2019-07-22

S.O.P


Isu kali ni tak dibenarkan untuk tepek email kat blog.
Secara ringkasnya, dia ada kawan yang sangat baik tapi tak pernah dilihat bersolat.
Si pengadu tak berani nak nasihat sebab takut putus kawan.

Aku teringat kisah Salman Al Farisi.
Dulu dia seorang Majusi.
Hidayahnya memeluk Islam sampai ketika dia nampak ramai orang Islam bersolat dalam gereja.

Hikmahnya kat sini, untuk mengajak seseorang buat kebaikan, tak semestinya dengan cara menegur.
Apetah lagi zaman sekarang ni manusia tak berapa suka dinasihati apetah lagi ditegur di khalayak ramai.
Menunjukkan contoh yang baik melalui akhlak yang baik pun boleh jadi asbab seseorang terima hidayah.

Memang hidayah itu hak Allah, tapi Allah hantar hidayah melalui perantara.
Boleh jadi kita yang dipilih untuk jadi perantara.

Bila kita menjadi perantara, tak semestinya menegur harus dengan lisan.
Boleh je tegur dengan cara tunjuk peribadi baik.
Setiap kali nak pi solat, ajak "Jom, solat?".
Ajak dengan rutin.
Tak perlu nasihat ke apa, just ajak je.
Dia nak join atau tak, belakang cerita, yang penting ajak dulu.

Sesekali cuba hadiahkan telekung yang cantik untuk dia.
Hadiahkan sejadah yang sedap dibuat sujud.
Insyallah lama-lama nanti tergeraklah hati dia tu.
Omputih kata action speaks louder than words.

Nak mengajak kepada kebaikan ni mesti ada SOP.
Apa pun kerja yang kita buat, kalau nak hasilnya cantik, mesti ada SOP.

Contohnya, goreng telur pun ada SOP.

Mula-mula, tenggekkan pan.
Bukak api.
Letak minyak secukupnya, panaskan.
Dah cukup panas, baru pecahkan telur.
Goreng, dah garing baru terbalikkan.
Dah masak dua-dua belah, baru angkat.
Barulah dapat telur yang masak cantik.

Kalau minyak belum panas dah tuang telur, telur belum garing dah terbalikkan, memang barai lah telur kat dalam tu.
Hasilnya tak cantik sebab tak mengikut SOP.

Begitu juga dengan dakwah.
Nak buat kerja agama ada SOP-nya.

SOP = Disiplin.

Mesti ada disiplin dalam buat kerja agama.
Be it urusan dakwah, urusan ibadah untuk diri sendiri atau hidayah.
Mesti ada disiplin.

Contoh paling mudah, kerja.

Yang makan gaji, kerja dari pagi sampai ke petang.
Hujung bulan baru boleh dapat gaji.

Yang berbisnes, usaha buat macam-macam dulu, baru nanti dapat hasil.

Maksudnya, buat sungguh-sungguh, istiqomah, dengan disiplin.

Dalam mencari rezeki, manusia sanggup berpenat-penat.
Takkan urusan dakwah, baru 1-2 kali buat dah nak give up?

Kalau nasihat kali pertama tak jalan, takpe, cuba lagi kali kedua.
Kali kedua pun tak jalan, kita ubah method, cuba tunjukkan teladan yang baik pula mana tau mahu dia mengikut.
Kalau tak jalan juga, kita minta tolong orang yang lebih berilmu.
Maknanya, usaha mesti istiqomah, ada disiplin.
Step by step, berterusan.
Yang penting, berhemah.

Tapi bagi aku, biarlah yang buat kerja tegur-menegur ni orang yang alim dan tinggi ilmunya sebab mereka lebih bertauliah.
Bukan apa, selalunya orang yang alim ni bila menegur, niat nasihatnya bersandarkan kerana Allah.
Kita-kita orang awam ni kalau menegur selalunya niat nak orang tu berubah kerana kita yang menegur.
Tu pasal bila nasihat kita tak diendahkan, kita cepat melenting kerana niat tu dah tersasar.
Bila nasihat tak dilayan, mulalah kita menegur dan mengkritik terangan-terangan dengan niat nak mengaibkan.

Salah satu kewajiban orang mukmin adalah menasihatkan saudaranya tetapi dia tak ada hak untuk memaksa saudaranya mengikut nasihat tu kerana itu bukan sebahagian dari kewjiban.
Seorang pemberi nasihat hanyalah orang yang menunjukkan jalan, bukan orang yang memerintahkan orang lain untuk mengerjakannya.
Kalau memang dia tak mahu menerima nasihat, maka kita diam sajalah.
Itu lebih baik kerana akan lebih menjaga dari terkeluar perkataan-perkataan yang akan memburukkan keadaan.