2015-01-13

Konsert KPop dan kegedikkan kita



Aku dah cerita sikit dah pandangan aku kat FB pasal kes konsert KPop baru-baru ni.
Tapi aku nak elaborate sikit, bukan pasal konsert KPop tapi tentang pengalaman aku sendiri, suatu waktu dulu.
Masa reader bagi link untuk aku tengok video konsert KPop tu, aku membayangkan ada kes pengsan atau mati kena pijak, just like apa yang pernah berlaku kat konsert MJ. Rupanya kes peluk.

Bukan maknanya kes peluk ni boleh dipandang mudah. Memang jelas dan nyata tak boleh dipandang remeh.
Tapi aku lebih tertarik nak cerita pasal zaman kegedikkan aku.

Masa aku tengok video tu, aku senyum sorang-sorang.
Terbayang-bayang zaman aku gilakan Leslie, gila Beyond, gila Hacken Lee, gila artis Hong Kong.
Cuma yang bagusnya dulu, zaman tu blom ada lagi henfon.
Jadi takde sape nak viralkan kegilaan budak melayu terhadap artis Hong Kong.
Yang tau, tau lah. Yang tak tau mesti tak sangka spesis macam aku wujud kat bumi Malaysia ni.
Antara yang sangat tau kewujudan kegedikkan aku terhadap artis Hong Kong adalah Mak Aji.
Sampai lunyai poster Leslie dia koyak sebab menyampah tengok aku asik pasang lagu cina. Pastu takut esok aku murtad kawen ngan Cina. Ntah apa-apa je Mak Aji ni. Suka nau stresskan diri sendiri mikir yang bukan-bukan. Aku ni cuma obses je. Tak terpikir pun nak kawen ngan si Leslie tu.



Zaman tu ramai yang tak tau, budak-budak melayu yang gilakan artis Hong Kong sebenarnya sangat sangat sangattttttttttttt ramai. And kitorang ada group penpal sendiri yang sangat kuat. Tinggal lagi,  dulu belum wujud lagi era internet. Jadi isu ni tak meluas. Kalau tak, ntah-ntah muka aku pun tersebar kat internet. Kitorang yang berada dalam group peminat artis HK ni memang tau sangat betapa besarnya pengaruh group ni. Tapi tu la, waktu tu, informasi terhad. Bila informasi terhad, jadi langkah tu pun tak berapa panjang.

Sumber yang paling banyak pasal artis HK pun dari majalah Galaxy.
Selebihnya, tengok kat Jade Solid Gold tiap-tiap hari Jumaat.
Asal Jumaat je aku bercinta nak pi tusyen sebab nak kejarkan Jade Solid Gold.
Kalau terpaksa pergi jugak, aku akan pastikan aku balik cepat.
Berdiri kat tangga dalam bas sesak pun tak kisah janji sempat sampai rumah sebelum Jade Solid Gold start. Tapi selalunya aku monteng la.
Padahal Jade Solid Gold tu takde subtittle. Tu pun tetap aku layan macam nak rak.
Ce kalau siap ada subtitle, konfem sampai skarang aku hafal apa dia cakap.
Pastu Isnin depan, tanya member cina kat kelas apa yang Jade Solid Gold tu cakap.
Stress si Leong Kok Hong tu kena cerita kat aku every week.

Every week, aku tunggu surat dari penpal.
Kalau ada konsert ke apa ke, group penpal ni akan inform.
Pastu share koleksi gamba artis yang dorang ada. Fotostate je, takkan nak share gamba betul. Sayang oi nak bagi-bagi kat orang.
Masa Wong Ka Kui (singer Beyond) mati, penpal ni semua bersatu chip in duit hantar wakil ke Hong Kong untuk pay last respect.
Gila tak gila nya aku dulu, walaupun takde duit, aku ngan Ima kumpul berapa sen yang kitorang ada untuk hantar surat sepanjang berapa meter ntah. Surat tu kitorang tepek keratan-keratan akhbar tentang Beyond, cap tangan kitorang, cap mulut (pakai lipstik Mak Aji) - pos ke Hong Kong. Tak tau la sampai ke tak. Janji pos.

Cuma dulu, aku tak berpeluang nak layan live konsert.
Bukan tak pernah ada konsert artis Hong Kong kat Malaysia. Ada.
Cuma aku tak berpeluang sebab time tu semua konsert cina buat kat Genting.
Lagipun aku still skolah. Belanja sekolah pun singgit ada hati nak layan konsert. Mana nak cekau duit. Jual suratkhabar lama?

Kegilaan aku ni sejak darjah 6, tahun 1989. Dari kecik sampai ke tua aku gilakan Leslie and Beyond.
Sampai aku pernah rujuk orang bijak pandai agama tanya boleh ke tak kalau aku nak ziarah kubur Wong Ka Kui (aku pernah tepek jawapan orang tu kat blog).
Sampai skarang aku simpan hajat oneday aku akan join jugak tribute to Leslie kat Hong Kong.
Selalunya every year dorang gather depan Mandarin Oriental Hotel. Bukan buat apa pun, saje lepak depan tu tengok movie-movie Leslie kat layar besar sambil nyanyi semua lagu-lagu dia. Fans gathering.
Satu hari nanti ya. Satu hari nanti. You wait Leslie, you wait.

Kalau kaset ni jangan cakap la.
Zaman skolah, duit kalau nak ikutkan memang takde. Tapi kalau dah nama minat tu kan, bak kata pepatah - nak seribu daya. (ni kalau Mak Aji baca ni mesti dia cakap "Tang beli kaset cina tu kemain banyak lagi daya kau. Suruh baca seper gagap!")
Sanggup aku ikat perut semata-mata nak kumpul kaset-kaset artis Cina yang aku tak paham sepatah haram pun. Tak kisah la tak paham, janji koleksi tu ada. Nak jumpa dorang mustahil sangat. Dorang jauh. Kalau datang Malaysia pun belum tentu aku dapat jumpa. Jadi, sebagai tanda sokongan, aku kumpul CD, kaset, video, poster, gamba, keratan majalah. Hoih, menggila!
Sambil dengar kaset sambil pegang kertas cover kaset tu, macamkan paham je nak nyanyi sama.
Bilik tido aku dah macam studio rakaman Cina.
Keliling dinding penuh poster. Poster Beyond, poster Hacken Lee, poster Leon Lai.
Poster Leslie je aku tampal dalam lemari sebab malu la nanti salin baju Leslie tengok. Kah Kah Kah.

Waktu tu aku lebih kerap pasang lagu Cina dari lagu melayu.
Selalunya pagi-pagi Ahad, Mak Aji ngan Pak Aji gi pasar. Jadi, aku gunakan waktu ni untuk mengemas rumah sambil pasang kaset Leslie and Beyond sekuat-kuat ada. Dah macam konsert kat emporium je rumah orang tua tu aku buat. Aku rasa jiran dengar pun dah pasrah. Orang datang mintak derma pun tak berani nak ketuk pintu rumah sebab dari luar dah dengar lagu Cina. Rumah cina agaknya ni dia kata.



Year 2009 - Madamme Tussaud Hong Kong.

Dek kerana terlampau minat Leslie, aku berangan dari zaman skolah lagi nak pergi Hong Kong.
Akhirnya 2009 aku sampai jugak kat sana.
The moment aku nampak patung Leslie ni, aku tak kisah apa nak jadi dah.
Laki aku ke, Pak Aji ke, Mak Aji ke, yang aku tau aku menjerit sekuat-kuat ada sampai orang kat situ terperanjat tengok aku. Melompat atas stage, peluk 'Leslie' sekuat-kuat ada. Peluk dan peluk dan peluk sampai aku tak tau nak pose macamana dah melainkan peluk je. Aku takleh imagine kalaulah betul-betul Leslie depan mata. Besar harapan, itu jugak la yang aku buat. Pak Aji ngan Mak Aji tengokkan je aku menggila sorang-sorang kat atas tu. Malas layan. Dorang semua dah gerak ke tempat lain, aku masih lagi kat tepi Leslie. Aku dah tak kisah dah ngan patung lain. Aku rasa impian aku dah tercapai dah waktu ni.

Masa Leslie mati 1 April 2003, lagi la meroyan aku.
Masa ni aku keje kat Prudential. Aku nampak muka depan newspaper STAR gamba Leslie commit suicide. Gila nak pitam aku kejap. Series berpinar mata. Terus ambik EL kauuu. Memang takde mood nak buat keje dah.


    
Magazine ni tribute to Leslie.
Aku beli tahun 2003. Masih ada dalam simpanan.
Ntah hape dia tulis aku tak paham. Tapi tu tak penting pun. Janji aku dapat tengok gamba.

Aku sangat faham apa yang berlaku kat budak-budak pompuan kat konsert KPop tu.
Aku yakin dorang datang ke sana bukan untuk dipeluk. 
Dorang ke sana sebab nak tengok konsert.
Kalau ada peluang nak bergambar bersama-sama.
Itu aim-nya.

Tapi segala-galanya jadi 'huru-hara' bila dorang berpeluang naik atas stage.

'Kegedikkan' dan 'kegilaan' ni boleh datang sekelip mata bila favorite idol kita ada depan mata.
Bukan semua orang mampu kawal diri.
Kalau aku pun belum tentu.
Dapat jumpa patung pun aku dah sawan. Lagikan si Leslie ajak aku naik stage. Lembik terus lutut aku agaknya.

Budak-budak tu 'pasrah' bila dipeluk sebab dorang pun tak sangka benda ni akan berlaku.
Dan bila ia dah berlaku, adalah sesuatu yang susah nak dielak. Bukan tak boleh. Tapi susah. JIwa remaja. Sebab kau dah berada atas pentas. Dan kau sedang menjadi titik tumpuan.
Nak ditolak pelukan tu, takut memalukan si penyanyi.
Nak diterima pelukan, diri sendiri pun sebenarnya taknak dipeluk.
Serba salah.

Aku pernah rasa situasi macam ni. Cuma bukan kes peluk la.

Di awal aku bertudung, aku sangka tudung aku ni cukup untuk bagi 'isyarat' pada visitor from Cape Town yang aku tak boleh disentuh.
Tapi bila dia sebagai CEO hulurkan tangan untuk shake hand disaksikan oleh 3 orang orang kanan dia, aku jadi serba salah.
Aku dah berazam taknak shake hand dengan bukan muhrim
But at the same time aku taknak malukan dia depan pegawai dia.
Mungkin ada yang kata "La, cakap je la kau tak dapat nak bersalam"
Betul.
Tapi kadangkala tak mudah untuk kita buat keputusan bila semuanya berlaku dengan pantas.
Iman aku masih lemah, jadi aku hulurkan tangan.
Mungkin inilah cara Allah mengajar orang yang lemah imannya.
Lepas tu sehari suntuk aku rasa tak tenang je. Bersalah gila.
I learnt my lesson.
Sejak dari tu, setiap kali aku akan berurusan dengan orang luar, aku akan pakai sarung tangan supaya aku boleh bersalam (hanya kalau dia mulakan dulu hulurkan tangan), untuk menghormati urusan saje.

Tahun 1995, aku kat matrik UNIMAS, ada konsert kat Muara Tuang, Kota Samarahan.
Aku dengan 4-5 orang housemate gi tengok konsert.
Konsert kumpulan Legacy. Glemer kumpulan ni dulu, lagu dia sedap. Dorang Sarawakian.




Padahal aku tak kenal pun kumpulan Legacy ni. Tapi since dapat jumpa dorang belakang pentas (salah sorang kawan kitorang sepupu kepada lead vokalis), hoiiiii dan-dan tu terus minat okeh. Nak pulak dapat bersembang lama-lama cewahh masing-masing belagak macam dah kenal artis ni lama je. Padahal baru tu la kali pertama nampak. Nasib je masa tu takde IG. Kalau tak, konfem separuh IG muka aku ngan Legacy ni je.

Ni lah yang dikatakan bangga.
Sebenarnya pegi konsert bukan aim nak berkenalan, datang cuma nak layan konsert je.
Tapi bila kebetulan peluang tu ada, memang tak lepas la. Bila lagi nak dapat this chance kan.
Bangga bila balik boleh cerita kat kawan-kawan "Tadi aku pi konsert pastu dapat besembang sejam ngan artis"
Kau pegi dapat tengok je. Aku dapat bersembang okeh.
Cam tu la lebih kurang perasaannya.

Budak-budak pompuan kat konsert tu pun mungkin alami situasi yang sama.

Budak-budak kan.
Darah tengah muda. Keinginan masih banyak.
Kita pun pernah lalui zaman-zaman ni.
Zaman di mana kita lebih suka ikut hati dari akal.
Zaman kita lebih senang dengar cakap kawan dari cakap mak bapak.
Zaman kita masih mencari identiti.
Zaman kita tak banyak benda yang nak difikirkan melainkan fikir nak seronok.
Budak-budak pompuan kat konsert KPop tu dah pun blaja dari kesilapan agaknya.
Ntah-ntah dorang dah pun buat solat taubat, Tuhan dah ampunkan.
Tapi kita masih lagi mengutuk dorang.
Dah la, tak payah kot nak kutuk beria.
Bukan aku pandang remeh dan memudahkan sesuatu yang ditegah.
Salah tetap salah.
Tapi mengutuk pun salah juga.

Semua orang ada 'ketaksuban' terhadap artis, ahli politik, ahli sukan, pakar motivasi, even blogger sekalipun.
Kalau dapat jumpa celebriti walaupun asalnya kita bukan minat sangat pun, tapi kalau ada peluang, paling tak pun kita teruja nak bersalam.

Kita semua pernah muda. Kita pernah buat silap. Kita semua pernah menggila.
Alangkan time aku kat Maahad dulu pun akak-akak sekolah agama tu berbondong tengok TV layan AJL 1989.
Masa tu aku rasa eh, aku ingatkan budak skolah agama ni semua kejenya marhaban 24 jam.
Tapi tu lah namanya manusia. Obvious dengan tak je.
Zaman 4U2C, Res2, Feminin, NKOTB, Take That, KRU ....... menggila-gila semuanya!
Terbayang-bayang kawan-kawan skolah aku yang minat NKOTB, dorang punya angau satu macam je. Sikit-sikit Step by Step. Sikit-sikit Step by Step. Aku step sekor-sekor kang baru datang akai.

Memang apa yang berlaku pada budak-budak pompuan tu tak senonoh dipandang mata, sebab kecenderungan kita skarang dah berbeza. Dah tak sama macam waktu umur belasan tahun dulu.
Tapi, kalau benar skarang ni kita lebih berilmu dan lebih beriman, sepatutnya kata-kata kesat mengeji dan mengutuk tu tak dijadikan pilihan.
Nak mengajak orang kepada kebaikkan takkan lut kalau gunakan kata kesat.

Mentang-mentang kita tak buat, kita rasa kita lebih mulia.
Kalau kita dibagi peluang yang sama, ntah-ntah kita pun 2x5.
Patutnya kita bersyukur Tuhan tutup peluang tu untuk kita. DIA taknak kita merasa macamana dimaki hamun oleh orang lain.
Jadi, tak payah nak aibkan budak-budak tu pulak dengan carut-marut.
Kita cuma bernasib baik je sebab takde peluang.


Tetiba terperasan ada satu poster Leslie dalam buku.
Redza nampak "Eh, macam papa!"
Terus aku lipat balik. Tak jadi nak gantung.