2014-11-27

Kembali


Apabila sampai masa kesedaran mengetuk pintu hati kita, tandanya sapaan Allah kepada kita untuk mengajak kita kembali kepada Dia, kembali kepada fitrah dan bersedia untuk balik ke kampung akhirat dalam keadaan diredaiNya.

Semua salah kita kepada Allah, mohonlah ampun dan taubat, dengan keazaman untuk tidak melakukan dosa yang sama lagi, menyesal akan dosa dan kelalaian tersebut dan meninggalkan serta merta tanpa soal.

Apabila turun ayat Al Quran tentang pengharaman arak, dengan linangan air mata, semua sahabat Nabi SAW pada ketika itu, memecahkan semua tempayan arak di rumah masing-masing dan bersungguh-sungguh menyesal serta tidak lagi menyentuhnya.

Sahabat-sahabat Nabi, semuanya patuh kepada perintah Ilahi, tanpa soal dan tanpa pertimbangan kedua, pada saat dan ketika itu juga, mereka meninggalkan apa yang dilarang. Begitu kuat sekali kepatuhan mereka kepada seruan Allah.

Mohon ampun kepada Allah dengan bertaubat, ambillah wuduk yang terbaik yang kita faham, memakai pakaian suci dan ‎bersolat taubatlah, "usolli sunnatan taubat, roka'ataini, lillahi ta'ala", dengan 2 rakaat itu, anggaplah ia solat terakhir kita sebelum meninggalkan dunia ini.

Beristighfar dan memohon ampun, menyatakan dosa-dosa kita di depan Allah sepanjang yang kita ingat, satu persatu, sehingga habis semuanya ketika berdoa sesudahnya.‎ Ini perlu dilakukan, walaupun Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat. Ulangilah sehingga rasa habis semua dosa kita setakat yang kita ingat.

‎Seperkara penting, janganlah dihebahkan dosa-dosa kita kepada sesiapapun, simpanlah ia, kerana Allah juga menyembunyikan ia daripada pengetahuan umum, kenapa kita perlu membukanya?

‎Ini khas untuk ‎menyucikan diri kita, daripada dosa-dosa kita, yang menzalimi diri kita sendiri yang melibatkan kita dengan Tuhan kita.

Adapun dosa-dosa kita sesama manusia, tiadalah jalan keampunan melainkan perlu meminta maaf kepada orang yang kita dosakan.

Perbuatan kita kepadanya pada zaman jahiliah kita sebelum ini, perlu diberitahu kepada tuan punya badan, dan memohon kemaafan atas kezaliman kita yang dulu-dulu. Andai perlu diselesaikan dengan harta benda dan wang ringgit, wajib diberikan jika itu yang diminta.

Kemudian kembali kepada Allah dengan bertaubat seperti yang dimaklumkan tadi.

Perlu ada usaha untuk mencari semula orang yang kita zalimkan itu, seboleh daya, jika tiada ia atas kematian atau seumpamanya, carilah warisnya.

Andai tak juga bertemu, teruslah memohon kepada Allah agar dipermudahkan, dan diampunkan. Malah perlu berazam untuk terus berusaha mencari, sehingga kita meninggal dunia.

Mudah-mudahan kita akan dikira sebagai orang yang berusaha membersihkan diri.

Allah Maha Halus untuk mempertimbangkan hal sedemikian.

Hidup di dunia, janganlah sakiti orang, baik dengan perbuatan atau perkataan. Cakaplah yang baik-baik, jika tiada diamlah sahaja. Ia lebih selamat.

Di zaman moden ini pula, jauhkan diri dari menulis benda yang tidak membawa faedah, di FB ke, di WA ke, di Insta ke, di Blog ke, di Tweeter ke, di mana2 sahaja, diam lebih baik dari mencetus dosa rangkaian yang menjadi penyebab "jariah maksiat" yang berpunca daripada keseronokan kita yang sementara itu.

Berhati-hati dalam memanjangkan info yang kita dapat, lebih baik diam dan simpankan sahaja, jangan disebar melainkan sohih dan benda berfaedah.

Demi Allah, semua itu akan dikira oleh Tuhan Yang Maha Halus.

‎Kita bimbang, selaput kegelapan menyelaputi hati dan mata kita, sehingga kita tidak berasa apa-apa dengan dosa.

Mohonlah kepada Allah untuk diberi kekuatan untuk kembali kepadaNya, kerana Dia punca semua kekuatan.

Muslim, berurusan terus dengan Allah, tak ada perantaraan, tak ada kiriman, mana ada agama yang menawarkan keampunan sebegini, selain dari apa yang ditawarkan dalam Islam.

Yang penting, memohon akan taubat itu daripadaNya, sungguh, Dia Maha Pengampun.

Wallahu'alam, wassalam.

Sang Nila Utama
Raja Muda Pura Cendana.