2025-05-17

Cukup-cukuplah kita banding-membanding. Life bukan pertandingan.

Someone share satu video kat aku. Dia minta aku ulas.

Honestly, dari zaman Redza masih toddler, sampai sekarang, masih lagi orang berdebat hal suami yang tak boleh 100% jadi provider belum layak jadi suami katanya. Suami yang berkongsi 50-50 expenses rumah dengan isteri, adalah kejam katanya. Yang perempuan dah tentulah suka. Yang lelaki pula jadi bengang.

Actually dah bukan umur aku nak join debate pasal ni sebab aku dah pun lalui fasa tu. Tapi meh aku nak share pengalaman sendiri. Kot boleh pakai, pakailah. Kalau takleh pakai, jangan ambil.

Alhamdulillah aku selesa dengan cara aku (cara kami). Lansung aku tak bitter kalau ada kata suami yang tak provide 100% belum layak jadi suami. Kau dengan life kau. Aku dengan life aku. Aku nak berkongsi, jadi aku buat apa yang aku nak.

Serius, topik ni dah banyak kali muncul, dari zaman Redza pakai pampers sampai anak aku tu dah berbulu atas bawah. Tapi this issue tak pernah habis. Menjak ada Thread lagilah. Dah merepek-repek dorang punya arguments. Masing-masing macam kena kawen paksa. Manjang je ada benda yang tak puas hati dengan partner masing-masing. Pastu akan ada dua kelompok yang berdebat tak settle-settle.

“Lelaki mesti sediakan semuanya. Kalau tak boleh provide 100%, tak layak jadi suami.”

“Boleh je kalau nak kami tanggung 100% tapi ala kadar sesuai kemampuan”


Yang satu pihak rasa diri dipergunakan kalau kena share duit. Yang satu lagi rasa dibebankan sampai takde ruang nak bernafas. Ujung-ujung masing-masing jadi defensive. Masing-masing rasa betul.

Bagi aku yang dah lalui semua ni, dari dulu lagi aku tak berminat nak hidup ikut acuan orang. Sebab definisi ‘adil’ tu tak semestinya sama untuk semua orang.

Aku faham kenapa ada perempuan pegang kuat prinsip “suami kena tanggung 100%.” Sebab dari dulu kita dibesarkan dengan idea tu. Filem Melayu, drama Korea, ceramah agama, semua banyak tonjolkan lelaki sebagai tulang belakang keluarga yang mesti support family. Kalau suami mampu, apa salahnya? Itu memang tanggungjawab dia pun. Tapi realitinya, tak semua lelaki hidup senang. Ada yang kerja siang malam cukup-cukup makan. Nak suruh dia tanggung semua benda, takde masalah. Tapi isteri kena berlapang-dada dengan kemampuan suami.

Dari awal aku tak plan untuk berhenti kerja. Aku memang nak terus berkerja. Nak pegang duit sendiri sebab aku segan nak mintak duit En Wan. Aku punya perangai walau tengah lapar, kalau orang ajak makan “Eh makan?”, aku takkan makan. Even pergi jemputan pun aku makan dulu siap-siap kat rumah, alas perut so that tak gelojoh sangat kat tempat orang. Aku hanya akan makan beria kalau aku ada share. That explains kenapa aku perlu ada duit sendiri, supaya aku tak rasa tersangkut keinginan dan bebas beli apa aku nak.

Lagipun aku nak hidup yang lebih selesa dari apa yang aku lalui masa kecil. Bukan nak jadi kaya sangat, asal lebih selesa.

Masa beli rumah pertama, kitorang sama-sama gi tengok rumah contoh. Masa pilih lot, aku tunjuk “Saya nak end lot”. Obviously lebih mahal berbanding rumah tengah. Tapi aku cakap takpe, aku willing untuk share. Kalau aku tak nak keluar duit, aku tak kisah dia nak beli rumah type apa pun aku on je. Tapi sebab aku nak type rumah yang aku suka, jadi aku contribute, WILLINGLY. Dia tak paksa.

Masa gi Europe and UK hari tu satu sen aku tak bawak duit. Protes kononnya sebab kena naik flight. Kat sana aku tak shopping pun. Aku makan apa dia beli. Aku ambil apa dia bagi. Hanya kalau aku nak something, baru aku transfer duit kat dia untuk belikan. Melainkan kalau dia nak hadiahkan, aku ambil. Tapi selalunya apa yang aku nak, aku bayar. Beria-ia dia pujuk aku pilih henbeg lah, perfume lah, baju lah. Dia risau mak bapak aku ingat kitorang bergaduh sebab aku tak shopping apa-apa. Aku cakap aku malas nak penuhkan beg. Belikan aku makanan je. Cubalah tanya dia apa aku beli kat sana. NONE 😆.

Aku sendiri tak percaya aku boleh sedegil tu dari Paris ke Switz ke Milan ke UK tak beli apa-apa, but I am OKAY 👍🏻. Masa pi Korea pun gitu sampaikan dia hantar Redza untuk pujuk aku ambil satu mafla. Sebab sampai hari nak balik aku masih tak shopping apa-apa. Aku pun ambiklah satu dah dia menggelabah sangat. Buat syarat.

Apa yang aku nak sampaikan ni adalah — memang ada perempuan yang suka pakai duit sendiri dan willing nak share duit dengan suami. Tidak dipaksa pun. Look, kalau dengan lelaki yang salah pun aku willing berhabis, apetah lagi dengan lelaki yang dah jadi suami. Tapi bukanlah aku share 50-50. Aku select juga. Makanan memang aku pegang. Barang pasar, groceries dan Grab Food — duit aku. Yang lain semua duit dia. Aku sengaja pilih nak bayar segala tok nenek bab makan sebab aku enjoy food. Aku tak suka makan bercatu. Lain boleh sekat. Makan is kenot.

Dulu awal-awal kawen, aku lebih banyak contribute berbading now. Sebab dulu kita masih membina hidup. Segalanya masih belum ada. Disebabkan aku nak hidup selesa, maka aku berkongsi banyak benda.

Rumah dia bayar. Bibik aku bayar.
Duit sekolah Redza dia bayar. Duit van sekolah aku bayar.
Kereta dia, dia bayar. Kereta aku, aku bayar.
Masing-masing punya kereta, sendiri keluar duit untuk service.
Minyak kereta aku, aku bayar. Touch N Go aku dia topupkan.
Groceries aku bayar. Duit pasar dia bayar.
Balik kampung dia, aku top up toll, dia duit minyak.

Everything kongsi. Sebab aku nak selesa. Bukan untuk dia, tapi untuk aku. Aku tak nak balik kerja penat-penat terpaksa masak, kena basuh baju, kena kemas rumah. Aku kan pemalas. Jadi aku willing keluar duit bayar bibik untuk memudahkan hidup aku. Hidup aku, bukan hidup dia. So that, bila balik kerja kami boleh sama-sama terlentang depan TV layan movie.

Masa beli rumah kedua (rumah sekarang) pun sama. Masa ni duit komisyen aku banyak dah. Selamba lebur RM100K untuk renovate. Bukan untuk berlagak-lagak, tapi nak selesa. Mak Aji bising apesal beli rumah sampai 6 bilik kalau anak sorang (masa tu ada Redza saja). Tak cukup besar lagi rumah, aku extend dapur sampai ke belakang bagi habis. Mak aku bising lagi kenapa nak buat dapur besar-besar, bukannya kau pandai masak pun dia kata.

Some isteri willing untuk kongsi duit sometimes bukan untuk suami, tapi UNTUK DIRINYA SENDIRI. Dia sanggup kongsi duit untuk keselesaan dirinya, bukan untuk orang lain. Aku adalah perempuan jenis ini. Aku share duit bukan sebab dia tak cukup duit tapi aku nak upgrade. Contohnya, dia nak kitchen island. Aku nak kitchen top pakai original granite, jadi the whole kitchen duit dia, tapi original granite aku topup. Gitu.

Masa kitorang pindah rumah now, perabot bilik aku semua terpaksa beli baru. Sebab new bilik tido ni besar. Boleh solat jemaah 7 orang dalam bilik aku ni. Perabot lama kalau letak kat new bilik nampak bilik terlalu kosong. Jadi kitorang tempah katil king. Masa pilih kayu untuk customade katil, aku terpandangkan kayu mahogany. Sales tu kata kayu ni paling solid. Orang guna kayu ni untuk buat piano. Aku cakap kat En Wan aku nak buat katil dengan kayu ni. Harga boleh tahanlah. Logiklah, kalau beli piano pun dah berapa. Ini pulak tempah custom made katil pakai kayu tu. Aku cakap takpelah, sebab aku yang mengada-ngada, biar aku bayar katil ni. Sebab aku nak selesa tido di katil yang aku pilih. Dia pilih untuk bayar meja makan. Last-last dia punya meja makan pun custom pakai kayu mahogany jugak. Mana boleh kalah dengan aku dia ni.

Aku pilih berkongsi bukan sebab suami aku tak mampu. Tapi sebab aku nak. Aku nak enjoy dengan keselesaan yang aku pilih. Aku nak balik rumah tengok rumah sedap mata menandang, anak-anak terurus, rumah bersih, anak-anak dah siap makan. Aku tak berkongsi untuk ringankan beban dia. Aku berkongsi untuk ringankan beban aku. Tanggungjawab dia tetap dia kena jalankan. Cuma part melebih-lebih mengada-ngada ni, disebabkan aku nak, akulah keluar duit.

Dan aku tahu, En Wan pun tak ambil kesempatan. 24 tahun hidup bersama, dia bukan jenis lepas tangan atau sengaja biar aku bayar. Dia shopping barang-barang pun pakai duit dia. Lagi kuat shopping dari aku tau tak! Lemari aku 2 pintu je. Dia punya 4! Hari tu aku kemas T Shirt, baju Hard Rock Paris tahun lepas masih ada tag lagi. Punyalah banyak baju dia sampai tak sempat pakai. Aku jugak yang rilek. Balik-balik pakai baju sama. Tak caya tengoklah gambar-gambar aku kat IG. Tagline gue — Makan biar banyak. Baju sikit, takpe.

Dalam rumah tangga aku, “adil” bukan bermaksud sama banyak. Tapi bermaksud sama rasa. Tapi aku faham, tak semua couple mahu macam ni. Ada lelaki yang memang lepas tangan bila isteri dah mula tolong. Ada perempuan yang memang rasa berat bila kena share semua benda. Dan kat sinilah pentingnya komunikasi. Bukan semua orang ada kefahaman yang sama tentang ‘partner’. Tu sebab aku rasa, sebelum kahwin, benda ni kena borak habis-habisan. Tanya kau okey tak kalau kita share expenses? Kau rasa macam mana kalau aku tak kerja satu hari nanti? Boleh ke kau tanggung semua? Kena realistik.

3 bulan selepas kawen, aku benti kerja sebab nak sambung Masters. Aku pilih untuk tak mintak nafkah (duit). Sebab aku tahu dia kena tanggung banyak benda asbab aku mengada-ngada nak sambung belajar. Jadi aku kena consider pengorbanan dia juga. Aku mintak dia belikan pad, bedak and lipstik je untuk aku. Deodoran, aku share dia punya. Bau ketiak lelaki pun ketiak lelakilah. Kesah pulak aku. Kahkahkah.

Makan, apa yang dia beli. Selagi boleh puasa aku puasa untuk jimatkan belanja dapur. Shopping tak pernah minta melainkan dia nak belikan. Coli and panties aku setahun tu tak ganti, ya. Nasib baik ambik course work. Habis je setahun, terus cari kerja. Dapat je gaji terus beli perfume and bra Scarlet. Macam lepas geram. Dulu RM10 je harga bra. Walaupun RM10, tak gamak nak mintak En Wan belikan.

Maybe satu benda yang menyelamatkan kitorang adalah, kitorang takde personal loan. Kat situ dah selamat takde beban. Kereta pulak dia bawak balik dari Jepun. Aku pulak Mak Aji hadiahkan Kancil sempena graduation. Hutang belajar takde sebab dia scholar JPA. Aku MARA. Situ pun dah lega banyak. Tinggal nak manage expenses harian saja.

Zaman gaji cukup-cukup ni akak kau dah rasa, dik. Tapi inilah namanya fasa. Takkan selamanya susah. Apa yang aku nak tekankan kat sini, takde satu jalan yang betul untuk semua orang. Kalau kau rasa lelaki mesti sediakan segalanya, dan kau hanya akan kahwin kalau dia mampu, itu hak kau. Tapi jangan merasa pelik pada perempuan yang pilih untuk sama-sama berkongsi.

Sama juga, kalau kau selesa dengan sistem kongsi 50-50, jangan rendahkan perempuan yang nak duduk rumah jaga anak full-time dan biar suami kerja sorang-sorang. Itu pun satu bentuk kerjasama. Sebab jaga rumah dan anak pun satu kerja besar. Kita ni kadang terlalu sibuk nak betulkan cara hidup orang, sampai lupa nak celebrate benda paling penting iaitu pasangan yang sama-sama berusaha jaga satu sama lain, tak kira siapa bayar apa. Sebab dalam jangka masa panjang, apa yang buat rumah tangga kukuh bukan siapa lebih banyak bayar, tapi siapa lebih banyak bertolak ansur.

Aku tak pernah kisah pun bila orang sindir, “Alaa… suami tak mampu ke nak tanggung semua?” Sebab aku tahu suami aku mampu. Tapi aku yang tak nak bebankan dia semata-mata nak ikut selera aku dan persepsi orang. Aku buat keputusan berdasarkan apa yang buat kitorang berdua selesa, bukan nak ikut expectation masyarakat. Dan aku yakin, dalam mana-mana marriage, selagi keputusan tu datang dari kata sepakat suami isteri, bukan paksaan, itu dah cukup betul.

So kepada adik-adik yang baru nak bina hidup, nasihat aku satu je — duduk berbincang. Jangan tengok sangat TikTok orang tunjuk suami belanja isteri branded goods, atau isteri belanja suami kereta. Semua tu highlight reel. Realitinya, perkahwinan ni team work. Kadang-kadang, sorang akan cover lebih. Kadang-kadang, seorang lagi yang lebih kuat. Jangan takut untuk ubah strategi, asalkan hala tuju tetap sama.

Jadi, cukup-cukuplah kita banding-membanding. Life bukan pertandingan. Takde trophy pun untuk “pasangan paling ideal ikut selera netizen”. Yang ada cuma kebahagiaan sebenar yang lahir dari rasa saling menghargai. Dan kalau kau dah jumpa cara yang buat hidup kau tenang, peganglah. Tak payah tunggu orang approve. Kita semua tengah navigate hidup masing-masing, dan selagi jalan yang kau pilih tak menzalimi sesiapa, teruskan. Let others talk. Kita hidup bukan untuk menang debat, tapi untuk cari bahagia.