berbeza, bergantung kepada apa kekeliruan yang mereka hadapi sekarang.
Contohnya, sejak aku cerita kronologi kes Rayyan, ramai betul yang minta nombor En Wan nak buat medical card, nak re-apply medical card dan tak kurang juga nak tukar agent kepada En Wan 😆.
Pendek kata, ujiannya cuma kena kat aku, tapi hikmahnya ramai yang dapat.
Ada juga yang sedang dalam proses menunggu result biopsi, bila baca tulisan aku, dia jadi tahu what to expect, what to do next.
Ramai juga yang kata "Betul apa Kak Di cakap, bahagia ni sebenarnya murah je. Kita je yang asyik mencari bahagia kat luar".

Semoga artikel ringkas ini bermanfaat dan mampu menyedarkan yang membacanya, khususnya mengingatkan diri sendiri agar banyak bersyukur kepada ALLAH, atas segala nikmat yang dikurniakanNya selama ini.
Tak payah dengki dengan rezeki atau status sosial orang lain, kerana setiap nikmat yang dia dapat datang satu set dengan ujian yang mungkin kau tak mahu tanggung.
Kalau kita dengki dengan rezeki orang lain, kita patut "dengki" dengan musibah mereka. Sanggup?