2021-06-08

Perangai orang tua.

Aku rasa aku ni dah jadi kaunter aduan perihal mak mertua tak sebulu dengan menantu.
Sentiasa ada je kisah-kisah mak mertua masuk dalam inbox aku baik FB, IG and email.
Mujurlah dapat kat aku, kalau dapat kat Che Yah dah viral kisah kau satu kampung 😆.

Aku tak nak hint kisah-kisah yang aku dapat.
Aku akan jawab dalam bentuk kisah aku.
Pandai-pandailah orang yang berkenaan decipher jawapan untuk setiap soalan melalui point-point yang aku tuliskan ni.

Aku and mok dah duduk sebumbung hampir 11 tahun.
Tak pernah terfikir selepas 9 tahun duduk hanya dengan suami and anak, tahun ke-10 mak datang duduk sekali.
Takde sesiapa pun plan untuk tinggal bersama.
En Wan tak pernah ajak mok tinggal sekali dan mok pun tak pernah merancang nak tinggalkan rumah dia di Tganu tu.
Boleh dikatakan mok biasa datang rumah aku sebab Kak Long rajin datang shopping Ikea.
Setiap kali Kak Long datang, mak ikut. Dorang stay rumah ni.
Jadi, bila mok duduk lama sikit selepas aku bersalin, aku anggap itu biasa.
Lagipun Mak Aji tak berapa handal pegang budak.
Mok biasa jaga cucu. Cucu dah 17 orang masa tu.
Kebetulan pula Rayyan lahir tak cukup bulan. Perlu extra care.
C-sect kali kedua agak teruk.
Aku kena pre-eclampsia masa mengandung Rayyan jadi aku sendiri perlu extra care selepas bersalin.
So mok plan duduk lama sikit untuk take over jaga Rayyan supaya aku boleh betul-betul heal.

Boleh dikatakan aku berpantang dengan sangat selesa.
Yang pertama, masa ni aku dah kerja sendiri.
Tak terikat untuk masuk ofis cepat-cepat.
Boleh rilek-rilek berpantang.

Kedua, bibik dah ready ada.
Masa bersalin Redza dulu bibik datang waktu umur Redza 43 hari.
Masa bersalin Rayyan bibik memang dah ready di rumah menyambut tuan besar datang.
Jadi, aku tak serabut sambil berpantang nak siapkan makan, nak kemas rumah, nak uruskan anak, etc.

Ketiga, mok ada.
Satu hal yang buatkan aku tak kisah lepaskan jagaan Rayyan sepenuhnya sebab mok ada bibik untuk bantu.
Idok le rasa bersalah sangat biar mok tertonggeng-tonggeng menjaga cucu.
Mandikan anak semua bibik buat.
Lepas settle uruskan anak, bibik akan start dengan urusan rumah sementara mok akan tengok-tengokkan Rayyan.
Aku berehat di atas sambil-sambil buat keje opis (kalau larat).

Alhamdulillah lega sangat perjalanan berpantang aku tersusun baik.
Sesekali Mak Aji datang untuk jaga aku (dia tak jaga Rayyan sebab mok lagi terer).
Lama-kelamaan mok dah macam takleh berpisah dengan Rayyan.
Dia balik Tganu kejap-kejap je pastu patah balik sini.
Aku rasa mok seronok di sini sebab bukan susah sangat nak jaga cucu because bibik ada sama.
Kalau dia duduk Tganu pun sorang-sorang.
Duduk di sini at least ada bibik nak bersembang.
Mok tak pernah cakap nak tinggal sini terus. Kitorang pun tak pernah tanya.
Dia macam berlaku gitu je.
Selepas 6-7 bulan mok kat sini aku ajak En Wan belikan almari untuk mok simpan baju.
Selama tempoh tu dia kerap ulang-alik jadi baju-baju semua dalam bag.
Aku cakap kat En Wan mok mungkin segan nak cakap, kita kena paham-paham lah.

Smooth ke hidup aku duduk dengan mertua?

Alhamdulillah mok mertua aku tak macam Nyonya Mansur tapi ada lah perangai-perangai orang tua.
Contohnya apa?

Yang pertama, curah minyak masak dalam sink.
Berkali-kali aku pesan tak boleh buang dalam sini nanti tersumbat.
Tapi begitu je la pesanan aku macam mencurah minyak dalam sink juga 😆.
Dia kat kampung dah biasa buang sisa minyak dalam sink sebab saluran sink connect dengan longkang.
Jadi apa yang kau curah dalam sink semua masuk ke longkang belakang.
Saluran sink rumah kita-kita ni mana gitu.
Saluran tu lalu ikut mana pun kita tak nampak. Tau-tau je bau busuk.
Berkali-kali panggil plumber datang sedut saluran tersumbat.
Setiap aku tersumbat mok akan salahkan IWK 😆.
Dia kata lubang taik penuh.
Aku ngan En Wan layankan je.
Ready je lah duit RM200 setiap kali panggil plumber.

Kenapa tak tegur mok? Haaa...itulah cabarannya bila tinggal dengan orang tua.
Kita tak mahu dia kecik hati.
Walaupun kita sakit hati. Hahaha.
Asalkan anak tahu what to do everytime sinki tersumbat, I boleh terima.
Yang selalu buat bini sakit hati adalah bila suami kayu tak buat apa-apa hanya suruh isteri bersabar.

Yang kedua, sinki tersumbat everytime mok siang barang basah atau membasuh pinggan.
Aku beli macam-macam jenis penapis - yang mongkong, yang flat - untuk mok guna semasa siang ikan udang.
Tak digunanyaaaaaa.
Bila aku nak siang sendiri dia tak kasi.
Dia tak berkenan kot tengok aku terkial-kial siang ikan.   
Sepanjang bibik duduk sini, tak pernah kejadian sink tersumbat. TAK PERNAH.
Sebab aku dah ajar bibik guna penapis setiap kali siang ikan.
Tapi mok tetap dengan caranya di kampung.
Semuanya biar terjun dalam lubang sink, ujung-ujung keluar kat longkang belakang.
Memang tak pernah ada filter pun kat sink dia di kampung tu.
Sink rumah aku ni macam-macam filter tukar silih berganti, masih tersumbat.
Nak buat macamana sebab mok masih nak kekalkan ‘cara’ di kampung.
Tapi now dah tak tersumbat dah sejak aku order je semua barang pasar online, siap basuh.
Biarlah mahal sikit, asalkan kepala aku tak sakit.
Bersabar untuk tempoh yang lama boleh mengundang sakit kepala tau. Kahkahkah.

Again, ini adalah cabaran bila tinggal dengan orang tua. 
Kadang tu bila orang tengok kita boleh tinggal dengan mertua bertahun-tahun mesti segalanya ok di rumah katanya. 
Tak jugak. 
Isunya ada, tinggal lagi nak besarkan atau tak.

Yang ketiga, sudip and periuk tefal aku ‘bersepai’.
Mok memang tak masak.
Masak untuk makan pagi, lunch and dinner memang aku pegang.
Tapi sometime mok akan masak kalau nak goreng keropok, nak goreng sosej and nugget untuk cucu dia atau goreng apa-apa kalau anak-anak dia datang masa aku not at home.
Bila dia dah start pegang dapur, periuk and kuali Tefal aku semua dia kaup dengan sudip besi.
Walau aku dah pesan kalau kuali periuk Tefal kena guna sudip khas, dia tetappppp.
Jadi periuk and kuali Tefal aku calar-balar.

Tu gambar contoh mok kalau menggoreng.
Mok ‘berjimat’ kalau menggoreng. Dia goreng ikan guna minyak sikit je.
Lepas tu nanti dia sengetkan periuk macam tu so that minyak berkumpul satu sudut and dia goreng kat sudut tu je.
Jadi, sisi periuk yang senget tu hitam jadinya bila terbakar dek api.
Dah banyak periuk aku hitam sebelah. Handle cair sebelah pun ada.
Sudip pun sama. Ada yang cair, ada yang terbakor - sedih benau kejadiannya.
Selalunya kalau jadi gini aku snap and hantar kat En Wan sambil letak emoji ðŸ™„.

Sabar kan aku? 😆
Sebab tu sesiapa yang komplen aku itu ini di rumah, aku sound setepek.
Kau tak duduk dengan orang tua, kau diam.
Belum tentu lagi kau boleh bersabar duduk 2 bulan dengan orang tua.

Maka, 3 point tu cukuplah.
Rasanya dah menjawab kisah-kisah yang diadukan pada aku.
Ini bukti bahawa isu dengan mertua memang ada.
Membongak sangat kalau ada orang kata dia hidup bersama dengan tenang dan bahagia bersama mertua.
Alangkan adik-beradik yang keluar dari perut yang sama pun boleh bertelagah, apetah lagi dengan orang yang sah-sah bukan sedarah dengan kita.
Yang membezakan adalah cara kita menangani isu-isu ni.

Kalau ada benda yang aku tak berkenan, aku adukan pada anak laki dia.
Anak dia perlu tahu. Aku tak suka simpan-simpan pendam sorang.
Apa benda yang aku tak berkenan, aku akan bagitau En Wan.
Kalau En Wan rasa dia boleh tegur, dia tegur.
Kalau tak, dia belikan baru.

Aku faham situasi En Wan.
Tak mudah untuk dia tegur mak sendiri.
Jangankan kata dia, aku pun belum tentu tergamak nak tegur mak sendiri.
Macam En Wan, sometimes bukan kerana takut mok kecik hati bila ditegur tetapi tak mahu isteri dia kelihatan jahat di mata keluarganya.
11 tahun duduk bersama, aku faham sangat kenapa most husband seolah-olah macam ‘anak mak’.
Takut nak tegur mak, takut nak betulkan salah mak, etc.
Actually bukan kerana terlalu sayang mak, tapi kerana dia sayangkan isterinya.
Dia tak nak nanti mak mengadu kat adik-beradik itu ini, ujung-ujung yang nampak jahat isterinya.
Walhal orang luar mendengar cerita sebelah pihak saja.
At least itu yang aku faham dari tindakan En Wan.

Aku orang yang tak suka simpan-simpan.
Macamana aku loud dalam penulisan aku, itulah aku di mana-mana pun.
Benda yang aku tak puas hati, kat situ jugak aku settlekan. 
En Wan sangat faham perangai aku dan dia tahu aku ada solid and good point tetapi at the same time dia juga tahu bukan semua orang boleh terima perspektif aku.
Jadi untuk mengelakkan orang lain salah anggap pada isterinya, dia kena kontrol semua sudut.
Contohnya, aku takde dalam family group En Wan.
Sebab En Wan tahu aku loud.
Apa yang aku tak suka, kat situ juga aku tembak.
Dia taknak orang lain anggap aku jahat bila aku menyuarakan pandangan aku yang selalunya tak ikut majoriti. 

Samalah macam apa saja isu yang timbul between mok and aku, apa yang En Wan rasa dia boleh betulkan, dia betulkan. 
Apa yang dia rasa aku perlu sabar, dia akan sabarkan aku.
Contohnya, setiap kali nak tido, aku akan check balik rak basuhan pinggan.
Selalunya aku akan basuh semula.
Mok kalau basuh sometimes dia tak guna sabun, dia basuh dengan air je.
Jadi kesan minyak masih ada.
Aku manusia biasa. 2-3 kali jadi, aku boleh terima.
Tapi kalau dah selalu, berangin juga.
Tapi selaser-laser aku, aku tak pernah sound mok.
Aku akan lepaskan marah aku kat En Wan.
En Wan allow dia jadi tempat aku lepaskan marah.
Sebab dia nampak aku kena basuh balik, dan dia tahu itu sangat memenatkan.
Selalunya En Wan akan tenangkan aku dengan belikan aku teh tarik, atau burger, atau aiskrim.
Sambil-sambil tu dia cakap “Mok dah 81, Di. Mok dah tua. Mata mok tak nampak kesan minyak”.

That’s why aku cakap peranan suami sangat penting bila menantu and mertua duduk sekali.
Orang perempuan ni Allah bagi satu keistimewaan rasa kasih-sayangnya sangat tinggi.
Walau penat, dia gagahkan dir mengemas.
Walau demam, dia gagahkan diri memasak untuk suami and anak-anak.
Walau mengantuk dia tetap bangun menyusukan anak dan biarkan suami terus tidur sebab kesian suami penat kerja.
Jadi, kalau suami tahu macamana nak tackle hati isteri, insyallah isteri boleh bertolak-ansur kalau ada masalah dengan mertua.

Apa yang aku boleh cakap, duduk sebumbung dengan mertua tak mudah.
Perlu ada kesabaran dan tolak-ansur yang tinggi.
Dan menantulah yang paling kena sabar sebab orang tua ‘always betul’.
That’s why karakter suami kena strong.
Jangan melulu taat pada mak tanpa peduli perasaan isteri.
Hakikatnya orang tua tak selalunya betul tetapi mereka wajib dihormati.
Bab ni aku syukur sangat En Wan bukan typical anak mak yang mak dia je betul 24 jam.
Dia ambil peranan untuk selidik rungutan aku at the same time meletakkan dirinya di tempat mok.
Kalau dia rasa mok salah, dia akan tegur.
Kalau aku salah, aku kena tegur.

Kalau ikut agama, tak digalakkan duduk sebumbung dengan mak bapak dan adik-beradik.
Suami mesti bawak isterinya duduk asing.
Dalam kes aku, kitorang tak pernah ajak.
Tapi elok juga mok di sini sebab kat kampung dia duduk sorang.
Lagipun cucu-cucu yang lain ramai kat sini. Kak Ngah pun dekat. Lagi elok duduk sini.

Mok tak pernah kondem apa aku masak atau cara aku masak. Itu kelebihan untuk aku.
Kebanyakkan kisah yang aku dengar mertua suka kondem cara menantu masak, lauk tak kena dengan tekak, siang ikan salah, etc.
Mok dah tak minat masak.
Kalau kondem karang aku tak masak terus.
Jadi dia biarkan je aku masak apa pun. Agaknya laaa...
Most menantu yang tinggal dengan mertua ada masalah ni.
Bila tinggal bersama, mak mertua boleh tahu rahsia dapur kita.
Jadi tak heranlahlah dia akan kritik apa pun yang kita buat (especially bab masak).
Biasalah, orang tua.

Bab menjaga anak pun sama.
Walaupun zaman dah berubah, cara orang tua membesarkan anak belum banyak berubah.
Always ada perbezaan pendapat dalam mendidik anak.
Aku sampai sekarang ada masalah dalam mendidik Rayyan.
Selalu ada konflik.

Kita ni bagi syarat anak kena makan di dapur, kat meja makan.
Tapi mok akan hidangkan makanan di mana saja Rayyan berada.
Kalau dia dalam bilik, mok akan bawak naik makanan ke dalam bilik.
Kalau Rayyan duduk depan tv, mok hidang makanan depan tv.
Kalau Rayyan nak lunch pukul 3pm, mok akan sedia pukul 3pm.
Berbuluuuuuu je aku.

Tapi tu lah, aku nak bangkang pun tak boleh sebab ada living proof dalam rumah ni yang menjadi bukti didikan sebegitu tetap menjadikannya manusia.
Kalau Mak Aji dulu, makan lunch pukul 1pm.
Selain dari waktu tu, tunggu dinner.
Makan hanya kat meja makan.
Kau makan depan tv, siap pemukul lalat hinggap belakang kau.

Tapi satu yang best, mok tak penah kisah kalau aku bangun lambat.
Sebab kalau aku bangun lambat, bermakna anak beliau juga bangun lambat.
Kalau En Wan bangun lebih awal, dia akan bagitau mok “Diana dop bangun lagi mok. Dia dop sihat”.
Itu jelah modal dia nak menyelamatkan aku 😉.

Lagi satu, En Wan rajin bawa aku mencari ketenangan.
Hujung minggu kalau cucu-cucu mok datang rumah, En Wan akan bawak aku keluar jalan.
Dia takkan bagi aku melayan tetamu. Isterinya perlu rehat.
Hari-hari lain aku dah melayan mok, hujung minggu siapa datang rumah, orang tu dikira take over melayan mok pulak.
Agak-agak tetamu nak makan ke nak minum ke, silakan ke dapur buat sendiri.
Buatkan sekali untuk mok.

Susah sebenarnya jadi suami.
Patutlah tanggungjawab suami sangat berat dan isteri wajib taat (tapi nak pitching tinggi sikit sesekali tu bolehhhhhh).
Nak menjaga hati mak, nak menjaga hati isteri dan maintain sama-sama hidup dalam keadaan harmoni.
HARMONI, ya. Bukan bahagia.
Bila tinggal bersama dengan mertua, objektifnya adalah HARMONI.
Bahagia tu cerita lain.
Kalau nak harmoni, nak tak nak memang masing-masing kena ambik peranan.
Orang tua payah nak mengalah. Itu memang sifat orang tua.
So suami and isterilah kena buat.

That’s why sebaik-baiknya janganlah tinggal serumah dengan mak bapak atau mertua.
Tinggal dengan orang tua pahalanya memang mudah, tapi dosa pun mudah dapat kalau tak kena gaya.
Kalau tanya aku, aku tak encourage.
Kalau boleh elak, elak.  
Benda ni kalau tak kena gaya boleh bercerai berai kerana ‘orang ketiga’.

Bukan apa, bila tinggal satu rumah, akan ada persaingan di antara menantu dan mertua.
Isteri nak suami mengutamakannya, mertua pula sebagai orang tua mahukan hak yang lebih besar untuk diutamakan oleh anak sendiri.
Persaingan inilah yang always jadi punca konflik suami isteri.
Sebuah istana seharusnya memiliki satu ratu dan satu raja sahaja.
Dua ratu dalam satu istana kelihatan tak baik.
Memilih tinggal asing dengan mertua tak menunjukkan seseorang adalah menantu atau anak yang derhaka.
Tinggal asing hanyalah berpisah secara fizikal, tetapi emosional tak kacau bila selisih paham semakin berkurangan.

Aku rasa En Wan ada karakter yang strong sebagai seorang suami, walaupun dia mengannoyingkan aku di ofis.
Semoga suami aku ni dapat terus mengimbangkan role dia sebagai anak and suami.
Dan semoga aku juga dapat jalani bahagian aku ni dengan baik.
Tak semua benda kita boleh control.
Kalau segalanya nak berlaku ikut kemahuan kita, boleh stress.
Apa yang boleh accept, accept sajalah.