2022-03-07
Selamat datang ke usia 40 tahun.
Mereka yang berusia 36 tahun nak ke usia 40 tahun ini, memang Allah uji kesabaran yang kaw-kaw.
Usia 36, 37 dan 38 tu memang kemuncak ujian.
Tak kira lelaki atau perempuan.
Tak caya, tengok member yang dalam lingkungan umur 36, 37, 38 dan 39 tahun.
Tak pun tengok diri sendiri.
Range umur-umur inilah penentu bagaimana sikap kita nanti apabila mencecah 40 tahun.
Masa umur 36, 37, 38 dan 39 tahun, ujian datang bertalu-talu.
Kesihatan.
Keluarga.
Kawan.
Kerjaya.
Ibubapa.
Adik-beradik.
Harta benda.
Wang ringgit.
Sampai nanti terasa mengah nak melaluinya, but you have to face it.
Masa ni lah ada rumahtangga bergoyang.
Masa ni lah ada rumahtangga gagal.
Masa ni lah ada yang hilang kerja.
Masa ni lah ada yang mula sakit-sakit.
Masa ni lah ada yang di-backstabbed kawan sendiri.
Masa ni lah ada yang berada dalam dilema nak buat keputusan besar dalam hidup.
Masa ni lah diuji dengan masalah kewangan.
Masa ni lah anak-anak dan membesar jadi remaja dengan banyak karenahnya.
Masa ni berat badan susah nak turun.
Masa ni mata dah mula rabun.
Umur 36 sampai 39 tahun adalah umur kemuncak ujian Allah.
Menguji keimanan.
Menguji kesabaran.
Melatih diri untuk reda dan ikhlas.
Mendidik hati belajar memaafkan dan melupakan.
Mengajar diri menjadi lebih beriman.
Kenapa ketika umur begini baru ujian datang?
Kerana dalam Quran sudah disebut:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun (40), berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu” - Surah Al-Ahqaf ayat 15.
Ayat ini menyatakan umur 40 adalah umur matang.
Orang putih kata “life begins at 40”.
Ini kemuncak umur keislaman bagi orang Islam.
Kebanyakan ulamak bersungguh-sungguh beribadah dan mengurangkan tidur (bangkit solat malam) ketika mencecah usia ini.
Orang-orang tua ada berkata, kalau seseorang tu tak berubah perangai bila cecah 40 tahun, maka susahlah dia nak berubah selepas tu.
Ada betulnya, sebab dalam sebuah riwayat Ibn Abbas r.a. mengatakan bahawa sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka! Nauzublillah.
Masa aku join kelas dulu, ustaz ada cakap manusia yang paling sempurna akal dan fikirannya adalah bila mencecah umur 40 tahun.
Kerana pada usia itulah juga Allah mengutus Rasulullah saw.
Bermakna usia 40 tahun adalah usia matang.
Segala tindakan seseorang pada usia ini seharusnya matang.
Maka, di usia mencecah 40 tahun, dah tak sesuai nak terkinja-kinja buat tik tok atau buat video semata-mata nak tinggikan rating atau demi melariskan produk.
Bukan semua trend perlu kita ikut.
Walaupun orang kata kalau nak maju kena buat macam ni, kena follow trend gitu - TAK PAYAHLAH.
Dah 40 tahun, balance umur dah tak banyak mana lagi.
Bak kata ustaz yang mengajar aku dulu, “40 tahun hidup pangkat bertambah, gaji bertambah, rumah bertambah, sijil bertambah. Hafazan bertambah tak? Solat bertambah tak? Ke sama je macam solat budak umur 10 tahun?”
Pedih gila. Panasss je muka aku.
Konon duduk depan sekali nak mudah dapat ilmu.
Sekali harung dapat pedih sekali 😆.
Ustaz kata, “Tak malu ke jumpa Allah nanti dengan bekal solat yang sama banyak dengan budak umur 10 tahun? Budak tu solat 5 waktu sehari. Takkan kita dah 40 solat masih 5 waktu saja. Mana sunat-sunatnya?”.
Maka sebab itulah di usia 36-39 kita diberikan ujian demi ujian.
Untuk apa?
Kerana DIA jemput kita perlahan-lahan sebelum masuk umur 40.
Dalam tempoh ujian itu nanti tergantung bagaimana kita menyingkapi hikmah ujian.
Ada orang semakin diuji semakin lama sujudnya (maksudnya semakin banyak solat).
Ada orang semakin diuji semakin menjauh dari Allah.
Mungkin inilah bak kata orang-orang tua “Kalau umur 40 tak berubah, sampai bila-bila payah nak berubah”.
Masuk sahaja usia 40 tahun, segalanya BARU.
Hati lebih sabar.
Hati lebih tenang.
Hati lebih ikhlas.
Hati lebih tawaduk.
Hidup lebih bahagia.
Hidup lebih sempurna.
Hidup lebih nampak arah tujunya.
Hidup lebih mensyukuri nikmat dan reda dengan kekurangan.
Kerana Allah sayang, dia jentik dengan ujian sebagai teguran.
Dia suruh kita bersedia ke alam kekal.
Masuk usia 40, sepatutnya kita dah tenang.
Dah tak fikir berat-berat hal-hal dunia.
Dah tak kelam kabut lagi dengan urusan dunia.
Apa yang ada, pakai.
Apa yang ada, makan.
Apa yang ada, guna.
Dah tak lagi sibuk kejar itu ini bermati-matian sampai urusan akhirat dibuat sekadar buat.
Usia 40 tahun, semua urusan diniatkan ibadah.
Sudah mula ke rumah Allah.
Sudah mula perbaiki diri.
Sudah mula perbaiki solat.
Sudah mula perbaiki akhlak dan adab.
Sudah mula perbaiki penampilan.
Itu pun, jika kita selesai dengan jayanya menduduki 'final exam sebelum usia 40' 😌.
Tapi, jika kita ini asyik mengulang silap yang lepas, diusia 40 nanti tak akan ada yang berubah. Habis macam tu je.
Nabi Muhammad, Allah tingkatkan darjatnya di usia 40 kepada Rasulullah.
Baginda mula berdakwah secara terang.
Sebelum menjadi Rasulullah, berapa kali baginda dihina dan dikasari. Baginda sabar.
Hidup ini, yang perlu ditanam dan pasak dalam hati adalah tenang.
Yang perlu diamalkan setiap malam adalah tahajud.
Yang perlu dizahirkan dengan bibir adalah kata-kata nasihat.
Yang perlu dihulurkan oleh tangan adalah pemberian tanpa balas.
Yang perlu dilihat oleh mata adalah kesilapan sendiri.
Yang perlu ada dalam hati hanya Allah.
Usia mencecah 40 tahun dah patut mendampingi kawan atau kelompok yang membawa kita kepada menjadi yang lebih baik.
Bukan tak boleh huhahuha, tapi patut padanlah.
Memang seronok dapat lingkungan yang gila-gila, sporting, huhahuha, asalkan jangan jadikan tabiat.
Apa juga yang kita miliki setelah 39 tahun hidup, waktu inilah kita akan mula buat pilihan, buang atau kekal.
Ambil yang baik, atau kekalkan yang tidak baik.
Segala ujian akan berulang lagi dan lagi.
Bezanya ketika itu, kita akan hadapi dengan lebih tenang.
Kerana kita sudah ada pengalaman Allah dah didik macamana nak hadapinya.
Allah dah beri pengajaran pada pengalaman yang lalu.
Segalanya tidak lain tidak bukan, untuk perbaharui iman yang kian pudar.